PENGENALAN
Sultan Muhammad al-Fateh (Sultan Muhammad II) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dari kelompok pemerintah sama seperti Salahuddin al-Ayyubi. Beliau menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran ‘Al-Fath’, yang bermaksud kemenangan, adalah sempena kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul).
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)
Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki Konstantinopel yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja pejuang-pejuang yang maju ke hadapan untuk memenuhi maksud hadis tersebut. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai usaha ketenteraan telah dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok berlapis Konstantinopel. Konstantinopel yang berada di dalam Empayar Byzantine dianggap sangat penting kerana ianya merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad SAW itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh.
Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub al-Ansari r.a. syahid berhampiran tembok kota Konstantinopel. Beliau melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Beliau berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinopel, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.
ZAMAN KANAK-KANAK
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam perang dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.
Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Ini cukup untuk menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah bermazhab Hanbali itu amat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Tokoh yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinopel tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian.
ZAMAN REMAJA
Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad menjalankan urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.
ZAMAN DEWASA
Sepanjang hidupnya, Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri kempen ketenteraan sebanyak 25 kali. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan bahawa ketika tentera Islam membina ‘Benteng Rumeli Hisari’, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan sehingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.
Sultan Muhammad sangat gemar memakai serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu juga adalah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka untuk syahid pada bila-bila masa selain kecintaan kepada sunnah Rasulullah SAW. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu berserban.
Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga gurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap meminta bapanya ke medan perang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah: “Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.” Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.
MEMBUKA KONSTANTINOPEL
Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinopel, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Beliau belajar daripada sejarah yang menyaksikan kegagalan tentera Islam berulangkali dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.
Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.
Tentera Islam tiba di Konstantinopel dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.
Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinopel ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.
Sultan Muhammad, yang berusia 21 tahun pada ketika itu, dan tenteranya tiba di Konstantinopel pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.
Namun, satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh.
Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Sesudah berlalu 53 hari, Konstantinopel masih tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan nekad dia berkata: “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”
Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate beserta 30 orang pejuang Islam menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu menaikkan lagi semangat tentera Islam. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinopel berjaya ditakluki oleh tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya gugur syahid akibat terkena anak panah musuh yang bertali arus.
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople akhirnya jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya, lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah beliau diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya menakluk Konstantinopel.
Sultan Muhammad kemudiannya menukar nama Konstantinopel kepada ‘Islambol’ yang bermaksud ‘Islam Keseluruhannya’ (Nama Islambol kemudiannya diubah pula kepada ‘Istanbul’ oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk laknatullah). Sultan Muhammad juga menukar Gereja Besar St. Sophies kepada sebuah masjid yang diberi nama ‘Aya Sofia’ (Sekarang telah dijadikan muzium). Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Selepas berjaya menakluki Konstantinopel, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam?
Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya: “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.” Sebahagian daripada tenteranya duduk.
AKHIR HAYAT
Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, Gebze. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan