"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)
Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hanbal). Puas Imam Ahmad bin Hanbal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil.
Sehingga Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hanbal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari masjid tersebut.
Keadaan ini telah diperhatikan oleh seorang pembuat roti, membuatkan timbul rasa belas kasihan terhadap Imam Ahmad bin Hanbal yang agak lanjut usianya pada ketika itu. Lalu beliau mempelawa Imam Ahmad bin Hanbal untuk bermalam di rumahnya pada malam itu. Kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain.
Apabila tiba di rumah si pembuat roti, Imam Ahmad dilayani dengan baik sekali dan dimuliakan sebagai seorang tetamu.
Apabila si pembuat roti beredar untuk membuat roti, Imam Ahmad bin Hanbal mengekori sambil memerhatikannya. Imam Ahmad bin Hanbal kagum dan terkejut melihat si pembuat roti yang sentiasa beristighfar walaupun sibuk dengan kerja-kerjanya.
Pada pagi keesokannya, Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti tentang keadaannya yang sentiasa beristighfar walaupun sedang sibuk melakukan kerja.
“Alhamdulillah, saya sering beristighfar walau di manapun saya berada dan walau keadaan apa sekalipun yang saya hadapi,” jawab si pembuat roti jujur.
Lalu Imam Ahmad bertanya: “Adakah anda dapati apa-apa kebaikan dari perbuatanmu itu?”
Maka si pembuat roti menjawab: “Tidak ada satu doa pun yang aku pohon kecuali Allah SWT akan memperkenankan doaku itu.” Beliau terdiam seketika lalu menyambung: “Kecuali satu doa...”
“Apakah doa itu?” tanya Imam Ahmad bin Hanbal.
Jawab si pembuat roti: “Doa untuk aku melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”
Berikut adalah tempat-tempat yang banyak dikunjungi syaitan, di antaranya:
1. TEMPAT ISTIREHAT UNTA
Dari Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW: "Solatlah kalian di tempat peristirahatan (kandang) kambing dan janganlah kalian solat di tempat peristirahatan (kandang) unta kerana sesungguhnya unta itu diciptakan dari syaitan." [HR Ahmad (4/85), Ibnu Majah (769) dan Ibnu Hibban (5657) dan selainnya)]
Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sebagaimana yang disebutkan di dalam "Majmu Fatawa" (19/41) ketika menjelaskan tentang penyebab dilarangnya solat di tempat peristirahatan unta. Yang benar bahawa penyebab (dilarangnya solat) di kamar mandi, tempat peristirahatan unta dan yang semisalnya adalah kerana itu adalah tempat-tempat para syaitan.
2. TANDAS & BILIK MANDI
Dari Zaid bin Arqam r.a., bahawa Rasulullah SAW, bersabda: "Sesungguhnya tempat-tempat buang hajat ini dihadiri (oleh para syaitan, pen), maka jika salah seorang dari kalian hendak masuk kamar mandi, ucapkanlah "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari syaitan laki-laki dan syaitan perempuan." [Ahmad (4/373), Ibnu Majah (296), Ibnu Hibban ( 1406), Al Hakim (1/187)]
الْخُبُثِ adalah syaitan laki-laki dan الْخَبَائِثِ adalah syaitan perempuan. Demikian banyak orang yang terkena gangguan jin adalah di tandas-tandas.
3. LEMBAH-LEMBAH
Sesungguhnya jin dan syaitan mengunjungi lembah-lembah dan tidak di pergunungan. Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dalam "Majmu Fatawa" (19/33): "Lembah-lembah adalah tempatnya kaum jin kerana sesungguhnya mereka lebih banyak ditemukan di lembah-lembah daripada di dataran tinggi."
4. TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH / KOTORAN
Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dalam "Majmu Fatawa" (19/41): "(Para syaitan) ditemukan di tempat-tempat bernajis seperti kamar mandi dan tandas, tempat sampah, kotoran serta perkuburan."
5. KAWASAN PERKUBURAN
Telah datang dari hadis Abu Said Al Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW, bersabda: "Permukaan bumi itu semuanya masjid (boleh dijadikan tempat untuk bersolat, pen) kecuali perkuburan dan kamar mandi." [HR Ahmad (3/83), Abu Daud (492), Tirmidzi (317), Ibnu Hibban (1699), Al Hakim (1/251)]
Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sebagaimana yang disebutkan di dalam "Majmu Fatawa" (19/41) ketika berbicara tentang tempat-tempat jin: "Pada perkuburan itu terdapat sarana menuju kesyirikan sebagaimana perkuburan juga menjadi tempat mangkalnya para syaitan (Lihat ucapan beliau sebelumnya). Para syaitan menuntut orang yang hendak menjadi tukang sihir untuk selalu tinggal di perkuburan. Dan di sanalah para syaitan turun mendatanginya dan tukang sihir itu bolak balik ke tempat ini. Para syaitan menuntutnya untuk memakan sebahagian orang-orang mati.”
6. TEMPAT YANG TELAH ROSAK & KOSONG
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam "Al Adab Al Mufrad" (579) dari Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW, berkata kepadaku: "Janganlah kamu tinggal di tempat yang jauh dari pemukiman kerana tinggal di tempat yang jauh dari pemukiman itu seperti tinggal di kuburan."
Hadis ini hasan. Berkata lebih dari satu ulama bahawa Al Kufuur adalah tempat yang jauh dari pemukiman manusia dan hampir tidak ada seorang pun yang lalu di situ. Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebagaimana yang disebutkan dalam "Majmu Fatawa" (19/40-41) ketika berbicara tentang jin: "Oleh kerana itu, (para syaitan) banyak ditemukan di tempat yang telah rosak dan kosong."
7. LAUTAN
Dalam hadis Jabir r.a. berkata: Bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan (dalam riwayat lain di atar air) dan kemudian dia pun mengutus pasukannya.” [HR Muslim (2813)]
Dan juga datang dari hadis Abu Musa r.a. yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan yang lainnya dan hadis ini sahih. Sebahagian ulama menyebutkan bahawa lautan yang dimaksudkan ialah samudera "Al-Haadi" kerana di sanalah tempat berkumpulnya semua benua.
8. CELAH-CELAH BUKIT
Telah datang hadis Ibnu Sarjis r.a. dia berkata: Bersabda Rasulullah SAW: "Janganlah salah seorang diantara kalian kencing di lubang…"
Mereka berkata kepada Qatadah: "Apa yang menyebabkan dibencinya kencing di lubang?" Dia berkata: "Disebutkan bahawa itu adalah tempat tinggalnya jin". Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad (5/82), Abu Daud (29), An-Nasai (34), Al-Hakim (1/186) dan Al-Baihaqi (1/99). Lebih dari satu ulama yang membenarkan bahawa Qatadah mendengar dari Abdullah bin Sarjis r.a. (Lihat kitab "Jami' At Tahshiil.)
Hadis ini disahihkan oleh Al-Walid Al-Allamah Al-Wadi'i dalam "Ash Shahih Al Musnad Mimma Laisa fii Ash Shahihain" (579).
9. TEMPAT-TEMPAT KESYIRIKAN, BID'AH DAN MAKSIAT
Para syaitan mengunjungi setiap tempat yang di dalamnya manusia melakukan kesyirikan, bid'ah dan kemaksiatan. Tidaklah dilakukan kebid'ahan dan penyembahan kepada selain Allah SWT, kecuali syaitan melakukan kejahatan yang cukup besar di dalamnya dan memesongkan para pelakunya.
10. RUMAH-RUMAH YANG DIDALAMNYA MAKSIAT BERLELUASA
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar." [HR Bukhari (3226) dan Muslim (2106) dari hadis Abu Thalhah dan Aisyah Radhiyallahu 'anhuma dan datang pula dari para sahabat yang lain).
Jika malaikat tidak masuk ke dalam rumah, maka syaitanlah yang masuk kerana malaikat adalah tentara-tentara Allah SWT yang diutus untuk menjaga kaum mukminin dan menolak kemudaratan dari mereka. Termasuk kebodohan adalah jika seorang muslim mengusir malaikat dari rumahnya yang menyebabkan masuknya jin dan syaitan ke dalamnya. Maka makmurkanlah rumah itu dengan zikir kepada Allah SWT, ibadah serta membaca Al-Quran.
Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai perkuburan kerana sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah Al-Baqarah." (HR. Muslim (780), Ahmad (2/337), Tirmidzi (2877) dan selainnya).
11. PASAR-PASAR
Telah datang dari Salman r.a., berkata: "Janganlah engkau menjadi orang pertama yang masuk ke pasar jika engkau mampu dan jangan pula menjadi orang paling terakhir yang keluar darinya kerana pasar itu adalah tempat peperangan para syaitan dan di sanalah ditancapkan benderanya." [HR Muslim (2451)]
Ucapan ini memiliki hukum marfu (disandarkan kepada Rasulullah SAW, pen). Yang dimaksud dengan المعركة dalam kata " معركةالشيطان " adalah tempat peperangan para syaitan dan mereka menjadikan pasar sebagai tempat perang tersebut kerana dia mengalahkan majoriti penghuninya disebabkan kerana mereka lalai dari zikrullah dan gemar melakukan kemaksiatan.
Dan ucapannya " وبهاينصبرايته " (dan dengannya dipasang benderanya), untuk menunjukkan perbuatan syaitan untuk melaga-lagakan sesama manusia. Oleh kerana itu, pasar merupakan tempat yang dibenci oleh Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar." [HR Muslim (671)]
Demikianlah syaitan-syaitan berkumpul di tempat-tempat yang di dalamnya banyak berlakunya perbuatan maksiat dan kemungkaran.
12. JALAN-JALAN / LORONG-LORONG
Dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jika telah datang malam, maka cegahlah anak-anak kalian untuk keluar kerana sesungguhnya jin itu berkeliaran dan melakukan penculikan. Matikan lampu di saat tidur kerana sesungguhnya binatang fasik itu kadang-kadang menarik sumbu lampu sehingga membakar penghuni rumah tersebut." [HR Bukhari (3303) dan Muslim (2012)]
Kedua pemuda yang masih belia ini mempunyai kisah hidup yang tidak pernah terfikir atau terlintas di dalam benak siapapun. Pertama adalah Muadz bin Amr bin Jamuh r.a. yang ketika itu baru berusia 14 tahun. Sementara yang kedua adalah Muawwidz bin Afra’ r.a., usianya baru 13 tahun. Namun, dengan penuh bersemangat keduanya bergegas menyertai pasukan kaum muslimin yang akan berangkat menuju ke lembah Badar.
Kedua pemuda belia ini bernasib baik kerana memiliki tubuh badan yang kuat, yang kelihatan lebih dewasa daripada usia sebenar mereka. Maka, Rasulullah SAW menerima keduanya ke dalam skuad pasukan kaum muslimin yang akan berperang melawan kaum musyrikin pada perang Badar. Meskipun usia mereka masih sangat muda belia, tetapi cita-cita mereka jauh lebih hebat dan lebih besar daripada cita-cita kaum lelaki yang lain, terutamanya jika dibandingkan dengan pemuda di zaman sekarang.
Berkenaan kedua pemuda tersebut, Abdurrahman bin Auf r.a. pernah berkata: “Pada perang Badar, saya berada di tengah-tengah barisan para Mujahidin. Ketika saya menoleh, ternyata di sebelah kiri dan kanan saya ada dua orang anak muda belia. Seolah-olah saya tidak mampu menjamin mereka akan selamat dalam keadaan itu.”
Kedua pemuda belia itu adalah Muadz bin Amr bin Jamuh dan Muawwidz bin Afra’ r.a. Abdurrahman bin Auf r.a. sangat hairan melihat kehadiran kedua anak muda belia ini di tengah-tengah peperangan yang sangat berbahaya seperti perang Badar. Abdurrahman merasa khuatir mereka tidak akan mendapat bantuan atau pertolongan dari orang-orang di sekitar mereka berdua, disebabkan usia keduanya yang masih muda.
Lalu Abdurrahman bin Auf ra. melanjutkan kisahnya dengan penuh takjub : “Tiba-tiba salah seorang dari kedua pemuda ini berbisik kepada saya: “Wahai Pakcik, manakah yang bernama Abu Jahal?” Pemuda yang menanyakan hal ini adalah Muadz. Beliau berasal dari kalangan Ansar dan beliau belum pernah melihat Abu Jahal sebelumnya. Pertanyaan mengenai komandan pasukan kaum musyrikin, sang durjana di Kota Makkah dan ‘Firaun umat ini’, menarik perhatian Abdurrahman bin Auf r.a. Lantas ia pun bertanya kepada anak muda belia tadi, “Wahai anak saudaraku, apa yang hendak kamu lakukan terhadapnya?”
Muadz berkata: “Saya mendapat berita bahawa dia adalah orang yang pernah mencaci maki Rasulullah SAW. Demi Allah yang jiwa saya dalam genggaman-Nya, jika saya melihatnya, mata saya tidak akan berkedip memandang matanya hingga salah seorang di antara kami terlebih dahulu tewas (gugur).”
Ya Allah, betapa kokoh dan kuatnya sikap anak muda belia ini! Seorang anak muda belia yang tinggal di Madinah. Ketika ia mendengar bahawa ada orang yang mencaci maki Baginda Rasulullah SAW di kota Makkah yang jaraknya hampir 500 km dari tempat tinggalnya, bara api kemarahan berkobar di dalam hatinya dan semangat ingin membela Baginda Rasulullah SAW membara di dalam jiwanya.
Ia pun berikrar untuk melakukan sesuatu untuk membela keyakinan, harga diri dan tempat-tempat suci agamanya. Dan kesempatan itu datang kala perang berkecamuk, yakni ketika Allah SWT membawa Abu Jahal menuju lembah Badar. Maka dia pun berikrar bahawa dia sendiri yang akan membunuhnya.
Sungguh, pemuda belia ini benar-benar bersumpah bahawa jika ia melihat Abu Jahal, maka ia tidak akan membiarkannya begitu saja hingga salah seorang dari mereka meninggal dunia. Ia tidak merasa cukup hanya dengan tercapainya cita-cita ikut serta dalam Perang Badar dan melakukan tugas mulia yang dibebankan kepadanya. Tidak merasa cukup hanya dengan memenuhi mimpinya dengan membunuh seseorang dari pasukan kaum musyrikin saja. Akan tetapi, yang menjadi cita-cita utamanya, impian masa depannya, target dan tujuan hidupnya; ialah untuk membunuh Abu Jahal laknatullah, walaupun berdepan kematian.
Tentunya hal ini bukan satu sikap yang biasa. Ini adalah satu sikap yang benar-benar menakjubkan. Bahkan Abdurrahman bin Auf r.a. sendiri mengatakan: “Saya pun merasa takjub akan hal itu.” Namun rasa takjub dan kehairanan Abdurrahman bin Auf r.a. tidak berhenti di situ. Muadz bukan satu-satunya anak muda belia yang jarang ditemukan di tengah-tengah barisan pasukan kaum muslimin. Ia punya teman sejawat yang soleh dan sebaya dengannya. Anak muda ini juga bersaing dengannya dalam hal yang sama.
Abdurrahman mengatakan: “Seorang pemuda belia yang lain (Muawwidz bin Afra’ ra.) menghentak saya dan mengatakan hal yang serupa.” Lalu Abdurrahman melanjutkan kisahnya: “Tiba-tiba saja saya melihat Abu Jahal berjalan di tengah-tengah kelompok orang ramai. Saya berkata: “Tidakkah kalian melihat orang itu? Ia adalah orang yang baru saja kalian tanyakan kepadaku!”
Melihat Abu Jahal, darah muda kedua pahlawan belia ini pun membara. Tekad bulat mereka semakin mantap untuk merealisasikan tugas yang sangat mulia, yang sentiasa bermain dalam mimpi dan benak pikiran mereka.
Di dalam riwayat Ibnu Ishaq dan di dalam kitab Ath-Thabaqat karya Ibnu Sa’ad, Muadz bin Amr bin Jamuh r.a. mengatakan: “Saya mendengar kaum musyrikin mengatakan, ‘tidak seorang pun dari pasukan kaum muslimin yang dapat menyentuh Al-Hakam (Abu Jahal)’.” Ketika itu, Abu Jahal berada di tengah-tengah kawalan ketat seolah-olah pohon yang rendang. Mereka melindungi dan membelanya kerana beliau adalah simbol kekufuran dan komandan pasukan perang, sehingga sudah pasti jika pasukan terkuat di kota Makkah dikerahkan untuk melindunginya.
Di samping itu, kaum musyrikin juga saling menyeru: “Waspadalah, jangan sampai pemimpin dan komandan kita (Abu Jahal) terbunuh!” Mereka mengatakan, “Tidak seorang pun musuh yang dapat menyentuh Abul-Hakam (Abu Jahal)!”
Meskipun Abu Jahal dilindungi sedemikian rupa, namun hal itu tak menghalangi Muadz untuk merealisasikan cita-cita suci di dalam hidupnya. Muadz berkata: “Ketika saya mendengarkan perkataan itu, saya pun semakin membulatkan tekad. Saya menumpukan perhatian untuk mendekatinya. Ketika tiba waktunya, saya langsung menghampirinya dan memukulkan pedang kepadanya hingga setengah kakinya (betis) terputus.”
Subhanallah! Pemuda belia ini baru berusia empat belas tahun. Beliau mampu memotong betis Abu Jahal hanya dengan satu pukulan saja. Padahal Abu Jahal berada dalam perlindungan dan kawalan yang sangat ketat oleh pasukan kaum musyrikin.
Ia benar-benar telah merealisasikan mimpinya selama ini. Hati sanubarinya terasa damai, dan ia telah berhasil membalas dendam kesumatnya demi Rasulullah SAW. Namun, apakah semua itu dilakukan begitu sahaja tanpa pengorbanan? Tentunya taruhannya harus ditebus dengan darah. Sebab, pohon kejayaan dan kemuliaan tidak akan tumbuh berkembang selain dengan darah-darah para Mujahidin dan Syuhada.
Muadz berkata: “Pada perang itu (Badar), anaknya (Abu Jahal), Ikrimah -pada waktu itu ia masih musyrik – menebas lengan saya dengan pedangnya hingga hampir terputus dan hanya bergantung pada kulitnya sahaja.”
Namun di sebalik semua itu, adakah beliau menyesal? Apakah beliau merasa bahawa tindakannya salah? Apakah dia berharap untuk tidak menyertai peperangan dan terhindar dari luka, penderitaan, dan kecacatan?
Semua itu tidak pernah terlintas dalam benaknya kerana cita-citanya pada saat-saat seperti ini adalah untuk meneruskan perjalanan jihadnya di jalan Allah SWT. Sebab, masih banyak musuh yang memerangi umat Islam dan pejuang-pejuang tulen harus segera membela dan berjuang walaupun hanya dengan satu tangan.
Muadz melanjutkan kisahnya: “Pada hari itu, saya benar-benar berperang seharian penuh. Tangan saya yang hampir putus itu hanya bergelantungan di belakang. Dan ketika ia menyulitkan saya, saya pun menginjaknya dengan kaki, lalu saya menariknya hingga tangan saya terputus.”
Subhanallah! Tapi di mana Muawwidz bin Afra’ ra.?
Tentang Muawwidz, Muadz berkata: “Lalu Muawwidz bin Afra’ r.a. melintas di hadapan Abu Jahal yang sedang terluka parah, kemudian ia pun menebasnya dengan pedang. Kemudian membiarkannya dalam keadaan tercungap-cungap dengan nafas terakhirnya.”
Maksudnya, Muawwidz bin Afra’ r.a. juga berhasil merealisasikan tujuan dan cita-citanya. Ia menebas Abu Jahal dengan pedang tatkala dia sedang dikerumuni oleh para pengawal dan pelindungnya. Namun, Muawwidz berhasil juga memukul Abu Jahal hingga membuatnya rebah ke tanah seperti orang yang tak berdaya, tetapi masih mempunyai sisa-sisa nafas terakhir. Seperti yang kita sudah sedia maklum, Abdullah bin Mas’ud r.a. kemudiannya datang untuk menamatkan nyawa Abu Jahal.
Selepas itu, kedua-dua pemuda tersebut menemui Rasulullah SAW. Masing-masing mengatakan: “Saya telah membunuh Abu Jahal, ya Rasulullah!”
Maka Rasulullah SAW bertanya kepada mereka berdua –sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim: “Apakah kalian telah menghapus (darah yang menempel pada) pedang kalian?“ Mereka berdua menjawab: “Belum.” Maka Baginda SAW melihat pedang kedua pahlawan tersebut. Lantas Baginda bersabda: “Kalian berdua telah membunuhnya.” Rasulullah SAW menyimpulkan bahawa kedua pemuda tersebut memperoleh nilai yang sama.
Kita telah menyaksikan bagaimana Muadz rela kehilangan tangannya sebagai harga perjuangan, kejujuran, dan kebulatan tekadnya. Lantas apa yang telah dipersembahkan oleh Muawwidz?
Muawwidz telah mempersembahkan seluruh jiwanya sehingga beliau akhirnya syahid di jalan Allah!
Pada suatu ketika, Allah menitahkan malaikat Jibril ke bumi mengambil sebahagian tanahnya mencipta Adam.
Tetapi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi bimbang Adam berbuat maksiat kepada Allah.
Lalu Jibril kembali menemui Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Kemudian, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi tetap sama dan Allah menitah pula malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan tangan penuh hampa.
Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail ke bumi. Kata Allah: "Hai Izrail, engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan kamu melakukan atas perintah dan atas nama-Ku."
Apabila Izrail ke bumi dan menyampaikan perintah Allah, bumi akhirnya akur tanahnya diambil.
Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kelak Ku-tugaskan engkau mencabut roh manusia."
Maka Izrail bimbang dibenci manusia. Lalu Allah berfirman: "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku Yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit."
Tanah bagaimana dijadikan Adam? 1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah (Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah syurga
12. Tanah Tha'if
Kata Ibnu Abbas : 1. Kepala Adam dari tanah Baitul Muqaddis, kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon. Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu dan kemahuan.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.
Bagaimanakah prosesnya : 1. Ketika Allah menjadikan Adam, tanah itu bercampur air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan pelbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan di dalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari sifat nur sifat Allah, dan dirasmi dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.
5. Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.
Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail.
Menurut riwayat ketika Adam masih di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini. Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulitnya hitam, warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.
Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang: Tujuh buah liang di kepala dan dua liang di bawah badan letaknya. Tujuh buah letaknya di kepala: dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut. Yang dua macam di bawah: sebuah liang kemaluan dan liang dubur.
Dijadikan pula lima pancaindera: 1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat perasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.
Selepas roh masuk tubuh Adam perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.
Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini mencabut nyawa manusia.
Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri dan ke kanan.
Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih adalah tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka.
Ketika itulah Allah mengajarnya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam yang pertama kepada Allah.
Lalu Allah berkata: "Yarkhamukallah" yang ertinya: "semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan "Yarkhamukallah".
Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras.
Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa".
Maka, ketika roh itu sampai di perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar.
Kemudian terus roh itu meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.
Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah adalah jenis makhluk manusia yang pertama.
Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan. Adam diarak malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hinggalah ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.
Satu fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa tabiat berjudi hidup dan berkembang di kalangan masyarakat kita. Judi dikategorikan sebagai aktiviti mungkar yang telah lama wujud di dunia ini. Malah menurut catatan sejarah, Raja Parsi yang bernama Ardasyir bin Babak merupakan orang yang pertama mencipta permainan dadu.
Dalam masyarakat Melayu pula, kita dihidangkan sejarah Pak Kaduk yang mempertaruhkan kampungnya sebagai taruhan. Akibat tipu daya raja, Pak Kaduk akhirnya kalah dan akibatnya kampungnya tergadai. Cerita ini menunjukkan aktiviti judi telah berakar-umbi sejak zaman-berzaman tanpa mengira status dan keturunan.
Kita sering melihat pada hari-hari yang tertentu, sesetengah jalan raya menjadi sesak sehingga pemandu-pemandu kenderaan menyangka mungkin ada kemalangan berlaku. Namun apa yang sebenarnya berlaku ialah kerana kenderaan-kenderaan yang diletakkan di tepi jalan menghalang lalu lintas kerana pemiliknya berpusu-pusu membeli nombor ekor. Apa yang lebih menyedihkan ialah di kalangan orang yang berpusu-pusu itu terdapat orang-orang Islam yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Tidak kira apa nama yang diberi, apabila ia mempunyai unsur pertaruhan ianya dianggap sebagai judi. Musa bin Uqbah r.a. meriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. berkata: “Judi itu ialah pertaruhan.”
Di dalam Islam, judi dikategorikan sebagai dosa besar, sama seperti meminum arak, bertenung nasib dan menyembah berhala. Ia merupakan amalan syaitan iaitu makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT. Di dalam tafsir Ruhul Maani dalam membicarakan ayat 90 Surah Al-Maidah menyatakan bahawa: “Allah SWT menyebut arak dan judi bersama patung berhala dan tenung nasib untuk menunjukkan arak dan judi sama keji dan sama besar dosanya dengan menyembah patung dan bertenung nasib.”
Di dalam Al-Quran juga, ayat berkaitan judi sering dikaitkan dengan arak yang menunjukkan betapa ianya adalah perbuatan yang amat dimurkai oleh Allah SWT yang membawa pelbagai masalah sosial seperti jenayah, membunuh, penzinaan, peras ugut, rasuah dan sebagainya.Selain dikira sebagai perbuatan yang keji, judi boleh merosakkan akidah, memporak-perandakan syariat dan meruntuhkan akhlak hingga ulama mengatakan bahawa perbuatan mengajak berjudi itu sudah dikira berdosa. Sebagaimana Imam Al-Zahbi mengatakan dalam kitab Al-Kabair: “Kalau hanya mengajak berjudi sudah berdosa, apatah lagi bermain judi. Maka sudah tentu dosanya besar.”
Tabiat berjudi bukan sahaja membawa keburukan dalam urusan dunia, tetapi juga urusan agama. Malah perkataan ‘Tahi Judi’ itu sendiri menggambarkan bahawa ia sesuatu yang amat menjijikkan lagi najis dan dilarang keras bagi umat Islam.Cuba kita renungkan, belum pernah berlaku orang yang memenangi perjudian menjadi kaya raya. Jika pun ia menjadi kaya, ia merupakan kemurkaan dari Allah. Apabila ia dapat mendirikan rumah besar sekalipun, belum tentu ia bahagia atau selesa di dalam kedamaiannya. Jika ia membuka gedung perniagaan, belum tentu perniagaannya akan bertambah maju. Ini adalah kerana punca perolehan hasil adalah dari sumber yang tiada keberkatan lagi haram.
Tabiat berjudi juga boleh merosakkan akidah, apabila mereka terlibat dengan unsur-unsur pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor. Kegiatan memuja kubur, pohon besar, keris hikmah dan tangkal azimat boleh menyebabkan syirik kepada Allah SWT. Terdapat juga peminat nombor ekor yang menemui bomoh nombor untuk mendapatkan nombor bertuah. Bomoh tersebut akan menggunakan sihir dan tipu daya bagi memenuhi hajat pemohon dengan memuja atau melalui amalan menurun.Perbuatan ini jelas merosakkan akidah kerana kita meminta pertolongan kepada pihak lain dan bukan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya: “Apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan membuat tuduhan jahat ke atas perempuan mulia lagi beriman.” (HR Bukhari)
Kerosakan dari sudut syariat pula dapat kita lihat apabila kaki judi mengalami kekalahan. Mereka akan membuat perkara yang dilarang syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi seperti mencuri, peras ugut dan merompak. Institusi keluarga menjadi musnah. Tanggungjawab kepada isteri dan anak akan terabai. Nafkah tidak terjaga kerana segala harta yang ada akan dihabiskan untuk berjudi. Malah ada yang sanggup meminjam kepada along bagi mendapatkan wang segera untuk berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi realiti. Kekalahan dalam perjudian juga menyebabkan seseorang menjadi pendendam hingga membawa kepada pembunuhan.
Selain itu. tabiat berjudi juga menyebabkan seseorang suka berhutang. Apabila hutang tidak dapat dilunaskan, maka ia akan mewujudkan satu lagi tabiat yang buruk iaitu suka berdusta. Peminjam akan memberikan pelbagai alasan apabila pemiutang datang untuk menuntut haknya.
Orang yang berjudi sebenarnya telah melakukan keingkaran kepada Allah SWT dan hidupnya tidak berada dalam ketenangan semasa di dunia lagi. Tabiat berjudi menyebabkan individu berkenaan dihinggapi penyakit keluh kesah. Ini berlaku apabila ia leka berjudi menyebabkan jiwanya khusyuk dan lidahnya kering dari berzikir sedangkan zikir adalah benteng kegelisahan. Apabila berada dalam kegelisahan, seseorang itu akan mudah diperdayakan oleh syaitan laknatullah.
Orang-orang Islam mestilah sedar bahawa berjudi tidak membawa sebarang manfaat, malah boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara batil, yang mana ini amat ditegah oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya: “Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil. Dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan dosa, pada hal kamu mengetahui.” (QS Al-Baqarah: 188)
Maka jangan salahkan anak kita jika mereka tidak cerdik, menjadi kaki rempit, terbabit dengan bohsia atau suka melawan kata kedua ibubapa. Ini adalah kerana sesetengah ibubapa, sama ada secara sedar atau tidak, mungkin telah memberikan nafkah makan minum dan pakaian dari sumber yang haram melalui kegiatan berjudi.
Perlu juga dijelaskan bahawa berjudi tidak dikira sebagai mencari rezeki. Malah harta yang diperolehi dari perjudian tidak boleh dibersihkan dengan menggunakan untuk beramal jariah seperti bersedekah atau menjamu selera sahabat handai. Ia bukan sahaja tidak membawa apa-apa kesan, selain mendapat dosa dan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa, lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah atau menderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan diciptakan bersamanya (orang tersebut) ke dalam neraka Jahannam.” (HR Abu Dawud)
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha menjauhkan umat Islam daripada mendekati aktiviti-aktiviti perjudian, walaupun yang dianggap permainan seperti tikam gula-gula mainan, judi internet dan lain-lain lagi.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, berhentilah.” (QS Al-Maidah: 91)
Sultan Muhammad al-Fateh (Sultan Muhammad II) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dari kelompok pemerintah sama seperti Salahuddin al-Ayyubi. Beliau menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran ‘Al-Fath’, yang bermaksud kemenangan, adalah sempena kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul).
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)
Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki Konstantinopel yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja pejuang-pejuang yang maju ke hadapan untuk memenuhi maksud hadis tersebut. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai usaha ketenteraan telah dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok berlapis Konstantinopel. Konstantinopel yang berada di dalam Empayar Byzantine dianggap sangat penting kerana ianya merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad SAW itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh.
Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub al-Ansari r.a. syahid berhampiran tembok kota Konstantinopel. Beliau melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Beliau berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinopel, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.
ZAMAN KANAK-KANAK
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam perang dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.
Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Ini cukup untuk menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah bermazhab Hanbali itu amat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Tokoh yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinopel tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian.
ZAMAN REMAJA
Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad menjalankan urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.
ZAMAN DEWASA
Sepanjang hidupnya, Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri kempen ketenteraan sebanyak 25 kali. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan bahawa ketika tentera Islam membina ‘Benteng Rumeli Hisari’, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan sehingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.
Sultan Muhammad sangat gemar memakai serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu juga adalah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka untuk syahid pada bila-bila masa selain kecintaan kepada sunnah Rasulullah SAW. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu berserban. Beliau seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Beliau sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga gurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap meminta bapanya ke medan perang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah: “Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.” Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.
MEMBUKA KONSTANTINOPEL
Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinopel, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Beliau belajar daripada sejarah yang menyaksikan kegagalan tentera Islam berulangkali dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.
Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.
Tentera Islam tiba di Konstantinopel dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.
Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinopel ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.
Sultan Muhammad, yang berusia 21 tahun pada ketika itu, dan tenteranya tiba di Konstantinopel pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.
Namun, satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh.
Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Sesudah berlalu 53 hari, Konstantinopel masih tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan nekad dia berkata: “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”
Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate beserta 30 orang pejuang Islam menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu menaikkan lagi semangat tentera Islam. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinopel berjaya ditakluki oleh tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya gugur syahid akibat terkena anak panah musuh yang bertali arus.
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople akhirnya jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya, lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah beliau diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya menakluk Konstantinopel.
Sultan Muhammad kemudiannya menukar nama Konstantinopel kepada ‘Islambol’ yang bermaksud ‘Islam Keseluruhannya’ (Nama Islambol kemudiannya diubah pula kepada ‘Istanbul’ oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk laknatullah). Sultan Muhammad juga menukar Gereja Besar St. Sophies kepada sebuah masjid yang diberi nama ‘Aya Sofia’ (Sekarang telah dijadikan muzium). Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Selepas berjaya menakluki Konstantinopel, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam?
Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya: “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu setelah baligh, sila duduk.” Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fardhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.” Sebahagian daripada tenteranya duduk. “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.” Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak akil baligh!
AKHIR HAYAT
Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, Gebze. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini.
Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam Agamaku, Al-Quran Imamku, Kaabah Kiblatku, Solat Kewajipanku, Sekelian Muslimin Saudaraku dan Ibrahim Al-Khalil Datukku. Aku hidup dan mati atas kalimah 'LAA ILAHA ILLALLAH'