Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


11 Mei 2012

ANAK TIDAK SAH TARAF

ANAK TIDAK SAH TARAF
Isu anak tidak sah taraf di Malaysia sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat hari ini. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi sering mendapat liputan utama di dada akhbar, manakala kes-kes wanita hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Statistik kelahiran anak luar nikah daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 2000 sehingga Julai 2008 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 155,744 orang. Pelbagai usaha dilaksanakan bagi membendung masalah ini, antaranya ialah menempatkan pesalah sosial di pusat pemulihan akhlak, mewujudkan pusat penjagaan bayi bagi bayi yang tidak dikehendaki dan memberi latihan kemahiran diri bagi membantu golongan yang bermasalah ini meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM
Anak tidak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut 'walad al-zina' yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah). Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda: “(Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.” (HR Al-Bukhari)

Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut: tak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa anak tidak sah taraf ialah:
i. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;
ii. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh);
iii. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut Hukum Syarak.

IMPLIKASI ANAK TIDAK SAH TARAF DALAM ISLAM
Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak taksah taraf dalam Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah:

i. Penamaan dan Nasab.
Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam.

ii. Pergaulan dan Hubungan.
Dalam Islam, anak tidak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tidak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan antara anak tidak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

iii. Nafkah.
Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1) iaitu: Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

iv. Penjagaan.
Hubungan nasab (keturunan) anak tidak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tidak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 85 memperuntukkan bahawa: Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya sahaja. Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya.

v. Harta Pusaka.
Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.

vi. Perwalian.
Hak perwalian diri anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tidak sah taraf perempuan dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Sabda Rasulullah SAW: “Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.

vii. Perkahwinan
Keraguan berhubung kesahihan perkahwinan seorang anak tidak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insan-insan yang lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosanya tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Oleh itu perkahwinan anak tidak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.

viii. Kematian.
Kematian seorang anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka di dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

ix. Pertukaran Status Anak Tidak Sah Taraf
Seseorang anak tidak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.

x. Amal Kebajikan.
Amal kebajikan anak tidak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak yang lain. Anak tidak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu dan bapanya. Firman Allah SWT: “... dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)...(QS al-An’am: 164)

Firman Allah SWT lagi: "Katakanlah: Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. (QS Saba’: 25)

Amal kebajikan mereka tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya.” (QS al-Zalzalah: 7~8)

Wallahua’lam.

(Sumber: JAKIM)

Tiada ulasan: