Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


20 November 2009

PERJALANAN RASULULLAH S.A.W. KE TAIF


Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul, Baginda telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Makkah untuk memimpin dan memperbaiki keadaan hidup mereka. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam ataupun yang bersimpati dengan Baginda, yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang Baginda dan pengikut-pengikutnya. Di antara mereka yang bersimpati dengan perjuangan Baginda SAW termasuklah Abu Talib, bapa saudara Baginda sendiri. Sungguhpun begitu Abu Talib tidak memeluk agama Islam.
.
Berikutan kematian Abu Talib, pihak Quraish berasa bebas untuk memperhebatkan gangguan dan penentangan mereka terhadap Baginda SAW. Di Taif, bandar yang kedua terbesar di Hijaz, terdapat Bani Thafiq, suatu puak yang sangat kuat dan besar bilangan ahlinya. Nabi Muhammad SAW berlepas ke Taif dengan harapan ia dapat mengajak kaum Bani Thafiq untuk menerima Islam dan dengan demikian memperolehi perlindungan bagi pemeluk-pemeluk agama Islam dari gangguan puak Quraish. Baginda juga bercita-cita hendak menjadikan Taif markas kegiatan-kegiatan dakwah Baginda.

Sebaik-baik sahaja Rasulullah SAW tiba di sana, Baginda telah mengunjungi tiga orang pemimpin Bani Thafiq secara berasingan dan menyampaikan kepada mereka risalah Allah SWT. Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajaran Allah SWT, bahkan enggan mendengar apa yang dikemukakan oleh Baginda SAW kepada mereka. Baginda telah dilayani secara kasar dan biadap. Kekasaran mereka amat bertentangan dengan semangat memuliakan dan menghormati tetamu yang telah menjadi sebahagian daripada cara hidup bangsa Arab. Dengan terus terang mereka mengatakan yang mereka tidak suka Baginda SAW tinggal di tempat mereka. Rasulullah SAW berharap yang kedatangan Baginda akan disambut dengan baik. Sebaliknya Baginda telah dilempari dengan kata-kata yang kasar.
.
Kata seorang daripada pemuka-pemuka tadi dengan penuh ejekan: "Hoi, benarkah yang Allah SWT telah melantik kamu menjadi PesuruhNya?" Kata seorang lagi sambil ketawa: "Tidak bolehkah Allah memilih manusia selain dari engkau untuk menjadi PesuruhNya?" Yang ketiga pula melempar kata-kata hina yang bunyinya: "Kalau engkau benar-benar seorang Nabi, aku tidak ingin bercakap-cakap dengan engkau kerana perbuatan yang demikian akan mendatangkan bencana kepada diriku. Sebaliknya jika kamu seorang pendusta, tidak guna aku bercakap-cakap dengan engkau."
.
Dalam menghadapi penentangan yang sebegitu hebat, ketabahan dan kecekalan hati yang merupakan sifat-sifat semulajadi Nabi Muhammad SAW tidak menyebabkan Baginda berasa hampa dan gagal barang sedikit jua pun. Selepas meninggalkan pemuka-pemuka Bani Thafiq, Baginda SAW cuba menghampiri rakyat biasa. Di sini usaha Baginda juga menemui kegagalan. Mereka menyuruh Baginda keluar dalam Taif. Apabila Baginda SAW menyedari yang usahanya tidak mendatangkan hasil yang diingini, Baginda pun membuat keputusan hendak meninggalkan kota itu. Tetapi mereka tidak membiarkan Baginda SAW keluar dari Taif secara aman. Mereka melepaskan kacang-kacang hantu mereka supaya mengusik, mengejek, mengacau dan melemparinya dengan batu. Pelemparan batu yang dilakukan ke atas Baginda SAW menyebabkan tubuh Baginda SAW berdarah akibat luka-luka.

Apabila Baginda SAW berada agak jauh dari kota Taif, Baginda pun berdoa kepada Allah SWT: "Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada sesiapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaanMu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan hal ku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau."
.
Demikianlah doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT oleh Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengutuskan Jibrail AS menemui Baginda. Setibanya di hadapan Rasulullah, Jibril AS pun memberi salam seraya berkata: "Allah SWT mengetahui apa yang telah berlaku di antara kamu dan orang-orang ini. Allah SWT telah menyediakan malaikat di gunung-ganang disini khas untuk menjalankan sebarang perintah kamu." Sambil berkata demikian Jibril AS menghadapkan malaikat itu di hadapan Baginda SAW. Kata Malaikat tersebut: "Wahai Rasulullah, saya bersiap sedia untuk menjalankan perintah Tuan. Kalau dikehendaki, saya sanggup menyebabkan gunung-gunung di sebelah menyebelah kota ini berlanggaran sehingga penduduk-penduduk di kedua-dua belah mati tertindih. Kalau tidak, Tuan cadangkan apa saja hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini."
.
Mendengar janji-janji Malaikat itu, Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan sifat penyayang dan belas kasihan pun berkata: "Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah SWT, yang anak-anak mereka, pada satu masa nanti, akan menyembah Allah SWT dan berbakti kepadaNya."
.
Begitulah teladan mulia dan murni yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW. Kita semua mengakui yang kita menjadi pengikut-pengikutNya, tetapi dalam urusan hidup kita sehari-sehari, apabila cadangan kita ditolak atau tidak dipersetujui, maka kita dengan segera memaki hamun dan kadang-kadang bercita-cita untuk membalas dendam terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kita. Sebagai umatnya, kita hendaklah sentiasa mencontohi Rasulullah SAW. Selepas menerima penghinaan oleh penduduk-penduduk Kota Taif, Baginda SAW hanya berdoa. Baginda tidak memarahi mereka, tidak mengutuk mereka dan tidak mengambil sebarang tindakan balas walaupun diberi kesempatan sebaik-baiknya untuk membuat demikian.

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: