Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


13 November 2009

DOA ORANG BERDOSA DITOLAK ALLAH (HARIAN METRO, 13/11/09)


SEBAGAI manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib. Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.

Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan. Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?

Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.

Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.

Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.

Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa. Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah SWT iaitu:
.
Dosa kerana mengingkari pemimpin
Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat. Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah SWT. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.
.
Dosa kerana tidak taat guru
Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.
.
Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa
Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita. Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.
.
Dosa kerana derhaka kepada suami
Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.
.
Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang
Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.
.

11 November 2009

SYAHID SELEPAS MEMELUK ISLAM


Suatu ketika, tatkala Rasulullah SAW sedang bersiap sedia di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak diduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda SAW. Rupanya dia ingin memeluk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah SAW.

Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu telah memeluk Islam setelah tokoh yang terkenal, Saad bin Muaz, memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, beliau menjawab: "Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya."

Demikian angkuhnya Amar. Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia hidup terasing, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang.

Kini dalam saat orang bersiap-siap untuk ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah SAW, menyatakan dirinya akan memeluk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Pedangnya yang tajam turut dibawanya.
.
Rasulullah SAW menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira, tambah pula beliau rela ikut serta bersama Nabi Muhammad SAW. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya.

Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai akhirnya dia jatuh pengsan. "Untuk apa ikut ke mari, ya Amar?", demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab mereka menyangkakan beliau masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam lalu mengikut sahaja.

Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata: "Aku sudah beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah SWT akan memberikan syahidah kepadaku dalam waktu yang tidak lama lagi." Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid.

Waktu hal ini diketahui Rasulullah SAW, maka Baginda SAW pun bersabda: "Amar itu nanti akan berada dalam syurga." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab ianya di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a. sahabat yang banyak mengetahui hadis Rasulullah SAW berkata kepada kaum Muslimin: "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah SWT." "Jika kamu tidak tahu orangnya," kata Abu Hurairah r.a. lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit."

Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Rasulullah SAW.

Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang sebagai mujahid yang berani. Akhirnya beliau tewas dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid, mati membela agama Allah SWT di medan perang. Maka syurgalah tempat baginya. Rasulullah SAW menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.

Wallahua'lam.
.

09 November 2009

ABU BAKAR, ORANG YANG PALING BERANI


Al-Bazzar meriwayatkan dalam kitab Masnadnya dari Muhammad bin Aqil katanya: "Pada suatu hari Ali bin Abi Talib (kwj) pernah berkhutbah di hadapan kaum Muslimin dan beliau berkata: "Hai kaum Muslimin, siapakah orang yang paling berani ?" Jawab mereka: "Orang yang paling berani adalah engkau sendiri, hai Amirul Mukminin."

Kata Saidina Ali: "Orang yang paling berani bukan aku tapi adalah Abu Bakar. Ketika kami membuatkan Nabi Muhammad SAW gubuk di medan Badar, kami tanyakan siapakah yang berani menemankan Nabi Muhammad SAW dalam gubuk itu dan menjaganya dari serangan kaum Musyrik? Di saat itu tiada seorang pun yang bersedia melainkan Abu Bakar sendiri. Dan beliau menghunus pedangnya di hadapan Nabi Muhammad SAW untuk membunuh siapa sahaja yang mendekati gubuk Nabi Muhammad SAW. Itulah orang yang paling berani."

"Pada suatu hari juga pernah aku menyaksikan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berjalan kaki di kota Mekah, datanglah orang Musyrik sambil menghalau beliau dan menyakiti beliau dan mereka berkata: "Apakah kamu menjadikan beberapa tuhan menjadi satu tuhan?" Di saat itu tidak ada seorang pun yang berani mendekat dan membela Nabi Muhammad SAW selain Abu Bakar.

Beliau maju ke depan dan memukul mereka seraya berkata: "Apakah kamu hendak membunuh orang yang bertuhankan Allah?" Kemudian sambil mengangkat kain selendangnya, beliau mengusap air matanya. Kemudian Saidina Ali berkata: "Adakah orang yang beriman dari kaum Firaun yang lebih baik daripada Abu Bakar?" Semua jamaah diam sahaja, tidak ada yang menjawab.

Saidina Ali seterusnya berkata: "Sesaat dengan Abu Bakar lebih baik daripada orang yang beriman dari kaum Firaun walaupun mereka sepuluh dunia, kerana orang beriman dari kaum Firaun hanya menyembunyikan imannya sedangkan Abu Bakar menyiarkan imannya."
.

06 November 2009

SEORANG NASRANI MEMELUK ISLAM


Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat seorang Qadhi yang kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura, datanglah seorang fakir miskin meminta sedekah. Berkatalah si miskin tersebut: "Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua dirham." Qadhi menjawab: "Datanglah selepas waktu zohor!"

Selepas solat zohor, orang miskin itu pun datang meminta sedekah. Sayangnya si Qadhi itu tidak menepati janjinya dan menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah si Qadhi dengan penuh kecewa.

Sewaktu si miskin berjalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang Nasrani sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang Nasrani itu si miskin minta sedekah: "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya." Si Nasrani lalu bertanya: "Hari apakah hari ini?" "Hari ini hari Asyura.", jawab si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura.

Rupanya orang Nasrani itu sangat tertarik mendengar cerita si miskin itu dan dia berkenan untuk memberi sedekah. Berkata si Nasrani: "Katakan apa hajatmu padaku!" Berkata si miskin: "Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja." Dengan segera ia memberi si miskin tersebut kesemua keperluan yang dimintanya. Si miskin itu pun pulang dengan senang hati kepada keluarganya.

Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya. "Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya. Si Qadhi bertanya: "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?" Terdengar jawapan: "Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu dimiliki oleh seorang Nasrani."

Apabila Qadhi bangun dari tidurnya, iapun pergi kepada si Nasrani yang dimaksudkan dalam mimpinya. Qadhi bertanya kepada si Nasrani: "Amal apakah gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?" Orang Nasrani itu pun menceritakan tentang amal yang dilakukannya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada hari Asyura itu.

Kata Qadhi: "Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham." Kata si Nasrani: "Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga bumi serta seisinya." Orang Nasrani itu lalu membuang tanda salibnya dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Wallahua'lam.
.

05 November 2009

KURMA MADINAH


Ketika Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya untuk segera berangkat ke Tabuk menghadapi kaum kafir, mereka semua bersegera menyambutnya. Hanya beberapa orang sahabat yang tidak mengikuti peperangan tersebut, selain orang tua, para wanita dan anak-anak serta orang-orang munafik.

Musim kurma hampir tiba dan masa itu musim panas yang terik sedang melanda Madinah, sementara bekalan dan senjata yang dimiliki para Muslimin sangat sedikit, akan tetapi Rasulullah SAW dan para sahabatnya r.a. tetap berangkat. Di waktu itulah keimanan dan pengorbanan para sahabat diuji. Orang-orang munafik mulai menghasut para sahabat agar tidak meninggalkan kebun kurma mereka dan tidak menyertai peperangan tersebut.

Hasutan para munafiqin itu tidak hanya ditujukan kepada para sahabat r.a. tetapi juga kepada isteri para sahabat r.a. pun tidak luput dari hasutan mereka. Mereka para munafiqin itu berkata: "Suami-suami kalian pergi ke Tabuk sementara kurma di kebun-kebun kalian sebentar lagi ranum, siapakah yang akan mengurusnya. Mereka meninggalkan kesempatan yang bagus ini dan pergi meninggalkannya begitu saja." Isteri-isteri para sahabat itu menjawab dengan keimanan mereka: "Pencari rezeki telah pergi dan pemberi rezeki telah datang."

Pada masa itu Rasulullah SAW dan para sahabat dengan pertolongan Allah SWT kembali dari peperangan dalam waktu yang sangat singkat. Allah SWT menjaga kebun-kebun kurma dan keluarga mereka. Tidak satupun buah kurma yang telah masak itu jatuh dari tangkainya, malah kebun mereka berlipat ganda hasilnya. Oleh yang demikian, para sahabat tidak kerugian sedikit pun. Sampai saat ini kurma Madinah adalah yang paling digemari dan terkenal di mana-mana.
.

04 November 2009

RASULULLAH S.A.W. DAN 8 DIRHAM


Suatu hari, Nabi Muhammad SAW keluar membeli keperluan. Dengan berbekalkan wang 8 dirham, Baginda hendak membeli pakaian dan peralatan rumah tangga. Sebelum tiba di pasar, beliau berjumpa dengan seorang wanita yang sedang menangis. Rasulullah SAW lalu bertanya kenapa ia menangis.

Perempuan itu mengatakan bahawa dia adalah seorang hamba sahaya yang telah kehilangan wang sebanyak 2 dirham. Ia menangis kerana takut didera oleh majikannya. Lalu Rasulullah SAW mengeluarkan 2 dirham dari saku Baginda untuk menghibur perempuan malang tersebut. Kini tinggal 6 dirham. Baginda lalu meneruskan perjalanannya untuk membeli pakaian.
.
Akan tetapi baru beberapa langkah pulang dari pasar, seorang tua lagi miskin setengah berteriak berkata: "Barang siapa yang memberiku pakaian, Allah SWT akan mendandaninya kelak." Rasulullah SAW memeriksa laki-laki tersebut. Pakaiannya lusuh, tidak sesuai lagi untuk dipakai. Pakaian yang baru Baginda beli dilepaskan dan diberikan kepada orang tua itu. Nabi Muhammad SAW tak jadi memakai baju baru.

Dengan langkah ringan Nabi Muhammad SAW hendak segera pulang. Tetapi berlaku lagi satu peristiwa yang menguji kesabaran. Kali ini Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan perempuan yang diberi dua dirham tadi mengadukan bahawa dia takut untuk pulang. Dia khuatir akan dihukum oleh majikannya kerana terlambat. Biasanya hukuman berbentuk fizikal sudah sangat biasa diterima oleh hamba-hamba sahaya. Sedangkan Rasulullah SAW diutus ke dunia untuk membela rakyat jelata. Dengan senang hati Rasulullah SAW menghantarkan perempuan tersebut ke rumah majikannya.

Sesampainya di rumah, Rasulullah SAW mengucapkan salam. Sekali, dua kali, belum ada jawapan. Hanya salam yang ketiga dijawab oleh penghuni rumah. Nampaknya semua penghuni rumah tersebut adalah perempuan. Ketika ditanya kenapa salam Baginda SAW tidak dijawab, pemilik rumah itu mengatakan mereka sengaja melakukannya dengan maksud didoakan oleh Rasulullah SAW dengan salam tiga kali.

Seterusnya Rasulullah SAW menyampaikan maksud kedatangannya. Baginda menghantar hamba sahaya tersebut kerana takut mendapat hukuman. Rasulullah SAW kemudian berkata: "Jika perempuan budak ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku yang menerima hukumannya." Mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, penghuni rumah terkesima. Mereka merasa mendapat pelajaran yang sangat berharga dari Rasulullah SAW, lalu mereka berkata: "Budak belian ini merdeka kerana Allah SWT!."

Betapa bahagianya Rasulullah SAW mendengar kata-kata tersebut. Baginda sangat bersyukur kerana dengan wang 8 dirham tersebut, terdapat keuntungan ribuan dirham, yakni harga budak itu sendiri. Rasulullah SAW berkata: "Tiadalah aku melihat lapan dirham demikian besar berkatnya dari pada lapan dirham yang ini. Allah SWT telah memberi ketenteraman bagi orang yang ketakutan, memberi pakaian orang yang telanjang, dan membebaskan seorang budak belian."

Rahmat dan kasih sayang, bantuan dan pertolongan kepada masyarakat bawahan akhirnya mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan. Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: "Bahawasanya Allah menolong hambaNya, selama ia menolong saudaranya."

Wallahua'lam.
.

01 November 2009

ANJING-ANJING NERAKA !


Sabda Rasulullah SAW kepada Mu'adz bin Jabal r.a.: "Wahai Mu'az, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan:

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.

· Bacalah Al-Quran

· Tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.

· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.

· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.

· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.

· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.

· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.

· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.

· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.

Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka."
.
Firman Allah SWT: "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."

Sabda Rasulullah SAW: "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."

Kata Mu'az: "Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?"

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah SWT."
.