Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


07 Mac 2010

MUKASYAFAH AL-QULUB: 7 PERINGATAN


Imam Al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya, “Mukasyafah Al-Qulub” mengajarkan kita untuk melakukan 7 perkara agar sentiasa takut kepada Allah SWT:

1. Takut kepada lidah
Hendaklah mencegah lidah dari perkataan dusta, memfitnah, menipu dan perkataan yang tidak berguna atau sia-sia. Sebaliknya, lidah sepatutnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, membaca Al-Quran dan menghafal ilmu.

2. Takut kepada kalbu
Hendaklah mengeluarkan dari dalam hati rasa permusuhan dan kedengkian. Ini adalah kerana hasad dengki dapat menghapuskan amal kebajikan, sebagaimana sabda junjungan mulia Rasulullah SAW: “Hasad dengki memakan kebaikan seperti api membakar daun kering.”

3. Takut pada pandangan
Hendaklah menahan pandangan terhadap perkara-perkara yang diharamkan Allah. Sebaliknya, kita hendaklah mengarahkan pandangannya kepada sesuatu seraya mengambil pelajaran hidup (`ibrah) sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang memenuhi kedua matanya dengan pandangan haram, nescaya pada hari kiamat, Allah akan memenuhi kedua matanya dengan api neraka.”

4. Takut pada perut
Hendaklah menghindari dari memasukkan ke dalam perut segala makanan dan minuman yang haram. Sebagaimana hadis yang bermaksud: “Apabila satu suap makanan yang haram jatuh ke dalam perut anak Adam, setiap malaikat di bumi dan langit melaknatnya selama suapan berada di dalam perutnya. Jika ia mati dalam keadaan itu, tempat kembalinya adalah neraka jahanam.”

5. Takut pada tangan
Hendaklah menahan tangan dari digunakan kepada jalan kemungkaran, sebaliknya hendaklah digunakan pada jalan yang diredhai Allah. Hayatilah sabda Rasulullah SAW: “Allah SWT membangunkan sebuah rumah itu 70 ribu buah rumah yang masing-masing memiliki 70 ribu kamar. Tidak ada orang yang dapat memasukinya kecuali orang yang meninggalkan setiap yang haram kerana Allah.”

6. Takut pada kaki
Hendaklah tidak keluar (berjalan) untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Tetapi, sebaliknya berjalan pada ketaatan dan keredhaan Allah SWT serta untuk bergaul dengan para ulama.

7. Ketaatan
Hendaklah melakukan ketaatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT serta takut akan riya' dan kemunafikan. Apabila melakukan demikian, termasuklah ke golongan orang-orang yang disebut oleh Allah dalam firmanNya di dalam surah At-Thur ayat 17 dan surah Az-Zukhruf ayat 35:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan." (QS At-Thur: 17)

"Dan perhiasan-perhiasan. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, dan kehidupan akhirat itu di sisi Tuhanmu adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (QS Az-Zukhruf: 35)

Semoga kita diredhai Allah SWT di dunia dan di akhirat. Amein... ::


Tiada ulasan: