Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak
akan masuk Syurga selain pengasih." Lantas mereka berkata: "Ya
Rasulullah, tiap-tiap kami adalah pengasih." Lalu Rasulullah SAW bersabda:
"Bukanlah pengasih orang yang menyayangi dirinya saja. Tetapi pengasih itu
orang yang menyayangi orang lain seperti menyayangi diri sendiri."
Erti menyayangi diri itu menyayangi
dari seksa Allah SWT dengan meninggalkan maksiat serta bertaubat di samping
taat dan ikhlas. Erti menyayangi orang lain adalah tidak menyakiti seorang
muslim, sama ada terhadap anggota zahirnya mahupun hatinya.
Rasulullah SAW bersabda: "Muslim
adalah orang yang menjaga tangan dan lisannya terhadap orang lain. Di samping
itu juga menyayangi binatang dan tidak menyeksanya."
Baginda SAW juga bersabda: "Suatu
hari seorang berjalan. Di pertengahan jalan dia kehausan. Apabila menemui sumur,
beliau terus turun dan minum. Ketika naik, dia melihat anjing menjulurkan lidah
kerana kehausan. Lelaki itu berkata: "Anjing ini kehausan seperti aku
tadi. Lalu dia berikan anjing itu minum. Legalah anjing itu dan bersyukur
kepada Allah. Sehingga Allah mengampunkan lelaki itu."
Seseorang bertanya: "Ya
Rasulullah, adalah pahala bagi kami bila berbuat baik pada binatang?"
Rasulullah SAW menjawab: "Pada setiap yang berhati baik ada pahalanya."
Dari Anas bin Malik RA, dia berkata:
"Pada suatu malam Umar RA berjalan. Tiba-tiba beliau berjumpa dengan
orang-orang yang bimbang akan kecurian. Lalu Umar berjumpa Abdul Rahman bin Auf
RA yang lalu menegurnya: "Apa yang engkau bawa saat ini wahai Amirul
Mukminin?" Umar menjawab: "Aku bertemu dengan orang-orang yang
bercerita padaku bahawa mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga kerana
selalu terjadi kecurian. Marilah bersamaku menjaga mereka."
Anas berkata: "Keduanya lalu
pergi menjaga orang yang bimbang pada pencuri itu hingga terbit fajar dan
memanggil: "Wahai penduduk Rufqah! Solat! Hingga keduanya melihat mereka
bangun dan berangkat. Demikianlah, kita mengikuti jejak para sahabat di mana
Allah SWT memuji mereka dengan firman-Nya: "Belas kasihan antara mereka.
Sedang mereka jelas mengasihi sesama muslim, semua makhluk dan ahlus
zimmah.”
Diriwayatkan dari Sayyidina Umar RA
bahawa dia melihat lelaki tua sedang mengemis. Umar menegurnya: "Alangkah
lalainya aku. Telah kuambil tenagamu di waktu mudamu, namun kini kusia-siakan engkau."
Lalu Umar perintahkan agar orang tua itu diberi wang dari Baitul Mal.
Dari Hasan RA, Rasulullah SAW
bersabda: "Umatku masuk Syurga bukanlah
kerana banyak solat dan puasa, tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan
jiwa dan kasih sayang kepada sesama muslim."
Rasululullah SAW bersabda: “Para pengasih akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihanilah yang
di bumi, maka yang di langit akan mengasihimu."
Baginda SAW juga bersabda: "Sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi dan siapa yang
tidak pemaaf, takkan dimaafkan pula."
Telah berkata Malik bin Anas RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda: "Padamu ada empat hak sesama
muslim; kau ziarahi yang sakit dan kau sukai taubat."
Diriwayatkan bahawa Nabi Musa AS
berkata: "Ya Tuhanku, sebab apa Engkau jadikan aku sufi?" Allah SWT berfirman:
"Sebab kasihmu pada makhlukKu." Dari Abi Darda' RA: Sesungguhnya dia
membeli burung dari seorang budak lalu dia melepaskannya sambil berkata:
"Pergi dan hiduplah engkau!"
Rasulullah SAW bersabda: "Ibarat sesama mukmin dalam kasih sayang, cinta, hubungan mereka
itu bagai satu jasad. Bila sebahagian sakit, seluruh badan turut berduka dengan
panas dan berjaga."
Diriwayatkan bahawa seorang abid Bani
Israel melalui bukit pasir yang dihuni oleh bani Israel yang ketika itu sedang
ditimpa kebuluran. Maka si abid itu berharap: “Jika pasir ini menjadi gandum,
tentu mengenyangkan mereka." Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Bani
Israel: "Katakan pada fulan bahawa Allah memberimu pahala atas sedekahmu
kepada manusia kerana berharap pasir menjadi gandum." Oleh sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
"Niat seorang mukmin lebih baik dari amalnya."
Diceritakan: Nabi Isa AS pada suatu
hari keluar berjumpa Iblis membawa madu dan abu. Baginda bertanya: "Apa
yang engkau perbuat dengan madu dan itu wahai musuh Allah?" Iblis menjawab:
"Madu ini kuletakkan ke bibir orang-orang yang mengadu domba sehingga
mereka menelannya. Sedangkan abu ini kuletakkan di muka anak-anak yatim
sehingga orang membencinya."
Rasulullah SAW bersabda: "Jika anak yatim dipukul, maka goncanglah Arasy Allah kerana
tangisannya. Kemudian Allah SWT berkata: "Hai Malaikat-Ku, siapa yang
membuat anak yatim itu menangis dan di mana ayahnya telah terkubur?"
Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang memberi makan dan minum anak yatim, pastilah Syurga
baginya. "
Dalam kitab 'Raudhatul Ulama'
diceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim AS jika hendak makan, di akan berjalan
satu atau dua batu mencari orang supaya dapat diajak makan bersama.
Pernah suatu hari Sayyidina Ali KW
menangis, lalu beliau ditegur: "Mengapa kau menangis?" Ali menjawab:
"Tidak ada tetamu yang datang tujuh hari ini. Aku merasa cemas kalau Allah
telah menghinakanku."
Telah bersabda Rasulullah SAW: "Siapa memberi makan orang yang sedang lapar semata-mata untuk mengkehendaki
keredhaanNya, wajiblah baginya Syurga. Dan siapa tidak mahu memberi makan orang
yang sedang lapar, maka Allah tidak memberi fadlal padanya di hari Kiamat dan
akan menyeksanya di Neraka."
Baginda SAW bersabda: "Pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan Syurga, dekat dengan
manusia dan jauh dari Neraka. Dan orang bakhil jauh dari Allah, jauh dari
Syurga, jauh dari manusia dan dekat pada Neraka. "
Baginda SAW bersabda lagi: "Pada
hari Kiamat empat golongan masuk Syurga tanpa hisab; Orang alim yang mengamalkan
ilmunya; Orang yang menunaikan haji tidak berbuat dosa dan tidak menjadi fasik
sampai meninggal; Pejuang yang mati di medan perang kerana menegakkan kalimah
Allah; dan pemurah yang bekerja melalui jalan yang halal dan menggunakannya di
jalan Allah tanpa riya’. "
Dari Ibnu Abbas RA, dia berkata: Telah
bersabda Rasulullah SAW: "Allah jadikan segolongan
hambaNya memberikan nikmat yang diberikan oleh Allah untuk kemanfaatan hamba-hambaNya
yang lain. Siapa bakhil akan kemanfaatan itu terhadap orang lain, maka Allah
akan memberikannya kepada orang lain. "
Baginda juga bersabda: "Orang yang pemurah ibarat pohon di Syurga. Cabangnya menurun ke
tanah. Siapa mengambil cabang itu, Allah akan memindahkannya ke Syurga."
Dari Jabir RA dia berkata: Ditanyakan:
"Ya Rasulullah, apakah amal yang paling utama?"
Baginda SAW menjawab: "Sabar dan pemurah."
Miqdam bin Syuraih merawikan dari
bapanya dari abangnya, dia berkata: "Kutanyakan kepada Rasulullah SAW:
"Apakah amal yang boleh memasukkanku ke Syurga?" Rasulullah SAW
menjawab: "Yang mewajibkan itu memberi makan,
memberi salam dan berkata dengan baik."
Wallahua’lam.
(Rujukan: Mukasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan