Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


23 Ogos 2009

PERKARA-PERKARA YANG MENYEBABKAN 'MURTAD'


Seseorang muslim yang mukallaf boleh menjadi murtad disebabkan i'tiqad (kepercayaan) atau disebabkan perbuatan atau disebabkan perkataan. Seseorang Islam boleh menjadi murtad, yakni keluar dari agama Islam, disebabkan i'tiqad yang bercanggah dengan aqidah Islam yang sebenar. Di antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad adalah:

1. Tidak mengakui bahawa Allah SWT ialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah.

2. Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah atau mengingkari salah seorang rasul-rasul yang telah terdahulu dari Nabi Muhammad SAW.

3. Tidak mengakui bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan perantaraan malaikat Jibril AS.

4. Tidak mempercayai dan meragui hukum-hukum Allah SWT yang telah disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.

5. Tidak mengakui adanya malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan oleh Allah SWT kepada malaikat-malaikat berkenaan.

6. Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa hari kiamat itu pasti akan berlaku, termasuklah apa-apa yang berkaitan dengan hari kiamat seperti syurga, neraka dan lain-lain.

7. Tidak mempercayai qada' dan qadar iaitu takdir buruk atau baik yang kesemuanya telah ditentukan dan datangnya dari Allah SWT.

8. Tidak mengakui dan ragu-ragu menerima ijma' sahabat-sahabat Nabi SAW dalam perkara-perkara agama.

9. Menghalalkan perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah SWT dengan dalil-dalil qat'ie seperti menghalalkan zina, meminum arak, makan riba dan sebagainya.

10. Mengharamkan perkara-perkara yang telah dihalalkan oleh Allah SWT dengan dalil-dalil yang qat'ie seperti jualbeli, berkahwin, sewa-menyewa dan sebagainya.

11. Mengingkari perkara-perkara yang telah diketahui oleh semua orang Islam suatu perkara yang telah ditentukan dan ditetapkan dalam agama seperti mengingkari bilangan waktu sembahyang atau bilangan rakaatnya.

12. Tidak mengakui kewajipan yang telah disabitkan dengan dalil-dalil qat'ie seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadan, zakat, haji dan sebagainya.

(Sumber rujukan: 'Jinayah Murtad dari Sudut Hukum Syara' dan Perundangan Islam' oleh Haji Sa'id Haji Ibrahim, Bekas Mufti Negeri Sabah)
.

Tiada ulasan: