Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


05 Jun 2011

SYARIAT MENYELAMATKAN MANUSIA


"Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu sekalian dari (syurga) itu, kemudian jika datang petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang ikut petunjuk itu tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita.” (QS Al-Baqarah: 37~38)

"Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan atas kamu pakaian untuk menutup kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kurnia) Allah supaya kamu ingat." (QS Al-A’raaf: 26)

Nabi Adam AS hanya dipakaikan dengan syariat apabila beliau masuk ke dalam dunia. Beliau tidak dibebankan dengan syariat sewaktu beliau berada di dalam syurga. Syariat menjadi pakaian kebal yang dengannya keturunan Adam AS boleh selamat daripada fitnah dan tipu daya dunia. Dunia adalah umpama racun dan syariat adalah penawarnya. Sesiapa yang masuk ke dalam dunia tanpa memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan diheret kepada alam syaitan.

Syariat adalah peraturan atau sistem yang digubal oleh Allah SWT untuk dipatuhi oleh manusia dalam mengadakan perhubungan dengan Tuhan, dengan sesama manusia dan dengan makhluk lain dalam alam maya ini. Syariat sampai kepada umat manusia melalui manusia pilihan Tuhan yang berkedudukan sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab menerima, memahami, mengamalkan dan menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT. Dasar syariat adalah taat kepada Allah SWT dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh seorang Nabi harus ada perbezaan dengan peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh Nabi yang lain. Walaupun ada perubahan pada peraturan syariat tetapi tuntutan mentaati syariat tidak berubah.

Syariat Nabi Daud AS mengizinkan lelaki berkahwin seberapa ramai yang mereka mampu tetapi syariat Nabi Muhammad SAW menghadkan setakat 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad SAW berkahwin lebih daripada empat orang dalam satu masa, walaupun umat Nabi Daud AS boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad SAW tidak boleh bersandar kepada syariat Nabi Daud AS bagi berkahwin lebih daripada empat orang.

Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati syariat yang dibawa oleh Nabi bagi satu-satu umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah kerana tidak melakukan atau melakukan peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala bergantung kepada tidak mentaati atau mentaati Allah SWT berhubung dengan peraturan yang Dia tetapkan. Orang munafik boleh melakukan perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi ia tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah SWT, maka perbuatannya itu tidak mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung kepada kekuatan taat dan dalam melakukan peraturan syariat itu dituntut supaya melakukannya dengan cara yang betul, tidak boleh membuat cara sendiri yang menyalahi peraturan syariat.

Firman Allah SWT: “Bagi setiap umat telah Kami tetapkan upacara ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka janganlah sekali-kali mereka membantah engkau dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan engkau. Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk yang lurus.(QS Al-Hajj: 67)

Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh nabi tersebut, tidak boleh lari kepada syariat nabi yang lain, melainkan telah datang nabi lain yang membawa syariat yang lebih lengkap dan sempurna. Apabila datang Nabi Muhammad SAW, sekalian umat manusia wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh Baginda SAW. Umat Nabi Muhammad tidak boleh meninggalkan syariat Baginda SAW kerana mahu mengikuti nabi-nabi yang terdahulu. Umat Nabi Muhammad SAW wajib berpegang kepada firman Allah SWT:Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku. Dan Aku redha Islam menjadi agama (syariat) kamu.” (QS Al-Ma’idah: 3)

Umat Nabi Muhammad SAW sangat bertuah kerana Allah SWT telah kurniakan kepada mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam, sehingga mereka tidak perlu lagi merujuk kepada apa yang telah diturunkan terdahulu. Allah SWT menjamin bahawa Dia redha menerima Islam sebagai agama bagi umat Nabi Muhammad SAW. Jaminan Allah SWT itu sudah cukup bagi orang yang benar-benar mencari keredaan Allah SWT untuk tetap berjalan di atas landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat dan apa yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu perkara. Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian sesuatu masalah. Segala penyelesaian sudah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujukkan kepada Islam itu sendiri, nescaya segala kemusykilan akan terjawab.

Setiap umat Islam dituntut supaya beriman kepada peraturan yang Tuhan telah tetapkan, mempelajarinya, mengamalkannya dan menyebarkannya sekadar kemampuan masing-masing. Hubungan kaum Muslimin dengan syariat Islam adalah percaya, mempelajari dan melaksanakan. Oleh kerana darjat zahir dan rohani manusia tidak serupa, maka terdapatlah perbezaan tahap kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut menyebabkan umat Islam mudah bersepakat dalam perkara pokok, bertolak ansur pada perkara cabang, walaupun mungkin tidak bersefahaman pada perkara ranting. Kegoncangan pada ranting tidak seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan umat Islam. Perbezaan pada tumpuan pelaksanaan tidak seharusnya menyekat kerjasama sesama Muslim. Masalah khilafiah tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang berlainan mazhab.

Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini mengandungi 6,666 ayat. Tidak mungkin ada orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus, dengan serta merta atau dalam jangka masa yang singkat. Rasulullah SAW membawa pengikut-pengikut Baginda SAW ‘ke dalam’ al-Quran secara berperingkat-peringkat dan Baginda SAW mengambil masa lebih daripada dua puluh tahun untuk membawa mereka ‘berjalan di dalam’ 6,666 ayat tersebut. Allah SWT dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam mendidik umat manusia. Pada masa berlaku peperangan Badar, arak masih belum diharamkan. Sebahagian daripada syuhada Badar terdiri daripada mereka yang kuat meminum arak tetapi Allah SWT, dengan kasihan belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian ahli Badar sebagai ahli syurga.

Rasulullah SAW memberi tumpuan kepada akidah, diikuti oleh akhlak. Al-Quran mengajarkan beriman, kemudian beramal soleh. Allah SWT memperingatkan bahawa Dia mengampunkan segala dosa, termasuk dosa zina, meminum arak dan sebagainya tetapi Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia harus diselamatkan daripada dosa yang tidak diampunkan Tuhan terlebih dahulu sebelum dosa yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang berilmu berkewajipan menyelamatkan golongan Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam berbuat demikian perbezaan fahaman tidak boleh dijadikan penghalang. Golongan yang berkuasa dan golongan yang berilmu sama-sama akan disoal oleh Tuhan nanti apakah yang mereka buat bagi membersihkan akidah umat manusia. Golongan berilmu tidak boleh memberi alasan yang puak berkuasa tidak menerima nasihat. Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan alasan yang demikian. Dengan sedikit ‘suntikan’ daripada golongan yang berilmu akan menjadikan golongan yang berkuasa boleh melakukan berbagai-bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan. Dengan sedikit tolak-ansur daripada golongan yang berkuasa akan membolehkan golongan yang berilmu menyampaikan banyak perkara demi syariat Tuhan.

Orang Islam yang mempunyai kesedaran dan kemampuan haruslah mengkaji dengan mendalam apakah yang terlebih terdesak diperlukan oleh umat Islam masa kini. Setelah mengetahui penyakit semasa yang melanda umat Islam itu, golongan berilmu dan golongan berkuasa sama-sama berkewajipan mencari penawar di antara 6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan dengan segera itulah yang mesti dihulurkan kepada orang ramai terlebih dahulu. Mengubati penyakit secara sistematik lebih berkesan daripada mengubati semua jenis penyakit sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan pemerintah haruslah faham menyusun jadual pengubatan umat.

Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat Islam yang Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya, saudara-saudara Muslim yang lain dan juga umat manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah melakukan apa yang Tuhan aturkan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak mengatur diserahkan kepada Allah SWT. Sekiranya Allah SWT mengaturkan seseorang itu menjadi alim dan mendapat kuasa ketika masyarakat Islam sedang menghadapi ancaman perang, orang alim dan berkuasa itu berkewajipan membuka syariat bahagian jihad, keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi peperangan dan lain-lain yang bersangkutan dengan perang, terlebih dahulu daripada bahagian syariat yang lain. Mengajar cara pembahagian harta pusaka kepada orang yang sedang bersiap ke medan perang adalah kurang sesuai. Dalam tabligh (menyampaikan), bukan sahaja perlu ada siddiq dan amanah, malah perlu juga ada fatanah (kebijaksanaan).

Rasulullah SAW bertabligh secara siddiq, amanah dan fatanah. Setelah berjaya menawan Makkah, Baginda SAW memaafkan secara beramai-ramai orang Makkah yang pernah berperang menentang Baginda SAW. Baginda SAW tidak ghairah melakukan hukum qisas. Beberapa orang yang Baginda SAW telah umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya Baginda SAW maafkan. Kemaafan daripada Baginda SAW telah menarik orang-orang yang bersalah itu kepada Islam. Sekiranya Baginda SAW telah melakukan hukuman bunuh, tentu ramai daripada orang Makkah yang mati sebagai orang kafir musyrik. Kebijaksanaan Baginda SAW telah menyelamatkan ramai manusia daripada azab neraka.

Allah SWT menghargai orang alim yang menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada umat manusia yang tidak mengerti haruslah dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati. Bukankah Rasulullah SAW telah mendoakan bagi penduduk Taif yang mengkasari Baginda SAW dengan doa yang baik: “Wahai Tuhan. Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti.”

Rasulullah SAW mengerti setakat mana pengikut Baginda SAW mampu memikul beban. Baginda SAW tidak meletakkan beban melebihi keupayaan mereka. Sebab itulah dakwah Baginda SAW berjaya. Baginda SAW telah memberi contoh, ketika berdakwah di Makkah, bilangan kaum Muslimin masih sangat sedikit. Baginda SAW tidak menggerakkan kaum Muslimin supaya berperang dengan kaum musyrikin. Jika Baginda SAW berbuat demikian tentu sahaja kaum Muslimin akan terhapus sebelum agama Islam sempat berkembang di atas muka bumi.

Umat Islam dituntut melaksanakan syariat Tuhan secara bijaksana. Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum Muslimin perlu bertindak sesuai dengan pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di negeri yang sering dilanda banjir dituntut menyediakan kelengkapan banjir, tidak dituntut menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam menguruskan hal-ehwal kaum Muslimin secara bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa dengan Muslim yang ditakdirkan berilmu wajib bekerjasama demi mencari keredhaan Allah SWT.

Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai kerana Allah SWT. Lelaki bertanggungjawab menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api neraka. Orang yang berharta berkewajipan mengeluarkan zakat bagi membantu orang miskin. Orang yang memiliki makanan yang cukup perlu mempastikan jirannya tidak tidur dalam kelaparan. Orang yang berilmu berkewajipan mengajar orang yang jahil. Orang yang berkuasa berkewajipan melindungi orang yang lemah. Setiap anggota masyarakat perlu menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan masyarakatnya.

Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Muslim diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi dan juga orang yang berbuat kezaliman. Mengasihani orang yang dizalimi adalah dengan cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan mengasihani orang yang berbuat zalim adalah dengan cara menyekatnya daripada berbuat kezaliman atau setidak-tidaknya menasihatinya. Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain orang lain’.

Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat adalah perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan memberi ancaman yang keras terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Syariat Islam melarang kaum Muslimin sengaja mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan walaupun atas alasan berserah kepada takdir. Rasulullah SAW menyuruh kaum Muslimin mengikat unta mereka terlebih dahulu, barulah bertawakkal. Saidina Umar al-Khattab melarang orang ramai memasuki kampung yang sedang dilanda wabak taun dan pergi ke kampung yang tidak ada taun. Lari daripada takdir yang memudaratkan dan pergi kepada takdir yang mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir.

Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim adalah lawan kepada adil. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang benar dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tidak benar dan tidak layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan pancaindera yang dikurniakan Tuhan untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan adalah melakukan kezaliman kepada pancaindera atau diri sendiri.

Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh hamba Tuhan adalah meletakkan Tuhan pada taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya. Ketuhanan Allah SWT meliputi bidang penyembahan, pematuhan, pemujaan, penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang mesti dipelihara agar tidak terjadi perbuatan yang menurunkan taraf ketuhanan Allah SWT daripada yang sepatutnya. Batas tersebut juga dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan tidak sampai kepada taraf tersebut. Jangan sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan, ketaatan, pemujian dan penyayangan hak ketuhanan Allah SWT turun daripada taraf ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain Tuhan naik kepada taraf ketuhanan. Jika percerobohan dilakukan maka perbuatan yang demikian dikatakan menzalimi hak ketuhanan Allah SWT dan ia diistilahkan sebagai syirik.

Syirik adalah menyekutukan hak ketuhanan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Meletakkan taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan adalah syirik. Mengiktikadkan Nur Muhammad sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri adalah syirik. Nur Muhammad bukanlah Allah SWT sebagaimana Isa al-Masih (zahirnya atau rohaninya iaitu nurnya) bukan anak Allah SWT. Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara halal diharamkan masih juga dipatuhi, pun termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari rezeki yang baik tetapi dengan meninggalkan hak ketuhanan Allah SWT yang wajib dilaksanakan juga berunsur syirik. Kasih sayang sesama makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar atau kecilnya syirik itu bergantung kepada sejauh mana hak ketuhanan Allah SWT dicerobohi.

Al-Quran menceritakan beberapa keadaan syirik:

Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu. Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan.” (QS At-Taubah: 30~31)

Bahkan mereka mempertuhankan jin.” (QS Saba’: 41)

Tidakkah engkau perhatikan mereka yang mempertuhankan nafsu mereka? Maka apakah engkau boleh jadi pemelihara atas mereka?(QS al-Furqan: 43)

Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga menceritakan beberapa perkara yang boleh menggelincirkan manusia kepada syirik:

"Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut akan mundur dan tempat kediaman yang kamu sukai, lebih tercinta kepada kamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya. Dan Allah itu tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. (QS At-Taubah: 24)

Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh dilakukan oleh seseorang kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera lantaran manusia berbuat syirik dan tidak beruntung Tuhan jika manusia berbakti kepada-Nya. Apa yang manusia lakukan memberi keuntungan atau kerugian kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Syirik adalah kerugian manusia yang paling besar kerana Allah SWT sangat tegas menghadapi orang yang berbuat syirik. Oleh itu tugas seseorang Muslim adalah menghapuskan syirik pada dirinya dan juga pada saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas utama penguasa Muslim dan ulama Muslim juga demikian. Syirik adalah musuh utama umat manusia. Di dalam berjihad menentang kemusyrikan, kaum Muslimin mestilah bersatu sekalipun mereka tidak boleh bersatu dalam bidang yang lain.

Selain syirik, syariat juga menekankan soal perbuatan mungkar. Kerosakan akidah dinamakan syirik dan kerosakan akhlak dinamakan perbuatan mungkar. Dalam soal kemungkaran, rujukannya secara umum adalah fitrah kemanusiaan, nilai-nilai murni kemanusiaan yang dipersetujui oleh syarak. Fitrah kemanusiaan yang sejati sangat hampir dengan fitrah Muslim, tetapi jarang yang sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati kerana bakat fitrah mereka dihijab oleh kemampuan berfikir yang terhad, pengaruh pendidikan, pengalaman dan sebagainya. Sekalipun manusia boleh sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati namun, ia belum boleh dikatakan fitrah Muslim kerana ia tidak berkeupayaan menyingkap tentang Tuhan. Ia mesti tunduk kepada perkhabaran yang datang daripada Tuhan barulah fitrah kemanusiaan yang sejati itu beroleh kedudukan sebagai fitrah Muslim. Fitrah kemanusiaan yang sejati hanya memerlukan iman untuk menjadikannya fitrah Muslim.

Nilai-nilai murni kemanusiaan yang disertai iman menjadi rujukan dalam menentukan sesuatu perkara itu mungkar atau tidak. Perbuatan mungkar adalah perbuatan yang menyalahi akhlak Muslim. Perbuatan yang sesuai dengan akhlak Muslim dan dilakukan dengan disertai iman, dinamakan perbuatan makruf. Perbuatan makruf termasuk dalam kategori amal soleh. Amal yang tidak soleh itulah yang mungkar.

Amal yang tidak soleh secara automatiknya adalah amal yang mungkar, tetapi amal yang pada zahirnya kelihatan soleh belum tentu ianya soleh. Ia hanya menjadi soleh jika ia disertai oleh iman. Tidak ada amal soleh tanpa iman. Sebab itulah sistem yang digubal oleh cerdik pandai bukan Islam, walaupun sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan, jika diambil bulat-bulat ia tidak mampu melahirkan amal soleh kerana tidak ada dasar iman padanya. Itulah punca kegagalan badan dunia menyebarkan perkara makruf dan mencegah yang mungkar. Umat Islam sendiri jika menggubal sistem yang tidak berlandaskan iman akan menemui kegagalan yang serupa. Kemungkaran hanya boleh dihancurkan oleh kekuatan iman.

Fitrah kemanusiaan yang tidak disertakan iman tidak dapat melihat rasional di sebalik kebanyakan peraturan syariat, terutamanya dalam bidang penghakiman dan penghukuman terhadap orang yang melakukan jenayah. Penghukuman menurut syarak biasanya dipandang sebagai keterlaluan, di luar perikemanusiaan. Fitrah kemanusiaan hanya memandang kepada skop kehidupan dunia sahaja, sedangkan syarak mengenakan hukuman yang berat di dalam dunia bagi menyelamatkan pesalah daripada hukuman berat di akhirat. Syarak melihat dunia sebagai kehidupan yang sangat singkat sementara akhirat adalah kehidupan yang abadi. Menderita dalam tempoh yang singkat lebih baik daripada menderita berkekalan. Tuhan tidak suka menghukum hamba-Nya dua kali. Hamba-Nya yang telah menjalani hukuman menurut syarak tidak perlu lagi dihukum di akhirat. Atas dasar inilah hukuman menurut syarak dipandang berat menurut nilai kemanusiaan sejagat.

Syariat memberi penumpuan kepada penyucian akidah dan akhlak. Akidah yang bersih daripada syirik menjadi dasar syariat. Akhlak yang mulia menjadi pengapit kepada akidah yang benar. Apabila dua perkara ini sudah teguh barulah perkara-perkara lain boleh berdiri dengan tegap. Selama tiga belas tahun berdakwah di Makkah, Nabi Muhammad SAW menumpukan soal akidah dan akhlak. Bidang syariat yang lain banyak dipraktikkan setelah Baginda SAW berhijrah ke Madinah.

Bidang syariat yang paling penting adalah pengajaran tentang Tuhan dan pengabdian kepada-Nya. Syariat mengajarkan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dia adalah pergantungan sekalian makhluk, tidak ada makhluk yang merdeka daripada-Nya. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesiapa boleh mendakwakan bahawa dirinya adalah sebahagian daripada Tuhan. Dia tidak serupa dengan sesuatu dan Dia Mendengar serta Melihat. Dia menguasai seluruh alam maya. Syariat memperkenalkan Tuhan dalam dua aspek penting. Dalam aspek pertama syariat menceritakan bahawa Tuhan adalah Maha Kaya dari seluruh alam. Tuhan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Tuhan tidak bergantung kepada sesuatu. Tuhan tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan tetapi makhluk ditanya tentang apa yang mereka perbuat. Syariat juga mengajarkan bahawa jika manusia bersyukur maka kebaikan syukur itu pergi kepadanya, bukan kepada Tuhan. Jika manusia kufur, ia memudaratkan diri manusia sendiri, tidak menjejaskan ketuhanan Allah SWT. Dalam aspek kedua syariat memperkenalkan Tuhan sebagai pergantungan sekalian makhluk, Dia melakukan apa yang Dia kehendaki kepada makhluk-Nya. Dia meletakkan ketentuan kepada setiap yang Dia ciptakan. Semua makhluk tidak berupaya mengubah ketentuan yang telah Tuhan tetapkan pada azali. Semua makhluk tunduk patuh kepada ketentuan-Nya. Gabungan dua aspek tersebut menceritakan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Kaya dari segala sesuatu, tidak berkehendakkan apa-apa pun daripada sesiapa pun, tetapi sekalian makhluk bergantung, berhajat dan berkehendak kepada-Nya. Begitulah dasar akidah seorang Muslim yang disimpulkan dengan kalimah: ‘La Ilaha Ilallah’.

Bagi menghuraikan dasar akidah tersebut, diadakan pengajian sifat dua puluh. Sifat dua puluh dan apa jua sifat yang dinisbahkan kepada Allah SWT, termasuklah nama-nama-Nya, tertakluk kepada dasar:Laisa Kamithlihi Syai’un

Makrifat melalui syariat diperolehi dengan iman bukan dengan hujah dan dalil. Hujah dan dalil berguna bagi orang cenderung menggunakan akal fikiran. Akal fikiran mempunyai had kemampuannya. Apabila sampai kepada had kemampuannya akal terpaksa tunduk, menyerah sepenuhnya kepada perkhabaran yang dibawa oleh syariat. Barulah akal itu menjadi Muslim. Makrifat secara syariat juga menjadi permulaan setelah berakhirnya makrifat secara kasyaf dan pengalaman kerohanian. Kasyaf membawa seseorang kepada suasana kehairanan menemui kenyataan bahawa Tuhan melampaui segala perkenalan. Ahli kasyaf pun tunduk, menyerah kepada perkhabaran yang terdapat dalam syariat. Barulah hati yang mengalami kasyaf benar-benar menjadi Muslim.

Apa juga jalan yang diikuti, permulaan jalan adalah syariat dan penghujung jalan juga syariat, barulah perjalanan itu menjadi bulatan yang lengkap. Syariat yang ditemui pada permulaan jalan adalah syariat secara umum, dipegang oleh orang awam. Syariat pada akhir perjalanan adalah syariat khusus dan lengkap, dipegang oleh orang arif. Apa juga tarekat yang dijalani sekiranya tidak ditemui syariat pada akhir perjalanannya, maka tarekat tersebut tidak mencapai Kebenaran Hakiki. Sekiranya sesuatu tarekat itu membawa seseorang kepada penafian terhadap syariat, sekiranya ahli tarekat itu mempunyai kesedaran, wajiblah dia berundur daripada jalan yang dilaluinya itu.

Selain menyampaikan pengetahuan tentang Tuhan, syariat juga mengajarkan cara-cara melakukan ibadat dan pengabdian kepada Tuhan. Hanya ibadat yang dilakukan menurut peraturan syariat sahaja diterima oleh Tuhan sebagai ibadat. Misalnya, syariat menentukan syarat dan rukun sembahyang. Tidak menepati syarat dan tidak menyempurnakan rukun tidak dinamakan sembahyang. Akal dan kasyaf tidak akan menemui cara yang betul bagi menyembah Tuhan. Hanya syariat, semata-mata syariat mengajarkan cara pengabdian yang sebenarnya terhadap Allah SWT.

Syariat juga menyampaikan perkhabaran tentang malaikat dan Nabi-nabi. Malaikat dikenali dengan mengetahui asal kejadiannya daripada nur yang murni yang berbeza daripada cahaya matahari atau sebarang cahaya yang diketahui oleh manusia. Perlu juga diketahui beberapa malaikat yang menjadi pemimpin kepada malaikat-malaikat sekaliannya. Mengenali Nabi pula adalah dengan mempelajari sejarah perjalanan mereka, tahu keturunan mereka dan tahu pula siapakah di antara mereka yang menerima kitab dan suhuf serta tahu kitab-kitab tersebut. Pengetahuan tentang perjalanan Nabi-nabi bagi meningkatkan kedudukan kerohanian dalam melaksanakan tuntutan syariat.

Seterusnya syariat mengajarkan manusia tentang akhirat. Matlamat utama manusia adalah akhirat dan dunia menjadi jalan kepada akhirat. Di samping mencari kesejahteraan hidup di dunia manusia lebih dituntut mencari keselamatan di akhirat. Kehidupan dunia hanyalah sementara dan kehidupan akhirat berkekalan, tanpa kesudahan. Syariat juga mengajar manusia supaya mengakui kelemahan mereka. Oleh yang demikian mereka dikehendaki beriman kepada Qada’ dan Qadar. Keyakinan kepada akhirat menggerakkan manusia supaya rajin beramal. Keyakinan kepada Qada’ dan Qadar memimpin manusia menjadi hamba yang tunduk kepada ketuhanan Allah SWT. Apa yang diajar oleh syariat membentuk sifat aslim iaitu berserah diri kepada Tuhan. Orang Islam yang bersifat aslim itulah yang benar-benar tunduk, patuh dan melaksanakan hukum Tuhan sebagaimana layaknya dibuat oleh seorang hamba yang merdeka.

Orang yang melalui jalan syariat akan berjaya apabila sampai kepada makam Mukmin. Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya Allah akan membeli orang-orang mukmin, dirinya dan hartanya dengan syurga, iaitu mereka yang berjihad pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu perjanjian yang benar di tentang itu (yang tersebut) dalam Taurat dan Injil dan Quran; kerana bukankah tidak ada yang sempurnakan janjinya lebih daripada Allah? Lantaran itu bergembiralah dengan perjanjian kamu yang kamu janjikan kepada-Nya, kerana yang demikian adalah kebahagiaan yang besar.” (QS At-Taubah: 111)

Orang yang mencapai darjat Mukmin ada harga pada sisi Allah SWT hinggakan Dia sanggup membeli mereka dengan harga syurga, harta yang paling tinggi nilainya dalam seluruh alam makhluk. Tidak ada keraguan lagi kedudukan mereka sebagai ahli syurga. Makam yang di bawah daripada makam Mukmin ada dua. Pertama adalah mereka yang dijamin sebagai ahli neraka. Kedua adalah mereka yang mungkin ke syurga atau mungkin ke neraka, hanya belas kasihan Tuhan yang boleh menyelamatkan mereka. Ketika hayat masih ada ujilah diri sendiri apakah sudah mencapai taraf Mukmin atau belum. Alat pengujinya adalah firman Allah SWT:

Orang-orang mukmin apabila diperingatkan dengan Allah nescaya gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya menambahkan bagi mereka keimanan; dan kepada Tuhan mereka berserah diri. (Iaitu) orang yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka.” (QS Al-Anfaal: 2~3)

Jika tanda yang tersebut di atas tidak ada, berwaspadalah! Mungkin neraka menunggu di akhir perjalanan hidup di dunia ini. Mulalah bekerja untuk menyelamatkan diri dengan berniaga dengan Allah SWT, menjualkan diri kepadanya dengan cara berjihad pada jalan-Nya. Mudah-mudahan Tuhan sudi membeli.

Kejayaan bagi mereka yang berjihad pada jalan Allah SWT adalah mereka dikurniakan petunjuk dengan nur tawajjuh (tawajjuh: menghadapkan wajah serta hati menuju Allah SWT) yang berperanan memalingkan hati kepada Allah SWT dan membentenginya daripada apa yang cuba memesongkannya. Orang yang dikurniakan nur tawajjuh dinamakan orang soleh yang berpegang teguh dengan syariat Allah SWT. Nur tawajjuh membuat mereka berasa damai dan tenang serta bertambah kehampiran dengan Allah SWT. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak mereka beribadat semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan menghadap Allah SWT) dan semakin mereka berasa lazat beribadat. Orang soleh adalah ahli syariat yang memakai pakaian warak dan berjalan dengan nur tawajjuh.

Wallahua’lam.

(Sumber rujukan: Internet)

13 Mei 2011

Bimbingan Mukmin: Tertib batiniah dalam membaca al-Quran



Pertama: Memahami kebesaran percakapan (firman) atau percaya apa yang terkandung di dalam al-Quran dan ketinggiannya, serta kemahaAgungan Allah SWT dan kemahaRahmatNya ke atas sekalian makhlukNya dalam menyampaikan segala percakapanNya sesuai dengan fahaman mereka.

Kedua: Mengagungkan Zat Allah yang berfirman. Orang yang membaca al-Quran terlebih dulu hendaklah menghadirkan di dalam hatinya Zat Allah yang berfirman, agar ia sentiasa maklum bahawa segala firman yang dibacanya itu bukanlah dari percakapan manusia. Dan kemahaAgungan Allah tidak akan muncul di dalam hati, selagi tiada dapat membayangkan sifat-sifat kebesaran Allah Ta’ala dan kemahaAgungNya dan segala perbuatan-perbuatanNya.

Andaikata ia dapat menggambarkan di dalam hatinya, betapa hebatnya Arasy dan Kursi langit dan bumi dan segala isinya daripada jin manusia, binatang-binatang, pohon-pohonan, dan ia mengetahui dengan penuh keyakinan, bahawasanya pencipta semua itu dan penguasaannya serta pemberi rezekinya ialah Satu dan Esa dan segala-galanya adalah di dalam genggaman kudratNya, sentiasa terdedah di antara menerima kelebihan dan rahmatNya ataupun menerima siksa dan kemurkaanNya. Kiranya Dia (Allah) mengurniakan kenikmatan, maka demikian itu dengan rahmatNya; dan kiranya Dia menyeksa, maka yang demikian itu adalah dengan keadilanNya. Dengan memikirkan hal-hal yang serupa inilah, akan hadir di dalam hati penghormatan terhadap Zat yang berfirman; iaitu Allah SWT dan akan hadir sama juga penghormatan terhadap percakapanNya.

Ketiga: Menghadirkan hati ketika dalam membaca al-Quran serta meninggalkan segala terlintas dari unsur-unsur lain dan mengosongkan hati daripadanya, agar semua tumpuan terhala kepada bacaan membaca surah al-Quran sedang hatinya lalai daripadanya, segera akan diulangi semula pembacaannya. Sifat ini timbul kerana penghormatan yang telah kita bicarakan sebelum ini, sebab orang yang menghormati percakapan Allah itu, apabila ia membaca al-Quran itu perkara-perkara yang akan mengembirakan hati, apabila si pembacanya ahli dalam perkara-perkara itu. Jadi apalah gunanya lagi untuk mencari kelapangan hati dengan memikirkan selain dari isi al-Quran, kalau al-Quran sudah boleh memberikannya.

Keempat: Memikirkan erti-erti al-Quran dan ini akan terlaksana dengan hadirnya hati ketika membaca al-Quran, sebab mungkin sekali ia tidak memikirkan selain dari al-Quran, tetapi ia hanya mementingkan pendengaran al-Quran buat dirinya sendiri, sedangkan ia tiada pula memahami maknanya. Padahal maksud dari membaca al-Quran itu telah memikirkan makna-maknanya. Kerana itulah disunatkan membacanya dengan tartil, sebab tartil pada lahirnya akan membolehkan pembaca memikirkan maknanya secara batiniah:

Berkata Ali r.a.: "Tiada gunanya sesuatu ibadat yang dilakukan tanpa ilmu pengetahuan dan bacaan al-Quran yang dilakukan tanpa memikirkan maknanya."

Andaikata dia tidak mampu memahami maknanya melainkan dengan berulang-ulang membacanya, maka hendaklah mengulang pembacaannya itu, kecuali jika dia sedang bersembahyang di belakang Imam. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bangun di tengah malam (bersembahyang) membaca suatu ayat yang diulang-ulanginya berkali-kali.

Kelima: Memahamkan tujuannya iaitu menerangkan setiap ayat sesuai dengan maksudnya yang sebenarnya, sebab al-Quran itu mengandungi berbagai-bagai perkara: di antaranya sebutan mengenai sifat-sifat Allah azzawajalla dan perbuatan-perbuatanNya, cerita dan peristiwa mengenai para Nabi serta kaum-kaum yang mendustakannya dan bagaimana pula mereka telah menemui ajal mereka masing-masing Al-Quran juga mengandungi perintah-perintah Allah dan larangan-laranganNya, dan berita-berita mengenai syurga dan neraka.

Mengenai sifat-sifat Allah azzawajalla, firmanNya: Tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Melihat.” (QS As-Syura: 11)

“Dia (Allah) adalah Maha Raja Maha Suci, Maha Penyelamat, Maha Pembawa Keamanan, Maha Pelindung, Maha Mulia, Maha Perkasa dan Maha Meninggi Diri.”

Maka sewajarnyalah setiap manusia memerhatikan pengertian dari nama-nama dan sifat Allah tersebut, agar tersingkap baginya rahsia-rahsianya.

Adapun mengenai perbuatan-perbuatan Allah Ta’ala itu, iaitu seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat mengenai penciptaanNya terhadap petala langit dan bumi dan sebagainya, maka sewajarnyalah si pembaca tadi memahami pula sifat yang bagaimana yang disifati oleh Allah Ta’ala, kerana perbuatan itu menunjukkan adanya yang mencipta dan demikian pula terbuktilah bahawa kebesaran penciptaanNya itu menunjukkan kepada kebesaran Pencipta. Dan adalah wajar sekali bagi seseorang menyaksikan dalam sesuatu penciptaan itu penciptanya, bukan semata-mata mementingkan penciptaannya saja. Orang yang sudah kenal kepada yang hak, tentulah akan melihat hak itu pada setiap sesuatu.

Maka oleh itu, apabila seseorang membaca firman Allah Ta’ala seperti berikut:

Tidakkah kamu perhatikan apa yang kamu tanam?" (QS al-Waqi’ah: 63)

Tidakkah kamu perhatikan air mani yang kamu tumpahkan?” (QS al-Waqi’ah: 58)

Tidakkah kamu perhatikan air yang kamu minum?” (QS al-Waqi’ah: 68)

Tidakkah kamu perhatikan apa yang kamu nyalakan?” (QS al-Waqi’ah: 71)

Maka janganlah pemandangannya hanya tertuju kepada air, api, tanaman dan air mani semata-mata, malah hendaklah ia memerhatikan lebih jauh dari itu. Misalnya air mani mula-mula ia hanya merupakan setitik air saja yang sama rupanya, kemudian hendaklah ia memerhatikan betapa setitik air itu boleh berubah menjadi beberapa bahagian seperti daging, tulang-belulang, urat-urat dan otot. Kemudian bagaimana pula bahagian-bahagian ini terbentuk menjadi anggota-anggota badan seperti kepala, tangan, kaki, jantung, hati dan lain-lain lagi. Kemudian dari anggota-anggota tersebut terbentuk pulalah sifat-sifat yang mulia bagi manusia, dari sifat-sifat pendengaran, penglihatan, akal fikiran dan lain-lain lagi. Kemudian muncul pula daripadanya, sifat-sifat yang tercela seperti sifat-sifat kemarahan, kesyahwatan, kebongkakan, kebodohan, kebohongan dan penentangan, sebagaimana yang boleh difirmankan oleh Allah Ta’ala: Tidakkah manusia itu melihat bahawasanya Kami (Allah) telah menciptakannya dari setitik air mani, tiba-tiba ia menjadi pula seorang penentang yang nyata.” (QS Yaa Sin: 77)

Cubalah kita perhatikan perkara-perkara ajaib ini, agar kita boleh dapat meningkat pula kepada perkara-perkara yang lebih besar lagi ajaibnya; iaitu penciptaan yang daripadanya muncul segala ajaib-ajaib ini, dan setiap kali kita memerhatikan kepada penciptaannya, kita akan sedar di sana ada penciptanya pula.

Adapun hal-ehwal para Nabi alaihimus-salam, apabila dalam suatu peristiwa, mereka itu telah dibohongi, didustai, dianiayai dan sebahagian pula dibunuh. Nanti di lain-lain tempat pula, kita dapati mereka itu akan menang juga akhirnya, disebabkan pertolongan Allah SWT. Dengan itu fahamlah kita, bahawa segala-gala itu adalah dengan kemahuan dan kehendak Allah azzawajalla dan Dia sentiasa akan memberikan pertolongan kepada kebenaran.

Adapun mengenai hal-ehwal kaum yang mendustakan para Nabi itu seperti kaum ‘Ad dan Tsamud, dan apa yang telah berlaku ke atas diri mereka itu, hendaklah dijadikan fahaman itu sebagai tanda perasaan takut terhadap balasan Allah dan seksaanNya, kemudian hendaklah kita mengambil contoh teladan dari peristiwa itu bagi diri kita.

Keenam: Meninggalkan perkara-perkara yang boleh menyukarkan untuk memahami maksud-maksud al-Quran. Kebanyakan orang terhalang dari memahami maksud-maksud al-Quran kerana beberapa sebab, atau tabir-tabir yang ditutup oleh syaitan ke atas hati mereka, sehinggakan butalah matahati itu dari memahami keajaiban-keajaiban rahsia al-Quran.

Salah satu dari tabir-tabir yang menghalang untuk memahami maksud al-Quran itu, ialah terlalu mengambil berat untuk menentukan setiap huruf itu keluar dari makhrajnya yang betul. Perkara serupa ini sering berlaku dan syaitan yang bertugas untuk mengacau orang-orang yang membaca al-Quran itu sering cuba mengelirukan si pembaca, agar ia terhalang dari memahami makna-makna Kalamullah azzawajalla. Syaitan itu akan terus menggoda si pembaca dengan membisikkan bahawa bacaannya tidak betul dan bunyinya tidak tepat menurut makhraj huruf-hurufnya lalu ia terus mengulangi bacaan itu beberapa kali dan ia masih sangsi terus, sama ada huruf-hurufnya benar-benar keluar dari makhrajnya atau tidak, sehingga seluruh perhatiannya hanya tertumpu kepada perkara ini saja. Orang yang dalam keadaan semacam ini, tentulah tiada dapat menyelam atau menyingkap makna-makna al-Quran dan tentulah syaitan akan mentertawakannya kerana ia amat patuh dan tunduk kepada godaan syaitan yang berjaya mengelirukannya.

Ketujuh: Mengkhususkan, yakni menunjukkan segala pertuturan al-Quran yang sedang dibacanya itu kepada dirinya sendiri, dan menganggap itulah yang dimaksudkan oleh firman-firman itu. Jadi apabila ditemui perkara diperintah atau larangan, dimaksudkanlah dirinya sendiri yang ditunjukkan perintah atau larangan itu. Begitu pula kiranya ditemui perkara janji atau ancaman, dianggapnyalah yang demikian itu tertuju kepadanya sendiri. Apabila ia mendengar cerita-cerita para Nabi dan orang-orang yang terdahulu, janganlah dianggapnya itu sebagai suatu cerita hiburan di waktu malam, malah yang dimaksudkannya ialah mengambil contoh teladan dari cerita-cerita tersebut dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk mendidik dirinya. Tiada suatu cerita pun terdapat di dalam al-Quran, melainkan isinya mengandungi faedah yang patut di contohi oleh Nabi SAW dan umatnya.

Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman: “Yang boleh menetapkan hatimu dengannya.” (QS Hud: 120)

Maka seseorang yang menatap cerita-cerita itu hendaklah membayangkan betapa Allah dapat menetapkan hatinya dengan cerita-cerita perihal para Nabi tadi, bagaimana Allah SWT telah memberikan kesabaran untuk menghadapi segala penganiyaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umatnya. Kemudian bagaimana pula mereka bersikap tegas dan tetap menunggu pertolongan Allah. Mengapa tidak! Sebab al-Quran itu bila diturunkan ke atas Rasulullah SAW bukanlah khas untuk Rasulullah SAW semata-mata, bahkan ia diturunkan juga untuk umatnya sebagai penawar, petunjuk, rahmat dan cahaya bagi seluruh alam semesta. Sebab itu juga Allah SWT telah memerintahkan seluruh umat manusia untuk mensyukuri kenikmatan diturunkan al-Quran itu.

Allah berfirman: Dan ingatlah nikmat Allah yang dikurnikan keatas kamu dan apa yang diturunkan ke atas kamu dari kitab (al-Quran) dan kebijaksanaan yang dengannya Allah mengajar kamu.” (QS Al-Baqarah: 231)

Andaikata pertuturan di atas itu ditujukan kepada semua, maka ia juga ditujukan untuk orang perseorangan sebagai mana firmanNya lagi: Agar aku dapat mengingatkan kamu dengannya (al-Quran) dan orang-orang yang sampai kepadanya berita ini.” (QS al-An’am: 19)

Berkata Muhammad al-Qurazhi: "Barangsiapa telah sampai kepadanya al-Quran, maka samalah seperti Allah telah berbicara dengannya. Kalau dia telah benar-benar faham akan maksudnya tentulah bukan saja dia menjadikan bacaan al-Quran itu sebagai suatu amalan saja, malah dia akan membacanya laksana seorang hamba yang membaca surat tuannya. Lalu ia pun memerhatikannya secara terperinci akan melaksanakan segala arahan yang termaktub di dalam surat itu."

Oleh kerana itu setengah para ulama berkata: "Al-Quran itu adalah seperti lembaran-lembaran surat yang sampai kepada kita dari hadrat Allah azzawajalla, yang mengandungi berbagai-bagai janji yang harus kita patuhi dalam semua sembahyang kita, dan kita laksanakan pula di dalam segala ketaatan kita."

Kelapan: Meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati dengan berbagai-bagai cara, menurut berbagai-bagai ayat yang dibacanya. Setiap ayat yang difahamkan akan menimbulkan semacam hal yang mana hati akan merasa berbagai-bagai perasaan; ada kalanya sedih, ada kalanya takut, ada kalanya mengharapkan dan sebagainya. Jadi apabila makrifat telah sempurna, tentulah perasaan takut akan menyelubungi hati dalam kebanyakan hal. Sebab seringkali ayat al-Quran itu terikat oleh sesuatu sebab yang tertentu. Misalnya bila disebutkan saja keampunan dan kerahmatan, tentulah ada syarat-syartanya yang bukan mudah bagi orang yang betul-betul tahu untuk mencapainya, sebagaimana firman Allah azzawajalla berikut: Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun…. (QS Taa haa: 82)

Sesudah sepotong ayat ini, diikuti pula dengan syarat-syaratnya; iaitu empat perkara, sebagaimana firman Allah dalam ayat yang sama iaitu: …… bagi sesiapa yang bertaubat, yang beriman yang membuat amalan soleh, kemudian ia mengikut petunjuk.” (QS Taa haa: 82)

Firman Allah yang lain: Demi masa, sesungguhnya manusia itu adalah di dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman lalu mengerjakan amalan saleh, mereka bertolonng-tolongan dalam kebenaran dan mereka bertolong-tolongan dalam kesabaran.” (QS Al-‘Asr 1-3)

Pada surah di atas tadi, disebutkan juga sebanyak empat syarat. Ada pula firman Allah yang menyebutkan satu syarat saja iaitu: Sesungguhnya rahmat Allah itu amat dekat dengan orang-orang yang membuat baik.” (QS al-A’raf: 56)

Dan sememangnyalah syarat keehsanan itu meliputi segala sesuatu.

Demikian keadaan al-Quran itu bagi orang yang membaca lembaran-lembarannya dari awal hingga ke akhiratnya. Orang yang telah memahami isi al-Quran sedemikian rupa, patut sekali merasa takut kepada Allah dan merasa hiba. Jika tidak maka tiada apa-apa faedah dari pembacaannya itu, selain dari gerakan lidah semata-mata, di samping itu dia akan menerima laknat Allah ke atas dirinya pula, sebagaimana firmanNya: Ingatlah bahawasanya laknat Allah itu ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim.” (QS Al-A’raf: 44)

FirmanNya lagi: Besar sekali dosanya di sisi Allah iaitu kalau kamu mengatakan sesuatu sedang kamu tiada melakukannya.” (QS Ash-Shaf: 3)

FirmanNya lagi: Maka tinggalkanlah siapa-siapa yang telah menyeleweng dari mengingatkan Kami, dan mereka tiada menginginkan melalaikan kehidupan dunia.” (QS An-Najm: 29)

FirmanNya lagi: Dan barangsiapa tiada bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS Al-Hujurat: 11)

dan banyak lagi ayat yang lain yang menunjukkan bahawa tujuan dari membaca al-Quran itu ialah mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.

Adapun bacaan dengan setakat menggerakkan lidah semata-mata tidaklah memberi apa-apa kesan pada diri dan tidak ada gunanya. Yang dikatakan bacaan al-Quran yang sebenarnya ialah bila lidah, akal fikiran dan hati turut sama-sama mengambil peranan. Tugas lidah ialah membetulkan pengeluaran huruf-hurufnya melalui tartil, tugas, akal fikiran ialah mentafsirkan makna-makna al-Quran. Dan tugas hati pula ialah menerima nasihat-nasihat untuk mengesankannya di dalam diri dengan meninggalkan segala larangan dan menurut segala perintah. Tegasnya lidah mentartil, akal menterjemah dan hati mengambil peringatan.

Wallahua’lam.

(Sumber: Kitab ‘Bimbingan Mukmin’ oleh Imam Al-Ghazali)


07 Mei 2011

TASYABBUH


At-Tasyabbuh secara bahasa di ambil dari perkataan al-musyabahah yang bererti 'meniru atau mencontohi, menjalin atau mengaitkan diri, dan mengikuti'. At-Tasybih bererti peniruan, dan mutasyabihah bererti mutamatsilat (serupa). Dikatakan ertinya serupa dengannya, meniru dan mengikutinya. Tasyabbuh yang dilarang dalam Al-Quran dan As-Sunnah secara syarie adalah peniruan terhadap orang-orang kafir dalam segala bentuk dan sifatnya, baik dalam aqidah, peribadatan, kebudayaan, atau tingkah laku yang menunjukkan ciri khusus kaum kafir.

Termasuk dalam tasyabbuh ialah meniru perbuatan orang-orang yang tidak soleh, walaupun mereka itu dari kalangan kaum muslimin, seperti orang-orang fasik, orang-orang awam dan jahil, atau orang-orang Arab (badwi) yang tidak sempurna keislamannya. Oleh kerana itu, secara umumnya kita katakan bahawa segala sesuatu yang tidak termasuk ciri khusus orang-orang kafir, sama ada dari sudut aqidahnya, adat-istiadatnya, peribadatannya, dan hal itu tidak bertentangan dengan nash-nash serta prinsip-prinsip syariat, atau tidak dikhuatiri akan membawa kepada kerosakan, maka tidak dianggap sebagai tasyabbuh.

Perkara paling utama yang harus kita fahami seperti dinyatakan dalam beberapa ketentuan Islam, adalah bahawa Islam dibangunkan di atas asas yang dinamakan at-taslim, yakni ‘penyerahan diri secara mutlak kepada Allah SWT’. Sedangkan at-taslim sendiri bermaksud ‘tunduk kepada kepada perintah-perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-larangan-Nya’. Kemudian membenarkan apa-apa yang disampaikan Rasul-Nya, tunduk kepada perintah serta menjauhi larangan-larangan Baginda.

Apabila kita sudah memahami perkara-perkara di atas, maka sebagai seorang Muslim kita hendaklah bertaslim terhadap apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan merealisasikannya di dalam setiap amal perbuatan. Dan ajaran yang Baginda SAW bawa di antaranya larangan untuk bertasyabbuh terhadap orang-orang kafir. Setelah bertaslim, kita sepatutnya merasa tenang serta yakin sepenuhnya bahawa bertasyabbuh dengan orang-orang kafir akan mendatangkan mudarat berdasarkan pertimbangan akal yang sihat serta fitrah yang suci.

Di antara sebab larangan bertasyabbuh ialah:

a. Semua perbuatan orang kafir pada dasarnya dibangunkan di atas dasar kesesatan dan kerosakan. Inilah sebenarnya titik tolak semua perbuatan dan amalan orang-orang kafir, baik yang bersifat menakjubkan kita atau tidak, baik kerosakan yang zahir ataupun terselindung, kerana sesungguhnya yang menjadi dasar semua perlakuan orang-orang kafir adalah dlalal (sesat), inhiraf (menyeleweng dari kebenaran), dan fasad (rosak), baik dari segi aqidah, adat-istiadat, ibadah, perayaan-perayaan hari besar, ataupun dalam pola tingkah lakunya. Adapun kebaikan yang mereka perbuat hanyalah merupakan suatu pengecualian sahaja. Oleh kerana itu, jika terdapat pada mereka perbuatan-perbuatan yang baik, maka di sisi Allah SWT tidak memberi erti apapun baginya dan tidak diberi pahala sedikitpun. Firman Allah SWT: Dan Kami hadapi amal yang mereka kerjakan kemudian Kami jadikan amal itu debu yang berterbangan.” (QS Al-Furqan: 23)

b. Dengan bertasyabbuh terhadap orang kafir, maka seorang Muslim akan menjadi pengikut mereka. Ini bererti dia telah menentang atau memusuhi Allah SWT dan Rasul-Nya sekaligus mengikuti jalan orang-orang yang tidak beriman. Padahal dalam perkara ini terdapat peringatan yang sangat keras sekali, sebagaimana berfirman Allah SWT: Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas datang kepadanya petunjuk dan mengikuti jalan orang-orang yang tidak beriman, Kami biarkan ia leluasa dengan kesesatannya kemudian Kami seret ke dalam Jahannam. Dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (QS An-Nisa’: 115)

c. Hubungan antara si peniru dengan yang ditiru seperti yang terjadi antara si pengikut dengan yang diikuti yakni penyerupaan bentuk yang disertai kecenderungan hati, keinginan untuk menolong serta menyetujui semua perkataan dan perbuatannya. Dan sikap itulah yang menjadi sebahagian dari unsur-unsur keimanan, di mana seorang muslim diperingatkan supaya tidak terjerumus ke dalamnya.

d. Sebahagian besar tasyabbuh mewujudkan rasa kagum dan mengutamakan orang-orang kafir. Dari sana timbullah rasa kagum pada agama, kebudayaan, tingkah laku, perangai serta semua kerosakan yang berlaku. Kekaguman terhadap orang kafir tersebut akan menyebabkan penghinaan kepada As-Sunnah, merendahkan kebenaran serta petunjuk yang dibawa Rasulullah SAW dan para solehin. Ini adalah kerana barangsiapa yang menyerupai suatu kaum pasti sepakat dengan fikrah (pemikiran) mereka dan redha dengan semua perlakuannya. Inilah bentuk kekaguman terhadap mereka. Sebaliknya, ia tidak akan merasa kagum terhadap semua hal yang bertentangan dengan apa yang dikagumi tersebut.

e. Musyabbahah (meniru-niru) itu mewariskan mawaddah (kasih sayang), mahabbah (kecintaan), dan mawalah (kesetiaan) terhadap orang-orang yang ditiru tersebut. Ini adalah kerana bagi seorang muslim yang meniru dan mengikuti orang-orang kafir, tidak boleh tidak, dalam hatinya akan ada rasa ilfah (akrab dan bersahabat) dengan mereka. Dan rasa akrab dan bersahabat ini akan tumbuh menjadi mahabbah (cinta), redha serta bersahabat kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan akibatnya dia akan menjauhi orang-orang yang soleh, orang-orang yang bertakwa serta orang-orang yang mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Keadaan akan menjadi semakin parah sekiranya muqallid (si pengikut) berkenaan sedang mengalami kegoncangan jiwa. Maka, pada ketika itu, ia akan merasakan bahawa apa yang diikutinya adalah bersesuaian dengan dirinya.

f.
Bertasyabbuh terhadap orang-orang kafir pada dasarnya akan menjerumuskan kepada kehinaan, kelemahan, kekerdilan (rendah diri) dan kekalahan. Demikianlah yang terjadi pada sebahagian besar orang-orang yang mengikuti orang-orang kafir sekarang ini. Ramai yang mangaku Muslim tetapi bangga dengan budaya orang-orang kafir yang merosakkan akidah serta akhlak.

Wallahua'lam