Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


18 Februari 2011

PENURUNAN MANUSIA KE PERINGKAT RENDAH YANG PALING BAWAH


Allah Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci sebagai ciptaan yang paling sempurna, yang pertama diciptakan, di dalam alam kewujudan mutlak bagi Zat-Nya. Kemudian Dia berkehendak menghantarkannya kepada alam rendah. Tujuan Dia berbuat demikian ialah bagi mengajar roh suci mencari jalan kembali kepada yang sebenar di tahap Maha Kuasa, mencari kedudukannya yang dahulu yang hampir dan akrab dengan Allah.

Dihantarkan-Nya roh suci kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih dan sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam nama-nama dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad SAW.

Roh suci memiliki dan membawa bersama-samanya benih kesatuan. Apabila melalui alam ini ia dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh sultan’. Apabila melalui alam malaikat yang menjadi perantaraan kepada mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh perpindahan’. Bila akhirnya ia turun kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti dengan daging yang Allah ciptakan untuk kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti oleh jirim yang kasar bagi menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika berhubung secara langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar menjadi abu. Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan, roh manusia.

Tujuan roh suci dihantar ke tempat ciptaan yang paling rendah ini ialah supaya ia mencari jalan kembali kepada kedudukannya yang asal, makam kehampiran, ketika ia masih di dalam bentuk berdaging dan bertulang ini. Ia sepatutnya datang ke alam benda yang kasar ini, dan dengan melalui hatinya yang berada di dalam mayat ini, menanamkan benih kesatuan dan menumbuhkan pokok keesaan di dalam dunia ini.

Akar pokok masih berada pada tempat asalnya. Dahannya memenuhi ruang kebahagiaan, dan di sana demi keredhaan Allah, mengeluarkan buah kesatuan. Kemudian di dalam bumi hati roh itu menanamkan benih agama dan bercita-cita menumbuhkan pokok agama agar diperolehi buahnya, tiap-tiap satunya akan menaikkannya kepada peringkat yang lebih hampir dengan Allah.

Allah SWT membuatkan jasad-jasad atau tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh roh-roh dan bagi roh-roh ini masing-masing mempunyai nama yang berbeza-beza. Dia bina ruang penyesuaian di dalam tubuh. Diletakkan-Nya roh manusia, roh kehidupan di antara daging dan darah. Diletakkan-Nya roh suci di tengah-tengah hati, di mana dibina ruang bagi jirim yang sangat seni untuk menyimpan rahsia di antara Allah dengan hamba-Nya.

Roh-roh ini berada pada tempat yang berbeza-beza dalam tubuh, dengan tugas yang berbeza, urusan yang berbeza, masing-masing umpama membeli dan menjual barang yang berlainan, mendapat faedah yang berbeza. Perniagaan mereka sentiasa membawakan kepada mereka banyak manfaat dalam bentuk nikmati dan rahmat Allah. Firman-Nya: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,”. (QS Faathir: 29)

Layaklah bagi setiap manusia mengetahui urusannya di dalam alam kewujudan dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia mestilah faham bahawa dia tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai benar untuknya dan digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa yang telah dihukumkan untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini Allah SWT berfirman: Tidaklah dia ketahui apabila dibongkarkan apa-apa yang di dalam kubur? Dan dizahirkan apa-apa yang di dalam dada?(QS Al-‘Aadiyat: 9~10)

Firman-Nya: “Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.” (QS Al-Isra’: 13).

Wallahu a’lam.

(Sumber: Sirr Al-Asrar oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jilani)


13 Februari 2011

KISAH NABI SYUAIB A.S.



Allah SWT mengangkat Nabi Syuaib AS menjadi Nabi dan mengutus beliau ke negeri Madyan. Kejahatan yang dilakukan oleh penduduk Madyan tidak hanya melakukan kesyirikan tetapi juga penipuan dalam timbangan dan takaran serta penipuan dalam soal muamalat dan mengurangi hak-hak orang lain. Nabi Syuaib AS mengajak mereka untuk beribadah hanya kepada Allah SWT saja dan melarang mereka melakukan perbuatan syirik. Beliau juga mengingatkan agar sentiasa berlaku adil dan jujur dalam bermuamalat serta tidak merugikan orang lain.

Nabi Syuaib AS juga mengingatkan kaumnya tentang kurniaan yang telah Allah SWT limpahkan kepada mereka berupa rezeki yang melimpah ruah. Nabi Syuaib AS juga mengancam dengan azab di dunia sebelum azab yang lebih besar di akhirat kelak. Namun kaumnya menolak seruan itu sambil mengejek beliau.

Allah SWT berfirman: “Mereka berkata: “Hai Syuaib! Apakah solatmu menyuruhmu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami. Sesungguh kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal.” (QS Hud: 87)

FirmanNya: “Syuaib berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezeki yang baik. Dan aku tidak berkehendak mengerjakan apa yang aku larang kamu daripadanya. Aku tidak bermaksud kecuali perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.” (QS Hud: 88)

Kemudian beliau mengancam mereka dengan siksaan yang pernah menimpa umat-terdahulu dan tinggal di sekitar mereka. Firman Allah SWT: “Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Saleh, sedang kaum Luth tidak jauh (tempatnya) dari kamu.” (QS Hud: 89)

Beliau meminta kepada mereka agar bertaubat dan membangkitkan keinginan mereka untuk bertaubat. Nabi Syuaib AS berkata sebagaimana firman Allah: “Dan mohonlah ampunan kepada Tuhan kalian kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguh Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.” (QS Hud: 90)

Namun semua seruan itu tidak diendahkan sedikitpun. Firman Allah SWT: “Mereka berkata: Hai Syuaib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu, tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamupun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.” (QS Hud: 91)

Dan firman Allah SWT:Syuaib menjawab: Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah, sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.” (QS Hud: 92)

Dan ketika kaumnya mengancam kekerasan mereka beliau berkata: “Dan (dia berkata): Hai kaumku, berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab, sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu.” (QS Hud: 93)

Kemudian Allah SWT mengirimkan rasa panas yang hebat kepada mereka yang menyumbat pernafasan mereka sehingga mereka hampir tercekik kerana kedahsyatannya. Kemudiannya Allah SWT mengirimkan awan dingin yang menaungi mereka lalu beramai-ramai bernaung di bawahnya. Setelah mereka berkumpul di bawah awan tersebut, tiba-tiba muncullah nyalaan api yang hebat yang membakar mereka hingga merekapun mati dalam keadaan mendapat azab kehinaan.

Wallahu a’lam.

11 Februari 2011

TAUBAT SEBAGAI PINTU KESELAMATAN


Nabi Adam AS, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apatah lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Nabi Adam AS mengakui kesalahannya dan kembali kepada Allah SWT, memohon agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Nabi Adam AS beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Nabi Adam AS bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT yang mengajarkan Nabi Adam AS bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat yang dilakukan oleh Nabi Adam AS adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal soleh. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.

Iblis, jin yang pertama diciptakan Tuhan, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Nabi Adam AS adalah lupa kepada pesanan Tuhan. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan. Nabi Adam AS mengakui kesalahan dan bertaubat. Namun iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Nabi Adam AS yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT selama-lamanya. Nabi Adam AS kembali kepada Allah SWT dan keselamatan-Nya, manakala iblis tercampak jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak, taubat membawa Nabi Adam AS kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke tempat kembali yang paling buruk, iaitu neraka jahannam.

Taubat adalah jalan kembali kepada Tuhan. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari Tuhan. Jika dia tidak bertaubat, dia tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan, maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Tuhan. Dia boleh melakukan suruhan syariat, namun tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Tuhan.

Hamba yang melakukan kesalahan amat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman, iman yang menguatkan amal soleh. Tanpa iman, tidak ada amal soleh. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai solehnya. Soleh itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Tuhan. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan sahaja berguna di akhirat, malah keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang soleh. Di akhirat kelak, terjemahan pahala itu akan lebih jelas lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.

Bani Adam memiliki tabiat 'keadaman', yakni tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad SAW yang suci bersih pun sentiasa bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya melakukan perintah Allah SWT dengan sempurna.

Ramai manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu taubat. Nabi Adam AS yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau melalui pintu taubat dan menerima keampunan dari Allah SWT. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat. Bagi orang yang bertaubat dan diampuni-Nya, kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Tuhan. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Tuhan akan memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Allah SWT dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.

Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.

Taubat luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Taubat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Nabi Adam AS yang telah melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau AS tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.

Orang yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada Tuhan. Jihad membuang nilai-nilai buruk daripada daerah nafsu dan akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada daerah nafsu, suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.

Dalam perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan makan dan minum, pakaian, tidur, melakukan perbuatan yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat yang jahat (mazmumah) seperti takabbur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.

Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, kemaluan dan segenap tubuh boleh menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi pintu dosa.

Dosa adalah umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan, pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.

Syahwat yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi pelbagai penyakit termasuk Aids.

Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.

Fikiran dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti, namun hasilnya adalah kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu dan bom nuklear untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan dan anggota yang berdosa lebih mewujudkan neraka dalam dunia daripada memberi kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah yang mengheret dunia kepada kiamat.

Ulama zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersembahyang? Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak.

Kaum Muslimin memainkan peranan yang penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada ketidakstabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat merupakan kurniaan Allah SWT yang besar kepada orang-orang yang beriman demi faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat sembahyang dan lain-lain. Mereka mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Allah SWT di dalam sembahyang.

Taubat, sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat yang berada dalam batin. Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu feqah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah feqah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah SAW, semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu feqah dan tasauf. Ilmu feqah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada feqah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan feqah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Feqah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan feqah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfeqah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam, tetapi bertasauf tanpa feqah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan sembahyang.

Taubat yang benar menggabungkan cara feqah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat melakukan sembahyang sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi kesalahan kepada orang lain, dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.

Taubat yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut kepada Tuhan. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Allah SWT memohonkan keampunan-Nya. Dia takut dicampakkan jauh daripada Tuhan. Dia takut ‘kehilangan’ Tuhan yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Tuhan Melihat dan Mendengar segala perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Allah SWT yang sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Allah SWT memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan Allah SWT itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.

Orang arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut sunnah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada sunnah Rasulullah SAW, mendakwa dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka. Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan darah daging.

Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu ilmu feqah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang feqah lebih bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim feqah sesuai untuk orang ramai dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya menuju matlamat dengan selamat.

15 Januari 2011

BENARLAH SAYYIDINA ALI K.W.J. PINTU GEDUNG ILMU...


Suatu hari semasa Sayyidina Ali k.w. sedang memberi syarahan dalam suatu majils ilmu, datang 10 orang lelaki yang hendak menguji kehebatan ilmunya.

“Wahai Ali, benarkah Rasulullah berkata: "Saya adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya?” Tanya salah seorang daripada lelaki itu.


“Memang benar……,” jawab Khalifah Ali bin Abi Talib.


Lelaki pertama bertanya: ”Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?”. ”Sudah tentu ilmu itu lebih baik daripada harta,” jawab
Sayyidina Ali.

”Apa dalilnya, wahai Ali?” tanya lelaki itu lagi. ”Wahai saudaraku, ilmu itu adalah warisan para nabi dan rasul. Harta itu warisan Qarun, Syaddad, dan lain-lain,” jawab
Sayyidina Ali.

Lelaki kedua pula bertanya: ”Wahai Ali, manakah lebih baik antara ilmu dengan harta?”. ”Tentulah ilmu itu yang lebih baik daripada harta,” jawab
Sayyidina Ali, tanpa menunjukkan rasa marah.

”Apa dalilnya?” tanya lelaki ke-dua itu lagi. ”Wahai saudaraku, ilmu itu menjaga kamu tetapi harta itu kamu yang menjaganya,” jawab
Sayyidina Ali.

Lelaki ke-tiga pula bertanya: ”Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara harta dengan ilmu?”. Maka dijawab oleh
Sayyidina Ali: ”Wahai saudaraku, orang yang mempunyai banyak harta akan mempunyai ramai musuh. Tetapi orang yang berilmu mendapat ramai kawan."

Lelaki ke-empat juga bertanya soalan yang sama. Jawapan
Sayyidina Ali: ”Wahai saudaraku, harta apabila ia dibelanjakan maka ia akan berkurang, sedangkan ilmu, jika ia diamalkan semakin bertambah."

Lelaki ke-lima juga bertanyakan soalan yang sama. Maka dijawab oleh Sayyidina Ali: ”Wahai saudaraku, orang yang banyak harta biasanya kedekut dan tidak dihormati. Mereka yang banyak ilmu pemurah dan dihormati."


Lelaki ke-enam pula bertanya soalan yg sama, lalu dijawab oleh
Sayyidina Ali: ”Pemilik harta akan dihisab pada hari kiamat. Ilmu pula akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat.”

Sayyidina
Ali memandang ke arah lelaki yang ke-tujuh lalu berkata, ”Harta menjadikan pemiliknya keras hati, tetapi ilmu menjadikan pemiliknya terang hati."

Kepada lelaki ke-lapan
Sayyidina Ali berkata: ”Harta semakin lama disimpan ia semakin usang; tetapi ilmu tidak usang dan tidak lapuk.”

Kemudian
Sayyidina Ali terus berkata: ”Pemilik harta akan berkata harta itu milik dia. Pemilik ilmu pula berkata ilmu itu milik Allah.”

Akhirnya 10 orang lelaki yang hendak menduga ilmu Amirul Mukminin
Sayyidina Ali bin Abi Talib beredar. Orang ramai berasa kagum kerana Sayyidina Ali dapat memberikan banyak jawapan untuk hanya satu soalan.

Sekiranya 100 orang yang datang bertanya satu soalan yang sama, aku boleh memberi 100 jawapan yang berbeza,” kata Khalifah Ali bin Abi Talib.

Wallahua'lam.

06 Disember 2010

KELEBIHAN BULAN MUHARRAM


KELEBIHAN BULAN MUHARRAM

Muharram adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu bulan di mana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (QS Al-Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah SAW telah menamakan bulan Muharram sebagai ‘Bulan Allah’ (Shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda SAW kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khawas (khusus) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Berkata Al-Hassan Al-Basri rahimahullah: “Sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.”

Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

Kelebihan Hari Asyura & Amalan Pada 30 Zulhijjah & 1 Muharram

Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: "Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura (yakni 10 Muharram), maka Allah SWT akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Asyura, maka akan diberikan pahala 10,000 orang Haji dan Umrah, dan 10,000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah SWT akan menaikkan dengan rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Asyura, maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW dan mengenyangkan perut mereka."

Sahabat bertanya: "Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura dari lain-lain hari." Jawab Rasulullah SAW: "Benar!

• Allah SWT telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura,

• dan menjadikan Adam juga Hawa pada hari Asyura;

• dan menjadikan Syurga serta memasukkan Adam di syurga pada hari Asyura;

• dan Allah SWT menyelamatkan dari api neraka pada hari Asyura;

• dan menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura;

• dan menyembuhkan bala Nabi Ayyub pada hari Asyura;

• dan Allah SWT memberi taubat kepada Adam pada hari Asyura;

• dan diampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura;

• dan juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura;

• dan akan terjadi Kiamat pada hari Asyura.

PERISTIWA 10 MUHARRAM

10 Muharram - Dinamakan juga 'Hari Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Bertanya para sahabat: "Wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain?" Jawab Baginda SAW:

1.Allah SWT menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya

2.Allah SWT menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram

3.Diciptakan lautan pada 10 Muharram

4.Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram

5.Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram

6.Diciptakan Nabi Adam AS pada 10 Muharram

7.Dimasukkan Nabi Adam AS ke dalam syurga pada 10 Muharram

8.Dilahirkan Nabi Ibrahim AS pada 10 Muharram

9.Diselamatkan Nabi Ibrahim AS dari api Namrud pada 10 Muharram

10.Diselamatkan anaknya Nabi Ismail AS dari sembelihan pada 10 Muharram

11.Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram

12.Diampunkan kesilapan Nabi Daud AS pada 10 Muharram

13.Dilahirkan Nabi Isa AS pada 10 Muharram

14.Dikeluarkan Nabi Yunus AS daripada perut ikan Nun setelah berada didalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram

15.Disembuhkan penyakit Nabi Ayub AS pada 10 Muharram

16.Diangkat Nabi Isa AS ke langit pada 10 Muharram

17.Diterima taubat Nabi Adam AS pada 10 Muharram

18.Dianugerahkan takhta kerajaan kepada Nabi Sulaiman AS

19.Diciptakan Arasy pada 10 Muharram

20.Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram

21.Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram

22.Diselamatkan bahtera Nuh AS daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan pada 10 Muharram

Peristiwa lain

1.Allah SWT menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

2.Diangkat Nabi Idris AS ke langit pada 10 Muharram

3.Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

4.Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.

5.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

6.Allah SWT menjadikan 'Arasy.

7.Allah SWT menjadikan alam.

8.Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ikrimah RA berkata: “Hari Asyura ialah hari diterimanya taubatnya Nabi Adam. Dan ia pula hari turunnya Nabi Nuh dari perahunya. Maka ia berpuasa syukur; dan ia pula hari tenggelamnya Fir'aun dan terbelahnya laut bagi Nabi Musa AS dan Bani Israil. Maka mereka berpuasa; kerana itu jika dapat, engkau berpuasalah pada hari Asyura.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata: “Barangsiapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah SWT akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.” Sufyan berkata: “Telah kami cuba, maka rasakan kebenarannya.

Said bin Jubair dari Ibn Abbas RA berkata: “Ketika Nabi SAW baru berhijrah ke Madinah, mendapatkan kaum Yahudi puasa pada hari Asyura, maka ditanya kepada mereka tentang itu. Jawab mereka: "Hari itu Allah memenangkan Nabi Musa AS dari Bani Israil terhadap Fir'aun dan kaumnya. Maka kami puasa kerana mengagungkan hari ini". Maka sabda Nabi SAW: "Kami lebih layak mengikuti jejak Musa dari kamu", maka Nabi SAW menyuruh sahabat supaya berpuasa.

Abul Laits berkata: “Dinamakan Asyura kerana ia jatuh pada sepuluh bulan Muharram." Ada lain pendapat yang mengatakan hari Asyura kerana Allah SWT telah memuliakan pada Nabi-nabi dengan sepuluh kehormatan:

1.Allah SWT telah menerima taubat Nabi Adam AS

2.Allah SWT menaikkan darjat Nabi Idris AS

3.Hari berlabuhnya perahu Nabi Nuh AS

4.Nabi Ibrahim AS dilahirkan pada hari Asyura dan diangkatkan sebagai ‘Khalilullah’ (Kekasih Allah) juga diselamatkan dari api.

5.Allah SWT menerima taubat Nabi Daud AS

6.Allah SWT mengangkat Nabi Isa AS ke langit

7.Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS

8.Allah SWT menenggelamkan Fir'aun

9.Allah SWT mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan

10.Allah SWT mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman AS

Semua ini terjadi pada hari Asyura. Sebahagian lain berpendapat, dinamakan hari Asyura kerana ia kesepuluh dari kemuliaan-kemuliaan yang diberikan Allah SWT pada umat ini:

1.Bulan Rejab - Allah SWT menjadikannya sebagai kemuliaan bagi umat ini dan melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan umat ini ke atas umat yang lain.

2.Bulan Sya’ban - Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas semua Nabi.

3.Bulan Ramadhan - Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Allah SWT terhadap semua makhluk.

4.Lailatul Qadar yang terlebih baik dari seribu bulan yang lain.

5.Hari Aidil Fitri sebagai hari pembalasan (penerimaan upah)

6.Hari-hari sepuluh (1 hingga 10 Zulhijjah) iaitu hari-hari untuk berzikir kepada Allah SWT.

7.Hari Arafah yang dapat menebus dosa dua tahun.

8.Hari Aidil Adha iaitu hari berkorban.

9.Hari Jumaat yang termulia dari semua hari.

10.Hari Asyura yang puasanya dapat menebus dosa satu tahun.

Dan masing-masing waktu yang tersebut itu ada kemuliaan dari Allah SWT diberikan kepada umat ini untuk membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka. Di bawah ini ada beberapa terjemahan hadith untuk panduan kita bersama:

Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam." (HR Muslim)

Abu Musa Al-Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar RA: "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun." (HR Albazzar)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA katanya Rasulullah SAW ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab Baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang." Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab Baginda: "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu." (HR Muslim)

Dari Aisyah RA katanya: "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga." (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas RA katanya: “Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi pun bertanya: "Hari apa ini?" Jawab mereka: "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah SWT melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi: "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari Asyura.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: "Berpuasalah kamu pada hari ke-sembilan dan ke-sepuluh Muharram dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." (HR Al-Baihaqi)

Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki dan limpah kurniaNya untuk kita agar dapat mengamalkan dan memuliakan kedatangan awal Muharram dengan cara sambutan yang dilaksanakan oleh para Rasul, Anbiya, Siddiqin, Aulia Allah dan orang- orang soleh. Insya Allah.

Wallahua’lam.