Fenomena isteri meleteri suami atau dengan kata lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa bagi kebanyakan pasangan dewasa ini. Malah si isteri seolah-olah tiada sedikitpun merasa bersalah melayani suami mereka seperti adik, kawan atau anak lelaki atau sesiapa sahaja lagaknya.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah terdapatnya isteri yang menganggap menjaga hati atau melayani suami dengan bersikap sopan sudah tidak sesuai dalam keadaan masyarakat kita hari ini atau mungkin dianggap sebagai ketinggalan zaman. Ini menunjukkan bahawa tidak sedikit peranan dan pengaruh media massa, terutamanya televisyen, dalam ‘mendidik’ kaum Hawa di zaman ini.
Sebenarnya keadaan ini akan menjadi model yang tidak baik terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak yang akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif dalam kehidupan berkeluarga.
Terdapat banyak nash-nash di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selama mana isteri tidak disuruh melakukan perkara-perkara maksiat. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: “Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya.” (HR Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapa orang yang lebih berhak ke atas seorang perempuan? Baginda bersabda: “Suaminya.” (HR Al-Bazzar dan Al-Hakim)
Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.: “Seorang perempuan telah datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, hamba adalah utusan perempuan-perempuan menghadap Tuan, bagi menanyakan perkara bahawa jihad, berperang di medan peperangan kerana membela pada jalan Allah dan agama telah difardhukan ke atas lelaki, jika mereka menang mereka dapat harta tawanan, dan jika mereka dibunuh mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan makan rezeki di sana, dan kami kaum perempuan menjaga dan membantu mereka, maka apa yang kami dapat daripada perbuatan tersebut?”
Rasulullah SAW bersabda: “Anda sampaikan kepada perempuan-perempuan yang anda jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami itu sama dengan pahala berperang dengan musuh- musuh Islam di medan peperangan, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).
Hadis-hadis di atas menerangkan betapa memelihara dan menghormati hak suami serta ketaatan isteri terhadap suami amat dititikberatkan oleh agama Islam. Hatta jika suami itu berkedudukan rendah berbanding dengan isteri, umpamanya suami sebagai buruh sementara isteri pula guru, doktor dan seumpamanya, namun kedudukan atau martabat suami sebagai pemimpin atau ketua keluarga tetap tidak terjejas sama sekali.
Oleh yang demikian, isteri tidak boleh beranggapan bahawa dengan kedudukannya yang lebih baik membolehkannya bertindak sesuka hati seperti membelakangkan suami atau mengambil alih peranan suami sebagai ketua dalam keluarga. Jika ini berlaku, ia amat bercanggah dengan syariat Islam, sebagaimana firman Allah SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.” (QS An-Nisa’: 34)
Bagi isteri yang tidak mentaati atau enggan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna pasti akan menerima balasan di akhirat kelak sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda diisra’kan ke langit dimana Baginda telah diperlihatkan dengan neraka yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita.
Sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Ali k.w. dalam satu riwayat: “Suatu hari aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati Baginda sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang membuatkan tuan menangis?" Baginda menjawab: “Wahai Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku diseksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat." Saidina Ali k.w. bertanya: “Apa yang anda lihat, wahai Rasulullah?” Rasululah SAW bersabda: “Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya, sedang api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dua kakinya dalam keadaan terikat dan dilumurkan minyak tanah pada seluruh badanya lalu dituangkan air panas pada lehernya……”
Anakandanya Siti Fatimah r.a. berkata: “Khabarkan kepadaku apa yang menyebabkan mereka diseksa?” Baginda bersabda: “Adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke dalam lehernya itu kerana dia sering menyakiti hati suaminya. Sementara perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya adalah disebabkan dia tidak mahu menutup aurat (rambut) daripada lelaki lain. Adapun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya itu adalah disebabkan dia keluar rumah tanpa izin suaminya….”
Sungguh amat dahsyat seksaan yang akan diterima, jika isteri mengabaikan hak-hak suami, tidak menghormatinya, apatah lagi menyakiti hatinya.
Sebenarnya bukan tidak boleh para isteri menegur suami, tetapi ia memerlukan masa yang sesuai dengan dibawa berbincang, ketika keadaan mengizinkan. Bukan dengan membebel sepanjang hari. Tetapi apa yang berlaku hari ini ialah adanya segelintir isteri yang tergamak bercakap kasar dan mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan, sehingga kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa dan bermasam muka.
Lebih dahsyat dan buruk lagi apabila isteri membanding-bandingkan suaminya dengan suami orang lain yang mampu memberikan permintaan isterinya, sekali gus dilabelkan pula sebagai suami mithali. Betapa rendahnya martabat suami. Jadi, suami mana yang tidak tersentuh dengan ungkapan-ungkapan sedemikian ?
Sebenarnya bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami, tetapi janganlah sampai membebankan mereka. Apalah gunanya, jika suami berhutang keliling pinggang hanya untuk memenuhi hasrat isteri. Mintalah mengikut kemampuan suami dan sentiasa bersifat ‘qanaah’ atau merasai cukup dengan apa yang diberikan, kerana bagi isteri yang sedemikian akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi isteri yang tidak pernah menghargai atau bersyukur, Allah SWT tidak akan memandang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya." (HR An-Nasa’i)
Islam juga menyarankan supaya para isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mencuci pakaian, mengasuh dan menjaga anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh ikhlas dan tabah. Mungkin bagi setengah orang, agak sukar untuk dilaksanakan apatah lagi dalam situasi zaman sekarang di mana isteri juga bekerja. Namun percayalah, ia bukan saja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.
Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumahtangga tanpa pembantu rumah. Suatu hari, Fatimah telah meminta suaminya Saidina Ali k.w. supaya menemui Rasulullah SAW dan meminta jasa baik Baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah mereka.
Rasulullah SAW bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi milik Baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.
Permintaan Fatimah itu membimbangkan Baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dilaksanakannya.
Pada sebelah malamnya Baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah kamu berdua (Ali dan Fatimah) suka kepada pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta pada siang hari tadi?”
Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah SAW menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali setiap hari sebelum tidurnya.
Semenjak itu wirid yang diajarkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi amalannya dan suaminya. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.
Apa yang berlaku pada hari ini, hampir sebahagian besar keluarga mempunyai pembantu rumah, yang bertanggungjawab menguruskan semua kerja-kerja rumah, termasuk menyediakan makanan, pakaian dan sebagainya. Tanpa pembantu terasa pincang pentadbiran rumahtangga dan banyak perkara yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan teratur. Kenapa? Sudah pasti jawapannya mudah, tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut terutamanya bagi wanita yang berkerjaya.
Adakah jawapan itu tepat? Kaum wanita harus sedar, selaku isteri, ibu dan juga wanita yang berkerjaya mereka harus pandai dan bijaksana dalam mengatur dan membahagikan tugas dan masa. Jika di amat-amati betapa ruginya selama ini bagi isteri yang membiarkan kerja-kerja rumah ditangani oleh pembantu rumah. Betapa tidaknya, jika kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri dengan hati yang ikhlas, dengan mudah saja mereka mendapat ganjaran atau pahala yang berlipat ganda.
Bagi para suami pula, sifat tolak ansur dan saling bekerjasama amat diharapkan. Isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi apalah salahnya, kiranya para suami bersama-sama membantu kerja-kerja di rumah. Bukankah ini salah satu ciri keluarga harmoni?
Keharmonian rumah tangga akan terbentuk jika suami dan isteri saling faham memahami, bekerjasama, bertolak ansur, berunding dalam menyelesaikan masalah dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu tanamkan ciri-ciri yang membawa keharmonian berumahtangga itu, agar kita akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.
Wallahua’lam.
1 ulasan:
mutiara kata yang akan dijadikan pedoman..
Catat Ulasan