Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


18 Mac 2009

PEMINUM ARAK YANG TERCELA...


ALLAH SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, permainan judi, berhala-berhala dan mengundi nasib adalah perbuatan kotor, termasuk pekerjaan syaitan, maka jauhilah, mudah-mudahan kamu sekalian beruntung". (QS Al Maidah:90)

Diriwayatkan Nabi Nuh AS ketika menanam pokok anggur, pohon itu tidak subur, maka datanglah iblis yang terkutuk berkata: "Hai utusan Allah, apabila engkau mengkehendaki pohon itu subur, maka izinkanlah saya menyembelih tujuh ekor binatang untuk dijadikan baja bagi pohon itu." Kata Nabi Nuh AS: "Kerjakanlah." Maka iblis menyembelih harimau, beruang, serigala, anjing, ayam jantan, harimau belang, dan musang. Setelah itu diperahkan daging binatang2 yang disembelihnya lalu dituangkan pada pangkal pohon anggur itu. Di saat itu juga pohon tersebut tumbuh subur dan berbuah tujuh jenis warna. Sebelum itu hanya sejenis saja yang berbuah. Oleh kerana itulah orang yang meminum arak menjadi garang, kuat, pemarah, suka bercakap, suka bergaduh, berdendam dan bersuara seperti ayam jantan. (KITAB HAYATUL QULUB).

Abu Lais (ahli fekah) berkata: "Jauhilah meminum khamar (arak) kerana di dalamnya terdapat 10 perbuatan yang tercela:

1. Apabila seseorang meminum arak, maka kedudukannya menjadi seperti orang gila dan akhirnya menjadi bahan ketawa dan dia tergolong sebagai orang yang tercela.

2. Hilang akal dan menabur-naburkan wang ringgit.

3. Menimbulkan pergaduhan dan permusuhan antara satu sama lain.

4. Menjadi penghalang seseorang itu mengingati Allah SWT dan melakukan ibadah seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.

5. Mendorong melakukan perbuatan zina dan juga berkemungkinan menceraikan isterinya tanpa disedari kerana mabuk.

6. Merupakan kunci semua kejahatan kerana orang yang meminum arak itu mudah melakukan perbuatan derhaka kepada Tuhan dan manusia.

7. Menyakiti para malaikat Hafadhoh kerana dia memasukkannya ke dalam golongan orang yang fasik.

8. Peminum arak wajib dirotan sebanyak 80 kali. Sekiranya terlepas di dunia maka dia akan dihukum rotan di akhirat kelak di neraka dengan disaksikan orang ramai dan ibu bapanya serta kawan-kawannya.

9. Menyebabkan pintu-pintu langit tertutup dan semua amal perbuatan baiknya turut berdoa tidak diterima selama 40 hari.

10. Membahayakan diri kerana dikhuatiri dicabut nyawanya dengan tidak membawa iman, aku berlindung pada Allah atas perbuatan tersebut.

Semua akibat seksaan ini adalah merupakan seksaan di dunia sahaja belum menghadapi menghadapi seksaan di akhirat kelak.
.

17 Mac 2009

ROMBONGAN-ROMBONGAN IBLIS TATKALA SAKARATULMAUT


Iblis dan syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis akan mandatangi manusia sewaktu sakaratul maut dalam 7 rombongan. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ya Allah! Aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut."

Rombongan 1
Akan datang iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang iblis kepada orang yang di dalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang ditakuti seperti Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang di dalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3
Akan datang iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu. Kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu sedang meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan 5
Akan datang iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak saudara yang hendak mati itu, seperti ibubapanya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh iblis, berkata dengan rayu-merayu: "Wahai anakku, inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah iblis merupakan dirinya sebagai ulama-ulama yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: "Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula iblis yang menyerupai ulama dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: "Aku tidak tahu." Berkata ulama iblis: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulama yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami." Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga. (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulama palsu: "Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulama palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu." Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna-warni itu, maka orang yang di dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata iblis: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah." Berkata orang yang dalam sakaratul maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini." Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan iblis yang ketujuh ini, iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (Ahli Sunnah Wal Jamaah) sementara 72 barisan lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlainan di dalam waktu manusia sakaratul maut.

Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW: "Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah."
.

MENYAYANGI ANAK-ANAK

"Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah SWT."

"Orang yang menangis kerana takutkan Allah SWT diharamkan oleh Allah SWT akan api neraka ke atas tubuhnya."

"Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat."

"Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak kanak."

"Barangsiapa keluar ke pekan Muslimin dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan membawa buah tangan untuk anak anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah SWT dan tidak diseksa di Akhirat kelak."

"Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya."

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda, Hasan. Aqrak berkata: "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium". Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang tidak menyayang tidak pula akan disayang".

"Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah, pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat."

"Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail AS."

"Suruhlah anak-anakmu sembahyang ketika umurnya tujuh tahun dan pukullah dia kerana meninggalkan sembahyang apabila berumur sepuluh tahun. Pisahkan anak anak perempuan dalam tempat tidur mereka."

Seorang lelaki bertanya: "Ya Rasullullah, kepada siapakah harus aku berbakti?" Jawab baginda: "Berbaktilah kepada ibubapamu." Kata lelaki itu lagi: "Ibu bapaku sudah tiada lagi." Sabda Nabi SAW: "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu. Ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak atas dirimu".

"Setelah anak perempuan kamu berumur 16 tahun maka kahwinkanlah dia."
.

16 Mac 2009

DINASTI QURAISY (BANI HASYIM) DI ALAM MELAYU (BHG. AKHIR)


Kesimpulan

Pembentukan dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim di Alam Melayu telah menyumbang ke arah menjadikan Agama Islam sebagai salah satu daripada ciri-ciri utama dan terpenting bagi Bangsa Melayu tersebut. Begitu sebati identiti ini sehingga pepatah ‘Melayu itu Islam’ menjadi ungkapan yang lazim. Bukti kukuh akan peranan dan pengaruh dinasti-dinasti Quraisy ini juga boleh didapati dengan memerhatikan bahawa Mazhab Syafiee merupakan aliran feqah Alam Melayu. Ini adalah kerana pengasas Mazhab Syafiee, iaitu Imam Syafiee merupakan seorang ahlul bait Rasulullah SAW sendiri, iaitu seorang Arab Quraisy dari jurai Bani Hasyim. Oleh itu tidaklah menghairankan bahawa aliran Mazhab Imam Syafiee menjadi aliran feqah rasmi semenjak awal kedatangan Islam di dunia sebelah sini.

Dinasti-dinasti Quraisy telah membuktikan keunggulan mereka dalam menangani kuasa-kuasa penjajah. Walaupun tujuh kuasa penjajah seperti Siam, Portugis, Sepanyol, Belanda, Inggeris, Perancis dan Amerika Syarikat secara bersambung-sambung telah menggempur Alam Nusantara, namun dinasti-dinasti Quraisy seperti kesultanan-kesultanan Acheh, Demak, Johor, Terengganu, Kedah, Banten, Brunei, Ternate, Patani, Sulu dan Maguindanao telah mampu membuktikan ketokohan dan wibawa mereka sebagai pejuang dan pahlawan yang menerajui gerakan jihad Islami, gigih mempertahankan Daulah-Daulah Islamiyyah mereka dari dikeronyok oleh bangsa-bangsa penjajah ini . Dalam konteks ini, Prof. Ismail Faruqi menggelar umat Melayu sebagai: “One of the oldest and bloodiest struggle the Muslims have waged against Christian-Colonialist aggression. (Terjemahan : “Salah satu perjuangan (Melayu) Islam yang paling lama dan sengit dalam menentang keganasan penjajahan Kristian.”)

Sehingga hari ini masih banyak lagi kedapatan dinasti-dinasti Quraisy di Alam Melayu yang teguh berdiri seperti kesultanan Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor dan Brunei. Bagi beberapa kesultanan ahlul bait Rasulullah SAW yang telah tumbang akibat siasah penjajah, cucu cicit kepada raja-raja Quraisy dari ahlul bait ‘gelombang pertama’ di rantau ini masih meneruskan penentangan mereka melalui gerakan-gerakan pemisah seperti di Acheh, Patani dan Mindanao. Bandingkan fakta ini dengan raja-raja Islam asal yang lainnya di dunia, yang mana kesultanan-kesultanan mereka yang telah terlupus kini hanya merupakan sejarah kegemilangan daulah kesultanan nenek-moyang mereka yang tinggal sebagai suatu nostalgia manis kenangan silam bangsanya.

Hakikatnya, dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim Alam Nusantara telah mampu menyumbang kepada Bangsa Melayu akan jati dirinya serta pegangan agamanya, dan segala jasa dinasti-dinasti ahlul bait tersebut adalah terlalu besar untuk dinilai.

[Petikan: 'Dinasti-Dinasti Quraisy (Bani Hasyim) Di Alam Melayu' oleh Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman (Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, cawangan Johor)]
.

15 Mac 2009

DINASTI QURAISY (BANI HASYIM) DI ALAM MELAYU (BHG. 5)


Salasilah Beberapa Kesultanan Ahlul Bait di Alam Nusantara

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Brunei
Syarif ‘Ali ibn Syarif Ajlan ibn Syarif Rumaithah ibn Sharif Muhammad Abu Nu’may ibnu Syarif Abu Sa’ad Al-Hassan ibnu Syarif ‘Ali Al-Akbar ibnu Syarif Qitadah ibnu Syarif Idris ibnu Syarif Muta’in ibnu Syarif Abdul Karim ibnu Syarif Isa ibnu Syarif al-Hussein ibnu Syarif Sulaiman ibnu Syarif ‘Ali ibnu Syarif Abdullah ibnu Syarif Abu Ja’afar Muhammad ibnu Syarif Abdullah Al-Akbar ibnu Syarif Muhammad At-Thaer ibnu Syarif Musa Ath-Thani ibnu Syarif Abdullah Asy-Saleh ibnu Musa Al-Jaun Abdul Hasan ibnu Abdullah Al-Muhudh ibnu Syarif Hassan Al-Muthanna ibnu Sayyidina Hassan As-Sibti ibnu Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Perlis
Sayyid Ahmad ibni Sayyid Hussin ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Aqil ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Abdul Rahman ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hassan Al-Muallim ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hassan ibni Sayyid Ali ibni Muhammad Fakeh Al- Maqdam ibni Ali ibni Muhammad Sahib Mirbath ibni ‘Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Al-Syeikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni ‘Isa Al-Rumi ibni Muhammad Al-Naqib ibni ‘Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni ‘Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Pontianak
Sayyid Abdul Rahman Al-Qadri ibni Sayyid Hussin ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Hussein ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Aqil ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Abdul Rahman ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid HassanAl-Muallim ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hassan ibni Sayyid Ali ibni Muhammad Fakeh Al-Maqdam ibni Ali ibni Muhammad Sahib Mirbath ibni ‘Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Al-Syeikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni ‘Isa Al-Rumi ibni Muhammad Al-Naqib ibni Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni MuhammadBaqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Kelantan dan Pattani (Thailand) Lama
Sultan Adiluddin ibni Nik Jamaluddin ibni Wan Abul Muzaffar ibni Sultan Abu Abdullah (Wan Bo) ibni Ali Alam (Ali Nurul Alam) ibni Jamaluddin Al-Husain (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibni Abdullah ibni Abdul Malik ibni Alawi Amal Al-Faqih ibni Muhammad Syahib Mirbath ibni ‘Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Al-Syeikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni ‘Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni ‘Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW .

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Kelantan Moden
Long Baha ibni Wan Daim ibni Nik Mustapha (Po Rome) ibni Wan Abul Muzaffar ibni Sultan Abu Abdullah (Wan Bo) ibni Ali Alam (Ali Nurul Alam) ibni Jamaluddin al-Husain (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibni Abdullah ibni Abdul Malik ibni Alawi Amal Al-Faqih ibni Muhammad Syahib Mirbath ibni ‘Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Al-Syeikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni ‘Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni ‘Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni ‘Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Champa
Sultan Abu Abdullah (Wan Bo) ibni Ali Alam (Ali Nurul Alam) ibni Jamaluddin Al-Husain (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibni Abdullah ibni Abdul Malik ibni Alawi Amal Al-Faqih ibni Muhammas Syahib Mirbath ibni ‘Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Al-Syeikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni ‘Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni ‘Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni ‘Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW .

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Maguindanao
Syarif Muhammad Kebungsuwan ibni Syarif Ali Zainal Abidin ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Alawi Amal Al-Faqih ibni Sayyid Muhammad Shahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni Ali al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Sulu
Sayyid Abu Bakar ibni Syarif Ali Zainal Abidin ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Alwi ibni Sayid Muhammad Shahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Pengasas Kesultanan Ahlul Bait di Banten dan Cirebon
Syarif Hidayatullah ibni Abdullah (Umdatuddin) ibni Ali Alam (Ali Nurul Alam) ibni Jamaluddin Al-Hussein (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibni Abdullah ibni Abdul Malik ibni Alawi Amal Al-Faqih ibni Muhammad Shahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirullah ibni Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-Sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

Salasilah Tun Habib Abdul Majid, Bapa Kesultanan Pahang, Terengganu & Johor (serta Riau dan Selangor dari sebelah cundanya Tengku Mandak)
Tun Habib Abdul Majid ibni Maharaja Sri Diraja ibni Ali Zainal Abidin ibni Abdullah ibni Syeikh ibni Abdullah ibni Syeikh ibni Abdullah ibni Abu Bakar As-Syukran ibni Abdul Rahman As Saqaf ibni Muhammad Mauli Ad Dawilah ibni Ali ibni Alwi ibni Muhammad Faqih Al Muqaddam ibni Ali ibni Sayyid Muhammad Mirbath ibni Ali Khlaiq Khasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawiy ibni Ubaidillah ibni Ahmad al-Muhajir ibni Isa ar-Rumi ibni Muhammad an-Naqib ibni Ali al-Uraidhi ibni Jaafar Sadiq ibni Muhammad Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Sayyidina al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.

InsyaAllah bersambung...
.
[Petikan:
'Dinasti-Dinasti Quraisy (Bani Hasyim) Di Alam Melayu' oleh Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman (Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, cawangan Johor)]
.

12 Mac 2009

DINASTI QURAISY (BANI HASYIM) DI ALAM MELAYU (BHG. 4)


Sejarah Ringkas Kemasukan Ahlul Bait Rasulullah SAW di Istana Raja-Raja Melayu

Perlantikan kaum Sayyid sebagai para pemerintah kesultanan-kesultanan yang berdaulat di rantau ini mempunyai kaitan secara langsung dengan kemunculan ahlul bait Rasulullah SAW dari gelombang pertama mulai awal abad ke 14 Masihi. Hampir keseluruhan kesultanan-kesultanan dari dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim di Alam Nusantara dibentuk oleh golongan ini sedangkan kelompok yang datang dari gelombang kedua mulai awal abad ke 18 Masihi kebanyakannya hanya menjadi rakyat biasa.

Rata-rata ahlul bait yang masuk ke istana Raja-Raja Melayu dahulu kala adalah sebagai menantu, kerana sebagai pemerintah umat Islam yang berdaulat, suntikan daulah zuriat Rasulullah SAW pada kesultanan seseorang raja dianggap boleh menaikkan ‘saham’ kesultanan tersebut. Oleh itu lazimnya keturunan yang terhasil dari perkahwinan ahlul bait tersebut dengan puteri raja akan dipilih untuk menyambung pemerintahan raja, terutamanya jika putera tersebut menyerlahkan ciri-ciri keunggulan yang lazim ada pada zuriat Rasulullah SAW.

Antara contoh kemunculan ahlul-bait sebagai menantu raja di Alam Melayu ialah di Perlis, dimana Sayyid Harun ibni Sayyid Ahmad Jamalullail, seorang ahlul-bait yang begitu berpengaruh di Kedah lama atas sifat ketaqwaan dan bakat kepimpinan yang dimilikinya, telah menarik minat Sultan Dhiauddin Mukarram Syah, iaitu Sultan Kedah yang ke 15, lalu dipilih menjadi menantu baginda melalui perkahwinannya dengan puteri Tengku Sofiah. Peristiwa ini berlaku apabila isteri pertama Sayyid Harun yang bernama Sharifah Mariam meninggal dunia. Kemudiannya, putera Sayyid Harun dari isterinya yang ketiga (Tengku Sofiah tiada berzuriat), iaitu Sayyid Hussein Jamalullail akhirnya dilantik sebagai raja pertama bagi negeri Perlis yang berdaulat.

Syarif Ali, bekas Raja Mekah, seorang lagi ahlul-bait Rasulullah SAW juga menarik perhatian Sultan Brunei ke-II yang memerintah di waktu itu, iaitu Sultan Ahmad (1415-1425M) lalu diberi kahwin dengan puteri baginda, Puteri Ratna Kesuma. Ketokohan Syarif Ali sebagai pemimpin dan mubaligh yang unggul menyebabkan ia diangkat menjadi sultan Brunei yang ketiga dengan gelaran Sultan Barakat.

Sayyid Abu Bakar, pengasas kesultanan Sulu telah berkahwin dengan puteri Raja Baguinda yang bernama Pangeran Fatimah Asyahirain, dan kemudiannya dilantik menjadi wakil Sultan dan imam. Apabila Raja Baguinda mangkat Sayyid Abu Bakar telah ditabalkan menjadi Sultan Sulu. Gelaran yang digunakan ialah Sultan Syariful-Hasyim dan baginda bermukim di Buansa (pusat kesultanan yang pertama) selama lebih kurang 30 tahun. Tahun pemerintahan Sultan Syariful Hasyim ialah sekitar 1450M, dan tarikh kemangkatannya ialah dalam tahun 1480M.

Syarif Muhammad Kebungsuwan merupakan seorang lagi ahlul bait Rasulullah SAW yang mengasas kesultanan ahlul bait Mindanao di Filipina. Kedatangan Muhammad Kebungsuwan di Mindanao dan usaha penyebaran dakwah yang dilakukannya pada mulanya ditentang oleh penduduk- penduduk setempat, tetapi kemudiannya beberapa pemimpin mereka seperti Tabunaway dan Mamalu telah bersetuju menerimanya dengan baik. Kemudiannya melalui perkahwinan Syarif Kebungsuwan dengan beberapa puteri pemimpin tempatan, mereka pula telah dapat menerima kehadirannya. Akhirnya, Syarif Kebungsuwan telah mendapat pernyataan taat setia daripada ketua-ketua suku penduduk Mindanao yang memeluk Agama Islam di tangannya. Daripada keturunan Kebungsuwan lahirlah dinasti pemerintah ahlul-bait Rasulullah SAW di Mindanao.

Tun Habib Abdul Majid (mangkat 1697M) juga merupakan satu lagi contoh klasik dimana datuknya Sayyid Zainal Abidin, seorang Sayyid berbangsa Acheh telah masuk menjadi keluarga pada keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor lama melalui perkahwinannya dengan cucu Tun Seri Lanang yang merupakan Bendahara Melaka di zaman Sultan Abdullah Maayah Syah (1615-1623M). Keturunan daripada Tun Habib Abdul Majidlah yang menjadi raja-raja Johor, Pahang dan Terengganu sekarang.

Sejarah peristiwa kemasukan sebilangan ahlul-bait ke dalam istana raja-raja di Alam Melayu sebahagiannya ringkas dan tidak melibatkan siasah politik seperti sejarah Syarif Ali, iaitu Sultan Brunei yang ketiga dan juga Sayyid Harun Jamalullail, iaitu ayahnda kepada Raja Perlis yang pertama. Sedangkan yang lainnya melibatkan siasah politik pemerintah-pemerintah tempatan. Contoh yang paling jelas ialah nenda kepada Tun Habib Abdul Majid, (Bendahara Padang Saujana), iaitu Sayyid Zainal Abidin, seorang ahlul-bait berbangsa Acheh yang masuk menjadi keluarga Bendahara Johor lama sebagai menantu melalui perancangan keluarga pembesar ini, dengan harapan dapat menyuntik ‘daulah zuriat’ dalam kedudukan keluarga bendehara Johor lama tersebut. Itulah sebabnya Sayyid Zainal Abidin dan keturunannya dipilih bagi memberi kesinambungan pada kekuasaan keluarga pembesar Johor iaitu pada kedudukan bendahara dan temenggung, sedangkan waris sebenar masih ramai lagi. Perancangan ini akhirnya membuahkan hasil dengan mendapat restu raja dan rakyat apabila cucu Sayyid Zainal Abidin yang bernama Tun Habib Abdul Majid itu diberi kedudukan sebagai Bendahara Johor dengan mendapat gelaran Bendahara Seri Maharaja kerana beliau bukan sahaja mempunyai susur galur secara langsung kepada keluarga bendahara Johor (nendanya puteri bendahara), kelebihannya yang lain ialah pada zat ahlul-bait yang dimiliki dalam darah dagingnya yang secara otomatik meninggikan statusnya di kalangan masyarakat Islam.

Dalam konteks sejarah kemasukan sebilangan para ahlul-bait ke dalam istana Raja-Raja Melayu sebagai menantu, antara fakta yang menarik ialah faktor pemilihan mereka atau anak cucu mereka dalam memberi kesinambungan kepada pemerintahan negeri. Dalam sesetengah hal, mereka menyambung pemerintahan kerana raja tiada mempunyai waris pemerintahan yang sah, dalam lain perkataan tiada berputera. Namun terdapat juga raja yang mempunyai waris tetapi kesinambungan pemerintahan negeri tetap dianugerahkan kepada menantu atau anak cucu menantu yang berketurunan ahlul-bait Rasulullah SAW itu. Hal ini terjadi semata-mata atas kesedaran agama yang menekankan soal nasab dalam pemerintahan umat Islam.

.
Lain-lain Kesultanan Ahlul Bait di Alam Nusantara

Kesultanan Acheh telah dipegang selama 60 tahun oleh pemerintahan raja-raja perempuan, iaitu selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani (1636-1641M) tanpa meninggalkan sebarang waris. Sultanah Seri Ratu Safiatuddin Tajul Alam Syah (1641-1675M), Sultanah Seri Ratu Naqiyatuddin Nurul Alam (1675-1678M), Sultanah Seri Ratu Zakiayatuddin Syah (atau Inayat Syah; memerintah dalam tahun 1678-1688M) dan akhirnya Sultanah Seri Ratu Kamalat Syah (1688-1699M) .

Dikatakan dalam masa pemerintahan Sultanah Inayat Syah itu, iaitu dalam tahun 1683 Masihi, suatu delegasi ulamak telah datang dari Mekah bagi membincangkan hal pemerintahan raja-raja perempuannya yang dianggap menyanggahi hukum hakam ajaran Agama Islam. Setelah bertukar-tukar fikiran dan mendapat latarbelakang fakta pemerintahan raja-raja perempuan Acheh itu, delegasi tersebut pulang ke Mekah, namun beberapa dari mereka mengambil keputusan untuk terus tinggal di sana. Salah seorang dari mereka yang bernama Syarif Ibrahim Al-Jamalullail kemudiannya dilantik menjadi Qadhi Malikul Adil (Ketua hakim) di atas kebijaksanaan dan pengetahuannya yang mendalam mengenai hukum hakam Agama Islam.

Para pembesar Acheh yang merasakan dengan kedatangan delegasi dari Mekah ini, pemerintahan raja-raja perempuannya tidak akan berpanjangan kemudiannya telah merencanakan kemasukan ahlul-bait Rasulullah SAW ke dalam istana Acheh. Ini bagi menyediakan bakal pemerintah sekiranya sampai masanya pemerintah raja-raja perempuan Acheh ditamatkan.

Akhirnya dalam tahun 1699M, Qadhi Besar dari Mekah telah mengeluarkan fatwa yang menegaskan bahawa pemerintahan umat Islam tidak boleh diterajui oleh kaum wanita. Seri Ratu Kamalat Syah diturunkan takhta, dan Sayyid ‘Umar, putera Qadhi Malikul Adil menjadi pengasas kesultanan ahlul bait Rasulullah SAW Acheh yang pertama apabila dinaikkan ke takhta dengan gelaran Sultan Badrul Alam, Sharif Hashim Jamalluddin Ba Alawi Al-Husseini.

Sultan Adiluddin merupakan pengasas dinasti Raja Kelantan lama (termasuk Patani) yang pertama dari keturunan Rasulullah SAW. Baginda yang lebih terkenal dengan nama ‘Raja Loyor’ merupakan putera Datu Nik Jamaluddin ibni Wan Abul-Muzaffar, ibni Sultan Abu Abdullah, Raja Champa yang bergelar Wan Bo. Sultan Abu Abdullah, atau Wan Bo pula ialah putera kepada Sayyid Ali Nurul Alam bin Sayyid Jamaluddin Al-Hussein.

Putera Sayyid Ali Nurul Alam yang bernama Sultan Abu Abdullah itu pula telah menjadi pengasas Raja Champa dari darah ahlul-bait mulai tahun 1471-1478M. Kesultanan Champa dari titisannya hanya dapat bertahan selama empat generasi sahaja, iaitu sehingga period pemerintahan datuk Long Baha, iaitu Nik Ibrahim (Po Nrop). Long Baha ialah raja yang memerintah Patani dalam tahun 1710-1715M, kemudiannya menjadi Raja Kelantan pula dalam tahun 1719-1733M. Keturunannya bersambung-sambung menjadi raja Kelantan hingga ke hari ini.

Kesultanan Siak, Pontianak, Inderagiri, Cirebon, Banten, Ternate, Surabaya, Kalimantan dan beberapa lagi kesultanan lainnya juga pernah mendapat pemerintahan ahlul bait Rasulullah SAW.

Walaubagaimanapun, mulai akhir abad ke19 Masihi, hampir keseluruhan kesultanan-kesultanan di Alam Nusantara berada dalam cengkaman para penjajah seperti British, Belanda dan Amerika Syarikat (di Filipina). Pejuang-pejuang pembebasan nasionalis kemudiannya secara berperingkat-peringkat mulai menuntut kemerdekaan. Malangnya, kesultanan-kesultanan yang pernah ujud sebelum zaman penjajahan termasuk dari dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim seperti di Sulu, Mindanao, Kalimantan, Surabaya, Acheh dan sebagainya terlupus kedaulatan mereka apabila digabungkan atas nama negara-negara republik apabila wilayah-wilayah mereka mendapat kemerdekaan.

Kesultanan-kesultanan di tanah air yang kebanyakannya juga merupakan daulah ahlul bait Rasulullah SAW juga nyaris terlupus kedaulatan mereka apabila penjajah British bercadang untuk menubuhkan gagasan ‘Malayan Union’ dalam tahun 1945M. British mencari helah untuk memansuhkan terus sistem pemerintahan Raja-Raja Melayu dan berura-ura meletakkan Tanah Melayu secara langsung di bawah jajahan takluknya, iaitu sebagai sebuah koloni British . Dalam gagasan Malayan Union, hak ketuanan dan keistimewaan orang Melayu dan Agama Islam mahu di lupuskan, sementara taraf kerakyatan dicadang untuk diberikan pada sesiapa jua yang tinggal di ‘Malayan Union’ lebih dari 5 tahun tanpa mengambil kira status bangsa dan agamanya.

Bagaimanapun, cadangan pembentukan Malayan Union telah menyatukan Raja-Raja Melayu dan rakyat jelata dalam menentang penubuhan gagasan tersebut. Atas muafakat dan penyatuan Bangsa Melayu dan raja-raja mereka menentang dengan kerasnya pembentukan gagasan Malayan Union, akhirnya cita-cita British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni mereka tidak kesampaian.

InsyaAllah bersambung...

[Petikan: 'Dinasti-Dinasti Quraisy (Bani Hasyim) Di Alam Melayu' oleh Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman (Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, cawangan Johor)]
.

11 Mac 2009

DINASTI QURAISY (BANI HASYIM) DI ALAM MELAYU (BHG.3)


Kemunculan ahlul bait ‘Gelombang Kedua’ di Alam Nusantara

Apabila Islam telah mula menapak kukuh dan tersebar dengan meluasnya di merata-rata tempat di rantau ini disamping mempunyai sistem pemerintahan kesultanan-kesultanan Islam yang berdaulat dan teratur, maka kaum Sayyid yang datang selepas itu, iaitu mulai abad ke 18 hingga abad ke 20 Masihi, muncul lebih kepada tujuan politik dan ekonomi dari dakwah. Contohnya pada awal abad ke 20 Masihi, kedudukan Syarif-Syarif Mekah mulai tergugat dimana akhirnya mereka terpaksa menyerahkan kerusi pemerintahan kota suci Mekah dan Madinah kepada puak Saudi Wahabi dari kaum Arab Badwi. Dikatakan dalam masa ini puak Saud yang ingin menghapuskan golongan Sayyid Hadramaut telah memusnahkan kitab-kitab agama dan makam-makam alim ulamak yang mereka tuduh sebagai bidaah. Ini telah mengakibatkan ramai Sayyid Hadhrami berhijrah kerana terdedah kepada ancaman penindasan dan penganiayaan Saudi’yyah, sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman datuk nenek dalam pergolakan dengan Dinasti Umayyah dan Abbassiyyah. Sebahagian mereka memilih untuk berhijrah ke rantau ini atas kesedaran bahawa bumi Nusantara bukan sahaja ‘redup’ dengan kaum kerabat mereka yang ramai bermukim di sini sejak beberapa ratus tahun dahulu, malahan kesultanan-kesultanan di Alam Nusantara kebanyakannya adalah merupakan dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim sendiri.

Oleh kerana semenjak abad ke 18 Masihi, sudah kedapatan ramai kaum Sayyid di rantau ini yang merupakan keturunan ahlul bait Rasulullah SAW dari ‘gelombang pertama’, dan kini menjadi pemerintah, golongan bangsawan, alim ulamak serta rakyat biasa, maka kelompok ahlul-bait gelombang kedua yang datang kemudian secara berperingkat-peringkat tidak lagi mendapat keistimewaan sebagaimana yang diberikan kepada kelompok ahlul bait dari gelombang pertama yang datang lebih awal tadi. Maka perkahwinan diantara mereka dengan puteri-puteri golongan bangsawan walaupun masih ada, tetapi makin berkurangan, dengan ini asimilasi dengan masyarakat tempatan kurang berlaku. Apatah lagi di awal kedatangan ahlul bait gelombang kedua ini, kebanyakan dari kalangan mereka hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang senasab dengan mereka. Contohnya, Sayyid berkahwin dengan Syarifah sahaja atau sebaliknya. Dalam erti kata lain, mereka tidak langsung ‘disatukan’ identitinya dengan masyarakat tempatan melalui perkahwinan seperti yang telah berlaku pada ahlul bait gelombang pertama di rantau ini. Perkahwinan seorang Sayyid dengan wanita dari golongan bukan Sayyid (golongan Ajam) jarang berlaku dan tidak digalakkan. Oleh itu, walaupun budaya dan adat masyarakat setempat telah bersebati dalam kehidupan golongan ini diatas pergaulan sosial keluarga, natijahnya, bentuk rupa, dan kadangkala pemikiran mereka masih ‘kearaban’ lagi.

Ahlul bait dari gelombang kedua ini lebih mudah dikenali melalui prediket keturunan yang masih disimpan seperti Sayyid, Syarifah dan Habib. Banyak juga keluarga dari kelompok ini yang masih menyimpan dan menjaga dengan baik susur galur salasilah keturunan mereka.

Dalam konteks kemunculan ahlul bait gelombang kedua di rantau ini, jika dibandingkan dengan ahlul bait dari gelombang pertama yang diberikan berbagai keutamaan, penghormatan dan kemuliaan oleh umat Islam, ahlul bait gelombang kedua kurang mendapat layanan sebegitu, kerana umat Islam di zaman belakangan tidak belajar atau diajar akan hakikat nilaian nasab para ahlul-bait dan keutamaan mereka di sisi agama, apatah lagi dalam soal peradaban dan perhubungan dengan mereka seperti yang dituntut oleh Agama Islam.

InsyaAllah bersambung...

[Petikan: 'Dinasti-Dinasti Quraisy (Bani Hasyim) Di Alam Melayu' oleh Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad & (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman (Ahli Persatuan Sejarah Malaysia, cawangan Johor)]
.