Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


08 Ogos 2010

BUAT KAUM HAWA...


Fenomena isteri meleteri suami atau dengan kata lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa bagi kebanyakan pasangan dewasa ini. Malah si isteri seolah-olah tiada sedikitpun merasa bersalah melayani suami mereka seperti adik, kawan atau anak lelaki atau sesiapa sahaja lagaknya.


Apa yang lebih mendukacitakan ialah terdapatnya isteri yang menganggap menjaga hati atau melayani suami dengan bersikap sopan sudah tidak sesuai dalam keadaan masyarakat kita hari ini atau mungkin dianggap sebagai ketinggalan zaman. Ini menunjukkan bahawa tidak sedikit peranan dan pengaruh media massa, terutamanya televisyen, dalam ‘mendidik’ kaum Hawa di zaman ini.

Sebenarnya keadaan ini akan menjadi model yang tidak baik terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak yang akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif dalam kehidupan berkeluarga.

Terdapat banyak nash-nash di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selama mana isteri tidak disuruh melakukan perkara-perkara maksiat. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya. (HR Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah r.a.: Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapa orang yang lebih berhak ke atas seorang perempuan? Baginda bersabda: “Suaminya. (HR Al-Bazzar dan Al-Hakim)

Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.: “Seorang perempuan telah datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, hamba adalah utusan perempuan-perempuan menghadap Tuan, bagi menanyakan perkara bahawa jihad, berperang di medan peperangan kerana membela pada jalan Allah dan agama telah difardhukan ke atas lelaki, jika mereka menang mereka dapat harta tawanan, dan jika mereka dibunuh mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan makan rezeki di sana, dan kami kaum perempuan menjaga dan membantu mereka, maka apa yang kami dapat daripada perbuatan tersebut?

Rasulullah SAW bersabda: “Anda sampaikan kepada perempuan-perempuan yang anda jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami itu sama dengan pahala berperang dengan musuh- musuh Islam di medan peperangan, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.(HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).

Hadis-hadis di atas menerangkan betapa memelihara dan menghormati hak suami serta ketaatan isteri terhadap suami amat dititikberatkan oleh agama Islam. Hatta jika suami itu berkedudukan rendah berbanding dengan isteri, umpamanya suami sebagai buruh sementara isteri pula guru, doktor dan seumpamanya, namun kedudukan atau martabat suami sebagai pemimpin atau ketua keluarga tetap tidak terjejas sama sekali.

Oleh yang demikian, isteri tidak boleh beranggapan bahawa dengan kedudukannya yang lebih baik membolehkannya bertindak sesuka hati seperti membelakangkan suami atau mengambil alih peranan suami sebagai ketua dalam keluarga. Jika ini berlaku, ia amat bercanggah dengan syariat Islam, sebagaimana firman Allah SWT:Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.(QS An-Nisa’: 34)

Bagi isteri yang tidak mentaati atau enggan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna pasti akan menerima balasan di akhirat kelak sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda diisra’kan ke langit dimana Baginda telah diperlihatkan dengan neraka yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita.

Sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Ali k.w. dalam satu riwayat: “Suatu hari aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati Baginda sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang membuatkan tuan menangis?" Baginda menjawab: “Wahai Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku diseksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat." Saidina Ali k.w. bertanya: “Apa yang anda lihat, wahai Rasulullah?” Rasululah SAW bersabda: “Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya, sedang api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dua kakinya dalam keadaan terikat dan dilumurkan minyak tanah pada seluruh badanya lalu dituangkan air panas pada lehernya……

Anakandanya Siti Fatimah r.a. berkata: “Khabarkan kepadaku apa yang menyebabkan mereka diseksa?” Baginda bersabda: “Adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke dalam lehernya itu kerana dia sering menyakiti hati suaminya. Sementara perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya adalah disebabkan dia tidak mahu menutup aurat (rambut) daripada lelaki lain. Adapun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya itu adalah disebabkan dia keluar rumah tanpa izin suaminya….

Sungguh amat dahsyat seksaan yang akan diterima, jika isteri mengabaikan hak-hak suami, tidak menghormatinya, apatah lagi menyakiti hatinya.

Sebenarnya bukan tidak boleh para isteri menegur suami, tetapi ia memerlukan masa yang sesuai dengan dibawa berbincang, ketika keadaan mengizinkan. Bukan dengan membebel sepanjang hari. Tetapi apa yang berlaku hari ini ialah adanya segelintir isteri yang tergamak bercakap kasar dan mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan, sehingga kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa dan bermasam muka.

Lebih dahsyat dan buruk lagi apabila isteri membanding-bandingkan suaminya dengan suami orang lain yang mampu memberikan permintaan isterinya, sekali gus dilabelkan pula sebagai suami mithali. Betapa rendahnya martabat suami. Jadi, suami mana yang tidak tersentuh dengan ungkapan-ungkapan sedemikian ?

Sebenarnya bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami, tetapi janganlah sampai membebankan mereka. Apalah gunanya, jika suami berhutang keliling pinggang hanya untuk memenuhi hasrat isteri. Mintalah mengikut kemampuan suami dan sentiasa bersifat ‘qanaah’ atau merasai cukup dengan apa yang diberikan, kerana bagi isteri yang sedemikian akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi isteri yang tidak pernah menghargai atau bersyukur, Allah SWT tidak akan memandang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya." (HR An-Nasa’i)

Islam juga menyarankan supaya para isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mencuci pakaian, mengasuh dan menjaga anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh ikhlas dan tabah. Mungkin bagi setengah orang, agak sukar untuk dilaksanakan apatah lagi dalam situasi zaman sekarang di mana isteri juga bekerja. Namun percayalah, ia bukan saja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumahtangga tanpa pembantu rumah. Suatu hari, Fatimah telah meminta suaminya Saidina Ali k.w. supaya menemui Rasulullah SAW dan meminta jasa baik Baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah mereka.

Rasulullah SAW bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi milik Baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.

Permintaan Fatimah itu membimbangkan Baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dilaksanakannya.

Pada sebelah malamnya Baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah kamu berdua (Ali dan Fatimah) suka kepada pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta pada siang hari tadi?

Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah SAW menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali setiap hari sebelum tidurnya.

Semenjak itu wirid yang diajarkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi amalannya dan suaminya. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.

Apa yang berlaku pada hari ini, hampir sebahagian besar keluarga mempunyai pembantu rumah, yang bertanggungjawab menguruskan semua kerja-kerja rumah, termasuk menyediakan makanan, pakaian dan sebagainya. Tanpa pembantu terasa pincang pentadbiran rumahtangga dan banyak perkara yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan teratur. Kenapa? Sudah pasti jawapannya mudah, tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut terutamanya bagi wanita yang berkerjaya.

Adakah jawapan itu tepat? Kaum wanita harus sedar, selaku isteri, ibu dan juga wanita yang berkerjaya mereka harus pandai dan bijaksana dalam mengatur dan membahagikan tugas dan masa. Jika di amat-amati betapa ruginya selama ini bagi isteri yang membiarkan kerja-kerja rumah ditangani oleh pembantu rumah. Betapa tidaknya, jika kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri dengan hati yang ikhlas, dengan mudah saja mereka mendapat ganjaran atau pahala yang berlipat ganda.

Bagi para suami pula, sifat tolak ansur dan saling bekerjasama amat diharapkan. Isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi apalah salahnya, kiranya para suami bersama-sama membantu kerja-kerja di rumah. Bukankah ini salah satu ciri keluarga harmoni?

Keharmonian rumah tangga akan terbentuk jika suami dan isteri saling faham memahami, bekerjasama, bertolak ansur, berunding dalam menyelesaikan masalah dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu tanamkan ciri-ciri yang membawa keharmonian berumahtangga itu, agar kita akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.


02 Ogos 2010

KEISTIMEWAAN RAMADHAN


Menjelang bulan Ramadhan, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlomba-lombanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (HR At-Thabrani)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Wahai segenap manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung penuh berkah bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai kewajiban, dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah. Barangsiapa menunaikan ibadah yang difardhukan, maka pekerjaan itu setara dengan orang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadhan merupakan bulan kesabaran dan balasan kesabaran adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan santunan, bulan yang di mana Allah melapangkan rezeki setiap hamba-Nya. Barangsiapa yang memberikan hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya, dan dibebaskan dari belenggu neraka, serta mendapatkan pahala setimpal dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa tersebut.” (HR Khuzaimah)

Sambutan Nabi Muhammad SAW ini merupakan teladan bagi umatnya dalam menghadapi datangnya bulan Ramadhan. Sambutan hangat penuh kegembiraan yang Baginda sampaikan menunjukkan perlunya tarhib Ramadhan seperti khutbah Rasulullah SAW ini diamalkan secara bersungguh-sungguh oleh kaum Muslimin. Jika ada satu ketika di mana pemimpin negara menyampaikan pidatonya, tentulah saat tersebut bukan saat biasa. Itu sebuah program terpenting dengan saat paling istimewa. Demikian pula dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keunggulan dan kemuliaan.

Dari hadis tersebut, Rasulullah SAW menyebutkan 8 keistimewaan bulan Ramadhan dibandingkan bulan-bulan yang lain, iaitu:

1. Syahrun Azhim (Bulan Yang Agung)

Azhim’ digunakan untuk menunjukkan kekaguman terhadap kebesaran dan kemuliaan sesuatu. Sesuatu yang diagungkan Rasulullah SAW tentulah memiliki nilai yang jauh lebih besar dan sangat mulia dengan sesuatu yang diagungkan oleh manusia biasa. Alasan mengagungkan bulan Ramadhan adalah kerana Allah SWT juga mengagungkan bulan ini. Firman Allah SWT: “Demikianlah (perintah Allah SWT). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.” (QS Al-Hajj: 32)

Ramadhan diagungkan oleh Allah SWT kerana pada bulan inilah Allah SWT mewajibkan puasa sebagai salah satu dari lima rukun Islam. Allah Yang Maha Pemurah Penyayang telah menetapkan dan mensucikan bulan ini dan kemudiannya memberikan segala kemurahan, kasih sayang, dan kemudahan bagi hamba-hamba yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

2. Syahrul Mubarak (Bulan Keberkatan)

Bulan ini penuh keberkatan dan manfaat. Detik demi detik di bulan Suci ini bagaikan rangkaian berlian yang sangat berharga bagi orang beriman kerana semua perbuatan kita ketika berpuasa menjadi ibadah berpahala yang balasannya langsung dari Allah SWT. Amal baik sekecil mana sekalipun akan dilipatgandakan asalkan ikhlas.

Keberkatan bulan Ramadhan secara kasar dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu 10 malam pertama yang dipenuhi rahmat Allah SWT, 10 malam berikutnya diisi dengan pengampunan (maghfirah), manakala 10 malam terakhir merupakan pembebasan manusia dari api neraka. Keberkatan yang Allah SWT berikan ini akan dicapai sekiranya kita menggunakan waktu yang terhad untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana saranan Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW: Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya bahkan sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta'ala berfirman: “Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. la telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku.” Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan,iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi. (HR Bukhari dan Muslim)

3. Syahru Nuzulil Qur’an (Bulan Quran Diturunkan)

Allah SWT mengistimewakan Ramadhan sekaligus menyediakan sasaran terbesar, iaitu menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup. Firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeda di antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (QS Al-Baqarah: 185)

Ayat di atas menjelaskan bahawa tujuan utama amalan pada bulan Ramadhan ialah membentuk insane bertakwa yang menjadikan Kitabullah sebagai manhajul hayat (pedoman hidup). Dapat dikatakan bahawa Ramadhan tidak dapat dipisahkan dengan Al-Quran. Rasulullah SAW menerima wahyu pertama pada bulan Ramadhan dan di setiap bulan Ramadhan, Malaikat Jibril AS akan datang sehingga dua kali untuk menguji hafalan dan pemahaman Rasulullah SAW terhadap Al-Quran.

4. Syahrus Siyam

Firman Allah SWT: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (QS Al-Baqarah: 183)

Dari awal hingga akhir bulan Ramadhan kita menegakkan satu dari 5 rukun (tiang) Islam yang sangat penting, iaitu shaum (puasa). Kewajiban berpuasa adalah penting sebagaimana kewajiban solat 5 waktu. Maka sebulan penuh seseorang Muslim menumpukan diri beribadah sebagaimana dia mendirikan solat Subuh atau Maghrib yang memakan waktu beberapa minit sahaja. Puasa Ramadhan dilakukan tiap hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari (Maghrib). Siyam bermaksud menahan diri dari makan, minum dan berjimak serta segala macam maksiat di siang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Jadi, untuk mencapai kesempurnaan puasa, selain menahan diri dari makan, minum dan jimak, kita juga perlu menahan diri dengan meninggalkan perbuatan maksiat dan yang makruh.

5. Syahrul Qiyam

Bulan Ramadhan menggalakkan umat Islam untuk melakukan amalan orang-orang soleh seperti solat dan membaca Al-Quran. Di bulan Ramadhan, setiap mukmin sangat dianjurkan melakukan solat tarawih dan witir sebagai latihan agar mampu mengamalkan qiyamullail di luar bulan Ramadhan.

Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (HR Muttafaqun 'Alaih).

6. Syahrus Sabr (Bulan Sabar)

Bulan Ramadhan melatih jiwa Muslim untuk sentiasa sabar, tidak mengeluh dan tahan uji di dalam keadaan lapar dan dahaga. Sabar adalah kekuatan jiwa dari segala bentuk kelemahan mental dan spiritual. Orang yang sabar akan bersama Allah SWT sedangkan balasan orang-orang yang sabar adalah syurga.

Sabar lahir bersama segala bentuk kerja besar yang berisiko seperti dalam dakwah dan jihad fi sabilillah. Ramadhan melatih Muslim beramal islami dalam berjamaah untuk meninggikan kalimah Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Puasa itu setengah kesabaran. Kesabaran itu setengah dari iman." (HR Tirmidzi, Abu Na'im, dan Abu Mas'ud)

7. Syahrul Musawwah (Bulan Santunan)

Ramadhan menjadi bulan santunan apabila orang-orang beriman sedar sepenuhnya bahawa puasa mendidik mereka untuk memiliki rasa simpati terhadap golongan fakir miskin kerana merasakan lapar dan dahaga sebagaimana yang biasa dirasai oleh golongan tersebut. Kerana itu kaum Muslimin dianjurkan supaya sentiasa bermurah hati untuk membantu golongan yang memerlukan. Sifat memberi tanpa mengharapkan balasan harus ditanam di dalam setiap diri Muslim.

Nabi SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur'an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur'an. Rasulullah saw ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus. (HR Bukhari dan Muslim)

Segala amal yang berkaitan dengan harta seperti zakat fitrah sedekah, infak, wakaf, dan sebagainya, bahkan zakat harta pun sebaiknya dilakukan pada bulan yang mulia ini. Memberi, meskipun kecil, bernilai besar di sisi Allah SWT. Sesiapa yang memberi makan atau minum kepada orang yang berpuasa walaupun hanya seteguk air, mendapat pahala puasa seperti yang diperolehi oleh orang yang berpuasa.

8. Syahrul Yuzdaadu fiihi Rizqul Mu’min (Bulan Rezeki Untuk Orang2 Mukmin)

Bulan ini rezeki orang-orang beriman bertambah kerana segala kemudahan dibuka oleh Allah SWT seluas-luasnya. Para pedagang akan beruntung, orang yang menjadi pekerja mendapat kelebihan pendapatan dan sebagainya. Namun rezeki terbesar adalah hidayah Allah SWT kemudian hikmah dan ilmu yang begitu mudah diperoleh di bulan yang mulia ini.

Wallahua’lam.

31 Julai 2010

RIBA: JEMPUTAN BERPERANG DENGAN ALLAH & RASULNYA...


Firman Allah SWT: “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Rabbnya, lalu terus berhenti, maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu; dan urusannya kepada Allah. Orang yang mengulangi, maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (QS Al-Baqarah: 275)

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi.” (Rujuk Al-Majmu’, 9/391)


Adalah menjadi fenomena yang amat malang bagi umat Islam dewasa ini, apabila mereka amat leka dengan keuntungan duniawi dan langsung tidak mempedulikan tentang besarnya dosa mengamalkan riba. Justeru, di sini disertakan beberapa nas Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menerangkan tentang besarnya dosa yang ditanggung oleh sesiapa yang mengamalkan riba.


Allah dan RasulNya Mengisytiharkan Perang Terhadap Pengamal Riba

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasulnya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiayai.” (QS Al-Baqarah: 278~279)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia seolah-olah akan berperang dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini juga membayangkan bahawa permusuhan antara Allah dan RasulNya dengan pengamal riba berlaku semenjak kehidupan di dunia lagi sebelum menerima hukuman di akhirat. Maka, malanglah nasib bagi individu atau pemimpin yang tidak mempedulikan larangan tentang riba.


Ibn Abbas r.a. diriwayatkan pernah berkata: “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat: “Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT.” (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)


Berkatalah Abu Hanifah rahimahullah pula: “Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan.” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)


Imam Malik bin Anas rahimahullah pula berkata: “Telah ku buka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari riba, kerana Allah SWT mengisytiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364)


Berkata Imam Qatadah rahimahullah: “Allah menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada.” (at-Tabari, 3/72)


Hilang Keberkatan Harta dan Kehidupan

Allah SWT berfirman: “Allah susutkan riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (QS Al-Baqarah: 276)

Hilangnya Keberkatan Di Dunia dan Akhirat

Di Dunia: Antara tanda hilangnya keberkatan harta orang terlibat dengan riba adalah hilangnya atau habisnya harta pemilik secara tidak berfaedah dengan mudah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Antaranya juga harta tersebut akan menjadi penyebab untuk pemiliknya melakukan banyak maksiat serta kerosakan, hilang sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti rompakan, kecurian, penipuan serta doa orang yang dizalimi olehnya juga lebih makbul. (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982, 1/224).

Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Mas’ud r.a.: “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa.” (HR Ahmad; Al-Hakim mengatakannya sahih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan (Fath al-Bari, 4/399)


Di Akhirat:
Berkatalah Ibnu Abbas r.a.: “Tidak diterima dari pemakan riba sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)


Pengamal Riba Umpama Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Rasulullah SAW bersabda: “Riba mempunyai 73 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (HR Ibnu Majah, 2/764; Al-Hakim: Sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim)

Lebih Berat dari 36 Kali Zina

Rasulullah SAW bersabda: “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad , 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103)

Riba Adalah Salah Satu Dari Dosa Terbesar

Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Jauhilah tujuh dosa besar: Syirik, Sihir, Membunuh tanpa hak, Makan harta anak yatim, Makan riba, Lari dari medan peperangan (kerana takut) dan Menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil).“ ( HR Bukhari dan Muslim)

Wallahua'lam.


23 Julai 2010

KENALI GOLONGAN MUNAFIK . . .


Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, beliau merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas Peperangan Bu’as, penduduk Madinah sudah bersepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai ketua di Madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.

Sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang memiliki peradaban yang mulia berbanding orang-orang Arab Madinah. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah. Lantaran itu, orang Arab Madinah suka meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi, banyak nilai-nilai moral Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah.

Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak mencedok peradaban Yahudi dan meng’Arab’kan peradaban tersebut, termasuklah Abdullah bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang lebih tinggi daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu, mereka dipandang tinggi dan dihormati.

Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di antara dua golongan terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku mereka yang mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku, Abdullah bin Ubai juga tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap berkecualinya menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang berperang itu berdamai.


Walaupun menimba dari telaga Yahudi, namun ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-Araban mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa yang terbentuk dalam aliran pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk kepercayaan atau akidah yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara sahaja, iaitu merekalah golongan Arab yang paling pintar dan orang-orang Arab yang lain tidak sama dengan mereka.

Apabila agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai sejak awal-awal lagi telah menolaknya. Mereka menganggap apa yang baru datang itu lebih rendah daripada apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima. Sebagaimana golongan Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air daripada telaga Yahudi, menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada mereka. Mereka adalah golongan yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata, telinga dan hati mereka daripada segala agama yang datang kepada mereka.

Arus perkembangan Islam melanda Madinah dengan pantas dan menyeluruh. Dalam tempoh kurang dari satu tahun, hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam. Segala aktiviti tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW dan agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan lain, melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah supaya tidak tersisih. Namun, penyertaan mereka sebenarnya bertujuan mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.

Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama dipertahankan, mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil ‘MUNAFIK’. Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.

Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak meyakini agama Islam kerana mereka mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulen. Mereka menganggap Islam laksana baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan hanya apabila ianya mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Allah SWT berfirman tentang keadaan golongan munafik: “Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman).” (QS Al-Baqarah: 8~14)

Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara terang-terangan atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mahu dijaga.

Golongan munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka, Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang dipandang lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Mereka mahu agar Baginda SAW mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah SWT. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad SAW yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah dan ditolak. Golongan munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT memperingatkan Rasulullah SAW supaya sentiasa berwaspada terhadap golongan munafik yang akan mencuba untuk membawa baginda SAW tunduk kepada pemimpin mereka. Rasulullah SAW juga diperingatkan bahawa golongan munafik itu tidak suka kepada Baginda SAW: “Wahai Nabi! Patuhlah kepada Allah dan jangan engkau turuti orang-orang kafir dan munafik, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Bijaksana.” (QS al-Ahzab: 1)

Dan jangan engkau tunduk kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 48)

Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu kepada hukum yang Allah telah diturunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.” (QS An-Nisa’: 61)

Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: "Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya". Katakanlah: "Ia mempercayai semua yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.” (QS At-Taubah: 61)

Jadi, amat sukar untuk menangani golongan munafik kerana secara terang-terangan mereka mengaku beriman walaupun hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang yang basah. Firman Allah SWT: “Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang beriman.” (QS At-Taubah: 62)

Oleh kerana golongan munafik hidup dalam kepura-puraan, mereka sangat takut jika rahsia mereka diketahui oleh orang lain. FirmanNya: “Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: "Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan Rasul-Nya)". Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.” (QS At-Taubah: 64)

Apabila rahsia mereka terbongkar, golongan munafik akan berdolak-dalih. Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan golongan munafik tidak akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan. Firman Allah SWT: “Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?” (QS At-Taubah: 65)

Golongan munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan peraturan amal makruf dan mencegah kemungkaran, mereka akan menilai yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang mungkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap zakat dan sedekah bukan sebagai amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan. FirmanNya: “Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik, itulah orang-orang yang fasik.” (QS At-Taubah: 67)

Golongan juga berani menggunakan nama Allah bagi menutup kesesatan dan kekufuran mereka. Allah SWT memerintahkan agar Nabi SAW berjihad memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang-orang yang kufur. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika mereka berpaling, Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong.” (QS At-Taubah: 73~74)

Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman golongan munafik terhadap keselamatan dan kepercayaan orang yang beriman. Allah SWT telah menamakan satu surah al-Quran dengan surah ‘Al-Munafiqun’, bagi mengingatkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran golongan munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Allah SWT menggesa Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin pada semua zaman agar sentiasa berwaspada terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada golongan munafik.

FirmanNya: “Apabila orang munafik datang kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui bahawasanya kamu Rasul Allah,” padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang berdusta. Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu dimeterai atas hati mereka; oleh itu mereka tidak dapat memahami. Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka berkata-kata, engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah mereka dipalingkan?" (QS Al-Munafiqun: 1~4)

Allah SWT telah memperingatkan kepada Nabi SAW dan kaum Muslimin pada setiap masa supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan dengan firmanNya: “Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali." (QS At-Tahrim: 9)

Allah SWT telah memberi peringatan kepada kaum Muslimin, sekiranya kegiatan golongan munafik yang mencampur adukkan kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung, nescaya umat Islam akan menemui kehancuran. Umat Islam mestilah berwaspada terhadap orang munafik yang berada di tengah-tengah mereka. Tanda munafik mudah dikenal melalui keengganan mereka berjuang pada jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan supaya Allah mengetahui siapa orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan: "Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (dirimu) ". Mereka berkata: "Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah kami mengikuti kamu". Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran dari pada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak ada terkandung dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan. Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi berperang: "Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh ". Katakanlah:" Tolaklah kematian itu dari dirimu, jika kamu orang-orang yang benar.” (QS Ali Imran: 167~168)

Kemunafikan jelas lebih ketara melalui ibadat yang mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-mata untuk tontonan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian: Tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan baginya.” (QS An-Nisa’: 142~143)

Allah SWT telah memberi amaran yang yang keras kepada orang-orang munafik melalui firmanNya: “Sesungguhnya jika tidak berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah (dari menyakitimu), niscaya Kami perintahkan kamu (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu melainkan dalam waktu yang sebentar, dalam keadaan terlaknat. Di mana saja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh dengan sehebat-hebatnya. Sebagai sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum (mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah.” (QS Al-Ahzab: 60~62)

Dari as-Syaikhan dari Ibn.'Amr, Rasulullah SAW bersabda: "Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat−sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang." (HR Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW telah memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik. Rasulullah SAW dan kaum Muslimin mengenali golongan munafik yang ada di dalam masyarakat mereka. Mereka dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin Ubai adalah pemimpin golongan munafik. Keterangan yang telah diberikan oleh al-Quran memberi manfaat bagi kaum Muslimin dalam mengawasi pergerakan golongan munafik agar perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin dapat dipelihara. Umat Islam yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh mereka.

Abdullah bin Ubai telah pun mati. Markas golongan munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu Awan, sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah SAW. Tetapi kaum Muslimin perlu sentiasa berwaspada kerana racun munafik sentiasa berjalan hingga ke hari ini.

Golongan munafik terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama orang Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan kaum Muslimin, malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada orang-orang Islam yang lain.

Memang sukar untuk mengenali hati yang munafik kerana mulutnya mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain.
Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan menggunakan ajaran Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri. Golongan munafik adalah ilmuan yang mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis palsu, terutamanya dalam soal yang bersangkutan dengan akidah dan kebatinan. Daripada golongan yang demikianlah muncul istilah kebudayaan Islam yang ditampalkan kepada kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan.

Lahir pula persatuan Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada pula istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai sarang perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Ubai dan teman-temannya sudah meresap ke dalam darah daging umat Islam di seluruh dunia pada hari ini. Hanya bimbingan daripada Allah SWT yang dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah golongan munafik itu.

Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap menggunakan label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana si munafik bercakap tentang Allah SWT dan agama Islam. Lebih-lebih lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak ada kesudahan.

Mereka bijak menggunakan cara berteka teki yang sukar difahami. Lebih mengelirukan lagi apabila mereka berhujah dengan menyandarkan kepada Hadis Rasulullah SAW, perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Orang munafik sanggup bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang yang jahil.

Orang Islam yang jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah setelah berlaku proses asimilasi unsur-unsur agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian ke dalam agama Islam.

Setiap kaum Muslimin yang insaf berkewajipan menyelak setiap hamparan dan membongkar setiap tutupan bagi mencari racun munafik yang bersembunyi di dalam kalangan umat Islam. Racun tersebut mestilah dikeluarkan.

INILAH JIHAD SEBENAR KAUM MUSLIMIN DI ZAMAN INI !!!

17 Julai 2010

BUYA HAMKA: 3 SIFAT YANG TIMBUL KERANA BERAGAMA...


1. MALU

Malu sangat besar pengaruhnya dalam mengatur pergaulan hidup. Malu itulah yang membuat orang berakal enggan mengerjakan perbuatan jahat. Sebelum orang mempergunakan undang-undang lebih dahulu orang telah dilindungi oleh hukum malu yang telah melekat di dalam budi pekerti. Ia merasa malu namanya akan menjadi buah mulut orang. Merasa malu kepercayaan orang akan hilang.

Rasa malu tidak akan hidup di dalam budi pekerti seorang manusia, kalau dia tidak mempunyai kehormatan diri (syaraf). Rasa kehormatan adalah pusat kebahagiaan bersama dan tenteramnya perhubungan. Pokok teguh memegang janji, teguh memegang kepercayaan. Dari malu timbul perasaan mempertahankan diri, mempertahankan bangsa, negeri dan keyakinan. Menimbulkan kemajuan pesat, berkejar-kejar berebut mencari kehormatan dan kemuliaan dalam lapangan perjuangan hidup. Tidak mahu kalah, malu tertinggal, malu tercicir, sehingga menghasilkan kebahagiaan bersama-sama juga, malu menghasilkan kekayaan, ilmu dan fikiran baru. Malu menyebabkan orang tidak mahu mundur dalam perjuangan.

Jika suatu kaum tak punya rasa malu, sebab kurangnya pendidikan terhadap anak bangsanya itu, maka bukanlah budi yang lebih kuat dan teguh menghubungkan mereka tetapi hukum atau hukuman kejam. Kaum atau masyarakat itu akan tertinggal dari masyarakat lain, namanya tidak tersebut di dalam Safhatul Wujud.

Agama ditaklifkan (diperintahkan) kepada orang yang berakal dan orang yang baligh (sampai umur), sebab dia mengajarkan rasa malu.

Orang tidak berakal, atau orang gila, tidak kena memerintah memegang agama. Bertelanjang bulat di hadapan orang ramai, tidak kena hukum, kerana dia tak bermalu.

Anak kecil, belum sanggup menahan diri dari kehendak darahnya masih muda itu. Setelah dia besar dan sampai umur baru timbul dalam hatinya sifat malu. Waktu itulah terletak di atas bahunya seruan agama. Sebab itu dari kecil harus dipupuk rasa malu.

Binatang tidak bermalu dijadikan pengangkut beban. Seribu ekor kambing tidak malu digembalakan oleh seorang anak gembala. Binatang-binatang tidak mendapat perintah dan larangan, tidak diikat oleh peraturan agama dan hukum.

Sifat malu membawa orang mengharungi lautan besar, memasuki rimba belantara, ditimpa susah dan kepayahan untuk mencapai keutamaan. Sifat malu menyebabkan manusia sanggup menahan nafsu, mengekang dirinya dan menempuh halangan lantaran menghindarkan diri dari perangai durjana. Dia juga yang menyebabkan orang tidak redha menerima kebodohan dan kedunguan.


2. AMANAH (BOLEH DIPERCAYAI)

Boleh dipercaya atau lurus adalah tiang kedua dari masyarakat yang utama. Sebab kalau bernama 'hidup', tidaklah manusia boleh hidup sendiri. Dia mesti mempertalikan hidupnya dengan hidup orang lain.

Herbert Spencer berkata, bahawasanya hidup itu ialah kelancaran hubungan manusia dengan manusia lainnya. Sedang nasi sesuap, tak boleh masuk mulut, kalau tidak beribu bahkan berjuta orang yang mengerjakan, dia di tanam oleh orang tani yang beribu banyaknya, ditumbuk oleh mesin penumbuk padi yang dibuat di sebuah pabrik, yang mempunyai buruh beribu-ribu orang, nasi ditanak di dalam sebuah periuk keluaran kilang Jepun. Kita makan dengan sambal, garam, lada dan seterusnya. Semua dikerjakan oleh berjuta-juta orang.

Supaya masyarakat teratur, perlu berdiri pemerintahan. Segala mazhab dan firqah dalam Islam mengakui perlunya pemerintahan, baik Ahli Sunnah Wal Jamaah, atau Syiah yang memestikan di tangan keturunan Ali. Demikian juga kaum Muktazilah, dan seterusnya. Hanya Khawarij yang mengatakan pemerintahan itu di tangan Allah saja. Tetapi setelah pergaulan bertambah maju, terpaksa mereka mengangkat seorang 'Imam' untuk mengatur pemerintahan. Di zaman kemajuan ini pun demikian pula, pemerintahan berbentuk kerajaan, atau republik, atau raja yang diikat oleh undang-undang dasar, atau majlis perwakilan rakyat, namun pemerintahan mesti ada.

Pemerintahan adalah badan yang mempunyai kaki, tangan, kepala, perut dan tulang, urat, darah dan daging. Ada yang jadi polis menjaga keamanan dalam negeri. Ada tentera menjaga serangan dari luar. Ada yang jadi ahli siasat membela keadilan dan kebenaran. Jadi pejabat memungut pajak dan cukai. Tidak lebih mulia atap dari tonggak. Tidak lebih utama dinding dari lantai, itulah yang menjadi rumah.

Apakah yang menghubungkan semuanya? Di manakah asas tempatnya tegak?

Itulah dia amanat, dapat dipercayai, lurus. Negara hanya dapat tegak di atas amanat.

Pejabat-pejabat akan langsung pekerjaannya dan beruntung pikulannya jika memegang amanat. Bagaimanakah akan aman negeri, kalau seorang menteri, yang memegang wang pemerintahan berjuta-juta tiap hari sedangkan gajinya kecil, kalau tidak rasa tanggungjawab dan amanat?

Kalau amanat telah runtuh, runtuhlah pemerintahan, ertinya runtuhlah masyarakat dan umat. Huru-hara terjadi setiap hari, pembunuhan, penggelapan terjadi tiap saat. Sehingga akhir kelaknya pemerintah itu akan runtuh, digantikan oleh pemerintah lain yang lebih dapat memegang amaat. Tidaklah boleh satu pemerintahan berdiri jika tidak ada persatuan, dan persatuan itu tidak akan tercipta kalau tidak dengan amanat.

Tidaklah kepada pergaulan tiap hari di antara diri dengan diri, di antara satu rumahtangga dengan lain rumahtangga. Jika ada kejujuran dan kepercayaan kita sesama manusia, kita tidak akan ragu-ragu meninggalkan rumah, sebab isteri boleh dipercaya, teman dekat rumah boleh pula dipercaya, anak-anak yang dilahirkan isteri kita, kita yakin memang anak kita sendiri. Tidak ragu-ragu meninggalkan barang-barang, kerana kita percaya tidaklah akan ada orang yang mencurinya.

Jika hilang amanat dari umat - Nau'zubillahi minha - alamat umat itu akan condong ke lurah, akan jatuh dan hilang namanya, menjadi umat yang fakir dan miskin, ditimpa oleh bahaya bencana, penyakit yang tak berkeputusan, penyakit lahir dan batin.


3. SIDDIQ (BENAR)

Manusia banyak hajatnya, orang miskin dan kaya sekalipun mulia atau hina, hajat dan keperluannya sama banyaknya. Segala hajat itu tidak tercapai semuanya, hanya sebahagian. Manusia diciptakan di muka bumi, datang dari alam ghaib yang tidak diketahuinya menuju ke alam yang belum difahaminya. Mula-mula dia tegak di dunia, laksana orang bingung, laksana ayam yang dikisarkan kandangnya di malam gelap. Tidak tahu sama sekali ke mana dia akan dibawa.

Mulai datang ke dunia, harus berjuang menuntut kehidupan, berebut keperluan makan minum, pakaian dan tempat diam. Alat yang ada padanya hanya alat-alat yang lima iaitu penglihatan mata, pendengaran, penciuman hidung, perasaan lidah dan perasaan kulit, yang dinamai 'pancaindera yang lima'.

Selain dari yang lima itu tidak ada, tidak diberi ilmu, kepandaian, pakaian dan lain-lain. Segar-bugar, bertelanjang bulat dan menangis.

Maka bertambah lama hidupnya di dunia, bertambah perlu mendapat pertolongan dari manusia yang lain, baik pertolongan ilmu atau pertolongan akal. Baru sempurna keperluan hidupnya. Semuanya tidak pula akan tercapai, kalau pertolongan itu tidak diterima dari sumber yang benar. Langkahnya akan sesat jika dia bertanya kepada temannya jalan ke kanan ditunjukkan ke kiri, jika dia meminta ubat diberi penyakit.

Sebab itu kebenaran inilah tiang ketiga dari masyarakat.

Solon, ahli pemerintahan bangsa Yahudi memberikan hukuman bunuh kepada siapa yang berdusta walaupun kecil dustanya.

Ketiga sifat itulah yang timbul lantaran agama.

Wallahua'lam.


(Profesor Dr Hj Abdul Malik Karim Amrullah)