Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


22 Ogos 2009

MALAM LAILATUL QADAR


Keutamaan 'Lailatul Qadar' sangat besar, kerana malam ini menyaksikan turunnya Al-Quran yang Qadim yang membimbing orang-orang yang berpegang dengannya ke jalan kemuliaan dan mengangkatnya ke darjat yang mulia dan terpuji. Berikut adalah ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menerangkan tentang malam tersebut:
.
1. Keutamaan Malam Lailatul Qadar
Cukuplah untuk mengetahui tingginya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahawasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan, Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (QS Al-Qadar: 1~5)
.
Firman Allah SWT: "Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan nan penuh hikmah, sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (yaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS Ad-Dukhan: 3~6)
.
2. Waktunya
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa malam tersebut terjadi pada malam 21, 23, 25, 27, 29 dan akhir malam bulan Ramadhan. (Pendapat-pendapat yang ada dalam masalah ini berbeza-beza. Imam Al-Iraqi telah mengarang satu risalah khusus diberi judul Syarh Shadr Bidzkri Lailatul Qadar, membawakan perkataan para ulama dalam masalah ini).

Imam Syafi’i berkata: “Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi SAW menjawab sesuai yang ditanyakan, ketika ditanyakan kepada beliau, “Apakah kami mencarinya di malam hari?” Beliau menjawab: “Carilah di malam tersebut.” (Sebagaimana dinukilkan oleh al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah 6/388).

Pendapat yang paling kuat, terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada malam terakhir bulan Ramadhan, berdasarkan hadis Aisyah r.a., dia berkata: Rasulullah SAW beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan beliau bersabda: “Carilah malam Lailatur Qadar di (malam ganjil) pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari 4/255 dan Muslim 1169)

Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, janganlah sampai terlepas dari tujuh hari terakhir, kerana riwayat Ibnu Umar r.a.: Rasulullah SAW bersabda: “Carilah di sepuluh hari terakhir. Jika tidak mampu, maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya.” (HR Bukhari 4/221 dan Muslim 1165).

Telah banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa malam Lailatul Qadar itu pada sepuluh hari terakhir, yang lainnya menegaskan di malam ganjil sepuluh hari terakhir. Hadis yang pertama sifatnya umum, sedang hadis kedua adalah khusus, maka riwayat yang khusus lebih diutamakan daripada yang umum, dan telah banyak hadis yang lebih menerangkan bahawa malam Lailatul Qadar itu ada pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan. Maka dengan ini, ianya tidak saling bertentangan, bahkan bersatu tidak terpisah.
.
Kesimpulannya, jika seseorang muslim mencari malam Lailatul Qadar, carilah pada malam ganjil sepuluh hari terakhir, 21, 23, 25, 27 dan 29. Kalau lemah dan tidak mampu mencari pada sepuluh hari terakhir, maka carilah pada malam ganjil tujuh hari terakhir yaitu 25, 27 dan 29. Wallahu a’lam.
.
3. Bagaimana Mencari Malam Lailatul Qadar
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya malam yang diberkahi ini, barangsiapa yang diharamkan untuk mendapatkannya, maka sungguh telah diharamkan seluruh kebaikan (baginya). Dan tidaklah diharamkan kebaikan itu, melainkan (bagi) orang yang diharamkan (untuk mendapatkannya). Oleh kerana itu, dianjurkan bagi muslimin (agar) bersemangat dalam berbuat ketaatan kepada Allah untuk menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalaNya yang besar, jika (telah) berbuat demikian (maka) akan diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari 4/217 dan Muslim 759).

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berdiri (solat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari 4/217 dan Muslim 759)

Disunatkan untuk memperbanyakkan doa pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari Aisyah r.a.: “Aku bertanya: "Ya Rasulullah SAW, apa pendapatmu jika aku tahu bila malam Lailatul Qadar (terjadi), apa yang harus aku ucapkan?” Baginda menjawab: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii. (Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku).” [HR Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850)]

Oleh yang demikian, maka bangunlah (untuk menegakkan solat) pada sepuluh malam hari terakhir, menghidupkannya dengan ibadah, i'tikaf serta menjauhi syahwat. Ajaklah suami / isteri serta ahli keluarga untuk itu dan perbanyakkanlah ibadat.
.
Dari Aisyah r.a.: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh hari (terakhir bulan Ramadhan), beliau mengencangkan kainnya (menjauhi wanita yaitu isteri-isterinya kerana ibadah, menyingsingkan badan untuk mencari Lailatul Qadar), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.” (HR Bukhari 4/233 dan Muslim 1174).
.
Juga dari Aisyah r.a.: “Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadah apabila telah masuk) malam kesepuluh (terakhir), yang tidak pernah beliau lakukan pada malam-malam lainnya.” (HR Muslim 1174).
.
4. Tanda-tandanya
Rasulullah SAW menggambarkan paginya malam Lailatul Qadar agar seorang muslim mengetahuinya. Dari Ubay r.a., ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Pagi hari malam Lailatul Qadar, matahari terbit tanpa sinar menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi.” (HR Muslim 762).
.
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: "Kami menyebutkan malam Lailatul Qadar di sisi Rasulullah SAW, beliau bersabda: “Siapa di antara kalian yang ingat ketika terbit bulan, seperti syiqi jafnah.” (HR Muslim 1170) 'Syiq' ertinya 'setengah', 'jafnah' bererti 'bejana'. Al Qadli ‘Iyadh berkata: “Dalam hadis ini ada isyarat bahawa malam Lailatul Qadar hanya terjadi di akhir bulan, kerana bulan tidak akan seperti demikian ketika terbit kecuali di akhir-akhir bulan.”)
.
Dan dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “(Malam) Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan.” (HR Thayalisi (349), Ibnu Khuzaimah (3/231), Bazzar (1/486), sanadnya hasan).

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: