Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


29 Mac 2010

KISAH HABIL & QABIL: PEMBUNUHAN PERTAMA DALAM SEJARAH MANUSIA


Kehidupan suami isteri Nabi Adam AS dan Siti Hawa di bumi mulai tertib dan sempurna tatkala Siti Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.

Siti Hawa melahirkan dua pasang kembar. Pertama, pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama 'Iqlima', kemudian disusuli pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama 'Lubuda'.

Nabi Adam AS dan Siti Hawa, menerima kelahiran putera & puterinya itu dengan senang hati dan gembira, walaupun Siti Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak mereka akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang telah dibebankan ke atas bahunya.

Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang, maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa kanak-kanak dan melangkah ke alam remaja, yang perempuan sesuai dengan qudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita, manakala yang laki-laki mencari nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di bidang penternakan.

Kehidupan keluarga Nabi Adam AS dan Siti Hawa berjalan tertib sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta menyintai, hormat menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang wajar si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya, si isteri terhadap suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang saling bantu-membantu, hormat-menghormati dan bekerjasama.

Keempat putera-puteri Nabi Adam AS akhirnya mencapai usia remaja dan memasuki alam akil baligh dan keinginan terhadap hubungan kelamin semakin hari semakin nyata dan terserlah pada diri mereka.

Demi menjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya, Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada Nabi Adam AS agar kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dijodohkan dengan adik Habil, iaitu Lubuda dan Habil dengan adik Qabil, iaitu Iqlima.

Cara yang telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam AS telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka.

Namun, rancangan yang diputuskan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Qabil dengan alasan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil kerana Lubuda tidak secantik adiknya sendiri, Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut menikahi adiknya, Iqlima dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan kepada Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama ahli keluarga dan sesama suku.

Kerana Qabil tetap berkeras tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima, maka Nabi Adam AS secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa kedua-dua puteranya harus menyerahkan korban kepada Allah SWT dengan syarat bahawa barangsiapa di antara kedua puteranya itu diterima korbannya, maka ia berhak menentukan pilihan jodohnya.

Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang diusulkan oleh ayah mereka. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya, sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil tanamannya yang rosak. Kemudian kedua korban itu diletakkan di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas kedua jenis korban tersebut.

Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Nabi Adam AS yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihatlah api besar yang turun dari langit menyambar kambing korban Habil sedangkan karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tidak terjejas.

Oleh yang demikian, Habil diisytihar sebagai pemenang kerana korbannya telah diterima oleh Allah SWT. Maka, dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dinikahinya.

Dengan telah datangnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak qurban Qabil, maka hancurlah harapan Qabil untuk menikahi Iqlima. Ia tidak puas hati dengan keputusan itu, namun tidak ada jalan untuk menolaknya. Ia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil.

Ketika Nabi Adam AS hendak meninggalkan rumah, beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepada Qabil agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga dipelihara sebaik-baiknya, jangan terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan.

Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menjaga amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil. Namun dalam diam dia mula merancang untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil.

Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya, datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil: "Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini." "Apa salahku? Dengan alasan apakah engkau hendak membunuhku?" tanya Habil.

Qabil berkata: "Kerana korbanmu telah diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk itu."

Habil berkata: "Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan? Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nasfu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat perbuatanmu kelak!"

"Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari ternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah
."

"Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya. Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."

Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengari oleh Qabil, namun tidak dipedulikannya dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dihasut oleh iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh ke belakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengki di dalam dadanya mulai akan padam, ditiup kembali oleh iblis agar tetap menyala-yala.

Ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana caranya untuk membunuh Habil, menjelmalah iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh iblis itu dilaksanakan ke atas diri Habil ketika ia tidur dengan nyenyak, maka terkorbanlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.

Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya. Ia tidak tahu apa yang harus dilakukannya terhadap tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk itu. Diletakkannya tubuh itu di dalam sebuah peti yang dipikulnya, Qabil mundar-mandir dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu jenazah Habil.

Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak lama kerana suatu contoh yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya bagaimana untuk menguruskan jenazah saudaranya itu. Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh itu tersia-sia demikian rupa, maka ditunjukkan kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah.

Kemudian, kembalilah Nabi Adam AS kepada keluarganya. Ia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul. Bertanyalah ia kepada Qabil: "Di manakah Habil berada? Aku tidak melihatnya sejak aku pulang." Qabil menjawab: "Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."

Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Nabi Adam AS dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu. Akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya. Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan semata-mata untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan.

Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berserah kepada Allah SWT dan menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniakan kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.

Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam surah Al-Mai'dah ayat 27 sehingga ayat 32:

"Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua dan tidak diterima dari yang lain. Ia berkata: "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertakwa". (QS Al-Mai'dah: 27)

"Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam." (QS Al-Mai'dah: 28)

"Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan dosaku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim." (QS Al-Mai'dah: 29)

"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi." (QS Al-Mai'dah: 30)

"Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: "Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?" Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal." (QS Al-Mai'dah: 31)

"Oleh kerana itu Kami tetapkan bagi Bani Israil, bahawa: Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi." (QS Al-Mai'dah: 32)

Dari kisah Habil dan Qabil, jelaslah bahawa Allah SWT hanya menerima korban dari seseorang yang melakukannya dengan tulus ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat riya', takabur atau ingin dipuji. Barang atau binatang yang dikorbankan harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan penghasilan yang halal. Jika korban itu berupa binatang sembelihan, mestilah yang sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat. Jika berupa bahan makanan, mestilah yang masih segar, baik dan belum rosak atau busuk.

Dari peristiwa tersebut juga, jelaslah bahawa pengendalian jenazah manusia yang terbaik adalah dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada Qabil. Itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah SWT di atas makhluk-makhluk yang lain, menurut firman Allah: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (QS Al-Isra': 70)

Wallahua'lam.

Tiada ulasan: