Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


22 Februari 2009

IMAM SYAFIE & GURUNYA, IMAM MALIK


Betapa gembiranya Imam Malik kerana mendapat seorang murid yang cerdas dan bijak seperti Imam Syafie. Imam Syafie semenjak kecil bukan saja telah menghafal seluruh isi Al-Quran dan ribuan hadis Nabi SAW, malah beliau juga telah menghafal seluruh isi kitab Hadis Muwatta' karangan Imam Malik bin Anas, sebelumnya Imam Syafie bertemu dengan Imam Malik.

Imam Syafie membahagikan malam kepada tiga bahagian iaitu sepertiga untuk Ilmu Pengetahuan, sepertiga untuk solat dan sepertiga untuk tidur. Rabi' menerangkan bahawa Imam Syafie setiap hari menamatkan al-Quran sekali, tetapi dalam bulan Ramadhan seluruhnya enam puluh kali, dan semuanya dibaca ketika menunaikan ibadah Solat.

Imam Syafie sendiri menerangkan bahawa beliau belum pernah bersumpah seumur hidupnya, baik ketika membenarkan sesuatu ataupun mendustakan sesuatu. Pernah di suatu ketika ada orang bertanyakan sesuatu masalah kepada beliau. Ketika itu Imam Syafie mendiamkan diri sejenak dan tidak langsung menjawabnya. Ketika beliau disoal mengapa berbuat demikian, maka Imam Syafie menjelaskan: "Aku menunggu terlebih dahulu, sehingga aku mengetahui, mana yang lebih baik aku diam ataupun menjawab pertanyaanmu." Ini menunjukkan bahawa Imam Syafi'i adalah orang yang sangat teliti dalam memberikan sesuatu fatwa, kepada seseorang yang bertanyakan sesuatu masalah.

Imam Syafie pernah mengatakan: "Pada suatu hari aku tidak punya wang sesenpun, sedangkan aku ingin benar menuntut ilmu. Lalu aku pergi bekerja di sebuah dewan untuk mendapat sedikit belanja". Ini menunjukkan bahawa Imam Syafie tidak berdiam diri ketika menemui kesulitan dalam kewangan, terutama ketika menuntut ilmu. Beliau bersedia bekerja apa saja yang halal, asalkan cita-citanya tercapai.

Imam Razali pernah menceritakan bahawa Imam Syafie juga adalah seorang tokoh penting dalam kehidupan Sufi. Ia seorang yang sangat bertaqwa, tidak ingin bermegah-megahan dalam hal apapun juga. Berkenaan ilmu Sufi, Imam Syafie berkata: "Saya ingin manusia itu mempelajari ilmu ini, tetapi janganlah menyebut-nyebut namaku, dengan sepatah kata juapun."

Diantara kata-kata yang bernilai sufi dari Imam Syafie ialah: "Orang yang zalim kepada dirinya ialah orang yang merendahkan dirinya kepada orang yang tidak memuliakannya dan orang yang menyukai sesuatu benda yang tidak memberi manfaat kepadanya, begitu juga orang yang menerima sesuatu pujian dari seseorang yang lain yang tidak mengenalnya, dengan sesungguh-sungguhnya. Orang yang tidak diutamakan kerana Taqwanya, tidaklah termasuk Orang Yang Utama. Siasat manusia lebih kejam daripada siasat binatang. Jikalau kuketahui bahawa ia dengan itu dapat mengurangi kehormatanku, meskipun aku haus, aku tidak akan meminumnya. Diantara tanda-tanda benar dalam Ukhuwah ialah menerima kritikan teman, menutupi aib teman, dan mengampuni kesalahannya." Demikianlah kata-kata Hikmah dari Imam Syafie r.a.
.

Tiada ulasan: