Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


04 Ogos 2012

PENGAJARAN DARI PERANG BADAR...





Marilah sejenak kita melakukan flashback terhadap suatu peristiwa di bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan mempelajari dan mengamati peristiwa ini, kita mendapat banyak hikmah dan pelajaran berharga bagi kehidupan kita sehari-hari. Dua tahun setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, bertepatan dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, terjadilah satu peristiwa besar namun sering dilupakan kaum muslimin, iaitu Perang Badar.

Ia disebut sebagai peristiwa besar, kerana perang Badar merupakan pertempuran bersenjata pertama dalam kapasiti besar yang dilakukan antara pembela Islam dan musuh Islam. Kerana hebatnya peristiwa ini, Allah SWT menamakan hari terjadinya peristiwa tersebut dengan Yaum Al Furqan (hari pembeda) kerana pada waktu itu, Allah SWT hendak membezakan di antara yang haq dengan yang batil. Di saat itulah Allah SWT mengangkat derajat kebenaran dengan jumlah kekuatan yang terbatas dan merendahkan kebatilan walaupun jumlah kekuatannya 3 kali ganda. Allah SWT menurunkan pertolongan yang besar bagi kaum muslimin dan memenangkan mereka di atas musuh-musuh Islam. 

Latar Belakang Pertempuran
Suatu ketika terdengarlah khabar di kalangan kaum muslimin Madinah bahawa Abu Sufyan, beserta kafilah dagangnya, hendak berangkat pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jalan mudah dan terdekat untuk perjalanan Syam menuju Mekah perlu melalui Madinah. Kesempatan berharga ini dimanfaatkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat untuk merampas barang dagangan mereka. Harta mereka menjadi halal bagi kaum muslimin. Mengapa demikian? Bukankah harta dan darah orang kafir yang tidak bersalah itu haram hukumnya?

Ada dua alasan yang menyebabkan harta Orang kafir Quraisy tersebut halal bagi para sahabat. Pertama, orang-orang kafir Quraisy statusnya adalah kafir harbi, iaitu orang kafir yang secara terang-terangan memerangi kaum muslimin, mengusir kaum muslimin dari tanah kelahiran mereka di Mekah, dan melarang kaum muslimin untuk memanfaatkan harta mereka sendiri. Kedua, tidak ada perjanjian damai antara kaum muslimin dan orang kafir Quraisy yang memerangi kaum muslimin. Dengan alasan inilah, mereka berhak untuk menarik kembali harta yang telah mereka tinggalkan dan merampas harta golongan musyrik.

Seterusnya Rasulullah SAW berangkat bersama tiga ratus sekian belas sahabat. Di antara tiga ratus belasan pasukan itu, ada dua orang penunggang kuda dan 70 ekor unta yang ditunggangi secara bergilir-gilir. 70 orang di kalangan Muhajirin dan selebihnya dari kalangan Ansar.

Sementara di pihak lain, orang kafir Quraisy ketika mendengar khabar bahawa kafilah dagang Abu Sufyan meminta bantuan, dengan segera mereka menyiapkan kekuatan mereka seramai 1000 orang, 600 baju besi, 100 ekor kuda, dan 700 ekor unta serta dengan persenjataan yang lengkap. Mereka berangkat mempamerkan kekuatan dan kesombongan di bawah pimpinan Abu Jahal. 

Kehendak Allah SWT Lain
Rasulullah SAW bersama para sahabat keluar dari Madinah dengan harapan dapat menyekat kafilah dagang Abu Sufyan untuk merampas harta mereka sebagai ganti rugi terhadap harta yang ditinggalkan kaum muhajirin di Mekah. Meskipun demikian, mereka merasa cemas kerana kemungkinan yang mereka hadapi adalah pasukan perang kerana persenjataan yang dibawa para sahabat tidak lengkap. Namun, kehendak Allah SWT berlainan. Allah SWT mentakdirkan agar pasukan tauhid yang kecil ini bertemu dengan pasukan perang yang lengkap bersenjata kerana Allah SWT hendak menunjukkan kehebatan agamaNya, merendahkan kesyirikan.

Allah SWT gambarkan kisah mereka dalam firmanNya: “Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu, dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang-orang kafir.” (QS Al-Anfal: 7)

Demikianlah gambaran orang soleh. Harapan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak tercapai. Mereka menginginkan harta kafilah dagang, tetapi yang mereka hadapi adalah pasukan perang. Kenyataan ini memberikan pelajaran penting dalam masalah aqidah bahawa tidak semua yang dikehendaki orang soleh selalu dikabulkan oleh Allah SWT. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, tidak ada yang mampu menyekatkan kehendak Allah SWT. Sehebat apapun kesolehan seseorang, setinggi apapun darjat seseorang sama sekali tidak mampu mengubah apa yang dikehendaki Allah SWT. 

Keangkuhan Pasukan Iblis
Ketika Abu Sufyan berjaya melepaskan diri dari pasukan kaum muslimin, dia terus mengirimkan surat kepada pasukan Mekah untuk meminta agar pasukan Mekah kembali pulang. Namun, dengan sombongnya, pasukan kesyirikan enggan menerima tawaran ini. Malah ada yang mengatakan: “Demi Allah, kita tidak akan kembali sampai kita tiba di Badar. Kita akan tinggal di sana tiga hari, menyembelih unta, pesta makan, minum khamar, mendengarkan dendang lagu biduwanita sampai masyarakat jazirah arab mengetahui kita dan sentiasa takut kepada kita…”

Keangkuhan mereka ini Allah SWT gambarkan dalam firmanNya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan…” (QS Al-Anfal: 47) 

Kesetiaan Sejati Para Sahabat
Ketika Rasulullah SAW merasa yakin bahawa yang akan dihadapi adalah pasukan perang dan bukan kafilah dagang, Baginda mulai cemas dan khuatir terhadap keteguhan dan semangat para sahabat. Baginda sedar bahawa pasukan yang akan Baginda hadapi kekuatannya jauh lebih besar dari pada kekuatan pasukan yang dipimpinnya. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika ada sebahagian sahabat yang merasa berat dengan keberangkatan pasukan menuju Badar.

Allah SWT menggambarkan keadaan mereka dalam firmanNya: “Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dari rumahmu dengan kebenaran, padahal sesungguhnya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya.” (QS Al-Anfal: 5)

Sementara itu, para komandan pasukan Muhajirin, seperti Abu Bakar As-Siddiq RA dan Umar bin Al-Khattab RA sama sekali tidak berganjak, tidak ingin berundur. Namun, ini belum dianggap cukup oleh Rasulullah SAW. Baginda masih menginginkan bukti kukuh kesetiaan dari sahabat yang lain. Akhirnya, untuk menghilangkan kecemasan itu, baginda berunding dengan para sahabat, meminta kepastian sikap mereka untuk menentukan dua pilihan: (1) tetap melanjutkan perang dalam apa jua keadaan, atau (2) kembali ke Madinah.

Lalu Al Miqdad bin ‘Amr seraya berkata: “Wahai Rasulullah, majulah terus sesuai apa yang diperintahkan Allah kepada anda. Kami akan bersama anda. Demi Allah, kami tidak akan mengatakan sebagaimana perkataan Bani Israil kepada Musa: ‘Pergi saja kamu, wahai Musa bersama Rabb-mu (Allah) berperanglah kalian berdua, kami biar duduk menanti di sini saja. (*petikan dari firman Allah surah Al-Maidah: 24)‘” Kemudian Al Miqdad melanjutkan: “Tetapi pergilah anda bersama Rabb anda (Allah), lalu berperanglah kalian berdua, dan kami akan ikut berperang bersama kalian berdua. Demi Dzat Yang mengutusmu dengan kebenaran, andai anda pergi membawa kami ke dasar sumur yang gelap, kamipun siap bertempur bersama engkau hingga engkau boleh mencapai tempat itu.” 

Kemudian Rasulullah SAW menyambut baik perkataan Al Miqdad dan mendoakan kebaikan untuknya. Seterusnya, majulah Sa’ad bin Muadz RA, komandan pasukan kaum Ansar. Sa’ad mengatakan: “Kami telah beriman kepada anda. Kami telah membenarkan anda. Andaikan anda bersama kami terhalang lautan lalu anda terjun ke dalam lautan itu, kami pun akan terjun bersama anda….” Seterusnya Sa’ad RA mengatakan: “Boleh jadi anda khuatir, jangan-jangan kaum Ansar tidak mahu menolong anda kecuali di perkampungan mereka (Madinah). Sesungguhnya aku berbicara dan memberi jawapan atas nama orang-orang Ansar. Maka dari itu, majulah seperti yang anda kehendaki….” 

Malam Yang Menyentuh Jiwa…
Pada malam itu, malam Jumaat 17 Ramadhan 2 Hijrah, Rasulullah SAW lebih banyak mendirikan solat di kawasan pepohonan. Sementara Allah SWT menurunkan rasa mengantuk kepada kaum muslimin sebagai penenang bagi mereka agar boleh beristirehat. Sedangkan kaum musyrikin berada di dalam keadaan cemas. Allah SWT menurunkan rasa takut kepada mereka. Adapun Rasulullah SAW sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT, memohon pertolongan dariNya.

Di antara doa yang dibaca Rasulullah SAW berulang-ulang adalah: “…Ya Allah, jika Engkau berkehendak (orang kafir menang), Engkau tidak akan disembah. Ya Allah, jika pasukan yang kecil ini Engkau binasakan pada hari ini, Engkau tidak akan disembah…..” 

Baginda SAW mengulang-ulangi doa ini sampai selendang baginda terjatuh kerana lamanya berdoa, kemudian datanglah Abu Bakar As-Siddiq RA memakaikan selendang baginda yang terjatuh sambil memeluk baginda… “Cukup-cukup, wahai Rasulullah…” 

Kisah ini diabadikan oleh Allah SWT dalam firmanNya: “Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras siksaan-Nya.” (QS Al-Anfal: 12-13) 

Bukti Kemukjizatan Rasulullah SAW
Selesai Baginda SAW menyiapkan barisan pasukan sahabatnya, Baginda SAW berjalan di tempat pertempuran dua pasukan. Kemudian baginda berkata: “Ini tempat terbunuhnya si fulan, itu tempat matinya si fulan, sana tempat terbunuhnya si fulan….” Tidak satupun orang kafir yang Baginda sebut namanya, kecuali benar-benar terbunuh di tempat yang diisyaratkan oleh Baginda. 

Bara Peperangan Mulai Menyala
Yang pertama kali menyalakan api peperangan adalah Al Aswad Al Makhzumi, seorang yang berperangai kasar dan buruk akhlaknya. Kedatangannya terus disambut oleh Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib RA, bapa saudara Rasulullah SAW. Setelah saling berhadapan, Saidina Hamzah RA terus menghayunkan pedangnya hingga kaki Al Aswad Al Makhzumi putus. Setelah itu, Al Aswad merangkak ke kolam dan terjatuh di dalamnya. Kemudian Hamzah menghayunkan sekali lagi ketika dia berada di dalam kolam. Inilah korban Badar pertama kali yang memulakan peperangan.

Selanjutnya, muncul tiga penunggang kuda yang handal dari kaum Musyrikin. Ketiganya berasal dari satu keluarga. Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah, dan anaknya Al Walid bin Utbah. Kedatangan mereka disambut oleh 3 pemuda Ansar, iaitu Auf bin Harits, Mu’awwidz bin Harits, dan Abdullah bin Rawahah. Namun, ketiga orang kafir tersebut menolak adu tanding dengan tiga orang Ansar tersebut dan mereka mengajak orang yang berkedudukan di kalangan Muhajirin. Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan Ali, Hamzah, dan Ubaidah bin Harits untuk maju. Ubaidah berhadapan dengan Al Walid, Ali berhadapan dengan Syaibah, dan Hamzah berhadapan dengan Utbah. Bagi Ali dan Hamzah, menghadapi musuhnya tidak ada kesulitan. Lain halnya dengan Ubaidah. Masing-masing saling melancarkan serangan, hingga masing-masing terluka. Kemudian lawan Ubaidah dibunuh oleh Ali RA.

Atas peristiwa ini, Allah SWT abadikan dalam firmanNya: “Inilah dua golongan (golongan mukmin dan golongan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai Tuhan mereka (Allah)…” (QS Al Hajj: 19)

Akhirnya bertemulah dua pasukan. Pertempuran-pun terjadi antara pembela Tauhid dan pembela syirik. Mereka berperang kerana perbezaan prinsip beragama, bukan kerana rebutan dunia. Sementara itu, Rasulullah SAW berada di tenda Baginda, memberikan arahan kepada tentera muslimin. Abu Bakar RA dan Sa’ad bin Muadz RA bertugas menjaga baginda. Tidak pernah putus, Rasulullah SAW sentiasa melantunkan doa dan memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah SWT. Pernah baginda keluar dari tenda dan mengatakan: “Pasukan (Quraisy) akan dikalahkan dan ditekuk mundur…” 

Baginda SAW juga sentiasa memberi motivasi kepada para sahabat untuk berjuang. Baginda bersabda: “Demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dengan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan tidak mundur, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.” 

Tiba-tiba berdirilah Umair bin Al Himam Al-Ansari RA sambil membawa beberapa kurma untuk dimakan, beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah syurga lebarnya selebar langit dan bumi?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.” Kemudian Umair mengatakan: “Bakh…Bakh… (kagum). Wahai Rasulullah, antara diriku dan aku masuk syurga adalah ketika mereka membunuhku. Demi Allah, andaikan saya hidup harus makan kurma dulu, sungguh ini adalah usia yang terlalu panjang." Kemudian beliau melemparkan kurmanya, dan terjun ke medan perang sampai syahid. 

Dalam kesempatan yang lain, Rasulullah SAW mengambil segenggam pasir dan melemparkannya ke barisan musuh. Sehingga tidak ada satu pun orang kafir kecuali matanya penuh dengan pasir. Mereka pun sibuk dengan mata masing-masing, sebagai tanda kemukjizatan Baginda atas kehendak Allah SWT. 

Kuatnya Pengaruh Teman Dekat Dalam Hidup
Rasulullah SAW melarang untuk membunuh Abul Bakhtari, kerana ketika di Mekah, dia sering melindungi Baginda dan yang berusaha untuk menggugurkan pemboikotan puak Quraisy terhadap Bani Hasyim. Suatu ketika Al-Mujadzar bin Ziyad bertemu dengannya di tengah medan pertempuran. Ketika, itu Abul Bakhtari bersama rakannya. 

Maka, Al-Mujadzar mengatakan: “Wahai Abul Bakhtari, sesungguhnya Rasulullah SAW melarang kami membunuhmu.” “Lalu bagaimana dengan temanku ini?”, tanya Abul Bakhtari. “Demi Allah, kami tidak akan membiarkan temanmu”, jawab Al-Mujadzar. Akhirnya mereka berdua bertempur, sehingga Al-Mujadzar terpaksa membunuh Abul Bakhtari. 

Kemenangan Bagi Kaum Muslimin
Medan Badar menyaksikan pasukan musyrikin mengalami kekalahan yang amat memalukan. Pasukan kaum muslimin berjaya membunuh dan menangkap beberapa orang di antara tentera mereka. Ada tujuh puluh orang kafir terbunuh dan tujuh puluh yang dijadikan tawanan. Di antara 70 yang terbunuh termasuklah 24 pemimpin kaum Musyrikin Quraisy yang diseret dan dimasukkan ke dalam lubang-lubang di Badar, di antaranya Abu Jahal, Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah dan anaknya, Al Walid bin Utbah.

Demikianlah perang Badar, pasukan kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah SWT. Allah SWT berfirman: “…Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS Al Baqarah: 249)



08 Jun 2012

KEUTAMAAN BERSELAWAT KEPADA RASULULLAH S.A.W.


Sesungguhnya Allah SWT dengan kekuasaan-Nya telah mengutus Nabi Muhammad SAW dan telah memberinya kekhususan dan kemuliaan untuk menyampaikan risalahNya, serta menjadikan Baginda rahmat bagi seluruh alam dan pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa serta menjadikannya orang yang dapat memberi petunjuk ke jalan yang lurus. Seseorang hamba mestilah mentaatinya, menghormati dan melaksanakan hak-haknya. Dan di antara hak-haknya adalah Allah mengkhususkan baginya selawat dan memerintahkan kita untuk itu di dalam Al-Quran serta sunnah Nabi-Nya yang mulia (Hadis).

Menurut istilah Kamus Bahasa Melayu, selawat ditakrifkan sebagai: “Doa kepada Tuhan supaya dilimpahkan rahmat atas Nabi Muhammad (SAW).”


Pengertian Selawat dan Salam atas Nabi Muhammad SAW

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (QS Al-Ahzab: 56)

Ibnu Katsir rahimahullah berkata: “Maksud ayat ini adalah bahawa Allah SWT mengkhabarkan kepada hamba-hamba-Nya tentang kedudukan hamba dan nabi-Nya (Muhammad) di sisi-Nya di langit di mana malaikat-malaikat berselawat untuknya, lalu Allah SWT memerintahkan makhluk-makhluk yang ada di bumi untuk berselawat dan salam untuknya, agar pujian tersebut berkumpul untuknya dari seluruh alam baik yang ada di atas mahupun yang ada di bawah.”

Ibnul Qayyim rahimahullah pula mengatakan dalam kitab ‘Jalaul Afham’: “Ertinya bahawa jika Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk rasul-Nya, maka hendaklah kalian juga berselawat dan salam untuknya kerana kalian telah mendapatkan berkah risalah dan usahanya, seperti kemuliaan di dunia dan di akhirat.”

Banyak pendapat tentang pengertian selawat untuk Rasulullah SAW, dan yang benar adalah seperti apa yang dikatakan oleh Abul Aliyah: “Sesungguhnya selawat dari Allah itu adalah berupa pujian bagi orang yang berselawat untuk Baginda di sisi malaikat-malaikat yang dekat.” - Imam Bukhari meriwayatkannya dalam shahihnya dengan komentar yang kuat- Dan ini adalah mengkhususkan dari rahmat-Nya yang bersifat umum. Pendapat ini diperkuat oleh Syeikh Muhammad bin ‘Utsaimin.

Salam: Ertinya keselamatan dari segala kekurangan dan bahaya, kerana dengan mendampingkan salam itu dengan selawat, maka kitapun mendapatkan apa yang kita inginkan dan terhapuslah apa yang kita takutkan. Jadi dengan salam apa yang kita takutkan menjadi hilang dan bersih dari kekurangan dan dengan selawat maka apa yang kita inginkan menjadi terpenuhi dan lebih sempurna. Demikian yang dikatakan oleh Syekh Muhammad bin ‘Utsaimin.


Hukum Selawat Untuk Rasulullah SAW

Menurut mazhab Hambali, selawat dalam tasyahhud akhir itu adalah termasuk di antara rukun-rukun solat.

Al-Qadhi Abu Bakar bin Bakir berkata: “Allah SWT telah mewajibkan makhluk-Nya untuk berselawat dan salam untuk Nabi-Nya, dan tidak menjadikan itu dalam waktu tertentu saja. Jadi yang wajib adalah hendaklah seseorang memperbanyakkan selawat dan salam untuk Baginda dan tidak melalaikannya.”


Saat-Saat Yang Disunatkan dan Dianjurkan Membaca Selawat dan Salam

1. Sebelum berdoa:

Fadhalah bin ‘Abid berkata: “Rasulullah SAW mendengar seorang laki-laki berdoa dalam solatnya, tetapi tidak berselawat untuk Nabi SAW, maka Baginda bersabda: “Orang ini tergesa-gesa.”, lalu Baginda memanggil orang tersebut dan bersabda kepadanya dan kepada yang lainnya: “Bila salah seorang di antara kalian solat (berdoa) maka hendaklah ia memulainya dengan pujian dan sanjungan kepada Allah lalu berselawat untuk nabi, kemudian berdoa setelah itu dengan apa saja yang ia inginkan.” (HR Abu Daud, Tirmidzi, Ahmad dan Hakim)

Dalam salah satu hadis disebutkan: “Doa itu terhalangi, sehingga orang yang berdoa itu berselawat untuk Nabi SAW.” (HR Thabrani)

Ibnu ‘Atha berkata: “Doa itu memiliki rukun-rukun, sayap-sayap, sebab-sebab dan waktu-waktu. Bila bertepatan dengan rukun-rukunnya, maka doa itu menjadi kuat; bila sesuai dengan sayap-sayapnya maka ia akan terbang ke langit; bila sesuai dengan waktu-waktunya, maka ia akan beruntung; dan bila bertepatan dengan sebab-sebabnya, maka ia akan berhasil.”

Adapun rukun-rukunnya adalah menghadirkan hati, perasaan tunduk, ketenangan, kekhusyukan, dan ketergantungan hati kepada Allah SWT, sayap-sayapnya adalah jujur, waktu-waktunya adalah di saat sahur dan sebab-sebabnya adalah selawat untuk Rasulullah SAW.


2. Ketika menyebut, mendengar dan menulis nama Baginda:

Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah seseorang yang namaku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat untukku.” (HR Tirmidzi dan Al-Hakim)


3. Memperbanyak selawat untuknya pada hari Jumaat:

Dari ‘Aus bin ‘Aus berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara hari-hari yang paling afdhal adalah hari Jumaat, maka perbanyaklah selawat untukku pada hari itu, kerana selawat kalian akan sampai kepadaku......” (HR Abu Daud, Ahmad dan Al-Hakim)


4. Selawat untuk Rasulullah SAW ketika menulis surat dan apa yang ditulis selepas Basmalah:

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Inilah saat-saat yang tepat untuk berselawat yang telah banyak dilakukan oleh umat ini tanpa ada yang menentang dan mengingkarinya. Dan tidak pula pada zaman awal. Lalu terjadi penambahan pada masa pemerintahan Bani Hasyim (Daulah ‘Abbasiah) lalu diamalkan oleh umat manusia di seluruh dunia.”

Dan di antara mereka ada pula yang mengakhiri bukunya dengan selawat.


5. Ketika masuk dan keluar masjid:

Dari Fatimah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Bila anda masuk masjid, maka ucapkanlah: ”Dengan nama Allah, salam untuk Rasulullah, ya Allah selawatlah untuk Muhammad dan keluarga Muhammad, ampunilah kami dan mudahkanlah bagi kami pintu-pintu rahmat-Mu.”

“Dan bila keluar dari masjid maka ucapkanlah itu, tapi (pada penggalan akhir) diganti dengan: “Dan permudahlah bagi kami pintu-pintu kurnia-Mu.” (HR Ibnu Majah dan Tirmidzi)


Cara Selawat dan Salam Untuk Rasulullah SAW

Allah SAW berfirman: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Q.S. Al-Ahzab: 56)

Jadi yang utama adalah dengan menggandingkan selawat dan salam bersama-sama, dengan harapan agar doanya dapat dikabulkan oleh Allah SAW. Inilah bentuk selawat dan salam untuk Baginda SAW. Dari Abi Muhammad bin ‘Ajrah RA berkata: “Rasulullah SAW keluar kepada kami, lalu saya berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah mengetahui bagaimana kami memberi salam kepadamu, maka bagaimana kami berselawat untukmu?” Maka Baginda bersabda: “Katakanlah: “Ya Allah! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkaulah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Dan dari Abi Hamid As-Sa’id RA berkata: “Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana kami berselawat untukmu? Baginda menjawab: “Katakanlah: “Ya Allah! Berilah selawat untuk Muhammad, isteri-isteri dan keturunannya, sebagaimana Engkau memberi selawat untuk Ibrahim. Berkatilah Muhammad, isteri-isteri dan keturunannya, sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Pemurah.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Kedua hadis ini menunjukkan bentuk selawat yang sempurna untuk Rasulullah SAW.


Keutamaan Selawat dan Salam Untuk Rasulullah SAW

Dari Umar RA berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Jika kalian mendengar orang yang azan, maka ucapkanlah seperti apa yang ia ucapkan dan berselawatlah untukku kerana barangsiapa yang berselawat untukku sekali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali, kemudian mintalah wasilah (kedudukan mulia di syurga) untukku, kerana ia adalah suatu kedudukan di syurga yang tidak pantas diberikan kecuali kepada seorang hamba dari hamba-hamba Allah dan semoga akulah hamba itu, maka barangsiapa yang memohon untukku wasilah, maka ia berhak mendapatkan syafaat.” (HR Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berselawat untukku di waktu pagi sepuluh kali dan di waktu petang sepuluh kali, maka ia berhak mendapatkan syafaatku.” (HR Thabrani)

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali.” (HR Muslim, Ahmad dan perawi hadis yang tiga)

Dan dari Abdurrahman bin ‘Auf RA berkata: “Saya telah mendatangi Nabi SAW ketika ia sedang sujud dan memanjangkan sujudnya. Baginda bersabda: “Saya telah didatangi Jibril, ia berkata: “Barangsiapa yang berselawat untukmu, maka saya akan berselawat untuknya dan barangsiapa yang memberi salam untukmu, maka saya akan memberi salam untuknya, maka sayapun bersujud kerana bersyukur kepada Allah.” (HR Hakim, Ahmad dan Jahadhmiy)

Ya’qub bin Zaid bin Tholhah At-Taimiy berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepadaku (malaikat) dari Tuhanku dan berkata: “Tidaklah seorang hamba yang berselawat untukmu sekali kecuali Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali.” Maka seseorang menuju kepadanya dan bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah saya jadikan seperdua doaku untukmu?” Baginda menjawab: “Jika anda mahu”. Lalu bertanya: “Apakah saya jadikan sepertiga doaku?” Baginda bersabda: “Jika anda mahu” Ia bertanya: “Kalau saya jadikan seluruh doaku?” Baginda bersabda: “Jika demikian maka cukuplah Allah sebagai motivasi dunia dan akhiratmu.” (HR Al-Jahdhami; Al-Albani berkata: “Hadis Mursal dengan isnad yang shahih)

Dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat-malaikat yang berkeliling menyampaikan salam kepadaku dari umatku.” (HR Nasa’i dan Hakim)

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berselawat untukku sekali maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali, diampuni sepuluh dosa-dosanya dan diangkat baginya sepuluh darjat.” (HR Ahmad dan Bukhari, Nasa’i dan Hakim dan ditashih oleh Al-Albani)

Hadis marfu’ dari Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling utama di sisiku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat untukku.” (HR Tirmidzi dan berkata: “Hasan gharib dan HR Ibnu Hibban)

Dari Jabir bin Abdullah RA berkata: “Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ketika mendengarkan azan membaca: “Ya Allah! Tuhan pemilik azan yang sempurna ini dan solat yang ditegakkan, berilah Muhammad wasilah dan fadhilah dan bangkitkanlah ia pada tempat terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya.”, maka ia berhak mendapatkan syafaat pada hari kiamat.” (HR Bukhari dalam shahihnya)


Celaan Bagi Yang Tidak Berselawat Untuk Nabi SAW

Dari Abu Hurairah RA­ berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah seseorang yang jika namaku disebut di sisinya ia tidak berselawat untukku, celakalah seseorang, ia memasuki bulan Ramadhan kemudian keluar sebelum ia diampuni, celakalah seseorang, kedua orang tuanya telah tua tetapi keduanya tidak memasukkannya ke dalam syurga.” Abdurrahman salah seorang perawi hadis dan Abdurrahman bin Ishak berkata: “Saya kira ia berkata: “Atau salah seorang di antara keduanya” (HR Tirmidzi dan Bazzar)

Dari Ali bin Abi Thalib, dari Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling bakhil adalah seseorang yang jika namaku disebut ia tidak berselawat untukku.” (HR Nasa’i, Tirmidzi dan Thabrani)

Dari Ibnu Abbas, Rasul SAW bersabda: “Barangsiapa yang lupa mengucapkan selawat untukku, maka ia telah menyalahi jalan syurga.” (Telah ditashih oleh Al-Albani)

Dari Abu Hurairah, Abul Qasim (Rasulullah SAW) bersabda: “Suatu kaum yang duduk pada suatu majlis, lalu mereka bersurai sebelum berzikir kepada Allah dan berselawat untuk Nabi SAW, maka Allah akan menimpakan kebatilan atas mereka, bila Ia menghendaki, maka mereka akan disiksa dan bila Ia menghendaki, maka mereka akan diampuni.” (HR Tirmidzi dan mentahsihnya serta Abu Daud)

Diriwayatkan oleh Abu Isa Tirmidzi dari sebahagian ulama berkata: “Jika seseorang berselawat untuk Nabi SAW sekali dalam suatu majlis, maka itu sudah memadai dalam majlis tersebut.”


Faedah BERSELAWAT Untuk Rasulullah SAW

Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan 39 manfaat selawat untuk Rasulullah SAW, di antaranya:

1.Melaksanakan perintah Allah SWT

2.Mendapat sepuluh selawat dari Allah bagi yang membaca selawat satu kali.

3.Ditulis baginya sepuluh kebaikan dan dihapus darinya sepuluh kejahatan.

4.Diangkat baginya sepuluh darjat.

5.Kemungkinan doanya terkabul bila ia mendahuluinya dengan selawat, dan doanya akan naik menuju kepada Tuhan semesta alam.

6.Penyebab mendapatkan syafaat Rasulullah SAW bila diiringi oleh permintaan wasilah untuknya atau tanpa diiringi olehnya.

7.Penyebab mendapatkan pengampunan dosa.

8.Dimakbulkan oleh Allah SWT apa yang diinginkannya.

9.Mendekatkan hamba dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat.

10.Menyebabkan Allah SWt dan malaikat-Nya berselawat untuk orang yang berselawat.

11.Rasulullah SAW menjawab selawat dan salam orang yang berselawat untuknya.

12.Mengharumkan majlis dan agar ia tidak kembali kepada keluarganya dalam keadaan menyesal pada hari kiamat.

13.Menghilangkan kefakiran.

14.Menghapus predikat “bakhil” dari seorang hamba jika ia berselawat untuk Rasulullah SAW ketika namanya disebut.

15.Orang yang berselawat akan mendapatkan pujian yang baik dari Allah SWT di antara penghuni langit dan bumi, kerana orang yang berselawat, memohon kepada Allah SWT agar memuji, menghormati dan memuliakan rasul-Nya, maka balasan untuknya sama dengan yang ia mohonkan, maka hasilnya sama dengan apa yang diperoleh oleh rasul-Nya.

16.Akan mendapatkan berkah pada dirinya, pekerjaannya, umurnya dan kemaslahatannya, kerana orang yang berselawat itu memohon kepada Tuhannya agar memberkati nabi-Nya dan keluarganya, dan doa ini terkabul dan balasannya sama dengan permohonannya.

17.Nama orang yang berselawat itu akan disebutkan dan diingati di sisi Rasulullah SAW seperti penjelasan terdahulu, sebagaimana sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya selawat kalian akan diperdengarkan kepadaku.” Sabda Baginda yang lain: “Sesungguhnya Allah mewakilkan malaikat di kuburku yang menyampaikan kepadaku salam dari umatku.” Dan cukuplah seorang hamba mendapatkan kehormatan bila namanya disebut dengan kebaikan di sisi Rasulullah SAW.

18.Meneguhkan kedua kaki di atas titian Sirat dan melewatinya berdasarkan hadis Abdurrahman bin Samirah yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyib tentang mimpi Rasulullah SAW: “Saya melihat seorang di antara umatku merangkak di atas titian Sirat dan kadang-kadang berpegangan lalu selawatnya untukku datang dan membantunya berdiri dengan kedua kakinya lalu menyelamatkannya.” (HR Abu Musa Al-Madiniy)

19.Akan sentiasa mendapatkan cinta Rasulullah SAW bahkan bertambah dan berlipat ganda. Dan itu termasuk ikatan iman yang tidak sempurna kecuali dengannya, kerana seorang hamba bila sentiasa menyebut nama kekasihnya, menghadirkan dalam hati segala kebaikan-kebaikannya yang melahirkan cinta, maka cintanya itu akan semakin berlipat dan rasa rindu kepadanya akan semakin bertambah, bahkan akan menguasai seluruh hatinya. Tetapi bila ia menolak mengingat dan menghadirkannya dalam hati, maka cintanya akan berkurang dari hatinya. Tidak ada yang lebih disenangi oleh seorang pecinta kecuali melihat orang yang dicintainya dan tiada yang lebih dicintai hatinya kecuali dengan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya cinta itu bergantung kepada kadar cintanya di dalam hati, dan keadaan lahir menunjukkan hal itu.

20.Akan mendapatkan petunjuk dan hati yang hidup. Semakin banyak ia berselawat dan menyebut nabi, maka cintanyapun semakin bergemuruh di dalam hatinya sehingga tidak ada lagi di dalam hatinya penolakan terhadap perintah-perintahnya, tidak ada lagi keraguan terhadap apa-apa yang dibawanya, bahkan hal tersebut telah tertulis di dalam hatinya, menerima petunjuk, kemenangan dan berbagai jenis ilmu darinya. Ulama-ulama yang mengetahui dan mengikuti sunnah dan jalan hidup Baginda, setiap pengetahuan mereka bertambah tentang apa yang Baginda bawa, maka bertambah pula cinta dan pengetahuan mereka tentang hakikat selawat yang diinginkan untuknya dari Allah SWT.


Selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabatnya, sampai akhir zaman. Amin, ya Rabbal ‘Alamin...

Wallahua’lam..