Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


16 Mac 2009

DINASTI QURAISY (BANI HASYIM) DI ALAM MELAYU (BHG. AKHIR)


Kesimpulan

Pembentukan dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim di Alam Melayu telah menyumbang ke arah menjadikan Agama Islam sebagai salah satu daripada ciri-ciri utama dan terpenting bagi Bangsa Melayu tersebut. Begitu sebati identiti ini sehingga pepatah ‘Melayu itu Islam’ menjadi ungkapan yang lazim. Bukti kukuh akan peranan dan pengaruh dinasti-dinasti Quraisy ini juga boleh didapati dengan memerhatikan bahawa Mazhab Syafiee merupakan aliran feqah Alam Melayu. Ini adalah kerana pengasas Mazhab Syafiee, iaitu Imam Syafiee merupakan seorang ahlul bait Rasulullah SAW sendiri, iaitu seorang Arab Quraisy dari jurai Bani Hasyim. Oleh itu tidaklah menghairankan bahawa aliran Mazhab Imam Syafiee menjadi aliran feqah rasmi semenjak awal kedatangan Islam di dunia sebelah sini.

Dinasti-dinasti Quraisy telah membuktikan keunggulan mereka dalam menangani kuasa-kuasa penjajah. Walaupun tujuh kuasa penjajah seperti Siam, Portugis, Sepanyol, Belanda, Inggeris, Perancis dan Amerika Syarikat secara bersambung-sambung telah menggempur Alam Nusantara, namun dinasti-dinasti Quraisy seperti kesultanan-kesultanan Acheh, Demak, Johor, Terengganu, Kedah, Banten, Brunei, Ternate, Patani, Sulu dan Maguindanao telah mampu membuktikan ketokohan dan wibawa mereka sebagai pejuang dan pahlawan yang menerajui gerakan jihad Islami, gigih mempertahankan Daulah-Daulah Islamiyyah mereka dari dikeronyok oleh bangsa-bangsa penjajah ini . Dalam konteks ini, Prof. Ismail Faruqi menggelar umat Melayu sebagai: “One of the oldest and bloodiest struggle the Muslims have waged against Christian-Colonialist aggression. (Terjemahan : “Salah satu perjuangan (Melayu) Islam yang paling lama dan sengit dalam menentang keganasan penjajahan Kristian.”)

Sehingga hari ini masih banyak lagi kedapatan dinasti-dinasti Quraisy di Alam Melayu yang teguh berdiri seperti kesultanan Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor dan Brunei. Bagi beberapa kesultanan ahlul bait Rasulullah SAW yang telah tumbang akibat siasah penjajah, cucu cicit kepada raja-raja Quraisy dari ahlul bait ‘gelombang pertama’ di rantau ini masih meneruskan penentangan mereka melalui gerakan-gerakan pemisah seperti di Acheh, Patani dan Mindanao. Bandingkan fakta ini dengan raja-raja Islam asal yang lainnya di dunia, yang mana kesultanan-kesultanan mereka yang telah terlupus kini hanya merupakan sejarah kegemilangan daulah kesultanan nenek-moyang mereka yang tinggal sebagai suatu nostalgia manis kenangan silam bangsanya.

Hakikatnya, dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim Alam Nusantara telah mampu menyumbang kepada Bangsa Melayu akan jati dirinya serta pegangan agamanya, dan segala jasa dinasti-dinasti ahlul bait tersebut adalah terlalu besar untuk dinilai.

[Petikan: 'Dinasti-Dinasti Quraisy (Bani Hasyim) Di Alam Melayu' oleh Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman (Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, cawangan Johor)]
.

Tiada ulasan: