Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


20 Jun 2010

AHLUL BAIT & PERISTIWA MUBAHALAH


Mubahalah dilakukan ketika terjadi perbezaan dan perbalahan di antara dua orang atau lebih; masing-masing menolak dalil dan hujah yang dikemukakan oleh pihak lain. Untuk memperoleh kejelasan dalam perbalahan itu, maka kedua-dua pihak berdoa (bermubahalah) kepada Allah SWT agar pihak yang batil (salah) di antara keduanya menarik diri sehingga kebenaran dizahirkan.

Pada waktu itu, Rasulullah SAW telah menyebutkan di hadapan kaum Nasrani Najran bahawa Nabi Isa AS adalah makhluk dan hamba Allah SWT dan sesungguhnya Nabi Isa AS telah menyampaikan berita gembira tentang kenabian Baginda SAW. Lalu Baginda SAW meminta agar mereka memanggil sekelompok kaum Nasrani Najran ke Madinah supaya Baginda SAW dapat berdialog dengan mereka.

Kemudian mereka datang dan menetap di Madinah selama beberapa hari. Meskipun demikian, mereka tidak sepakat atas ucapan Baginda SAW. Kata mereka: "Bagaimana mungkin Isa itu seperti manusia lain, sedangkan dia tidak mempunyai ayah? Oleh kerana itu, dia adalah anak Allah, bahkan menyatu di dalamNya." Rasulullah SAW menjawab dakwaan palsu mereka dengan firman Allah SWT:

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)." (QS Ali Imran: 59)

Penciptaan Nabi Isa AS tanpa ayah tidaklah lebih sukar untuk difahami berbanding Nabi Adam AS yang telah melalui proses penciptaan tanpa ayah dan ibu. Bahkan penciptaan Nabi Adam AS lebih membangkitkan rasa takjub. Andaikata keadaan itu dilihat sebagai dalil untuk meletakkan Nabi Isa AS pada kedudukan 'Ilahiyyah' (Ketuhanan), maka adalah lebih utama untuk memberikan kedudukan tersebut kepada Nabi Adam AS. Apabila kaum Nasrani Najran tidak meyakini kewujudan kedudukan tersebut pada Nabi Adam AS, bapa umat manusia, maka sewajarnyalah mereka tidak mengatakan dakwaan seumpama itu terhadap Nabi Isa AS.

Kaum Nasrani Najran tidak menerima dalil Ilahi tersebut bahkan semakin keras menunjukkan penentangan mereka terhadap Rasulullah SAW. Baginda SAW kemudian mengajak mereka berdasarkan perintah Allah SWT untuk melakukan 'Mubahalah'. Allah SWT berfirman :

"Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta." (QS Ali Imran: 61)

Hikmah Peristiwa Mubahalah
Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah SAW turut membawa bersamanya Saidina Ali k.w., Saidatina Fatimah Az-Zahra, Saidina Hasan dan Saidina Hussein. Antara beberapa hikmah besar dan penting melalui kehadiran mereka dalam peristiwa Mubahalah tersebut ialah:

1-Penetapan dan pernyataan pasti tentang kebenaran dakwah dan kenabian Rasulullah SAW. Baginda SAW sanggup membawa bersama dua orang belahan jiwanya iaitu Al-Hasan dan Al-Hussein, satu-satunya puteri kesayangan baginda iaitu Fatimah az-Zahra dan Saidina Ali k.w. Rasulullah SAW datang dengan Ahlul Bait Baginda untuk melakukan Mubahalah supaya Allah SWT mencabut benih kedustaan dan kebatilan sehingga ke akar umbinya, seolah-olah Baginda SAW ingin mengisytiharkan: "Sesungguhnya aku berada di atas keyakinan yang mutlak bahawa kebenaran sentiasa bersamaku sementara yang lain sentiasa berada di atas kebatilan. Keyakinan ini kumiliki hingga ke tahap aku berani membawa bersamaku orang-orang yang amat kucintai untuk melakukan Mubahalah."

2-Pengisytiharan tentang tingginya kedudukan dan maqam orang-orang yang bersama dengan Baginda SAW. Mereka adalah orang-orang yang memiliki kedudukan sebagai anak-anak, isteri-isteri dan diri Baginda sendiri. Sesungguhnya perkataan "abnaa-anaa" (anak-anak kami) telah menunjukkan dengan jelas bahawa sesungguhnya al-Hasan dan al-Hussein adalah merupakan putera Baginda SAW. Perkataan "anfusanaa" (diri-diri kami) pula menunjukkan diri Rasulullah SAW dan Saidina Ali, manakala perkataan "nisaa-ana" (wanita-wanita kami) menunjukkan kepada umat Islam bahawa sesungguhnya Fatimah Az-Zahra adalah orang yang memiliki keutamaan di atas seluruh para wanita.

3-Supaya manusia mengetahui bahawa penyertaan mereka bersama Rasulullah SAW merupakan pembuktian status mereka sebagai Ahlul Bait Baginda serta penegakan kebenaran (al-haq) dan pembatalan atas kebatilan (al-batil).

Cara Mereka Bermubahalah
Sebelum kaum Nasrani Najran mencadangkan untuk melakukan Mubahalah, Rasulullah SAW datang di waktu pagi pada 24 Zulhijjah, 10 Hijriyyah. Baginda SAW mengendong al-Hussein di dadanya dan menuntun al-Hasan dengan tangannya sementara Fatimah dan Ali berjalan di belakangnya. Rasulullah SAW berkata kepada mereka: "Ketika kalian mendengar aku melaknat, maka katakanlah: 'Amin' ".

Ketika melihat Rasulullah SAW dan orang-orang yang bersamanya berada dalam keadaan seperti itu, pemimpin Najran berkata: "Ketahuilah, wahai kaum Nasrani, sesungguhnya wajah-wajah yang ku lihat, seandainya mereka bersumpah atas nama Allah agar melenyapkan gunung, nescaya Allah akan melenyapkannya. Oleh kerana itu, berhati-hatilah kalian dengan 'Mubahalah' melawan mereka. Sesungguhnya kalian pasti akan binasa dan takkan ada lagi kaum Nasrani yang akan tersisa setelah itu di atas muka bumi ini."

Lantas mereka berkata kepada Rasulullah SAW: "Kami rasa, kami tidak perlu bermubahalah dengan anda. Anda tetap dengan agama anda dan kami tetap dengan agama kami." Rasulullah SAW lalu bersabda: "Sekarang kalian telah menarik diri dari bermubahalah. Maka menyerahlah kalian (masuklah Islam) untuk bersama-sama kaum Muslimin dalam keadaan bahagia dan susah." Namun mereka semua tetap menolak.

Baginda SAW bertanya: "Apakah kalian ingin berperang?" Mereka menjawab: "Kami tidak memiliki kekuatan untuk berperang melawan kaum Muslimin. Kami ingin berdamai dengan anda agar anda tidak memerangi kami dan agar anda tidak menakut-nakutkan kami serta agar kami tidak keluar dari agama kami. Kami akan memberikan ribuan helai pakaian baru yang harga setiap helai pakaian tersebut ialah 40,000 dirham." Lalu Baginda SAW bersetuju untuk berdamai dengan mereka di atas syarat tersebut.

Faktor Penting Dalam Ayat Mubahalah
Sesungguhnya umat Islam wajib berusaha untuk mendalami peristiwa 'Mubahalah' supaya mereka dapat mengenal dan mengetahui kedudukan, maqam serta keutamaan Ahlul Bait Rasulullah SAW, khususnya yang berkaitan dengan perintah Ilahi kepada Rasulullah SAW agar Baginda datang bersama-sama dengan mereka (anak-anak, wanita-wanita dan diri Baginda) untuk bermubahalah.

Az-Zamakhsyari, salah seorang ulama Tafsir besar di sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah ketika mentafsirkan ayat al-Mubahalah mengatakan: "Peristiwa Mubahalah merupakan dalil yang kuat dan tidak ada yang lebih kuat darinya atas keutamaan Ahlul Bait." Sementara Fakhru ar-Razi mengatakan: "Sesungguhnya peristiwa Mubahalah merupakan dalil akan keutamaan Ahlul Bait di atas seluruh sahabat Nabi (SAW)."

Wallahua'lam.

12 Jun 2010

PEMAKAIAN SERBAN DALAM ISLAM


Allahumma salli `ala sahibi al-taj’ merupakan satu doa orang-orang di Yaman yang bermaksud: "Ya Tuhan kami, berikan rahmat kepada Pemakai Mahkota!" `Mahkota' yang dimaksudkan adalah serban, dan pemakainya ialah Nabi Muhammad SAW.

Imama atau serban adalah merupakan salah satu sunnah yang paling nyata
– `cara kehidupan' orang Islam semenjak dahulu. Abdullah ibnu Umar berkata: "Rasulullah selalunya melilit serban di keliling kepalanya dan memasukkannya di belakangnya, membiarkan lebihannya turun ke bawah di antara bahu beliau."

Serban sudah dipakai sebelum munculnya Islam dan menandakan maruah seseorang. Satu peribahasa Arab: "Serban merupakan mahkota orang-orang Arab." Ini boleh diertikan bahawa orang-orang Arab keberatan menerima pemerintahan seseorang raja, dan mereka tidak mempunyai mahkota lain selain daripada serban mereka.

Cara orang-orang Islam awal yang memakai serban ialah dengan menggunakan dua helai kain kepala; satu dipanggil `qalansuwa' ataupun topi yang tidak mempunyai tepi dan tidak menentu tebalnya dan yang satu ialah `imama' iaitu kain serban yang dililitkan di qalansuwa tadi. Abu Dawud pernah menyatakan di dalam satu sunnah Rasulullah SAW bahawa: "Perbezaan di antara kita dengan orang-orang yang jahililah ialah kita memakai imama di atas qalansuwa." Dari itu, pemakaian hanya salah satu sahaja daripada keduanya adalah merupakan amalan asing.

Di dalam bab-bab di dalam beberapa buku mengenai dengan serban Rasulullah, ciri-ciri kerasulan dikenali sebagai Syama'il, penulis-penulis pernah menyatakan kepanjangannya adalah di antara tujuh hingga sepuluh ela panjangnya. Walau bagaimanapun, sekiranya, kain serban boleh dililitkan sekali adalah panjang yang memadai, tetapi banyak Sheikh-Sheikh yang termasyhur di zaman silam menggunakan serban yang besar dan berat yang melebihi panjang sepuluh ela.

Kesemua Imam-Imam pengasas ke empat Mazhab Ahl Al-Sunnah wal-Jama'ah memakai serban. Di dalam buku-buku biografi Mazhab Hanafi, As-Suyuti dan Al-Haytami menceritakan bahawa Imam Abu Hanifah mempunyai tujuh serban, satu serban untuk setiap hari bagi seminggu.

Pengikut Mazhab Hanafi, khususnya di Benua India dan orang-orang Islam Asia daripada bangsa China hingga ke bangsa Turki, adalah sangat mematuhi keperluan sembahyang dengan bertutup kepala. Satu daripada buku undang-undang menurut ke empat Mahzab Sunni menyatakan: "Menurut Mazhab Hanafi, ianya adalah sesuatu yang sangat tidak menyenangkan bersembahyang tidak bertutup kepala kerana kemalasan. Tetapi sembahyang tidak bertutup kepala kerana merendah diri dan ingin menyerahkan diri adalah dibolehkan."


Pengasas Mazhab Maliki – yang pada masa ini mempengaruhi kebanyakan kawasan Afrika – Imam Malik ibn Anas, selalu memakai pakaian yang cantik khususnya berwarna putih, dan beliau "melilitkan serban di bawah dagu beliau (dikenali sebagai tahaunnuk), membiarkan lilitan itu menurun panjang di belakangnya dan ia menggunakan wangian kasturi serta wangian yang lain," kata salah seorang penuntutnya.

Imam Malik menekankan bahawa pemakaian serban, adalah khusus bagi mereka yang terpelajar. "Serban sepatutnya tidak ditinggalkan," ia berkata. "Saya memakai serban tanpa sebarang rambut di muka saya. Apabila saya meminta izin ibu saya untuk mengamalkan kehidupan sebagai seorang pelajar beliau berkata: “Pertama sekali, pakailah pakaian seorang yang terpelajar”. Beliau membawa saya dan memakaikan saya dengan pakaian pendek musharmmara, meletakkan satu penutup kepal di atas kepala saya dan melilitkan serban di kelilingnya dan beliau berkata: “Sekarang pergilah dan pelajari Ilmu Sains."

"Saya ternampak lebih 30 orang memakai serban di kalangan guru Rabi'a saya. Beliau selalunya tidak melepaskannya sehingga akhir malam dan selalunya berkata: “Saya percaya ia mempertingkatkan kecerdasan pemikiran! "

Tidak menutup kepala dalam Islam adalah dianggap tanda seseorang yang mempunyai kedudukan rendah dan dinyatakan di dalam beberapa buku di antara “Tindakan-tindakan yang menunjukkan kekurangan (khawarim al- muru'a).” Seorang sarjana bercerita semasa beliau masih muda, bahawa pada satu hari, beliau masuk ke masjid di Madinah tanpa memakai sebarang penutup kepala dan ayahnya memarahi beliau: "Berani kamu masuk ke masjid tanpa sebarang penutup kepala!"

Ianya merupakan persoalan yang berlainan, jika sekiranya perkara yang sama dibuat kerana merendah diri, sepertimana juga satu soalan yang pernah ditanyakan kepada seorang pemerintah berkuasa semasa abad ke-8 di Syria: "Bolehkan jika orang ramai berkumpul di masjid, berzikir, membaca Al-Quran, sujud kepada Allah dan menurunkan serban daripada kepala mereka, menangis, selagi tujuan adalah bukan untuk berbangga atau menunjuk-nujuk tetapi kerana ingin hampir kepada Tuhan?" Ia menjawab: “Ya.”

Sheikh 'Ali Al-Hajjar yang buta huruf telah dikenali sebagai `orang alim tidak bertutup kepala' tetapi seorang lagi bangsa Mesir, Ibn Daqiq al-'Id berkata: "Apa yang dibawa di atas kepala tidak sepatutnya diletakkan di bawah," iaitu, bukan di di atas lantai.

Imam As-Syafie, pengasas Mazhab yang menggunakan namanya dan banyak mempengaruhi sebahagian besar kawasan Timur Tengah dan keseluruhan kawasan Asia Tenggara, “juga sangat cermat di dalam pakaiannya dan menggunakan kain linen yang nipis dan kain kapas Baghdad. Beliau kadang-kadang memakai penutup kepala yang tidak begitu tinggi tetapi ia kerap kali memakai serban", kata salah seorang daripada anak muridnya. "Saya hitung beliau terdapat lebih kurang tiga ratus helai serban yang nampak dilihat."

Seseorang lain pernah berkata: "As-Syafie selalu menggunakan serban besar, seperti ianya seorang Arab dari padang pasir." Beliau dan anak muridnya, Imam Mazhab Hambali, Ahmad ibnu Hanbal, melilitkan serban itu di bawah dagu mereka seperti cara bangsa Touareg di Utara Afrika dan sebagaimana juga yang diamalkan oleh ramai bangsa Sudan sehingga hari ini.

Begitulah agungnya serban sehingga diceritakan bahawa malaikat- malaikat juga memakainya. Daripada satu surah Al-Quran: "… nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing- masing …." (QS Ali Imran:125). Ibnu Abbas, seorang penganalisa Islam awal yang termasyur berkata: "Tandanya adalah mereka memakai serban."


Wallahua’lam.

11 Jun 2010

MUHAMMAD S.A.W. ADALAH NABI PENGANUT HINDU...


Seorang profesor bahasa dari ALLAHABAD UNIVERSITY INDIA dalam salah satu buku terakhirnya berjudul 'KALKY AUTAR' (Petunjuk Yang Maha Agung) yang baru diterbitkan memuatkan sebuah pernyataan yang sangat mengagetkan kalangan intelektual Hindu.

Profesor tersebut secara terbuka dan dengan alasan-alasan ilmiah, mengajak para penganut Hindu untuk segera memeluk agama Islam dan sekaligus mengimani risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana menurutnya, sebenarnya Muhammad Rasulullah SAW adalah orang yang dinanti-nantikan sebagai pembaharu spiritual.


Prof. WAID BARKASH
(penulis buku) yang masih berstatus pendeta besar kaum Brahmana mengatakan bahawa beliau telah menyerahkan hasil kajiannya kepada lapan pendeta besar kaum Hindu dan mereka semuanya menyetujui kesimpulan dan ajakan yang telah dinyatakan di dalam buku. Semua kriteria yang disebutkan dalam buku suci kaum Hindu (Weda) tentang ciri-ciri 'KALKY AUTAR' adalah sama dengan ciri-ciri yang dimiliki oleh Rasulullah SAW.


Dalam ajaran Hindu disebutkan mengenai ciri KALKY AUTAR di antaranya, bahawa beliau akan dilahirkan di jazirah, bapanya bernama SYANUYIHKAT dan ibunya bernama SUMANEB. Dalam bahasa sanskerta kata SYANUYIHKAT adalah paduan dua kata yaitu SYANU ertinya ALLAH sedangkan YAHKAT ertinya anak lelaki atau hamba yang dalam bahasa Arab disebut ABDUN.


Dengan demikian, kata SYANUYIHKAT membawa erti 'ABDULLAH'. Demikian juga kata SUMANEB yang dalam bahasa sanskerta ertinya AMANA atau AMAAN yang terjemahan bahasa Arabnya bermaksud 'AMINAH'. Sementara semua orang tahu bahawa nama ayahanda Rasulullah SAW adalah ABDULLAH dan nama bonda baginda ialah AMINAH.


Dalam kitab Weda juga disebutkan bahawa Tuhan akan mengirim utusan-Nya ke dalam sebuah gua untuk mengajarkan KALKY AUTAR (Petunjuk Yang Maha Agung). Cerita yang disebut dalam kitab Weda ini mengingatkan kita berkaitan kejadian di Gua Hira' ketika Rasulullah SAW didatangi oleh Malaikat Jibril a.s. untuk menyampaikan kepada baginda wahyu tentang Islam.


Bukti lain yang dikemukakan oleh Profesor Barkash adalah bahawa kitab Weda juga menceritakan bahawa Tuhan akan memberikan kepada Kalky Autar seekor kuda yang larinya sangat cepat yang membawa Kalky Autar mengelilingi tujuh lapis langit. Ini merupakan tanda secara langsung tentang kejadian Isra' Mi'raj di mana Rasulullah SAW menaiki Buraq.


Wallahua'lam.


(Sumber: Internet)

07 Jun 2010

MAHDI-MAHDI PALSU DALAM SEJARAH


Dikatakan bahawa orang yang pertama sekali mendakwa dirinya sebagai AI-Mahdi Al-Muntazar ialah Al-Harits bin Suraij pada 128H. Beliau mendakwa dirinya sebagai AI-Mahdi untuk mendapatkan sokongan dalam gerakannya menentang pemerintahan Bani Umaiyah.

Pada tahun 1166H, muncul pula seorang Syiah di Ahsaa’i (Arab Saudi) bernama Syeikh Ahmad Ahsaa’i menyebarkan ajaran-ajaran batiniyah. Syeikh Ahmad Ahasaa’i adalah penganut mazhab Syiah Ithna Asyariah pada asalnya, tetapi ia banyak bertentangan dalam perkara-­perkara yang terdapat di dalam mazhab tersebut. Di antaranya, beliau membantah kepercayaan golongan Syiah tentang Al-Mahdi yang ghaib dan akan muncul di suatu masa kelak. Ia menjelaskan bahawa Al-Mahdi belum lahir dan sedang berada di alam rohani. Pendapatnya itu telah menimbulkan kemarahan di kalaangan golongan Syiah. (Al-Islam Fi Qarnil Isynin m.s 133)

Selepas kematian Syeikh Ahmad Ahasaa’i pada 12 Zulkaedah 1242H, penggantinya bernama Kazim Ar-Rasyti meneruskan lagi ajaran-ajarannya. Kazim Ar-Rasyti lahir pada tahun 1205 Hijrah. Di mana-mana sahaja ia menyampaikan ajaran-ajaran gurunya, ia menyebut tentang kelahiran Al-Mahdi yang semakin hampir. Sungguhpun demikian, sehingga ia meninggal dunia Al-Mahdi yang diperkatakannya itu tidak juga muncul-muncul. Selepas kematian Kazim Ar-Rasyti, tempatnya itu diganti oleh Ali Muhammad Al-Bab. Ali Muhammad Al- Bab mendakwa dirinya sebagai wakil Al-Mahdi. Para pengikutnya digelar sebagai kumpulan Babiyah iaitu salah satu dari cabang agama Bahai. Apabila pengaruhnya semakin meluas, akhirnya Ali Muhammad Al-Bab mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi.

Ali Muhammad Al-Bab seterusnya mecetuskan pemberontakan dan di samping itu menyebarkan beberapa amalan yang ternyata terkeluar dari ajaran Islam. Di antaranya ia mengatakan bahawa syariat yang dibawanya itu memansuhkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Syariat yang dibawanya juga tidak mewajibkan sembahyang dan juga berpuasa, dan kalaupun dilaksanakan, ianya mengikut bentuk yang diajarkan olehnya. Kiblat sembahyang tidak lagi menghadap ke Kaabah, tetapi menghadap ke arah tempat Ali Muhammad Al-Bab berada kerana dianggap dirinya sebagai tempat penjelmaan roh Allah. Selain itu, Ali Muhammad Al-Bab juga mentakwilkan nas-nas Al-Quran mengikut takwil batiniyah dengan memutar-belitkan pengertiannya yang sebenar agar sesuai dengan kehendak hawa nafsunya.

Para ulama di Iran mengecam hebat segala dakwaan Ali Muhammad Al-Bab serta ajaran-ajaran yang dibawanya sehingga mereka menghukumnya sebagai murtad dan halal darahnya untuk dibunuh. Akhirnya pemerintah menjatuhkan hukuman mati ke atasnya pada 28 Syaaban 1266 Hijrah. Setelah kematiannya, terjadilah perpecahan yang hebat di kalangan para pengikut agama Bahai.

Kerajaan Muwahhidin di Afrika Utara juga mempunyai seorang pemimpin yang mendakwa sebagai Al-Mahdi. Beliau ialah Muhammad bin Tumart yang lahir di antara tahun 470~480 Hijrah. Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah menyebut di dalam kitabnya Al-Mananil Munif Fl Sahihi Wad Dha’if bahawa Muhammad bin Tumurt adalah seorang pendusta yang bersikap kejam, berkuasa menggunakan kekerasan dan penipuan, membunuh orang Muslimin dan lebih banyak mengancam agama lebih dari Hajjaj bin Yusuf. Ia memaksa orang-orang Islam memasuki kubur-kubur dan kemudian bersuara dari kubur-­kubur itu mengatakan bahawa Muhammad bin Tumart adalah AI-Mahdi yang maksum. Setelah itu orang-orang tersebut ditimbus hidup-hidup.

Ibnu Subki telah menulis riwayat hidup Muhammad bin Tumart di dalam kitabnya Tabaqatus Syafieyah jilid 4 (m.s 71-74). Beliau menerangkan bahawa Muhammad bin Tumart pada asalnya adalah seorang yang soleh, zahid, amat bersungguh­-sungguh melakukan amar maaruf dan nahi mungkar, banyak beribadah, bersifat berani, berjiwa besar dan tabah, petah berbicara, tahan menderita, alim dalam ilmu feqah menurut mazhab Syafie dan tidak suka melihat perbuatan yang mungkar. Tetapi sikapnya itu tidak disukai oleh kebanyakan orang di tempatnya. Ia selalu diusir dari tempat kediamannya dan kalau ia khuatir akan dibunuh, ia akan berpura-pura seperti orang gila.

Setelah kembali ke tanah airnya di Maghribi, ia giat menjalankan usaha-usaha dakwah sehingga mendapat tentangan dari pihak pemerintah. Namun demikian ia tetap meneruskan usahanya itu bersama para pengikutnya yang lain. Dalam masalah keimanan, Muhammad bin Tumart mengembangkan aqidah AhIi Sunnah Wal Jamaah mazhab Imam Abul Hassan Al-Asyaari. Para pengikutnya mendapat gelaran Muwahhidin iaitu kaum yang mengesakan Tuhan. Muhammad bin Tumart memerintahkan para pengikutnya mengembangkan ajaran Islam dan menyebut tentang kedatangan Al-Mahdi. Apabila pengaruhnya bertambah luas, pada 515H ia mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi.

Di samping itu seorang mulhid bernama Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah juga mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Datuknya beragama Yahudi dan Ia sendiri berasal dari sebuah keluarga beragama Majusi. Dalam banyak hal, Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah banyak melakukan pendustaan kepada umat Islam. Umpamanya ia mengaku dirinya bernasab kepada Ahlul Bait Rasulullah SAW dan seterusnya mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Selepas kematiannya, perjuangannya itu disambung oleh keturunannya sehingga mereka berjaya menakluki Maghribi, Mesir, Hijaz dan Syam.

Keturunan Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah telah menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam dan mereka mengaku mempunyai kuasa ketuhanan. Mereka mendakwa bahawa syariat Islam di samping mempunyai pengertian yang zahir, juga mempunyai pengertian yang batin. Tetapi pengertian batin yang mereka kemukakan bertentangan sama sekali dengan nas Al-Quran. Akhirnya golongan ini terhapus dengan kemunculan Salehuddin Al-Ayubi yang menumpaskan sama sekali golongan ini.

Di zaman pemerintahan Sultan Fairuz Syah Tughluq di India (752-798H), seorang lelaki bernama Ruknuddin telah mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi yang zahir di akhir zaman. Dia mendakwa mengetahui nama semua benda yang tidak pernah diberitahukan oleh Allah SWT kepada sebarang Nabi atau Rasul. Akhirnya Ruknuddin mengaku dirinya sebagai Nabi dan Pesuruh Allah SWT berdasarkan nama sendiri Ruknuddin yang bererti ‘tiang agama’.

Memandangkan keterlanjuran Ruknuddin itu, para ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa Ruknuddin adalah seorang kafir dan halal darahnya. Berdasarkan kepada fatwa tersebut, Sultan Fairuz Syah Tughluq memerintahkan Ruknuddin serta pengikut-pengikutnya ditangkap dan dihukum pancung.

Pada abad ke 10H, muncul pula di India seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Lelaki tersebut ialah Sayid Muhammad Jaunpur dan Ia telah mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi sebanyak tiga kali. Kali yang pertama ialah pada tahun 900H di Makkah dan kali keduanya pada tahun 905H di Ahmadabad, India. Kali yang ketiganya ialah di Barhli, India pada tahun 905H.

Menurut Syeikh Muhammad Al-Barzanji, pengakuan Sayid Muhammad Jaunpur sebagai Al-Mahdi tersiar luas dan banyak penduduk yang menjadi pengikutnya. Selanjutnya beliau menerangkan, bahawa ulama-ulama dan orang-orang yang datang dari India menerangkan kepadanya bahawa para pengikut Sayid Muhammad Jaunpur amat kuat mempertahankan keyakinan mereka. Golongan mereka terkenal dengan nama Mahdawi dan para pengikutnya masih terdapat di India dan Pakistan sehingga ke hari ini. Selain itu golongan mereka juga disebut sebagai Al-Qattaliyah.

Sesiapa yang menyalahkan pendirian mereka akan dibunuh walaupun di hadapan orang ramai. Golongan ini juga mempunyai kepercayaan lain yang dianggap bidaah menurut Islam. Riwayat ini ada tersebut dalam kitab Al-Iza’ah Lima Kana WamaYakunu Baina Yadaihissa’ah karangan Sayid Muhammad Siddiq Hassan.

Ada keterangan yang menyebut bahawa Sayid Muhammad Jaunpur tidak pernah mengaku menyebarkan ajaran agama baru, tetapi apa yang didakwanya ialah dirinya sebagai Al-Mahdi yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk menyemarakkan semula api keimanan yang semakin pudar di kalangan umat Islam. Di samping itu para pengkaji sejarah menyebut Sayid Muhammad Jaunpur sebagai orang yang pertama sekali melancarkan dakwah yang tulen di India tanpa sedikit pun terlibat dalam hal politik.

Pada abad 13 hingga menjelang abad ke 14H, muncul seorang lelaki di India mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Lelaki tersebut ialah Mirza Ghulam Ahmad yang menjadi peng­asas agama Qadiani atau Ahmadiah. Mirza Ghulam Ahmad di samping mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi, juga mendakwa dirinya sebagai khatamul auliya’ (penutup wali-wali) sebagaimana Rasulullah SAW sebagai khatamul anbiya’.

Mirza Ghulam Ahmad dikatakan lahir di Punjab, India pada tahun 1248H dan Ia telah mempelajari agama dari beberapa orang ulama AhIi Sunnah Wal Jamaah dan juga ulama Syiah. Agama Qadiani yang dibawanya itu adalah atas perancangan pihak penjajah lnggeris untuk menyekat kebangkitan umat Islam di India. Di mana di antara ajaran yang terdapat di dalam agama Qadiani ialah memansukhkan persoalan jihad. Ia juga selalu menyebut-­nyebut kebaikan pihak penjajah Inggeris di dalam kitab-kitabnya yang banyak. Di antaranya ia mengatakan. Maka mulailah aku menolong kerajaan Inggeris itu dengan penaku dan tanganku dan adalah Allah SWT sentiasa menolong aku dan aku berjanji kepada Allah dari masa itu, bahawa tiap-tiap kitab besar yang akan ku karang, tentu aku sebut kebaikan dan budi Maharani India yang wajib kaum Muslimin mengucapkan terima kasih." (‘Nurul Haq’ karangan Mirza Ghulam Ahmad m.s 26)

Mirza Ghulam Ahmad mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi pada tahun 1307H. Oleh kerana dia bukan keturunan Rasulullah SAW, Ialu beliau mendakwa bahawa AI-Mahdi itu bukannya dari keturunan Quraisy. Ia menyebut bahawa kemunculan Al-Mahdi itu lebih kurang 14 abad selepas kelahiran Rasulullah SAW kononnya sama seperti munculnya Nabi Isa AS 14 abad selepas kemunculan Nabi Musa AS.

Beliau mati pada tahun 1326 Hijrah, tetapi segala ajaran-ajaran sesat yang dibawanya sehingga ke hari ini masih tersebar secara meluas di seluruh dunia. Hampir seluruh para ulama Islam menghukumkan bahawa para pengikut agama Qadiani adalah kafir dan terkeluar dari agama Islam.

Di Sudan, pemberontakan menentang penjajah lnggeris diketuai oleh seorang ulama bernama Muhammad Ahmad AI-Mahdi. Pemberontakan itu dikenali sebagai pemberontakan Mahdiah mengambil sempena gelaran pemimpinnya yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi pada tahun 1881.

Muhammad Ahmad Al-Mahdi adalah seorang yang soleh dan wara’ dan ia hidup sebagai seorang sufi. Ia sendiri adalah pemimpin tariqat Samaniyah yang terkenal serta mempunyai banyak pengikut yang sanggup berjuang bersama-samanya. Ia menggelarkan para pengikutnya sebagai kaum Ansar. Para pengikutnya memakai jubah yang bertampal-tampal sebagai lambang kemiskinan dan persamaan taraf di kalangan mereka. Gerakan ini dikenali juga sebagai tariqat Mahdiah sehingga kini masih tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut-pengikutnya di Sudan.

Dalam serangannya terhadap penjajah Inggeris, Muhammad Ahmad Al-Mahdi serta pengikut-pengikutnya menyeberang sungai Nil untuk menyerang Khortoum. Mereka menyerang sejam sebelum masuk waktu Subuh. Beberapa jam kemudian pihak Inggeris dapat dikalahkan dan Jeneral Inggeris di Sudan, Jeneral George Gordon dibunuh dengan satu tikaman lembing di atas tangga kediamannya. Empat hari selepas itu, Muhammad Ahmad Al-Mahdi memasuki bandar Khartoum dan menjadi imam Jumaat di masjid di situ.

Setengah pihak berpendapat bahawa dakwaan Muhammad Ahmad Al-Mahdi sebagai Al-Mahdi yang ditunggu-tunggu adalah untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada kalangan rakyat untuk menentang penjajah Inggeris.

Di Afrika Utara pula, pada tahun 800H di zaman pemerintahan Sultan Yusuf bin Yaakob, seorang Ielaki dari kalangan ahli tasawuf dikenali sebagai Tuwaizuri telah mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Ramai penduduk Maghribi menjadi pengikut-pengikutnya dan ini amat rnembimbangkan pihak kerajaan. Apabila gerakan dan pengaruhnya semakin meluas, para pemimpin kaum merasa bimbang mengenai kedudukan mereka lantas merancang pembunuhan ke atasnya. Dengan kematiannya, gerakannya turut lumpuh dan musnah.

Pada tahun 790-an Hijrah, seorang lelaki bernama Al-Abbas telah muncul dan mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi dengan mempunyai ramai pengikut. Ia serta pengikut-pengikutnya telah melancarkan serangan ke atas bandar Fez di Maghribi dan membakar gudang-gudang perniagaan. Tetapi dia kemudiannya telah dibunuh dan gerakannya dapat dipatahkan.

Golongan Qaramithah yang sesat juga mendakwa pemimpin mereka sebagai Al-Mahdi. Qaramithah merupakan satu gerakan kebatinan rahsia beragama Majusi menyamar ke dalam Islam dan termasuk cabang dari Syiah Ismailliyah. Salah seorang di antara pemimpin mereka yang terkemuka ialah Hamdan Qaramith.

Gerakan ini lahir di Kufah pada tahun 278H di zaman pemerintahan khalifah Al-Mu’tamid. Tujuan utama ianya diwujudkan adalah untuk menghancurkan Islam dan ajaran-ajarannya banyak yang ternyata menyeleweng dari ajaran Islam. Ayat­-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW sengaja ditafsir sewenang-wenangnya untuk kepenting­an hawa nafsu mereka sendiri.

Pada tahun 317H, seorang leIaki dari golongan Qaramithah bernama Abu Thahir AI-Janabi telah datang ke Makkah bersama-sama 900 orang pengikutnya kononnya untuk menunai fardhu Haji. Tetapi apabila tiba di Makkah, mereka telah menimbulkan huru-hara, kacau-bilau dan pertumpahan darah. Di sini Abu Thahir Al-Janabi mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi yang disebut oleh Rasulullah SAW. Ia beserta para pengikutnya menceroboh ke Baitul Haram, merobohkan pintu Kaabah, menurunkan Hajar Aswad, melucutkan kain yang menudungi Kaabah dan menguasai kota’ Makkah selama enam hari dengan melakukan berbagai kezaliman. Seramai 30,000 orang jemaah haji dan penduduk Makkah terbunuh dalam peristiwa tersebut.

Selepas itu, Abu Thahir Al-Janabi serta pengikut-pengikutnya meninggalkan kota Makkah dengan membawa Hajar Aswad, pintu Kaabah, kain selubung Kaabah dsb. Dalam perjalanan pulang, mereka telah diserang hendap oleh suku Huzail di kawasan pergunungan. Tetapi Abu Thahir Al-Janabi berjaya melepaskan diri bersama harta rampasan yang lain, Hajar Aswad yang dirampasnya itu diletakkan di Kaabah baru yang dibinanya sendiri untuk kegunaan golongan Qaramithah di Quthaif. Tetapi selepas kematian Abu Thahir Al-Janabi, Hajar Aswad telah dikembalikan semula ke Kaabah yang asal di Makkah.

Golongan Syiah Al-Imamiah mengatakan bahawa Al-Mahdi itu ialah Muhammad bin Hassan AI-Askari keturunan Zainal Abidin anak Saidina Hussein bin Ali. Dikatakan bahawa beliau pada suatu hari masuk ke dalam gua di bawah rumahnya bersama-sama ibunya di Samira’. Menurut keyakinan mereka, Muhammad bin Hassan Al-Askari adalah Al-Mahdi Muntadzar. Sementara itu golongan Syiah Kaisaniyah pula menganggap Muhammad bin Hanafiah sebagai Al-Mahdi.

Hadis-hadis Rasulullah SAW tidak menerangkan secara terperinci siapakah sebenarnya Al-Mahdi. Justeru, ramai yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi yang dinanti-nantikan itu. Dikatakan bahawa Imam Mahdi tidak akan mengakui atau mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi. Dia dipilih oleh Allah SWT, bukan dilantik oleh makhluk. Sesiapa yang mengaku Imam Mahdi tentu sekali bukan Imam Mahdi yang sebenar. Wallahua’lam.