Kisah
ini diceritakan sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq. Pada suatu hari isteri Atha'
menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah
habis. Setelah isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung
guni dan berjalan menuju ke pasar.
Di
dalam perjalanan dia mendapati seorang hamba sahaya sedang menangis. Orang
ramai yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan hamba tersebut. Oleh kerana
kasihan melihat keadaan hamba tersebut, Atha' menghampiri hamba yang sedang
menangis itu lalu bertanya: "Kenapa kamu menangis di tepi jalan
ini?" Hamba itu menjawab: "Saya diberi wang sebanyak 2 dirham oleh
tuan saya supaya membeli barang keperluan di pasar. Apabila tiba di sini, saya
dapati wang itu sudah tiada." Hamba tadi menangis lebih kuat lagi seraya menyambung:
"Mungkin wang itu tercicir semasa dalam perjalanan kemari."
Atha'
bertanya lagi: "Kenapa kamu tidak pulang saja dan memberitahu tuanmu tentang
kehilangan wang tersebut?." Sambil menangis hamba tadi menjawab:
"Jika saya pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut,
tentulah saya dimarahi dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas
penjelasan hamba itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah
barang-barang yang dipesan oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan
mengucapkan terima kasih kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar
untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh tuannya.
Setelah
hamba tadi beredar dari situ Atha' berfikir sendirian: "Bagaimana aku
hendak membeli gandum yang dipesan oleh isteriku sedangkan wang 2 dirham telah
aku berikan kepada hamba tadi?" "Dari mana aku hendak mencari wang
sebanyak itu?" katanya lagi. Untuk menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke
sebuah masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat sunat. Atha' berada di
dalam masjid agak lama, sehingga beliau sempat bersolat Asar di situ. Beliau
berdoa supaya Allah SWT membantunya.
Setelah
selesai solat Asar, Atha' menuju ke rumah kawannya kerana ia takut dileteri
oleh isterinya kerana pulang tanpa membawa gandum yang dipesannya. Pada mulanya
Atha' ingin menceritakan dan meminta bantuan daripada kawannya tetapi apabila
tiba di rumah kawannya, ia tidak tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila
kawannya melihat Atha' membawa karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu? Karung kosong?" jawab Atha': "Ya" "Kalau begitu
isilah habuk kayu ini dan bawalah pulang untuk dijadikan bahan bakar,"
kata kawannya. Tanpa berkata apa-apa, Atha' terus mengisi karung guni dengan
habuk kayu yang diberikan oleh kawannya dan terus pulang ke rumahnya.
Apabila
tiba dirumahnya, Atha' meletakkan guni yang berisi habuk kayu tadi di rumahnya
dan beredar dari situ dengan senyap-senyap kerana takut isterinya berleter disebabkan
karung tersebut telah diisi dengan habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid.
Agak lama juga beliau berada di sana sehingga hampir larut malam barulah dia
pulang. Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang sedang dibakar.
Atha' kemudiannya masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang membakar roti
lalu berkata: "Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya: "Memanglah
kerana gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya lagi: "Dari
mana kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari karung yang awak
bawa baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu berkata di dalam
hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung tadi berisi
dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"
Atha'
bertanya kepada isterinya: "Mana karungnya? Biar aku lihat.."
Isterinya menghulurkan karung tadi dan dilihatnya. "Memang benar, karung
tadi yang berisi habuk kayu telah bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik,"
kata Atha' di dalam hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia
sendiri tidak tahu dari mana datangnya gandum tersebut.
Begitulah
jika kita sentiasa merendah diri, beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT...
Firman
Allah SWT: “Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai
pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 33)
Allah
SWT juga berfirman: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah sedang
ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada
simpulan yang teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS
Luqman: 22)
Wallahua’lam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan