Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


26 Ogos 2010

JUDI MEMUDARATKAN DIRI & MASYARAKAT


Satu fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa tabiat berjudi hidup dan berkembang di kalangan masyarakat kita. Judi dikategorikan sebagai aktiviti mungkar yang telah lama wujud di dunia ini. Malah menurut catatan sejarah, Raja Parsi yang bernama Ardasyir bin Babak merupakan orang yang pertama mencipta permainan dadu.

Dalam masyarakat Melayu pula, kita dihidangkan sejarah Pak Kaduk yang mempertaruhkan kampungnya sebagai taruhan. Akibat tipu daya raja, Pak Kaduk akhirnya kalah dan akibatnya kampungnya tergadai. Cerita ini menunjukkan aktiviti judi telah berakar-umbi sejak zaman-berzaman tanpa mengira status dan keturunan.

Kita sering melihat pada hari-hari yang tertentu, sesetengah jalan raya menjadi sesak sehingga pemandu-pemandu kenderaan menyangka mungkin ada kemalangan berlaku. Namun apa yang sebenarnya berlaku ialah kerana kenderaan-kenderaan yang diletakkan di tepi jalan menghalang lalu lintas kerana pemiliknya berpusu-pusu membeli nombor ekor. Apa yang lebih menyedihkan ialah di kalangan orang yang berpusu-pusu itu terdapat orang-orang Islam yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Tidak kira apa nama yang diberi, apabila ia mempunyai unsur pertaruhan ianya dianggap sebagai judi. Musa bin Uqbah r.a. meriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. berkata: “Judi itu ialah pertaruhan.”

Di dalam Islam, judi dikategorikan sebagai dosa besar, sama seperti meminum arak, bertenung nasib dan menyembah berhala. Ia merupakan amalan syaitan iaitu makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT. Di dalam tafsir Ruhul Maani dalam membicarakan ayat 90 Surah Al-Maidah menyatakan bahawa: “Allah SWT menyebut arak dan judi bersama patung berhala dan tenung nasib untuk menunjukkan arak dan judi sama keji dan sama besar dosanya dengan menyembah patung dan bertenung nasib.”

Di dalam Al-Quran juga, ayat berkaitan judi sering dikaitkan dengan arak yang menunjukkan betapa ianya adalah perbuatan yang amat dimurkai oleh Allah SWT yang membawa pelbagai masalah sosial seperti jenayah, membunuh, penzinaan, peras ugut, rasuah dan sebagainya. Selain dikira sebagai perbuatan yang keji, judi boleh merosakkan akidah, memporak-perandakan syariat dan meruntuhkan akhlak hingga ulama mengatakan bahawa perbuatan mengajak berjudi itu sudah dikira berdosa. Sebagaimana Imam Al-Zahbi mengatakan dalam kitab Al-Kabair: “Kalau hanya mengajak berjudi sudah berdosa, apatah lagi bermain judi. Maka sudah tentu dosanya besar.”

Tabiat berjudi bukan sahaja membawa keburukan dalam urusan dunia, tetapi juga urusan agama. Malah perkataan ‘Tahi Judi’ itu sendiri menggambarkan bahawa ia sesuatu yang amat menjijikkan lagi najis dan dilarang keras bagi umat Islam. Cuba kita renungkan, belum pernah berlaku orang yang memenangi perjudian menjadi kaya raya. Jika pun ia menjadi kaya, ia merupakan kemurkaan dari Allah. Apabila ia dapat mendirikan rumah besar sekalipun, belum tentu ia bahagia atau selesa di dalam kedamaiannya. Jika ia membuka gedung perniagaan, belum tentu perniagaannya akan bertambah maju. Ini adalah kerana punca perolehan hasil adalah dari sumber yang tiada keberkatan lagi haram.

Tabiat berjudi juga boleh merosakkan akidah, apabila mereka terlibat dengan unsur-unsur pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor. Kegiatan memuja kubur, pohon besar, keris hikmah dan tangkal azimat boleh menyebabkan syirik kepada Allah SWT. Terdapat juga peminat nombor ekor yang menemui bomoh nombor untuk mendapatkan nombor bertuah. Bomoh tersebut akan menggunakan sihir dan tipu daya bagi memenuhi hajat pemohon dengan memuja atau melalui amalan menurun. Perbuatan ini jelas merosakkan akidah kerana kita meminta pertolongan kepada pihak lain dan bukan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya: “Apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan membuat tuduhan jahat ke atas perempuan mulia lagi beriman.” (HR Bukhari)

Kerosakan dari sudut syariat pula dapat kita lihat apabila kaki judi mengalami kekalahan. Mereka akan membuat perkara yang dilarang syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi seperti mencuri, peras ugut dan merompak. Institusi keluarga menjadi musnah. Tanggungjawab kepada isteri dan anak akan terabai. Nafkah tidak terjaga kerana segala harta yang ada akan dihabiskan untuk berjudi. Malah ada yang sanggup meminjam kepada along bagi mendapatkan wang segera untuk berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi realiti. Kekalahan dalam perjudian juga menyebabkan seseorang menjadi pendendam hingga membawa kepada pembunuhan.

Selain itu. tabiat berjudi juga menyebabkan seseorang suka berhutang. Apabila hutang tidak dapat dilunaskan, maka ia akan mewujudkan satu lagi tabiat yang buruk iaitu suka berdusta. Peminjam akan memberikan pelbagai alasan apabila pemiutang datang untuk menuntut haknya.

Orang yang berjudi sebenarnya telah melakukan keingkaran kepada Allah SWT dan hidupnya tidak berada dalam ketenangan semasa di dunia lagi. Tabiat berjudi menyebabkan individu berkenaan dihinggapi penyakit keluh kesah. Ini berlaku apabila ia leka berjudi menyebabkan jiwanya khusyuk dan lidahnya kering dari berzikir sedangkan zikir adalah benteng kegelisahan. Apabila berada dalam kegelisahan, seseorang itu akan mudah diperdayakan oleh syaitan laknatullah.

Orang-orang Islam mestilah sedar bahawa berjudi tidak membawa sebarang manfaat, malah boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara batil, yang mana ini amat ditegah oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya: “Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil. Dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan dosa, pada hal kamu mengetahui.” (QS Al-Baqarah: 188)

Maka jangan salahkan anak kita jika mereka tidak cerdik, menjadi kaki rempit, terbabit dengan bohsia atau suka melawan kata kedua ibubapa. Ini adalah kerana sesetengah ibubapa, sama ada secara sedar atau tidak, mungkin telah memberikan nafkah makan minum dan pakaian dari sumber yang haram melalui kegiatan berjudi.

Perlu juga dijelaskan bahawa berjudi tidak dikira sebagai mencari rezeki. Malah harta yang diperolehi dari perjudian tidak boleh dibersihkan dengan menggunakan untuk beramal jariah seperti bersedekah atau menjamu selera sahabat handai. Ia bukan sahaja tidak membawa apa-apa kesan, selain mendapat dosa dan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa, lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah atau menderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan diciptakan bersamanya (orang tersebut) ke dalam neraka Jahannam.” (HR Abu Dawud)

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha menjauhkan umat Islam daripada mendekati aktiviti-aktiviti perjudian, walaupun yang dianggap permainan seperti tikam gula-gula mainan, judi internet dan lain-lain lagi.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, berhentilah.” (QS Al-Maidah: 91)

Wallahua’lam.

Tiada ulasan: