Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


17 Mei 2009

TAKDIR DAN USAHA...


Banyak pertanyaan yang yang timbul dalam masyarakat kita tentang qada' dan qadar (takdir). Kenapa kita harus berusaha sedangkan Allah SWT telah menetapkan takdir pada kita? Inilah yang harus dijawab supaya umat Islam tidak menjadi umat yang statik apabila tidak memahami konsep sebenar takdir.

Takdir dan usaha adalah dua perkara yang berbeza, di mana takdir berhubungan dengan amalan hati sedangkan usaha adalah amalan fizikal, namun tidak salah jika kita mengabungkan keduanya. Sebagai contoh, perbedaan antara amalan hati dan fizikal. Mengimani Allah SWT tidak bererti meninggal ibadah padaNya. Mengimani rasulNya tidak bererti meninggalkan sunnahnya. Mengimani Al-Quran tidak bererti meninggalkan membacanya, memahami, melaksanakan hukum-hukumnya serta berhenti memperjuangkan tegak perintahNya. Demikian pula mengimani takdir tidak boleh diertikan sebagai meninggalkan usaha dan kerja keras.

Itulah sebab mengapa mengimani takdir dimasukkan pada rukun iman yang enam bukan pada rukun Islam. Sungguh bijak ungkapan Imam Al-Jauzi. Kata beliau: "Jika ada orang yang bertanya: "Mengapa kita harus berusaha sedang takdir telah mendahului kita?" Maka katakanlah pada orang itu: "Mengapa kita tidak berusaha sedang yang membuat takdir menyuruh kita berusaha?" Benarlah firman Allah SWT: “Apabila sudah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung." (QS Al-Jumaah:10 )

Dari ayat ini, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa mengingat Allah SWT sebanyak-banyaknya tidak bermakna meninggalkan usaha. Di sinilah perlunya umat Islam memahami Al-Quran secara syamil agar tidak di perkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Napoleon Bonaparte ketika memasuki Mesir sempat mengunakan dalil takdir untuk melemahkan semangat perjuangan lawannya dengan ucapannya yang terkenal: “Kalian memang ditakdirkan untuk dijajah!" Namun masih ada yang mampu membalas ucapan ini: "Jika dijajah adalah takdir, maka melawan penjajahan juga takdir”. Mungkin mereka para pahlawan Islam itu mengambil dari ucapan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.: “Lari dari takdir Allah kepada takdir Allah.

Pemahaman takdir secara tidak sempurna akan mengakibatkan kelambatan umat Islam dalam mengejar ketinggalannya. Maka, selamanyalah umat Islam berada di bawah telapak kaki kaum kuffar. Sirah Rasulullah SAW jelas mengatakan bahawa beliau tidak meninggalkan usaha dengan alasan takdir, sedangkan Baginda adalah manusia yang paling bertawakkal pada Allah SWT. Demikian pula Nabi-Nabi sebelum beliau, tidak satupun hanya duduk menunggu pertolongan dan rezeki dari langit. Benarlah ucapan ulama’: “Bertawakkal adalah jiwa Rasulullah sedangkan kerja keras adalah Sunnahnya.

Wallahua’lam.
.

Tiada ulasan: