Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


15 Oktober 2011

TABIR CAHAYA DAN KEGELAPAN


Allah berfirman: Sesiapa yang buta di dunia, buta juga di akhirat.” (QS Bani Israil: 72)

Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat.

Firman Allah: Bukan matanya yang buta, tetapi hatinya yang di dalam dada.” (QS Hajj: 46)

Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuatkan seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilan terhadap hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilan ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.

Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu, dia perlu menyucikan dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan usaha dan keberanian, melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya.

Hanya selepas itu baru kamu ingat akan kediaman kamu yang sebenar yang darinya kamu datang. Kemudian kamu akan ada rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani, roh suci pada diri kamu akan menyatu dengan-Nya.

Bila sifat-sifat kegelapan terangkat, cahaya mengambil alih tempatnya dan orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia mengenali apa yang dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri.

Hati mempunyai dua mata, satu yang sempit dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempit, seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak.

Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu daripada sifat-sifat keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu mengembara di dalam kenaikan kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana kamu mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri kamu.

Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu inginkan bukanlah seperti barang kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang membawa seseorang kepada sesuatu yang menjadi diketahui (daripada tidak tahu), juga bukan pertimbangan yang memperolehi apa yang difikirkan, bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan. Matlamat yang kamu ingin capai ialah kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan) kamu daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang terjadi, bukan perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh, tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang.

Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu. Dia menyatakan Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kamu. Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan mengenali-Nya.

Jika ada di antara kamu yang sampai kepada cahaya yang diterangkan dalam buku ini ketika kamu masih lagi berada di dalam dunia, buatlah muhasabah (hisab) terhadap diri kamu, buku catatan kamu tentang amalan kamu. Hanya di bawah cahaya kamu boleh melihat apa yang kamu sudah buat dan sedang buat; buat kiraan kamu, seimbangkannya. Kamu akan membaca buku catatan kamu di hadapan Tuhan kamu pada hari pembalasan. Itu adalah muktamad. Kamu tidak ada peluang mengimbanginya di sana. Jika kamu lakukan di sini ketika kamu masih ada masa, kamu akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan. Jika tidak azab dan seksa menjadi bahagian kamu di akhirat. Hidup ini akan berakhir. Di sana ada azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang menimbang sehingga kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling kecil. Kemudian ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang, penghujungnya ialah taman, sementara di bawahnya ialah neraka yang penuh dengan kecelakaan, penderitaan, semuanya adalah berkekalan apabila kehidupan yang singkat ini berakhir.

Wallahua'lam.


(Sumber: Kitab 'Sirr Al-Asrar' oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jilani)


13 Ogos 2011

PERCUBAAN MENCURI JASAD RASULULLAH S.A.W


Seperti yang diriwayatkan oleh sejarawan, pada tahun 557H (1164M), di masa kacau bilau dan kelemahan dinasti Abbassiyah, orang-orang Kristian telah berpakat untuk memindahkan jasad Nabi SAW dari makam Baginda. Untuk tujuan itu, mereka telah mengirim 2 orang dari kalangan mereka untuk memasuki Madinah dengan mengenakan pakaian orang Morocco dan kedua-duanya mengatakan bahawa mereka adalah rakyat Andalusia (Sepanyol).

Kedua-duanya menginap di tempat bersebelahan dengan kamar Nabi SAW dari arah kiblat (selatan) di luar Masjid Nabawi, berhampiran dengan kawasan asal rumah keluarga 'Umar yang dikenali dengan nama Diyar Al-'Asyrah. Al-Asnawi mengatakan bahawa kedua-dua orang itu menginap di suatu serambi berdekatan Kamar Nabi SAW.

Kedua-dua orang itu menonjolkan diri mereka sebagai orang yang soleh, bertaqwa, menyambung talian siratulrahim, berbuat kebajikan, menunaikan solat dan menziarahi perkuburan Al-Baqi' dan makam Nabi SAW. Begitulah penampilan mereka secara lahiriah, namun sebenarnya mereka sedang menggali sebuah terowong menuju ke Kamar Nabi SAW.

Mereka mengangkut tanah yang digali sedikit demi sedikit, sebahagiannya dibuang di sebuah telaga berhampiran serambi tempat mereka menginap, dan adakalanya mereka mengangkut tanah itu di dalam beg kulit dan mengelabui mata masyarakat seolah-olah mereka menziarahi perkuburan Al-Baqi', padahal tujuan mereka sebenarnya adalah untuk membuang tanah di sana.

Mereka telah berjaya melakukan tugasan itu untuk satu tempoh waktu, sehingga mereka beranggapan bahawa misi mereka sudah hampir selesai apabila terowong itu sudah mendekati makam Nabi SAW. Ketika itu kedua penjahat ini mulai berfikir bagaimana caranya hendak mengangkut jasad Baginda Rasulullah SAW. Namun, sebenarnya gerak-geri mereka tidak pernah terlepas dari pandangan Allah SWT.

Suatu masa, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki yang berada di Syam (Syria) bermimpi melihat Nabi SAW sedang menunjuk kepada dua lelaki berambut perang, seraya berkata: "Hai Mahmud, selamatkan aku dari kedua orang ini!". Maka terbangunlah Sultan Mahmud dalam keadaan gelisah. Beliau lalu menunaikan solat dan tidur kembali. Tapi beliau mengalami mimpi yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut.

Ketika beliau terbangun untuk kali ketiganya, beliau memanggil menterinya, Jamaluddin Al-Muwashshali, seorang menteri yang berwawasan luas, alim serta sentiasa merendah diri. Mendengar tentang mimpi tersebut, Jamaluddin lalu berkata kepada Sultan: "Ini ada suatu kejadian di Madinah Munawarah, pergilah sekarang ke Madinah dan jangan bicarakan apa yang Tuanku lihat dalam mimpi Tuanku pada sesiapapun!"

Pada malam itu, Sultan Mahmud membuat persiapan dan pagi esoknya beliau berangkat bersama 20 orang lelaki beserta Jamaluddin, dengan membawa bekalan dan harta yang banyak (Majduddin Al-Mathari mengatakan Sultan membawa 1,000 ekor haiwan tunggangan sebagai kenderaan dan diikuti oleh kuda2). Rombongan beliau mengambil masa selama 16 hari untuk tiba ke Madinah setelah bertolak dari Syam.

Ketika di Madinah, beliau melakukan solat di Raudhah, lalu menziarahi makam Rasulullah SAW. Selepasnya beliau duduk termenung, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika itu Jamaluddin bertanya kepada Sultan Mahmud: "Apakah Tuanku kenal kedua orang itu jika Tuanku melihatnya?" Beliau menjawab:"Ya." Maka berkatalah menteri itu kepada seluruh penduduk Madinah ketika mereka berkumpul di Masjid Nabawi: "Sultan Mahmud membawa harta untuk disedekahkan, tulislah oleh kalian nama2 orang yang memerlukan bantuan dan sedekah dari kalangan kamu dan bawalah orang-orang itu ke sini."

Tiap-tiap orang yang datang mengadap Sultan mendapat habuan masing-masing dan pada ketika itu sebenarnya Sultan Mahmud sedang meneliti orang-orang yang datang, tetapi beliau tidak menemui kedua orang yang dilihat di dalam mimpinya.

Maka berkatalah Sultan Mahmud: "Adakah ada di kalangan kamu orang yang belum mendapat habuannya?" Mereka menjawab: "Tidak ada, kecuali 2 orang Morocco. Keduanya tidak mengambil sedikitpun, kedua-duanya adalah orang soleh." Lalu Sultan Mahmud berkata: "Serahkan urusan mereka kepadaku dan bawalah mereka berjumpa aku."

Ternyatalah mereka berdua adalah orang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpi Sultan. Maka berkatalah Sultan: "Dari mana asal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami sesungguhnya dari Morocco. Kami datang menunaikan ibadah haji dan tahun ini kami pilih untuk berada dekat dengan tempat ini." Ketika ditanya dengan lebih lanjut, mereka tetap mempertahankan jawapan mereka.

Sultan Mahmud meninggalkan mereka berdua, dijaga oleh para pengawal beliau, lalu beliau pergi ke tempat penginapan mereka di serambi bersama beberapa orang penduduk Madinah. Di tempat itu mereka menemui harta yang banyak, dua mashaf al-Quran, buku-buku atas rak dan tidak menemui sesuatu yang pelik atau berlainan. Sultan Mahmud mengelilingi tempat itu dan pada ketika inilah Allah SWT memberi ilham kepada beliau sehingga beliau mengangkat sebuah tikar yang menutupi tempat tersebut. Maka kelihatanlah sebilah papan di bawah tikar itu, lalu diangkat papan itu. Di dapati terdapat sebuah terowong yang digali menuju ke Kamar Nabi SAW, menembusi asas Masjid Nabawi. Maka tercenganglah penduduk Madinah kerana mereka semua menyangka kedua orang itu adalah orang yang soleh.

Kemudian Sultan memukul keras kedua orang itu sehingga mereka akhirnya mengaku yang mereka sebenarnya beragama Kristian. Kedua-duanya telah diutuskan oleh raja-raja Kristian dalam pakaian jemaah haji Morocco dan membiayai mereka dengan dana yang amat besar serta memerintahkan agar mereka menggunakan muslihat supaya dapat memindahkan jasad Nabi SAW dan dibawa balik ke negeri mereka.

Apabila perbuatan mereka telah terbongkar dan diakui oleh mereka sendiri, Sultan Mahmud memerintahkan agar leher mereka dipenggal berhampiran jendela sebelah timur Kamar Nabi SAW, kemudian pada petangnya jasad kedua penjahat itu dibakar hangus.

Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud memerintahkan agar digali sebuah parit mengelilingi makam Nabi SAW dan dituangkan timah cair ke dalam parit itu sehingga penuh. Kemudian barulah Sultan pulang ke Syam.

Wallahua’lam.

(Sumber: "Beberapa Bahagian dari Sejarah Madinah" oleh 'Ali Hafidh)



18 Julai 2011

DOSA, KEBAIKAN DAN YANG HAK


Aku kumpulkan sekalian dosa-dosaku
yang menghimpit jiwaku
aku melihat seluruh dunia adalah dosa
izinkan daku
meletakkan segala dosa di bawah tapak kaki ku.

Aku hadapkan pandangan kepada kebaikan
bila daku melihat diriku yang baik
berdatangan diri-diri lain menghijab
izinkan daku
meletakkan segala kebaikan di bawah dosa-dosa.

Aku berhadapan dengan keinginan-keinginan
tanpa dosa jiwa belum tenang
keinginan-keinginan mengheret kepada kegelisahan
tidak sabar.

Wajah keinginan memperlihatkan ego diri
takutkan kesusahan dan kehinaan.

Keinginan adalah dosa sebenar
dosa-dosa lain adalah anak-anaknya
walaupun anak-anak dikuburkan
ibu akan terus melahirkan anak-anak baharu.

Bagaimana menghapuskan keinginan
bukankah ia adalah diriku sendiri.

Aku melihat kepada diriku
terasa kesamaran di sebalik diri yang berkeinginan
dalam kesamaran itu
wujud diri yang suci murni
tanpa keinginan.

Ia tidak dikurung oleh jasad
tiada ruang
tiada zaman.

Ia sentiasa damai dan tenteram
namun ia tidak diberi kesempatan
untuk memperlihatkan wajahnya.

Kuburkan diri yang berkeinginan!
begitulah ucapan Mu yang ku dengar.

Bila daku mendengar ucapan Mu
aku melihat diri ku berada di tengah-tengah
di antara Engkau dan diri yang berkeinginan
aku melihat
diri yang berkeinginan itu bukanlah diriku yang sejati
ia hanyalah bayang-bayang yang muncul
dari pancaran cahaya Mu kepadaku yang terhijab

mengapa kepada bayang penglihatan ku tertuju
sedangkan Engkau adalah cahaya
dan aku yang menerima cahaya
bayang adalah kegelapan
mengapa terpesona dengan kegelapan.

Engkau terangi daku dengan cahaya Mu
untuk ku kenali diriku
agar pengenalan itu membuatku melihat cahaya Mu
dan mengetahui bahawa cahaya Mu yang paling nyata
sedangkan aku dan lain-lainnya
adalah zarah-zarah yang terapung-apung
di dalam angkasa raya cahaya Mu.

Cahaya Mu yang tanpa warna, tanpa rupa
adalah kebijaksanaan tanpa tara
dengannya segala menjadi nyata.

Sekalian wajah-wajah adalah cermin wajah Mu
cermin itu adalah keindahan
keindahan adalah bayangan wajah Mu
keindahan adalah rasa hati
bukan bentuk bukan rupa
apabila hati mesra di dalam keindahan Mu
itulah penatapan wajah Mu
bulat, leper, atau panjang
putih, kuning atau hijau
kelmarin, hari ini atau esok
semuanya tidak menjadi soal
pada hati yang melihat keindahan wajah Mu.

Hati itulah rahsia besar.

Pandanglah Tuhan tanpa menggunakan mata
Dia tidak pernah bersembunyi
Dengarlah ucapan tanpa menggunakan telinga
Dia tidak pernah berhenti berkata-kata

(Sumber: Internet)

02 Julai 2011

IMAM ALI ZAINAL ABIDIN, CICIT RASULULLAH S.A.W.

Imam Ali Zainal Abidin adalah cicit Rasulullah SAW dan anak Sayyidina Hussain RA (semoga Allah SWT meredhai mereka). Beliau diberi julukan ‘Abal Hasan’ atau ‘Abal Hussain’. Beliau juga mendapat julukan ‘As-Sajjad’ (orang yang ahli sujud). Beliau juga merupakan satu-satunya putera Sayyidina Hussain RA yang terselamat ketika tragedi Karbala, di mana bapanya, Sayyidina Hussain RA telah syahid akibat dipenggal kepalanya oleh tentera Yazid bin Muawiyah setelah dikepung dan dizalimi.

Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Abu Talib RA merupakan saudara kandung Sayyidina Hasan RA dan Sayyidina Hussain RA. Ini bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum.

Beliau adalah seorang yang ahli ibadah dan hamba yang amat taat kepada Allah SWT. Beliau meninggalkan segala sesuatu kecuali Tuhannya dan berpaling dari yang selain-Nya, serta yang selalu menghadap-Nya. Hati dan anggota tubuhnya diliputi ketenangan kerana ketinggian makrifahnya kepada Allah SWT, rasa hormatnya dan rasa takutnya kepada-Nya. Bercerita tentang ketaqwaan beliau, salah seorang putera beliau yang bernama Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin pernah menceritakan: “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya.”

Beliau dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 Hijrah, atau dalam riwayat lain ada yang mengatakan 38 Hijrah. Beliau adalah termasuk generasi tabi’in. Beliau juga seorang imam agung. Beliau banyak meriwayatkan hadis dari ayahnya (Al-Imam Hussain RA), bapa saudaranya Al-Imam Hasan RA, Jabir RA, Ibnu Abbas RA, Al-Musawwir bin Makhromah RA, Abu Hurairah RA, Shofiyyah RA, Aisyah RA, Ummu Kalsum RA, serta para ummahatul mukminin/isteri-isteri Nabi SAW (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Al-Imam Ali Zainal Abidin, mewarisi sifat-sifat ayahnya (semoga Allah SWT meredhai keduanya) di dalam ilmu, sifat zuhud dan ibadah, serta mengumpulkan keagungan sifatnya pada dirinya di dalam setiap sesuatu.

Berkata Yahya Al-Anshari: “Dia (Al-Imam Ali) adalah paling mulianya Bani Hasyim yang pernah saya lihat.” Berkata Zuhri: “Saya tidak pernah menjumpai di kota Madinah orang yang lebih mulia dari beliau.” Hammad berkata: “Beliau adalah paling mulianya Bani Hasyim yang saya jumpai terakhir di kota Madinah.” Abu Bakar bin Abi Syaibah berkata: “Sanad yang paling dapat dipercayai adalah yang berasal dari Az-Zuhri dari Ali dari Al-Hussain dari ayahnya, Ali bin Abi Talib.”

Kelahiran beliau dan Az-Zuhri terjadi pada hari yang sama. Sebelum kelahirannya, Nabi SAW sudah menyebutkannya. Beliau solat 1000 rakaat setiap hari dan malamnya. Beliau jika berwuduk, pucat wajahnya. Ketika ditanya kenapa demikian, beliau menjawab, “Tahukah engkau kepada siapa aku akan menghadap?.” Beliau tidak suka seseorang membantunya untuk menyiramkan air ketika berwuduk. Beliau tidak pernah meninggalkan qiyamul lail, baik dalam keadaan di rumah ataupun berkelana. Beliau memuji Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Usman (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Ketika berhaji dan terdengar kalimat “Labbaikallah…”, beliau pengsan.

Suatu saat ketika beliau baru saja keluar dari masjid, seorang laki-laki menemuinya dan mencacinya dengan keras. Spontan orang-orang di sekitarnya, baik budak-budak dan tuan-tuannya, bersegera ingin menghukum orang tersebut, akan tetapi beliau mencegahnya. Beliau hanya berkata: “Tunggulah sebentar orang laki-laki ini.” Sesudah itu beliau menghampirinya dan berkata kepadanya: “Apa yang engkau tidak ketahui dari diriku lebih banyak lagi. Apakah engkau memerlukan sesuatu sehingga saya dapat membantumu?.” Orang laki-laki itu merasa malu. Beliau lalu memberinya 1000 dirham. Maka berkata laki-laki itu: “Saya bersaksi bahawa engkau adalah benar-benar cucu Rasulullah.”

Beliau berkata: “Kami ini ahlul bait, jika sudah memberi, pantang untuk mengharapkan balasannya.” Beliau sempat hidup bersama datuknya Al-Imam Ali bin Abi Talib, selama 2 tahun, bersama pakciknya, Al-Imam Hasan, 10 tahun, dan bersama ayahnya, Al-Imam Hussain, 11 tahun (semoga Allah SWT meredhai mereka semua).

Beliau setiap malamnya memikul sendiri karung makanan di atas punggungnya dan menyedekahkan kepada para fakir miskin di kota Madinah. Beliau berkata: “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat memadamkan murka Tuhan.” Muhammad bin Ishaq berkata: “Sebahagian dari orang-orang Madinah, mereka hidup tanpa mengetahui dari mana asalnya penghidupan mereka. Apabila Ali bin Al-Hussain wafat, mereka tidak lagi mendapatkan penghidupan itu.”

Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah Imam Ali Zainal Abidin dimandikan, kelihatan kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab: “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!

Beliau jika meminjamkan wang, tak pernah meminta kembali wangnya. Beliau jika meminjamkan pakaian, tak pernah meminta kembali pakaiannya. Beliau jika sudah berjanji, tidak mahu makan dan minum, sampai beliau dapat melaksanakan janjinya. Ketika beliau berhaji atau berperang mengenderai tunggangannya, beliau tak pernah memukul tunggangannya itu. Manaqib dan keutamaan-keutamaan beliau tak dapat dihitung, selalu dikenal dan dikenang. Beliau meninggal di kota Madinah pada 18 Muharram 94 Hijrah, dan disemayamkan di perkuburan Baqi’, dekat makam dari bapa saudaranya, Sayyidina Hasan RA, yang disemayamkan di kubah Al-Abbas. Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan 11 orang putera dan 4 orang puteri. Adapun warisan yang ditinggalkannya kepada mereka adalah ilmu, kezuhudan dan ibadah.

Wallahua'lam.