Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


09 Disember 2011

KISAH WALI ALLAH YANG SOLAT DI ATAS AIR


Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang termasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam.

Berbagai usaha dilakukan untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia sahaja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.

Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak menunjukkan rasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah SWT. Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terumbang-ambing, berjalan dia di atas air lalu mengerjakan solat di atas air.

Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata: "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil lagi: "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"

Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata: "Apa hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa. Peniaga itu berkata: "Wahai wali Allah, tidakkah kamu mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?" Wali Allah itu lalu berkata: "Dekatkan dirimu kepada Allah SWT."

Para penumpang itu bertanya: "Apa yang mesti kami lakukan?" Wali Allah itu berkata: "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat." Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka, asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata: "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan kami semua selamat."

Wali Allah itu berkata lagi: "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah." Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian, kapal itu pun tenggelam ke dasar laut. Maka habislah kesemua barang-barang perniagaan terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.

Salah seorang daripada peniaga itu bertanya lagi: "Siapakah tuan, wahai wali Allah?" Wali Allah itu berkata: "Saya ialah Uwais Al-Qarni." Peniaga itu berkata lagi: "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir." Wali Allah berkata: "Sekiranya Allah SWT kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?" Peniaga itu berkata: "Benar, saya tidak akan menipu, wahai wali Allah."

Setelah Uwais mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah SWT agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya. Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang. Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju. Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.

Wallahu a'lam.

07 November 2011

19 TANDA KEMATIAN YANG MULIA (KHUSNUL KHOTIMAH)

Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang ucapan terakhirnya ‘Laa ilaaha illallah’, maka dia masuk syurga.” (Hadis Hasan)

Ke-2: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib RA bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: “Allahu Akbar!, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya.” (Hadis Sahih)

Ke-3: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur.”

Ke-4: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: “Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurniaNya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman.” (QS Ali Imran:169-171)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama; diperlihatkan tempatnya dalam syurga; dijauhkan dari seksa kubur; diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat; dipakaikan mahkota keimanan; dinikahkan dengan bidadari syurga; diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”

Ke-5: Mereka yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah, siapa yang terbunuh di jalan Allah, maka dia syahid. Beliau berkata: Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit.” Mereka berkata: “Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?” Baginda bersabda: “Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid.”

Ke-6: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim.”

Ke-7: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

Ke-8 dan ke-9: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi SAW: “Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah.”

Ke-10: Matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit RA bahawa Rasulullah SAW menjenguk Abdullah bin Rawahah RA dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: “Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku?” Mereka berkata: “Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid.” Baginda berkata: “Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).”

Ke-11 dan ke-12: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: “Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak taun syahid; yang tenggelam syahid; yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid; yang sakit perut syahid; yang mati terbakar syahid; yang mati terkena runtuhan syahid; dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid.”

Ke-13: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid.” (Hadis Hasan)

Ke-14: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh,) maka dia syahid.”

Ke-15 dan ke-16: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.”

Ke-17: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga-jaga di perbatasan) di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah SAW bersabda: “Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamullail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah.”

Ke-18: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucapkan: ‘Laa ilaaha illallah’ mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga.”

Ke-19: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya.” Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, dan Al Khatib.

Semoga kita dimatikan di dalam Khusnul Khotimah dan dijauhkan kematian di dalam Suul Khotimah. Amien, Ya Rabbal ‘Alamin...

Wallahua'lam.

15 Oktober 2011

TABIR CAHAYA DAN KEGELAPAN


Allah berfirman: “Sesiapa yang buta di dunia, buta juga di akhirat.” (QS Bani Israil: 72)

Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat.

Firman Allah: “Bukan matanya yang buta, tetapi hatinya yang di dalam dada.” (QS Hajj: 46)

Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuatkan seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilan terhadap hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilan ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.

Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu, dia perlu menyucikan dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan usaha dan keberanian, melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya.

Hanya selepas itu baru kamu ingat akan kediaman kamu yang sebenar yang darinya kamu datang. Kemudian kamu akan ada rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani, roh suci pada diri kamu akan menyatu dengan-Nya.

Bila sifat-sifat kegelapan terangkat, cahaya mengambil alih tempatnya dan orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia mengenali apa yang dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri.

Hati mempunyai dua mata, satu yang sempit dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempit, seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak.

Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu daripada sifat-sifat keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu mengembara di dalam kenaikan kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana kamu mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri kamu.

Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu inginkan bukanlah seperti barang kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang membawa seseorang kepada sesuatu yang menjadi diketahui (daripada tidak tahu), juga bukan pertimbangan yang memperolehi apa yang difikirkan, bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan. Matlamat yang kamu ingin capai ialah kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan) kamu daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang terjadi, bukan perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh, tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang.

Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu. Dia menyatakan Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kamu. Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan mengenali-Nya.

Jika ada di antara kamu yang sampai kepada cahaya yang diterangkan dalam buku ini ketika kamu masih lagi berada di dalam dunia, buatlah muhasabah (hisab) terhadap diri kamu, buku catatan kamu tentang amalan kamu. Hanya di bawah cahaya kamu boleh melihat apa yang kamu sudah buat dan sedang buat; buat kiraan kamu, seimbangkannya. Kamu akan membaca buku catatan kamu di hadapan Tuhan kamu pada hari pembalasan. Itu adalah muktamad. Kamu tidak ada peluang mengimbanginya di sana. Jika kamu lakukan di sini ketika kamu masih ada masa, kamu akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan. Jika tidak azab dan seksa menjadi bahagian kamu di akhirat. Hidup ini akan berakhir. Di sana ada azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang menimbang sehingga kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling kecil. Kemudian ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang, penghujungnya ialah taman, sementara di bawahnya ialah neraka yang penuh dengan kecelakaan, penderitaan, semuanya adalah berkekalan apabila kehidupan yang singkat ini berakhir.

Wallahua'lam.


(Sumber: Kitab 'Sirr Al-Asrar' oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jilani)


13 Ogos 2011

PERCUBAAN MENCURI JASAD RASULULLAH S.A.W


Seperti yang diriwayatkan oleh sejarawan, pada tahun 557H (1164M), di masa kacau bilau dan kelemahan dinasti Abbassiyah, orang-orang Kristian telah berpakat untuk memindahkan jasad Nabi SAW dari makam Baginda. Untuk tujuan itu, mereka telah mengirim 2 orang dari kalangan mereka untuk memasuki Madinah dengan mengenakan pakaian orang Morocco dan kedua-duanya mengatakan bahawa mereka adalah rakyat Andalusia (Sepanyol).

Kedua-duanya menginap di tempat bersebelahan dengan kamar Nabi SAW dari arah kiblat (selatan) di luar Masjid Nabawi, berhampiran dengan kawasan asal rumah keluarga 'Umar yang dikenali dengan nama Diyar Al-'Asyrah. Al-Asnawi mengatakan bahawa kedua-dua orang itu menginap di suatu serambi berdekatan Kamar Nabi SAW.

Kedua-dua orang itu menonjolkan diri mereka sebagai orang yang soleh, bertaqwa, menyambung talian siratulrahim, berbuat kebajikan, menunaikan solat dan menziarahi perkuburan Al-Baqi' dan makam Nabi SAW. Begitulah penampilan mereka secara lahiriah, namun sebenarnya mereka sedang menggali sebuah terowong menuju ke Kamar Nabi SAW.

Mereka mengangkut tanah yang digali sedikit demi sedikit, sebahagiannya dibuang di sebuah telaga berhampiran serambi tempat mereka menginap, dan adakalanya mereka mengangkut tanah itu di dalam beg kulit dan mengelabui mata masyarakat seolah-olah mereka menziarahi perkuburan Al-Baqi', padahal tujuan mereka sebenarnya adalah untuk membuang tanah di sana.

Mereka telah berjaya melakukan tugasan itu untuk satu tempoh waktu, sehingga mereka beranggapan bahawa misi mereka sudah hampir selesai apabila terowong itu sudah mendekati makam Nabi SAW. Ketika itu kedua penjahat ini mulai berfikir bagaimana caranya hendak mengangkut jasad Baginda Rasulullah SAW. Namun, sebenarnya gerak-geri mereka tidak pernah terlepas dari pandangan Allah SWT.

Suatu masa, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki yang berada di Syam (Syria) bermimpi melihat Nabi SAW sedang menunjuk kepada dua lelaki berambut perang, seraya berkata: "Hai Mahmud, selamatkan aku dari kedua orang ini!". Maka terbangunlah Sultan Mahmud dalam keadaan gelisah. Beliau lalu menunaikan solat dan tidur kembali. Tapi beliau mengalami mimpi yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut.

Ketika beliau terbangun untuk kali ketiganya, beliau memanggil menterinya, Jamaluddin Al-Muwashshali, seorang menteri yang berwawasan luas, alim serta sentiasa merendah diri. Mendengar tentang mimpi tersebut, Jamaluddin lalu berkata kepada Sultan: "Ini ada suatu kejadian di Madinah Munawarah, pergilah sekarang ke Madinah dan jangan bicarakan apa yang Tuanku lihat dalam mimpi Tuanku pada sesiapapun!"

Pada malam itu, Sultan Mahmud membuat persiapan dan pagi esoknya beliau berangkat bersama 20 orang lelaki beserta Jamaluddin, dengan membawa bekalan dan harta yang banyak (Majduddin Al-Mathari mengatakan Sultan membawa 1,000 ekor haiwan tunggangan sebagai kenderaan dan diikuti oleh kuda2). Rombongan beliau mengambil masa selama 16 hari untuk tiba ke Madinah setelah bertolak dari Syam.

Ketika di Madinah, beliau melakukan solat di Raudhah, lalu menziarahi makam Rasulullah SAW. Selepasnya beliau duduk termenung, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika itu Jamaluddin bertanya kepada Sultan Mahmud: "Apakah Tuanku kenal kedua orang itu jika Tuanku melihatnya?" Beliau menjawab:"Ya." Maka berkatalah menteri itu kepada seluruh penduduk Madinah ketika mereka berkumpul di Masjid Nabawi: "Sultan Mahmud membawa harta untuk disedekahkan, tulislah oleh kalian nama2 orang yang memerlukan bantuan dan sedekah dari kalangan kamu dan bawalah orang-orang itu ke sini."

Tiap-tiap orang yang datang mengadap Sultan mendapat habuan masing-masing dan pada ketika itu sebenarnya Sultan Mahmud sedang meneliti orang-orang yang datang, tetapi beliau tidak menemui kedua orang yang dilihat di dalam mimpinya.

Maka berkatalah Sultan Mahmud: "Adakah ada di kalangan kamu orang yang belum mendapat habuannya?" Mereka menjawab: "Tidak ada, kecuali 2 orang Morocco. Keduanya tidak mengambil sedikitpun, kedua-duanya adalah orang soleh." Lalu Sultan Mahmud berkata: "Serahkan urusan mereka kepadaku dan bawalah mereka berjumpa aku."

Ternyatalah mereka berdua adalah orang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpi Sultan. Maka berkatalah Sultan: "Dari mana asal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami sesungguhnya dari Morocco. Kami datang menunaikan ibadah haji dan tahun ini kami pilih untuk berada dekat dengan tempat ini." Ketika ditanya dengan lebih lanjut, mereka tetap mempertahankan jawapan mereka.

Sultan Mahmud meninggalkan mereka berdua, dijaga oleh para pengawal beliau, lalu beliau pergi ke tempat penginapan mereka di serambi bersama beberapa orang penduduk Madinah. Di tempat itu mereka menemui harta yang banyak, dua mashaf al-Quran, buku-buku atas rak dan tidak menemui sesuatu yang pelik atau berlainan. Sultan Mahmud mengelilingi tempat itu dan pada ketika inilah Allah SWT memberi ilham kepada beliau sehingga beliau mengangkat sebuah tikar yang menutupi tempat tersebut. Maka kelihatanlah sebilah papan di bawah tikar itu, lalu diangkat papan itu. Di dapati terdapat sebuah terowong yang digali menuju ke Kamar Nabi SAW, menembusi asas Masjid Nabawi. Maka tercenganglah penduduk Madinah kerana mereka semua menyangka kedua orang itu adalah orang yang soleh.

Kemudian Sultan memukul keras kedua orang itu sehingga mereka akhirnya mengaku yang mereka sebenarnya beragama Kristian. Kedua-duanya telah diutuskan oleh raja-raja Kristian dalam pakaian jemaah haji Morocco dan membiayai mereka dengan dana yang amat besar serta memerintahkan agar mereka menggunakan muslihat supaya dapat memindahkan jasad Nabi SAW dan dibawa balik ke negeri mereka.

Apabila perbuatan mereka telah terbongkar dan diakui oleh mereka sendiri, Sultan Mahmud memerintahkan agar leher mereka dipenggal berhampiran jendela sebelah timur Kamar Nabi SAW, kemudian pada petangnya jasad kedua penjahat itu dibakar hangus.

Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud memerintahkan agar digali sebuah parit mengelilingi makam Nabi SAW dan dituangkan timah cair ke dalam parit itu sehingga penuh. Kemudian barulah Sultan pulang ke Syam.

Wallahua’lam.

(Sumber: "Beberapa Bahagian dari Sejarah Madinah" oleh 'Ali Hafidh)