Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


28 Disember 2012

KISAH BENAR: TAWAKKAL KEPADA ALLAH S.W.T



Kisah ini diceritakan sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq. Pada suatu hari isteri Atha' menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah habis. Setelah isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung guni dan berjalan menuju ke pasar.

Di dalam perjalanan dia mendapati seorang hamba sahaya sedang menangis. Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan hamba tersebut. Oleh kerana kasihan melihat keadaan hamba tersebut, Atha' menghampiri hamba yang sedang menangis itu lalu bertanya: "Kenapa kamu menangis di tepi jalan ini?" Hamba itu menjawab: "Saya diberi wang sebanyak 2 dirham oleh tuan saya supaya membeli barang keperluan di pasar. Apabila tiba di sini, saya dapati wang itu sudah tiada." Hamba tadi menangis lebih kuat lagi seraya menyambung: "Mungkin wang itu tercicir semasa dalam perjalanan kemari."

Atha' bertanya lagi: "Kenapa kamu tidak pulang saja dan memberitahu tuanmu tentang kehilangan wang tersebut?." Sambil menangis hamba tadi menjawab: "Jika saya pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut, tentulah saya dimarahi dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas penjelasan hamba itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah barang-barang yang dipesan oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan mengucapkan terima kasih kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh tuannya.

Setelah hamba tadi beredar dari situ Atha' berfikir sendirian: "Bagaimana aku hendak membeli gandum yang dipesan oleh isteriku sedangkan wang 2 dirham telah aku berikan kepada hamba tadi?" "Dari mana aku hendak mencari wang sebanyak itu?" katanya lagi. Untuk menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke sebuah masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat sunat. Atha' berada di dalam masjid agak lama, sehingga beliau sempat bersolat Asar di situ. Beliau berdoa supaya Allah SWT membantunya.

Setelah selesai solat Asar, Atha' menuju ke rumah kawannya kerana ia takut dileteri oleh isterinya kerana pulang tanpa membawa gandum yang dipesannya. Pada mulanya Atha' ingin menceritakan dan meminta bantuan daripada kawannya tetapi apabila tiba di rumah kawannya, ia tidak tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila kawannya melihat Atha' membawa karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu? Karung kosong?" jawab Atha': "Ya" "Kalau begitu isilah habuk kayu ini dan bawalah pulang untuk dijadikan bahan bakar," kata kawannya. Tanpa berkata apa-apa, Atha' terus mengisi karung guni dengan habuk kayu yang diberikan oleh kawannya dan terus pulang ke rumahnya.

Apabila tiba dirumahnya, Atha' meletakkan guni yang berisi habuk kayu tadi di rumahnya dan beredar dari situ dengan senyap-senyap kerana takut isterinya berleter disebabkan karung tersebut telah diisi dengan habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid. Agak lama juga beliau berada di sana sehingga hampir larut malam barulah dia pulang. Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang sedang dibakar. Atha' kemudiannya masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang membakar roti lalu berkata: "Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya: "Memanglah kerana gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya lagi: "Dari mana kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari karung yang awak bawa baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu berkata di dalam hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung tadi berisi dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"

Atha' bertanya kepada isterinya: "Mana karungnya? Biar aku lihat.." Isterinya menghulurkan karung tadi dan dilihatnya. "Memang benar, karung tadi yang berisi habuk kayu telah bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik," kata Atha' di dalam hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya gandum tersebut.

Begitulah jika kita sentiasa merendah diri, beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT...

Firman Allah SWT: “Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 33)

Allah SWT juga berfirman: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Luqman: 22)

Wallahua’lam..

13 Disember 2012

FITNAH DAJJAL LAKNATULLAH




Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada fitnah yang lebih besar dari fitnah Dajjal.” (HR Ahmad)

Tidak ada maklumat yang jelas tentang kelahiran dan kehidupan Dajjal di masa kecil, lebih-lebih lagi kerana tiada seorangpun yang memiliki ciri-ciri yang sama dengannya. Menurut Imam Al Barzanji, ada pendapat mengatakan bahawa asal keturunan bapanya ialah seorang Dukun Yahudi yang dikenali sebagai ‘syaqq’ manakala ibunya adalah dari bangsa jin. Ia hidup di zaman Nabi Sulaiman AS dan mempunyai hubungan dengan makhluk halus. Nabi Sulaiman AS akhirnya telah menangkap dan memenjarakannya. Walau bagaimanapun kelahiran dan kehidupan masa kecil tidak diketahui dengan terperinci.

Sifat Fizikal
Diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Dajjal ialah orang yang buta sebelah matanya iaitu sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka.” (HR Muslim)

Ada beberapa ciri perawakan Dajjal yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, di antaranya: Seorang yang kelihatannya masih muda, berbadan besar dan agak kemerah-merahan, rambutnya kerinting dan tebal. Kelihatan dari belakang seolah-olah dahan kayu yang rimbun.

Dan tandanya yang paling ketara sekali ada dua. Tanda yang pertama ialah buta mata kirinya dan kelihatan seperti buah kismis yang kecut, manakala mata kanannya tertonjol keluar kehijau-hijauan berkelip-kelip laksana bintang. Jadi kedua-dua matanya adalah cacat. Manakala tanda yang kedua ialah tertulis di dahinya tulisan ‘Kafir’ (Kaf-Fa-Ra). Tulisan ini dapat dibaca oleh setiap orang Islam, sama ada yang pandai membaca atau buta huruf. Mengikut hadis riwayat At-Thabrani, kedua-dua tanda ini menjelma dalam diri Dajjal setelah ia mengaku sebagai Tuhan. Adapun sebelum itu, kedua-dua tanda yang terakhir ini belum ada pada dirinya.

Tamim Ad Dari pernah bertemu dengan Dajjal di sebuah pulau berdasarkan sebuah hadis sahih Imam Muslim seperti di bawah:

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Fatimah binti Qais, ia berkata: ”Aku mendengar suara seruan dari muadzin Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat, maka aku pun berangkat ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW. Aku solat di shaf para wanita di belakang kaum lelaki. Ketika solat sudah selesai, Rasulullah SAW duduk di atas mimbar sambil tersenyum beliau bersabda: ”Demi Allah sesungguhnya aku mengumpulkan kalian bukanlah untuk suatu khabar gembira atau khabar buruk akan tetapi aku mengumpulkan kalian kerana Tamim ad Dari yang dahulunya seorang laki-laki pemeluk agama Nasrani kini telah memeluk Islam dan membaiatku."

"Ia telah berkata kepadaku dengan suatu perkataan yang pernah aku katakan kepada kalian tentang al Masih ad Dajjal. Ia mengisahkan perjalanannya kepadaku bahawa ia belayar dengan sebuah kapal laut bersama 30 orang laki-laki dari kabilah Lakham dan Judzam. Kemudian mereka terombang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di daerah tempat terbenamnya matahari, lalu mereka duduk di suatu tempat yang terletak sangat dekat dengan kapal."

"Setelah itu mereka masuk ke dalam pulau tersebut lalu mereka bertemu dengan seekor binatang yang berbulu lebat sehingga mereka tidak dapat memperkirakan mana ekornya dan mana kepalanya kerana tertutup oleh bulunya yang terlalu banyak."

"Mereka berkata: ”Celaka, dari jenis apakah kamu ini?” Ia menjawab: ”Saya adalah al-Jassasah.” Mereka bertanya: ”Apakah al-Jassasah itu? (tanpa menjawab) Ia berkata: ”Wahai orang-orang pergilah kalian kepada seorang laki-laki yang berada di biara itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengarkan berita-berita dari kalian!

Tamim ad Dari berkata: ”Ketika ia telah menjelaskan kepada kami tentang lelaki itu, kami pun terkejut kerana kami mengira bahawa ia adalah syaitan. Lalu kami segera berangkat sehingga kami memasuki biara tersebut, di sana terdapat seorang manusia yang paling besar dalam keadaan terikat sangat kuat. Kedua tangannya terikat ke pundaknya serta antara dua lutut dan kedua mata kakinya terbelenggu dengan besi.

"Kami berkata: ”Celaka, siapakah kamu ini?’ Ia menjawab: ”Takdir telah menentukan bahawa kalian akan menyampaikan berita-berita kepadaku, maka khabarkanlah kepadaku.. siapakah kalian ini?’ Mereka menjawab:”Kami adalah orang-orang Arab yang belayar dengan sebuah kapal, tiba-tiba kami menghadapi sebuah laut yang bergelora lalu kami terumbang-ambing di tengah laut selama satu bulan dan terdamparlah kami di pulau ini. Lalu kami duduk di tempat yang terdekat dengan kapal kemudian kami masuk ke pulau ini maka kami bertemu dengan seekor binatang yang sangat banyak bulunya yang tidak dapat diperkirakan mana ekor dan mana kepalanya kerana banyak bulunya. Maka kami berkata:’Celaka, apakah kamu ini?’ ia menjawab: ”Aku adalah al-Jassasah.’ Ia berkata: ”Pergilah kalian kepada seorang lelaki yang berada di biara itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengarkan berita-berita yang kalian bawa.” Lalu kami segera menuju tempat kamu ini dan kami terkejut bercampur takut kerana mengira bahawa kamu ini adalah syaitan.”

"Ia (lelaki besar yang terikat itu) berkata: ”Beritakanlah kepada saya tentang pohon-pohon kurma yang ada di daerah Baisan.” Kami berkata: ”Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?” Ia berkata: ”Saya menanyakan apakah pohon-pohon kurma itu berbuah?” Kami menjawab: “Ya.” Ia berkata: “Adapun pohon-pohon kurma itu maka ia hampir saja tidak akan berbuah lagi.”

"Kemudian ia berkata lagi:”Beritakanlah kepadaku tentang danau Tiberia.” Mereka berkata: ”Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?”  Ia bertanya: ”Apakah ia tetap berair?” Kami menjawab: “Ya.” Ia berkata: “Adapun airnya, maka ia (sebentar lagi) hampir saja akan habis.”

"Kemudian ia berkata lagi: “Beritakanlah kepada saya tentang mata air Zugar.” Mereka menjawab: “Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?” Ia bertanya,”Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?’ Kami menjawab: “Benar, ia berair banyak dan penduduknya bertani dari mata air itu.

"Lalu ia berkata lagi: “Beritakanlah kepadaku tentang nabi yang ummi, apakah yang sudah ia perbuat?” Mereka menjawab: “Dia telah keluar dari Mekah menuju Madinah.” Lalu ia bertanya: “Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?” Kami menjawab: “Ya.” Ia bertanya: “Apakah yang ia lakukan terhadap mereka?” Maka kami beritahu kepadanya bahawa ia (Nabi) itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya.” Lalu ia berkata: “Apakah itu semua telah terjadi?” Kami menjawab: “Ya.” Ia berkata: “Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kalian tentang diriku. Aku adalah al masih ad dajjal dan sesungguhnya aku hampir saja diizinkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun kampung (negeri) kecuali aku memasukinya dalam waktu 40 malam selain Makkah dan Thaibah, kedua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihalang oleh malaikat yang ditangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua negeri tersebut. Dan di setiap celahnya terdapat malaikat yang menjaganya.”

Ia (Fatimah, si perawi hadis) berkata: ”Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar: ”Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kalian tentang hal itu?” Orang-orang (para sahabat) menjawab: ”Benar.” Beliau SAW berkata: “Saya tertarik dengan apa-apa yang dikatakan oleh Tamim ad Dari, kerana ia bersesuaian dengan apa-apa yang pernah aku sampaikan kepada kalian tentang Madinah dan Makkah. Bukankah ia (tempat dajjal dirantai) terletak di laut Syam atau laut Yaman?" Di mana Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah timur. Ia (Fatimah) berkata: ”Hal ini saya hafalkan dari Rasulullah SAW.” (HR Muslim)

Dari hadis di atas jelaslah bagi kita bahawa Dajjal itu telah bersiap sedia dan hanya menunggu masa diizinkan oleh Allah swt utk keluar menjelajah permukaan bumi ini. Ia kini sedang dirantai di sebuah tempat di sebelah Timur, bukan di Barat.

Dajjal Melakukan Kerosakan
Setelah dibebaskan, Dajjal akan hidup selama empat puluh hari sahaja. Namun, hari pertamanya adalah sama dengan setahun dan hari kedua sama dengan sebulan dan ketiga sama dengan satu minggu dan hari-hari baki lagi sama seperti hari-hari biasa. Jadi kiraan masa sebenar Dajjal membuat fitnah dan kerosakan di atas mukabumi ialah selama 14 bulan dan 14 hari. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ada dinyatakan: “Kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Berapa lamakah ia akan tinggal di muka bumi ini? Nabi SAW, menjawab: “Ia akan tinggal selama empat puluh hari. Hari yang pertama seperti setahun dan hari berikutnya seperti sebulan dan hari ketiga seperti seminggu. Kemudian hari yang masih tinggal lagi (iaitu 37 hari) adalah sama seperti hari kamu yang biasa.”

“Lalu kami bertanya lagi: “Ya Rasulullah SAW! Di hari yang panjang seperti setahun itu, apakah cukup bagi kami hanya sembahyang sehari sahaja (iaitu 5 waktu sahaja). Nabi SAW menjawab: "Tidak cukup. Kamu mesti mengira hari itu dengan menentukan kadar yang bersesuaian bagi setiap sembahyang..

Maksud sabda Rasulullah SAW ini ialah supaya kita mengira jam yang berlalu pada hari itu. Bukan mengikut perjalanan matahari seperti biasanya kita lakukan. Misalnya sudah berlalu tujuh jam selepas sembahyang Subuh pada hari itu maka masuklah waktu sembahyang Zohor, maka hendaklah kita sembahyang Zohor, dan apabila ia telah berlalu selepas sembahyang Zohor itu tiga jam setengah misalnya, maka masuklah waktu Asar, maka wajib kita sembahyang Asar. Begitulah seterusnya waktu Sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh seterusnya hingga habis hari yang panjang itu sama panjangnya dengan masa satu tahun dan bilangan sembahyang pun pada sehari itu sebanyak bilangan sembahyang setahun yang kita lakukan. Begitu juga pada hari kedua dan ketiga.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu, Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.”

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.”

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis 'KAFIR', yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.”

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."

Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.”

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. “

Dalam hadis yang lain: "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami pada satu hari, cerita yang panjang tentang Dajjal. Antara perkara yang baginda ceritakan kepada kami ialah sabdanya: “Dajjal akan datang sedangkan dia tidak dapat memasuki jalan-jalan dan lereng-lereng bukit di Madinah, maka dia berhenti di kawasan tanah yang gersang (tiada tumbuhan) yang terletak berdekatan Madinah. Maka keluar pada hari itu seorang lelaki yang paling baik atau (keraguan perawi) antara manusia yang baik, lalu lelaki itu berkata kepada Dajjal: “Aku bersaksi sesungguhnya engkau ini adalah Dajjal sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya.” Dajjal pun berkata: “Apa pendapat kamu sekalian sekiranya aku mematikan yang ini kemudian aku menghidupkannya semula? Adakah kamu ragu-ragu tentang perkara itu?” Orang-orang menjawab: “Tidak.” Maka Dajjal pun membunuhnya, kemudian menghidupkannya semula. Lalu lelaki itu berkata sebaik sahaja Dajjal menghidupkannya: “Demi Allah, aku lebih yakin tentang dirimu sekarang ini dari apa yang aku tahu sebelum ini. Lantas Dajjal pun ingin membunuh lelaki itu tetapi tidak berjaya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kematian Dajjal
Ummu Syuraik bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari Dajjal: "Ya Rasulullah, ke mana orang-orang Arab ketika itu?" Rasulullah SAW menjawab: "Jumlah mereka pada waktu itu terlalu sedikit. Mereka lari ke Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang lelaki soleh (Imam Mahdi menurut riwayat itu). Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk mengimami solat Subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk memberi peluang kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh itu tetapi Isa AS sambil memegang bahu Imam itu berkata: "Teruskanlah, sesungguhnya iqamat dibacakan untuk engkau." 

Maka sembahyanglah mereka semua di belakang Imam tadi. Selesai solat, Isa AS berkata kepada semua jemaah: "Bukakan pintu itu." Mereka membuka pintu masjid itu, tiba-tiba Dajjal sudah berdiri di situ dan di belakangnya ada 70,000 Yahudi lengkap membawa senjata. Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajjal tiba-tiba saja layu atau cair seperti cairnya garam disirami air. Dajjal itu lari terbirit-birit kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum Muslimin terus saja mengejarnya kemudian menemuinya di Babu Luddi.” 

Dan di sanalah Nabi Isa membunuh Dajjal itu. Orang-orang Yahudi pun akan dikalahkan dan dibinasakan Allah pada waktu itu. Mereka cuba lari dan bersembunyi tetapi semua benda tempat mereka bersembunyi akan pandai bercakap atau bercerita dengan izin Allah. Benda-benda dimaksud termasuklah dinding, batu, pokok kayu dan sebagainya. Kalau ada orang Yahudi yang bersembunyi di balik belakang mereka, benda-benda itu akan memberitahukannya. Termasuk juga satu pokok berduri (disebut pokok Yahudi atau pohon gharqad), jika mereka bersembunyi di bawahnya, pokok itu akan berkata: "Wahai hamba Allah yang beriman, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah dia.”

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Ketika Allah telah mengutus al-Masih Ibnu Maryam, maka turunlah ia di menara putih di sebelah timur Damsyik dengan mengenakan dua buah pakaian yang dicelup dengan waras dan za’faran, dan kedua telapak tangannya diletakkannya di sayap dua Malaikat; bila ia menundukkan kepala maka menurunlah rambutnya, dan jika diangkatnya kelihatan landai seperti mutiara. Maka tidak ada orang kafir pun yang mencium nafasnya kecuali pasti meninggal dunia, padahal nafasnya itu sejauh mata memandang. Lalu Isa mencari Dajjal hingga menjumpainya di pintu Lud, lantas dibunuhnya Dajjal. Kemudian Isa datang kepada suatu kaum yang telah dilindungi Allah dari Dajjal, lalu Isa mengusap wajah mereka dan memberi tahu mereka tentang darjat mereka di syurga.” (Sahih Muslim, Kita Al-Fitan wa Asyrathis Sa’ah, Bab Dzikr Ad-Dajjal 18:67-68)

Dari Mujami bin Jariyah al-Anshari RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Isa bin Maryam akan membunuh Dajjal di Bab Lud (Gerbang Lod).” (HR Ahmad, Tirmidzi, dan Nu’aim bin Hamad).

Wallahua’lam.

07 Disember 2012

KASIH SAYANG



Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak akan masuk Syurga selain pengasih." Lantas mereka berkata: "Ya Rasulullah, tiap-tiap kami adalah pengasih." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah pengasih orang yang menyayangi dirinya saja. Tetapi pengasih itu orang yang menyayangi orang lain seperti menyayangi diri sendiri."

Erti menyayangi diri itu menyayangi dari seksa Allah SWT dengan meninggalkan maksiat serta bertaubat di samping taat dan ikhlas. Erti menyayangi orang lain adalah tidak menyakiti seorang muslim, sama ada terhadap anggota zahirnya mahupun hatinya.

Rasulullah SAW bersabda: "Muslim adalah orang yang menjaga tangan dan lisannya terhadap orang lain. Di samping itu juga menyayangi binatang dan tidak menyeksanya."

Baginda SAW juga bersabda: "Suatu hari seorang berjalan. Di pertengahan jalan dia kehausan. Apabila menemui sumur, beliau terus turun dan minum. Ketika naik, dia melihat anjing menjulurkan lidah kerana kehausan. Lelaki itu berkata: "Anjing ini kehausan seperti aku tadi. Lalu dia berikan anjing itu minum. Legalah anjing itu dan bersyukur kepada Allah. Sehingga Allah mengampunkan lelaki itu."

Seseorang bertanya: "Ya Rasulullah, adalah pahala bagi kami bila berbuat baik pada binatang?" Rasulullah SAW menjawab: "Pada setiap yang berhati baik ada pahalanya."

Dari Anas bin Malik RA, dia berkata: "Pada suatu malam Umar RA berjalan. Tiba-tiba beliau berjumpa dengan orang-orang yang bimbang akan kecurian. Lalu Umar berjumpa Abdul Rahman bin Auf RA yang lalu menegurnya: "Apa yang engkau bawa saat ini wahai Amirul Mukminin?" Umar menjawab: "Aku bertemu dengan orang-orang yang bercerita padaku bahawa mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga kerana selalu terjadi kecurian. Marilah bersamaku menjaga mereka."

Anas berkata: "Keduanya lalu pergi menjaga orang yang bimbang pada pencuri itu hingga terbit fajar dan memanggil: "Wahai penduduk Rufqah! Solat! Hingga keduanya melihat mereka bangun dan berangkat. Demikianlah, kita mengikuti jejak para sahabat di mana Allah SWT memuji mereka dengan firman-Nya: "Belas kasihan antara mereka. Sedang mereka jelas mengasihi sesama muslim, semua makhluk dan ahlus  zimmah.”

Diriwayatkan dari Sayyidina Umar RA bahawa dia melihat lelaki tua sedang mengemis. Umar menegurnya: "Alangkah lalainya aku. Telah kuambil tenagamu di waktu mudamu, namun kini kusia-siakan engkau." Lalu Umar perintahkan agar orang tua itu diberi wang dari Baitul Mal.

Dari Hasan RA, Rasulullah SAW bersabda: "Umatku masuk Syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa, tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa dan kasih sayang kepada sesama muslim."

Rasululullah SAW bersabda: “Para pengasih akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihanilah yang di bumi, maka yang di langit akan mengasihimu."

Baginda SAW juga bersabda: "Sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi dan siapa yang tidak pemaaf, takkan dimaafkan pula." 

Telah berkata Malik bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Padamu ada empat hak sesama muslim; kau ziarahi yang sakit dan kau sukai taubat." 

Diriwayatkan bahawa Nabi Musa AS berkata: "Ya Tuhanku, sebab apa Engkau jadikan aku sufi?" Allah SWT berfirman: "Sebab kasihmu pada makhlukKu." Dari Abi Darda' RA: Sesungguhnya dia membeli burung dari seorang budak lalu dia melepaskannya sambil berkata: "Pergi dan hiduplah engkau!"

Rasulullah SAW bersabda: "Ibarat sesama mukmin dalam kasih sayang, cinta, hubungan mereka itu bagai satu jasad. Bila sebahagian sakit, seluruh badan turut berduka dengan panas dan berjaga." 

Diriwayatkan bahawa seorang abid Bani Israel melalui bukit pasir yang dihuni oleh bani Israel yang ketika itu sedang ditimpa kebuluran. Maka si abid itu berharap: “Jika pasir ini menjadi gandum, tentu mengenyangkan mereka." Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Bani Israel: "Katakan pada fulan bahawa Allah memberimu pahala atas sedekahmu kepada manusia kerana berharap pasir menjadi gandum." Oleh sebab itu Rasulullah SAW bersabda: "Niat seorang mukmin lebih baik dari amalnya." 

Diceritakan: Nabi Isa AS pada suatu hari keluar berjumpa Iblis membawa madu dan abu. Baginda bertanya: "Apa yang engkau perbuat dengan madu dan itu wahai musuh Allah?" Iblis menjawab: "Madu ini kuletakkan ke bibir orang-orang yang mengadu domba sehingga mereka menelannya. Sedangkan abu ini kuletakkan di muka anak-anak yatim sehingga orang membencinya."

Rasulullah SAW bersabda: "Jika anak yatim dipukul, maka goncanglah Arasy Allah kerana tangisannya. Kemudian Allah SWT berkata: "Hai Malaikat-Ku, siapa yang membuat anak yatim itu menangis dan di mana ayahnya telah terkubur?" 

Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang memberi makan dan minum anak yatim, pastilah Syurga baginya. " 

Dalam kitab 'Raudhatul Ulama' diceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim AS jika hendak makan, di akan berjalan satu atau dua batu mencari orang supaya dapat diajak makan bersama.

Pernah suatu hari Sayyidina Ali KW menangis, lalu beliau ditegur: "Mengapa kau menangis?" Ali menjawab: "Tidak ada tetamu yang datang tujuh hari ini. Aku merasa cemas kalau Allah telah menghinakanku."

Telah bersabda Rasulullah SAW: "Siapa memberi makan orang yang sedang lapar semata-mata untuk mengkehendaki keredhaanNya, wajiblah baginya Syurga. Dan siapa tidak mahu memberi makan orang yang sedang lapar, maka Allah tidak memberi fadlal padanya di hari Kiamat dan akan menyeksanya di Neraka." 

Baginda SAW bersabda: "Pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan Syurga, dekat dengan manusia dan jauh dari Neraka. Dan orang bakhil jauh dari Allah, jauh dari Syurga, jauh dari manusia dan dekat pada Neraka. " 

Baginda SAW bersabda lagi: "Pada hari Kiamat empat golongan masuk Syurga tanpa hisab; Orang alim yang mengamalkan ilmunya; Orang yang menunaikan haji tidak berbuat dosa dan tidak menjadi fasik sampai meninggal; Pejuang yang mati di medan perang kerana menegakkan kalimah Allah; dan pemurah yang bekerja melalui jalan yang halal dan menggunakannya di jalan Allah tanpa riya’. "

Dari Ibnu Abbas RA, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Allah jadikan segolongan hambaNya memberikan nikmat yang diberikan oleh Allah untuk kemanfaatan hamba-hambaNya yang lain. Siapa bakhil akan kemanfaatan itu terhadap orang lain, maka Allah akan memberikannya kepada orang lain. " 

Baginda juga bersabda: "Orang yang pemurah ibarat pohon di Syurga. Cabangnya menurun ke tanah. Siapa mengambil cabang itu, Allah akan memindahkannya ke Syurga." 

Dari Jabir RA dia berkata: Ditanyakan: "Ya Rasulullah, apakah amal yang paling utama?" Baginda SAW menjawab: "Sabar dan pemurah." 

Miqdam bin Syuraih merawikan dari bapanya dari abangnya, dia berkata: "Kutanyakan kepada Rasulullah SAW: "Apakah amal yang boleh memasukkanku ke Syurga?" Rasulullah SAW menjawab: "Yang mewajibkan itu memberi makan, memberi salam dan berkata dengan baik." 

Wallahua’lam.

(Rujukan: Mukasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali)