Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


25 April 2010

PENYAKIT-PENYAKIT PARA PEJUANG AGAMA


Perjuangan Islam sering kali diganggu gugat oleh pelbagai penyakit atau wabak dalaman yang dihadapi para 'amilin (pejuang). Ianya berpunca dari tindak tanduk para pendukung Islam yang tidak komited dan gagal mempersiapkan diri dengan sebaiknya sebagai pendukung Islam. Antara penyakit-penyakit tersebut adalah:


# AL-FUTUR

Futur berasal dari bahasa Arab yang bermaksud 'terputus, berhenti, malas dan lambat' setelah sebelumnya konsisten dan rajin. Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.


Antara penyebab berlakunya al-futur ialah sikap keterlaluan dalam agama; membazir dan melampaui batasan dalam menggunakan sesuatu yang diharuskan; meninggalkan jemaah dan memilih hidup bersendirian; kurang mengingati mati dan akhirat; mengabaikan ibadat harian; mengambil makanan yang haram atau syubhah; penumpuan 'amilin ke atas sudut tertentu dari ajaran Islam; gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan; mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga 'amilin; tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan; mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar; menjalankan tugas sambil lewa, sama ada di peringkat individu atau di peringkat jemaah; terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat serta memandang perbuatan-perbuatan sebegitu sebagai remeh.


# AL-ISRAF (PEMBAZIRAN)

Pembaziran ialah perbuatan yang melampaui batas kesederhanaan sama ada dalam soal makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Antara kesan terhadap para 'amilin ialah badan dihinggapi penyakit; keras hati; lembab daya pemikiran; rangsangan melakukan kejahatan dan dosa; kecundang di saat-saat genting dan mencabar; tidak menjaga dan mengambil berat terhadap org lain; ditanya di hadapan Allah SWT di akhirat; terlibat dengan pendapatan haram; menjadi saudara syaitan; terhalang dari kasih sayang Allah.


# AL-ISTI’JAL (TERBURU-BURU)

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan. Ramai yang berkeinginan untuk mengubah realiti kehidupan masa kini dalam sekelip mata tanpa menilai kesan buruk yang akan berlaku serta tidak memahami suasana persekitaran.


# AL-UZLAH (MEMENCILKAN DIRI)

Satu lagi penyakit yang dihidapi para 'amilin ialah mengutamakan kehidupan secara bersendirian dan meninggalkan kehidupan secara berjemaah.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Kekuasaan Allah bersama jemaah. Sesiapa yang bersendirian, dia bersendirian di neraka. Sesungguhnya serigala memakan kambing yang bersendirian, tersaing dari kumpulannya." (HR Bukhari & Muslim)


# AL-I’JAB BIL NAFSI (TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI)

Al-ijab bil nafsi ialah suatu kegembiraan terhadap diri sendiri, hasil dari apa yang dilakukannya, sama ada perbuatan tanpa menyinggung orang lain,tanpa mengambil kira perkataan dan perbuatan tersebut baik atau buruk, terpuji atau keji.


# AL-GHURUR (TERTIPU DENGAN DIRI SENDIRI)

Al-ghurur ialah kekaguman seorang 'amilin terhadap dirinya sendiri sehingga mendorongnya ke tahap menghina dan memperkecilkan apa yang diusahakan orang lain yang menyerupai apa yang sedang dilakukannya. Namun, sikapnya itu tidaklah sampai ke tahap memperlekehkan peribadi saingannya.


# AL-TAKABBUR

Al-takabbur bermaksud seseorang 'amilin itu menonjolkan kebesaran ke atas dirinya dalam bentuk menghina orang lain dan memperlekehkan kewibawaan mereka. Di samping itu, ia dengan angkuh menolak untuk menerima kebenaran dari orang lain.


(Petikan: 'Wabak Sepanjang Jalan' oleh Dr Al-Syed Muhammad Noh)

1 ulasan:

nur abadie berkata...

salam...afwan ana mohon izin copy paste sebahagian post ini ke blog ana yer...ana dah memulakan entri sebelum ini dengan gejala futur..tp terberhenti begitu sahaja. jadi mohon kebenaran copy d sini untuk melengkapi gejala2 penyakit ini..
syukran