Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


07 Ogos 2009

JANGGUT


Kita sentiasa dapati banyak komen dari banyak pihak tentang perbuatan menyimpan janggut. Di sini disertakan beberapa hujah berkenaan Janggut:

Hadis #1
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sepuluh perkara adalah fitrah yang mana mengerat misai dan menumbuhkan janggut itu disebutkan." (HR Abu Dawud)

Hadis #2
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Di antara fitrah Islam ialah mengerat misai dan memanjangkan janggut kerana sesungguhnya orang-orang Majusi memanjangkan misai mereka dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada mereka dengan mengerat misai kamu dan memanjangkan janggut-janggut kamu." (HR Ibnu Hibban)

Hadis #3
Di dalam sebuah hadis yang dipetik dari "Musannaf Ibn Abi Sayiban" di beritakan seorang Majusi yang telah mencukur janggutnya dan mempunyai misai yang panjang datang kepada Rasulullah SAW. Tatkala melihatkan ini Rasulullah saw bersabda: "Di dalam agama kami, kami diperintahkan mengerat misai dan memanjangkan janggut."

Hadis #4
Ibn Asakir dan yang lain-lainnya telah memberitakan bahawa Hasan r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat sepuluh kebiasaan yang ada di kalangan umat nabi Luth yang menyebabkan punca kebinasaan ke atas mereka. Di antara kebiasaan itu disenaraikan juga mengenai pencukuran janggut dan memanjangkan misai."
.
Hadis #5
Zaid Ibni Habib r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak tertahan lagi melihat dua orang utusan yang datang daripada istana Maharaja Kisra kerana mereka telah mencukur janggut-janggut mereka. Baginda memberitahu kepada mereka: "Binasalah ! Siapakah yang menyuruh kamu supaya menjadikan wajahmu seperti ini?" Mereka menjawab: "Tuan kami, Maharaja Kisra memerintahkan kami." Rasulullah SAW bersabda: "Tetapi daku telah diperintahkan oleh Tuhanku, Allah, supaya memanjangkan janggut dan mengerat misai."

Hadis #6
Zaid bin Arqam r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa tidak mengerat misainya bukanlah daripada kami." (HR Tirmidzi)

Semoga dalil-dalil ini cukup untuk kita ambil iktibar, insya Allah. Walaupun perkara membela janggut nampaknya 'kecil' atau 'mudah' tetapi ia sebenarnya membawa pengertian yang sangat besar.

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: