Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


23 Mac 2009

KEMBALILAH KEPADA ALLAH...


Kita harus sedar bahawa kita manusia adalah setinggi-tinggi makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT di muka bumi ini. Kesedaran ini janganlah sampai membawa kita terlupa bahawa kita juga boleh jatuh menjadi serendah-rendah makhluk jika tersalah mengemudikan bahtera hidup ini. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal soleh. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus."

Manusia menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran dari otak. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran ini untuk merosakkan kemanusiaan itu sendiri sehingga menjadi kebinatangan. Akal yang ada pada manusia telah menjadikan kita makhluk yang mulia, berbudaya dan mempunyai tamaddun yang boleh dibanggakan. Manusia mampu mencipta pelbagai alat moden yang canggih-canggih untuk keperluan mereka. Dengan akal juga, manusia dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Oleh kerana kemampuan akal inilah maka manusia menjadi makhluk yang paling tinggi dibandingkan dengan haiwan, tumbuhan dan makhluk-makhluk lain. Walaupun akal satu unsur mulia yang dianugerahkan kepada manusia, namun ia sering disalahgunakan sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kerosakan seperti pergaduhan, rompakan, fitnah, rasuah dan penipuan sama ada di peringkat atas maupun rakyat biasa.

Sejarah telah melihat kejatuhan sesuatu tamaddun atau bangsa itu adalah kerana manusia sendiri menyalahgunakan kebijaksanaan akalnya untuk melakukan segala bentuk kejahatan dan penindasan sesama mereka. Mereka sanggup melakukan kezaliman dan penindasan semata-mata untuk menjaga kepentingan sendiri dan kumpulannya. Gejala kronism dan nepotism adalah contoh manifestasi penyalahgunaan akal dalam mengurus diri dan masyarakat. Apabila akal yang sepatutnya diletakkan di satu kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepatlah apa yang difirmankan Allah SWT bahawa manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata. Manusia begini adalah ibarat bangkai manusia; jasad berlembaga manusia tetapi mempunyai nafsu seperti binatang. Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal.

Jadi, satu persoalan timbul bagaimana seharusnya kita menjaga akal kita supaya kemanusiaan kita tidak bertukar dari taraf setinggi-tinggi makhluk kepada taraf serendah-rendahnya? Untuk merungkaikan persoalan ini, kita semestinya kembali kepada persoalan siapa yang menjadikan kita dan akal kita. Ringkasnya, manusia mestilah kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Manusia tidak akan sempurna jika sekadar mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang sekular atau mempunyai kepakaran yang tinggi dalam teknologi IT atau seumpamanya tanpa disertai dengan keimanan yang teguh terhadap Allah SWT. Kepercayaan dan keimanan kepada Allah adalah menjadi kesedaran yang tertinggi dan menjadi paksi segala kesedaran dan anutan. Ia akan membangkit atau mendorong manusia melakukan amalan yang baik seperti yang dituntut oleh Allah SWT.

Di samping itu, pada masa yang sama manusia mesti menjauhkan diri dari melakukan sebarang perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah. Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, hendaknya bukanlah setakat ucapan lahir saja. Ia mesti disertakan dengan amalan untuk membuktikan kepercayaan itu adalah benar. Selain mempercayai Allah itu ada (wujud) dan Dia adalah pencipta segala yang ada di alam ini, kita harus sedar bahawa Allah adalah pentadbir alam yang menyusun atau mentadbir segala-galanya. Allah sentiasa dalam keadaan sedar mengawasi diri kita setiap saat sama ada yang zahir maupun yang batin. Dia tidak pernah lalai malahan setiap sifat-sifat kesempurnaan ada pada diriNya. Kita juga harus sedar setiap tindakan kita dalam pemerhatian Allah dan kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak atas apa yang kita buat sama ada yang besar ataupun yang kecil.

Perbicaraan di akhirat adalah maha adil di mana semua anggota badan kita akan menjadi saksi di atas perlakuan kita di dunia ini. Di sana kita dibicarakan sama ada kita menggunakan akal kurniaan Allah itu untuk kebajikan atau sebaliknya. Mereka yang menang akan ke syurga dan yang kalah akan diseret ke neraka. Oleh sebab pentingnya akal, sayugia bagi kita menggunakan akal itu untuk tujuan kebaikan. Sebaliknya jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan lain-lain kemungkaran, ingatlah bahawa Allah SWT tetap memerhatikannya dan akan memberikan hukuman yang setimpal dengan kejahatannya.

Kesimpulannya, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan bahawa akal yang kita miliki itu dapat membawa kepada keredhaan Allah SWT. Hanya dengan keimanan kepada Allah sahaja yang dapat menyelamatkan diri kita daripada ditimpa kemurkaan Allah. InsyaAllah bangsa dan negara kita akan selamat jika pemimpin dan rakyat kembali kepada Allah. Ikutlah landasan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Gunakan otak dan fikiran untuk meraih keredhaan Allah dan bukan kemurkaanNya. Ingatlah pesanan ulama: "Sekiranya timbul perselisihan di muka bumi ini, kembalilah merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah."
.
Islam adalah agama yang lengkap dan tinggi. Tiada satu agama lain yang dapat menandingi kesempurnaan Islam. Mengapa kita berdegil menjauhkan diri daripada kebenaran? Adakah undang-undang lain lebih syumul dari Islam sendiri? Misalnya dalam Islam, tuduhan zina mesti disertai dengan 4 orang saksi yang menyaksikan perlakuan itu. Mengapa kita tidak mengaplikasikannya? Adakah Islam menyuruh kita membawa tilam atau rambut untuk membenarkan tuduhan tersebut? Di manakah akal yang Allah SWT berikan kepada kita? Adakah kita kata masih beriman kepada Allah sedangkan perlakuan kita jauh lari dari kebenaran. Pulanglah ke pangkal jalan jika sudah tersesat di hujung jalan. Allah masih menerima taubat kita selagi nyawa belum sampai ke halkum. Lihat apa berlaku kepada Firaun yang bertaubat apabila nyawanya hampir berpisah dari jasad? Allah tidak menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam neraka yang amat dahsyat seksaannya. Memadailah ini menjadi ingatan kepada kita.

Semoga Allah SWT selamatkan kita di dunia dan akhirat serta terpelihara dari api neraka. Amein...
.

Tiada ulasan: