Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


23 Mac 2008

KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ R.A.

Kedudukan beliau
.
Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin. Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."
.
Kehidupan beliau menuntut ilmu
.
Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.
.
Pelantikan beliau sebagai Khalifah
.
Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi SAW kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.
.
Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan
.
Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut, anak beliau berumur 17 tahun , kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah, aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang sulbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya".
.
Keadilan beliau
.
Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! Perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun, Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri, Abdul Malik, yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya.
.
Kematian beliau
.
Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

22 Mac 2008

FATIMAH AZ-ZAHRA DAN GILINGAN GANDUM

Suatu hari masuklah Rasulullah SAW menemui anakandanya, Fatimah Az-Zahra rha. Didapatinya anakandanya sedang menggiling syair dengan menggunakan sebuah penggilingan tangan dari batu sambil menangis. Rasulullah SAW bertanya pada anakandanya, "Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Fatimah?, semoga Allah SWT tidak menyebabkan matamu menangis".

Fatimah rha. berkata, "Ayahanda, penggilingan dan urusan-urusan rumahtanggalah yang menyebabkan anakanda menangis". Lalu duduklah Rasulullah SAW di sisi anakandanya. Fatimah rha. melanjutkan perkataannya, "Ayahanda sudikah kiranya ayahanda meminta Ali (suaminya) mencarikan anakanda seorang jariah untuk menolong anakanda menggiling gandum dan mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di rumah". Mendengar perkataan anakandanya ini, maka bangunlah Rasulullah SAW mendekati penggilingan itu. Beliau mengambil syair dengan tangannya yang diberkati lagi mulia dan diletakkannya di dalam penggilingan tangan itu seraya diucapkannya "BismillaahirRahmaanirRahiim".

Penggilingan tersebut berputar dengan sendirinya dengan izin Allah SWT. Rasulullah SAW meletakkan syair ke dalam penggilingan tangan itu untuk anakandanya dengan tangannya sedangkan penggilingan itu berputar dengan sendirinya seraya bertasbih kepada Allah SWT dalam berbagai bahasa sehingga habislah butir-butir syair itu digilingnya.

Rasulullah SAW berkata kepada gilingan tersebut, "Berhentilah berputar dengan izin Allah SWT", maka penggilingan itu berhenti berputar lalu penggilingan itu berkata-kata dengan izin Allah SWT yang berkuasa menjadikan segala sesuatu dapat bertutur kata. Maka katanya dalam bahasa Arab yang fasih, "Ya Rasulullah SAW, demi Allah, Tuhan yang telah menjadikan baginda dengan kebenaran sebagai Nabi dan Rasul-Nya, kalaulah baginda menyuruh hamba menggiling syair dari Masyriq dan Maghrib pun niscaya hamba gilingkan semuanya. Sesungguhnya hamba telah mendengar dalam kitab Allah SWT suatu ayat yang berbunyi:

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya para malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang dititahkan-Nya kepada mereka dan mereka mengerjakan apa yang dititahkan".

Maka hamba takut, ya Rasulullah kelak hamba menjadi batu yang masuk ke dalam neraka. Rasulullah SAW kemudian bersabda kepada batu penggilingan itu, "Bergembiralah karena engkau adalah salah satu dari batu mahligai Fatimah az-Zahra di dalam syurga". Maka bergembiralah penggilingan batu itu mendengar berita itu kemudian diamlah ia.

Rasulullah SAW bersabda kepada anakandanya, "Jika Allah SWT menghendaki wahai Fatimah, niscaya penggilingan itu berputar dengan sendirinya untukmu. Akan tetapi Allah SWT menghendaki dituliskan-Nya untukmu beberapa kebaikan dan dihapuskan oleh Nya beberapa kesalahanmu dan diangkat-Nya untukmu beberapa derajat. Ya Fatimah, perempuan mana yang menggiling tepung untuk suaminya dan anak-anaknya, maka Allah SWT menuliskan untuknya dari setiap biji gandum yang digilingnya suatu kebaikan dan mengangkatnya satu derajat.

Ya Fatimah perempuan mana yang berkeringat ketika ia menggiling gandum untuk suaminya, maka Allah SWT menjadikan antara dirinya dan neraka tujuh buah parit. Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyaki rambut anak-anaknya dan menyisir rambut mereka dan mencuci pakaian mereka, maka Allah SWT akan mencatatkan baginya ganjaran pahala orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang bertelanjang. Ya Fatimah, perempuan mana yang menghalangi hajat tetangga-tetangganya maka Allah SWT akan menghalanginya dari meminum air telaga Kauthar pada hari kiamat.

Ya Fatimah, yang lebih utama dari itu semua adalah keredhaan suami terhadap isterinya. Jikalau suamimu tidak redha denganmu tidaklah akan aku do'akan kamu. Tidaklah engkau ketahui wahai Fatimah bahwa redha suami itu daripada Allah SWT dan kemarahannya itu dari kemarahan Allah SWT?.

Ya Fatimah, apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para malaikat untuknya dan Allah SWT akan mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan darinya seribu kejahatan. Apabila ia mulai sakit hendak melahirkan maka Allah SWT mencatatkan untuknya pahala orang-orang yang berjihad pada jalan Allah yakni berperang sabil. Apabila ia melahirkan anak maka keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ibunya melahirkannya dan apabila ia meninggal tiadalah ia meninggalkan dunia ini dalam keadaan berdosa sedikitpun, dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga, dan Allah SWT akan mengurniakannya pahala seribu haji dan seribu umrah serta beristighfarlah untuknya seribu malaikat hingga hari kiamat.

Perempuan mana yang melayani suaminya dalam sehari semalam dengan baik hati dan ikhlas serta niat yang benar, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya semua dan Allah SWT akan memakaikannya sepersalinan pakaian yang hijau dan dicatatkan untuknya dari setiap helai bulu dan rambut yang ada pada tubuhnya seribu kebaikan dan dikurniakan Allah untuknya seribu pahala haji dan umrah.

Ya Fatimah, perempuan mana yang tersenyum di hadapan suaminya maka Allah SWT akan memandangnya dengan pandangan rahmat. Ya Fatimah, perempuan mana yang menghamparkan hamparan atau tempat untuk berbaring atau menata rumah untuk suaminya dengan baik hati maka berserulah untuknya penyeru dari langit (malaikat), "Teruskanlah amalmu, maka Allah SWT telah mengampunimu akan sesuatu yang telah lalu dari dosamu dan sesuatu yang akan datang".

Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotongkan kumisnya serta menggunting kukunya maka Allah SWT akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan Allah SWT akan meringankan sakaratulmaut-nya, dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta Allah SWT akan menyelamatkannya dari api neraka dan selamatlah ia melintas di atas titian Sirat".
.

18 Mac 2008

SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya."
.
Rasulullah S.A.W juga telah bersabda: "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T.:
.
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (tidak bertaubat).
.
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."
.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."
.
Hasan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

16 Mac 2008

TAKABUR vs TAWADHUK

Sombong, bongkak, angkuh dan takabur atau kibir mempunyai pengertian yang sama. Iaitu salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (sifat tercela/terkeji). Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat zarah dari perasaan takabur atau sombong."

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepadaKu, nanti Kuperkenankan permintaanmu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, akan masuk ke Neraka Jahannam dengan terhina." (Al-Mukmin:60)
-
Sifat sombong atau takabur ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu: takabur lahir dan takabur batin. Takabur lahir dapat dilihat melalui perbuatan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah (pangkat, kealiman, darjat keturunan) daripadanya.
--------------------------------------------------
Ketakburan itu adakalanya dapat dilihat melalui perbicaraan, seperti tidak mahu mengalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar dan mengikut nasihat.

Imam Al Ghazali berkata ; "Orang yang takabur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar."
--------------------------------------------------
Orang yang sombong atau takabur ini mudah menghina orang lain dan akan marah jika ada yang mengatasinya; ia akan dengki apabila orang lain mendapat nikmat dan akan berdendam dengan orang yang menandinginya.
--------------------------------------------------
Takabur batin ialah membesarkan diri di dalam hati. Inilah maksiat di dalam hati yang dicela. Dengan adanya rasa angkuh di dalam hatilah lahirnya kata-kata membanggakan diri. Iblis menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam, katanya, "Aku lebih baik dan mulia dari dia (Adam), aku dijadikan dari api sedangkan dia dijadikan dari tanah," lalu dengan angkuhnya Iblis enggan tunduk kepada Nabi Adam, sehingga dengan itu menyebabkan Allah melaknat Iblis dan keturunannya.
--------------------------------------------------
Takabur boleh dibahagi kepada tiga: Takabur terhadap Tuhan, Takabur terhadap RasulNya dan takabur sesama manusia. Takabur kepada Tuhan ialah tidak memperdulikan ancamanNya dan memandang remeh segala syariat dan peraturanNya.
---------------------------------------------------
Takabur dengan Rasulullah SAW ialah enggan mengikuti petunjuknya. Orang Quraisy zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda adalah anak yatim yang miskin. Orang Yahudi pula tidak mahu mengikut Nabi Muhammad SAW kerana baginda bukan dari keturunan Bani Israel. Kebanyakan orang sekarang pula tidak mahu mengikut ajaran Rasulullah SAW kerana menganggapnya kolot, orthodoks, ketinggalan zaman dan berbagai alasan lagi.
--------------------------------------------------
Merasa lebih tinggi dari orang lain adalah takabur sesama manusia. Orang berpangkat tinggi merasa patut dihormati, dimuliakan dan menganggap orang lain rendah. Apabila seorang isteri berpangkat tinggi dan ada nama, susah untuk taat dan memuliakan suaminya, sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat. Seorang alim ulama' bersikap takabur apabila ia memandang remeh terhadap orang lain kerana menganggap dia sahaja yang benar, jika ditegur walaupun benar, teguran itu ditolaknya.
-
Takabur ialah penyakit hati yang merbahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pendakwah. Ditakuti melalui tindak tanduknya akan menampakkan akhlak yang buruk. Kata-katanya pula akan menyakiti orang hingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Lebih bahaya lagi jika ia mewakili jemaah atau parti, nama parti akan terlibat akibat sikap angkuhnya dan akhlaknya yang buruk.
--------------------------------------------------
Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takabur atau sombong ini. Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.
---------------------------------------------------
Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita. Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.
--------------------------------------------------
Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita, kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya. Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.
---------------------------------------------------
Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa sikafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.
--------------------------------------------------
Lawan daripada sifat sombong ialah sifat tawadhuk atau rendah diri. Sekiranya seseorang telah berjaya mengikis sifat sombongnya akan datanglah sifat tawadhuk padanya, sifat terpuji yang disukai Allah dan makhluk seluruhnya.
--------------------------------------------------
Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah SAW; "Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan diri, Allah mengangkatnya dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai yang di bumi ke tujuh."
--------------------------------------------------
Urwah bin Az-Zubair berkata: "Tawadhuk ialah alat untuk mencapai kemuliaan. Lantaran itu Rasulullah SAW, para Nabi, para sahabat , para aulia' dan orang-orang soleh suka merendahkan diri dan memiliki sifat tawadhuk”.
--------------------------------------------------
Rasulullah SAW bersabda: "Aku diberi kunci kekayaan bumi, lalu disuruh pilih di antara menjadi hamba dan Nabi atau menjadi Nabi dan Raja, maka Jibril memberi isyarat kepadaku supaya bertawadhuk dan menjadi Nabi dan hamba, maka saya pilih Nabi dan hamba, maka diberikan kepadaku itu dan aku pertama manusia yang keluar dari bumi kelak dan aku yang pertama memberi syafaat kelak."
--------------------------------------------------
Tegasnya untuk menghilangkan sifat sombong dan takabur perlulah bermujahadah bersungguh-sungguh. Buat sesuatu yang menyebabkan kita dipandang rendah. Datangkan rasa rendah diri dan berlaku tawadhuk. Sesungguhnya tidak hina orang yang merendah diri. Allah telah memuji hambaNya yang tawadhuk dan akan mengangkat darjat mereka.

15 Mac 2008

WASIAT RASULULLAH S.A.W KEPADA SAIDINA ALI K.W.J


Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda-tandanya:
1. Jujur dalam berkata-kata.
2. Menjauhi segala yg haram.
3. Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya:
1. Merahsiakan ibadahnya.
2. Merahsiakan sedekahnya.
3. Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya:
1. Takut berlaku dusta dan keji.
2. Menjauhi kejahatan.
3. Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya:
1. Mengawasi dirinya.
2. Menghisab dirinya.
3. Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

14 Mac 2008

KISAH RASULULLAH SAW DENGAN PENGEMIS YAHUDI

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta yang hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya, dia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya".

Setiap pagi Rasulullah mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga baginda wafat.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tiada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Saidina Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku, adakah sunnah kekasihku Rasulullah yang belum aku kerjakan?" Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abu Bakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?". Abu Bakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu.

"Apabila dia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan itu", pengemis itu melanjutkan perkataannya. Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Aku memang bukan orang yang biasa datang kepadamu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW.”

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. dia pun menangis dan kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia tetap mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia”. Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a.

13 Mac 2008

HUJAH KEPADA PANDANGAN TASAWUF YG MENGELIRUKAN

Dilulus terbit pada Friday, January 13 @ 21:10:33 MYT oleh TokPenghulu (Tranungkite)
-
ahlisufi001 menulis "Betapa ramai yang menentang amalan Tasawuf dan mengingkari mazhab-mazhab Tariqat adalah di sebabkan banyak faktor."
-
Sebenarnya hal ini berkait rapat dengan beberapa usaha jahat untuk melemahkan umat Islam sekaligus memfitnah dan merobek agama sama ada dari luar mahupun dari dalam. Puncanya terlalu luas dan mungkin dapat diperkatakan sekadar kemampuan yang dapat dimanfaatkan dalam ruangan yang singkat ini. Punca pokoknya ialah kejahilan dan gagal memahami agama Islam secara komprehensif / menyeluruh.

Ada puak yang melihat sumber hukum Islam itu hanya satu saja iaitu Al-Quran. Lantas mereka menilai hadis semula kerana mereka ragu dengan Al-Hadis walaupun hadis itu diterima pakai oleh kesepakatan Ulama sebagai sahih seperti perawi Bukhari dan Muslim dllnya. Akhirnya puak ini menerbitkan hukum yang tanpa tafsiran dari hadis maka ini adalah tertolak sama sekali MUKTAMAD. Golongan ini dikenali sebagai anti-hadis. Sembahyang mereka berbeza dengan umum, puasa dan lain-lain perkara pokok sudah berbeza akibat meninggalkan hadis.

Ada puak pula melihat sumber hukum Islam itu hanya dua saja iaitu Al-Quran dan Al-Hadis saja lalu menolak Ijma Ulama dan Qias. Mereka ragui kebenaran Ulama terdahulu dan sekarang lantas mereka membuat penilaian semula terhadap Ulama dan pandangan mereka akhirnya lahirlah fahaman:
1. Semua orang boleh berijtihad tanpa perlu apa-apa syarat.
2. Menilai semula Ulama hadis dan akhirnya mereka mudah meletakkan suatu hadis itu bertaraf dhaif atau maudhu bukan berdasarkan disiplin Ilmu Hadis.
3. Cepat menghukum bid’ah,sesat,kafir tanpa melihat pada disiplin agama samada ianya furu atau usuliah.
4. Menolak amalan mazhab-mazhab Islam kerana diharamkan bertaqlid kepada mana-mana mazhab.
5. Menolak amalan amalan tariqat sufi kerana ianya di anggap bid’ah dan sebagainya.

Sebenarnya puak ini adalah aliran fahaman modenisasi yang menganggap amalan umat Islam kebanyakkannya telah di resapi amalan bid’ah. Contoh fahaman di atas adalah sebahgian dari pandangan mereka. Bagi kita yang kerdil dalam Ilmu Islam pun kadang-kala terikut-ikut dengan fahaman mereka kalau tak menyeluruh pun tapi sebahagiannya telah kita yakini. Dari sudut ini kita ikut Syafie manakala sudut lain pula kita hentam tariqat? Puak ini juga tertolak kerana fahaman mereka banyak membid’ahkan umat Islam yang sunni.

Sumber hukum Islam ialah 4 iaitu(mengikut turutan)
1. Al-Quran
2. Al-Hadis
3. Ijma Ulama
4. Qias
-
Kalau kita pakai dua saja maka akan berlainanlah pandangan kita sama ada furu mahupun usul. Contohnya: Kalau kita faham Bid’ah itu ada dua (dhalalah-sesat dan hasanah-kebaikan) maka puak ni kata bid’ah tu satu je iaitu dhalalah(sesat).

Persoalannya: Sekiranya amalan tariqat ni sesat bid’ah mengapa Ulama-Ulama terdahulu menghayatinya seperti Imam Al-Ghazali, Imam Al-Qusyairi, Imam Junaid, Imam Wahab Syaroni, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, dsbnya. Ulama di nusantara terdahulu yang sampai sekarang kitab mereka menjadi rujukan kita juga tidak terkecuali sebagai orang yang menghayati amalan sufi seperti Syeikh Daud Al Fatani, Syeikh Ahmad Zain Al Fatani, Sy Abdus Samad Al Falimbani, Tuan Tabal, dll.

Buktinya pergi ke arkib negara check kitab-kitab mereka majority keseluruhannya kitab tasawuf. Kalau nak hukum sesuatu kumpulan tariqat itu sesat pun kenalah teliti dulu bukan ikut sedap kita. Bukan tak ada yang menyeleweng sama jugalah dengan mazhab aqidah ada juga yang menyeleweng. Cuma yang dikesali dihentam satu seolah-olah hujah mereka mewakili hentam semua mazhab sufi ini yang batilnya!

Lihat dulu ilmu kita seperti yang disarankan oleh Ustaz Tengku Fauzi apakah Ilmu kita dah setaraf ke dengan Imam Syafie atau Imam Al-Ghazali atau dengan Syeikh Daud Al-Fatani ke atau dengan Imam Bahaudin Naqsyabandi ke? Ini kita terus hentam ulama sufi misalnya Imam Mahiyuddin Ibnu Arabi? Baru belajar Universiti Azhar dah boleh pertikai Ulama Dahulu. Tahukah kita ramai Ulama terkemuka dan muktabar membela beliau sewaktu puak-puak dangkal menghentam beliau di antaranya:
1. Imam Majduddin Al Fairuz Abadi.
2. Syeikhul Islam (di negeri Syams) Imam Sirajuddin Al-Makhzumi.
3. Syeikh Kamaluddin Bin Az Zamlakani (Qadhi Al Qudhah)
4. Al Hafizh Adz Dzahbi.
5. Syeikh Asy Suhrawardi
6. Imam Al Yafi’I
7. Imam Badruddin Ibnu Jamaah
8. Imam An Nawawi.
9. Ibnu Atta’illah Askandari
10. Syeikhul Islam Badruddin Al Makhzumi.
-
Kemudian tentang keyakinan Nur Muhammad. Ada yang kata ciptaan kaum sufilah, bid’ah tak ada dalam Islam dan macam-macam lagi kata mereka. Sebenarnya Keyakinan tentang Nur Muhammad ini memang ada di dalam Hadis Nabi s.a.w yang mana Abdur Razaq telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Jabir Bin Abdullah Al-Anshari yang menutur sebagai berikut: “Aku bertanya; Ya Rasulullah, beritahu aku tentang apa yang mula pertama diciptakan Allah SWT sebelum segala sesuatu. Baginda menjawab: Hai Jabir, sebelum Allah mencipta segala sesuatu Dia menciptakan nur nabimu dari NurNya..”

Sanad dari Jabir adalah shahih, tiada perubahan apa pun. Dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ali Bin Husain r.a yang berasal dari ayahnya(Imam Ali Bin Abu Thalib) dan dari datuknya(Nabi Muhammad s.a.w.) iaitu: “Dahulu aku adalah nur di sisi Tuhanku”.

Hadis tersebut disebut oleh Al-Hafiz Abul Hassan Ali Bin Muhammad Bin Al-Qatthan di dalam Ahkamnya. Ibnu Qatthan termasuk golongan kritikus(naqqad) hadis yang terkenal dengan teknik pembahasannya dan termasuk juga sejumlah Ulama yang sangat teliti dan ketat menjaga riwayat-riwayat Hadis dan penghafalannya. Tak kurang juga Ulama-ulama yang terkenal di nusantara yang membenarkan dan menulis tentang nur Muhammad iaitu:
1. Syeikh Abdullah Arif dalam Bahr Al Lahut.
2. Syeikh Nuruddin Ar Raniri dalam Bad-I Khalqis Samawati wal Ardh
3. Syeikh Daud Al Fatani dalam Muswaddah.
4. Syeikh Nawawi Bentan dalam Bughyan al awam dll.
5. Syeikh Basri Al Manzalawi dalam Fawaid an Nadhirah
6. Sayidi Utsman Bin Abdullah Bin Aqil ibni Yahya dalam Ad Durr al Basim..
7. Sayid Jaafar Bin Ismail al-Barzanji dalam Nuzhatun Nazhirin
8. Saiyid Yusuf Bin Ismail an Nahbani dalam Al Anwar Al Muhammadiah min Al Mawahib Al Laduniyyah
9. Syeikh Muhammad Bin Ismail Daudi Al Fatani dalam Kaukab ad Durri
10. Syeikh Zainal Abidin Bin Muhammad Al Fatani Dalam Kasyfil Ghaibiah
11. Syeikh Ahmad BinMuhammad Zain Al Fatani dalam Badrit Tamam
12. Syeikh Utsman Bin Syihabuddin Al Funtiani al Banjari dalam Ashal

Khutbah Tentang Tawasul dan Rabitah
Ramai di kalangan orang yang tidak berhati-hati dan tiada mengaji tentang ilmu Tasawuf terus menolak amalan Tawasul dan amalan rabitah. Sebenarnya kita mungkin rasa asing dalam kedua-dua amalan ini kerana kita tak memahaminya atau kerana kita tak mengaji Ilmu Tasawuf apatah lagi mengamalkannya. Ini biasa terjadi kerana kalau orang yang mengaji fardhu ain dia mesti mengaji sekurang-kurangnya 3 ilmu iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf tetapi bagi kebanyakan orang sekarang mereka belajar ilmu fardhu ain hanya belajar Tauhid dan Ilmu Feqah saja tetapi mengabaikan ilmu Tasawuf kerana dianggap ilmu tasawuf bukan ilmu fardhu ain. Inilah kefahaman yang silap kerana Imam Malik r.a. berkata: “Barangsiapa berfeqah saja tanpa bertasawuf, maka ia fasiq dan barangsiapa yang bertasawuf tanpa berfeqah maka ia kafir zindik (penyeleweng), dan barangsiapa yang menghimpunkan antara keduanya maka jadilah ia muslim yang haqiqi”. Kalau dalam konteks menentukan apa itu ilmu fardhu ‘ain pun tidak selari dengan ulama terdahulu macammana kita nak menentukan sesuatu itu benar atau pun salah?
-
Penjelasan Tawasul secara ringkas
Tawasul atau wasilah menurut dalam pengertian bahasa ialah: “Sesuatu yang dekat kepada yang lain”. Manakala makna dari istilah hukum Islam bermaksud “Pendekatan kepada Allah Ta’ala dengan mentaati dan beribadah kepadanya, mengikut Nabi-nabi dan Rasul-RasulNya dengan semua amal yang dikasihi dan di redhai-Nya” Ibnu Abbas menegaskan: "wasilah itu ialah pendekatan(qurbah)¨. Qatadah mentafsirkan qurbah itu ialah: "dekatkan dirimu kepada Allah Ta'ala dengan mentaatiNya dan mengerjakan amal yang diredhaiNya¨ maka setiap perintah syara' samada yang wajib mahupun sunnat adalah tawasul atau wasilah mengikut syariat.

Dalil naqalnya ialah: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada Nya dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapat keberuntungan¨ (Al Maidah : 35)
Perkataan wasilah dalam ayat di atas kebanyakan mufasirin hampir senada iaitu menuntut atau mencari pendekatan kepada Allah Taala dengan mentaati dan mengamalkan sesuatu yang dikasihi Allah Taala. Mengamalkan sesuatu amal - jalan (wasilah) yang menuju kepada kehampiran denganNya adalah bentuknya terlalu umum tetapi berdasarkan muafakat dengan Haq Ta'ala.

Diantara penjelasan ahli Tafsir yang senada tadi (sama maksud) ialah:
a. Tafsir Al Khazin j.2 ms 47.
b. Tafsir Ibnu Katsir j2 ms 52-53.
c. Tafsir Fi Zhilalil Quraan j6 ms 146
d. Tafsir Al Futuhatul Ilahiyah ms 488
Manakala Tafsir :
a. Sirojul Munir (Imam Syarbaini Al Khatib)
b. Al Kasysyaf (Imam Zamakhsyari)
c. Anwarut Tanzir (Qadhi Al Baidhawi)d. Al Kabir (Imam Fakhrur Razi) semuanya pada umumnya menyatakan wasilah atau tawasul membawa maksud: "carilah jalan supaya kamu dapat taqarrub(mendekatkan diri) kepada Allah Ta'ala¨.

Untuk kita lebih faham tentang perkara ini kita kena tahu pengertian dua perkara dan kedua-dua perkara ini mempunyai dua makna; kedua-dua perkara ini tidak terpisah sama sekali jika terpisah maka bathil jadinya iaitu:
1. Wasilah- cara atau jalan atau alat.
2. Ghayyah- matlamat atau tujuan.

Makna pertama iaitu Allah Ta'ala memerintahkan kita berwasilah yakni mencari jalan yang diredhaiNya sama ada amalan wajib atau sunnat sama ada dengan berdoa, bershalat, bertawasul dengan asma Allah al husna, dengan berkat RasulNya atau dengan amalan sholeh atau dengan keberkatan para auliya sama ada cara berziarah kubur mereka, membaca maulid, atau mengadakan haul bagi mengingat sejarah perjuangan mereka di atas jalan Allah Ta'ala atau dengan mengasihi mereka yakni dengan menambat hati dengan mereka (rabithah) supaya melimpah rahmatNya ke atas kita. Kesemua amalan-amalan ini dengan syarat berlandaskan syariat Allah DAN bermatlamat (ghayyah) mendekatkan diri kepada Allah yakni dengan lain perkataan bermaksudkan Allah dan keredhaanNya jua yang dituntut bukan lainnya.

Makna kedua iaitu Semua wasilah hanyalah wasilah jua (sabit dengan nas syara’) namun yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala. Misalnya kita berdoa atau bertawasul dengan dengan orang-orang shalih di dalam doanya atas jalan Allah Ta'ala bahawasanya kesemua doanya itu mestilah ditujukan kepada Allah Ta'ala dan bukan kepada wasilah itu sendiri secara haqiqatnya dengan I'tiqad yang putus bahawa Allah jualah yang menentukan dan memaqbulkan segala doa dan persoalan yang selalu dibangkitkan ialah bolehkah kita mendekatkan diri dengan Allah Ta'ala (bertaqarrub) dengan wasilah atau bertawasul dengan orang yang telah mati atau meninggal dunia?

Persoalan inilah yang menjadi perselisihan di antara orang yang keliru atau tak memahami hakikat wasilah. Sebenarnya dalil yang mengatakan boleh kita berwasilahkan dengan orang yang telah meninggal dunia boleh dilihat dalam beberapa sudut asalkan caranya dibenarkan oleh syara’ dan I'tiqad kita benar yakni beri'tiqad yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala.

Sudut Pertama: Apakah orang yang mati itu bererti dianya sudah lenyap atau ghaib sama sekali? Ada pendapat yang mengatakan minta tolong dengan orang yang sudah mati adalah sia-sia kerana orang yang sudah mati itu sudah lenyap(tiada) dan tiada boleh buat apa-apa? Benarkah pendapat ini?

Sebenarnya orang yang sudah mati itu bukan bermakna mereka telah lenyap atau hancur sama sekali tetapi mereka itu hidup semacam kita. Cuma mereka telah berpindah alam yakni dari alam dunia yang fana ke alam barzakh atau alam arwah(ruh). Dalil firmanNya: “Dan jangan kamu mengatakan terhadap orang-orangyang gugur di jalan Allah(bahawa mereka itu) mati bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya(melihatnya)”. (Al Baqarah :157)

Sudut Kedua: Apakah terputus hubungan secara total diantara orang yang hidup dengan orang yang telah mati? Ada pendapat mengatakan bahawa orang yang hidup terputus hubungannya dengan orang yang mati jadi bagaimana mereka(arwah) boleh menolong orang yang hidup bersandarkan hadis Nabi s.a.w.: Apabila anak adam telah mati maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak yang shaleh yang mendoakan orang tuanya¨. (Riwayat : Bukhari)

Sebenarnya hadis ini menerangkan kepada kita bahawa orang yang meninggal dunia segala amal taklifiahnya telah terputus (maknanya sudah tiada lagi sesuatu amalan yang dipertanggungjawab oleh syara' ke atasnya dan tertutup segala manfaat sebab tiada lagi amalan yang boleh dilakukan) kecuali tiga macam amal tadi tetapi hadis ini bukan menekankan bahawa tiada hubungkait langsung dengan orang yang hidup, bukan begitu! Kerana kita masih ada kait dengan para arwah dan ini boleh dilihat dalam dua hubungan iaitu:
a. Hubungan yang hidup dengan si mati. Sebenarnya bukti orang hidup boleh memberi manfaat dengan para arwah ialah misalnya kita membayar hutang si mati maka beban mereka di sana akan terangkat, insya'Allah atau menghadiahkan bacaan QulhuAllah 11 kali atau membaca Yassin lalu diniatkan hadiah kepada si mati maka insya'Allah dapat manafaat pada si mati tersebut.

b. Hubungan yang mati dengan si hidup.Bagi para arwah khusus ibubapa kita dan orang-orang yang sholeh bahawa mereka akan menolong kita dengan mendoakan untuk kita dan kesejahteraan kita. Misalnya dalam surah At Taubah ayat 105 bermaksud: "Dan katakanlah (hai Muhammad): Bekerjalah kamu. Allah dan RasulNya serta kaum mukminin akan melihat perbuatan kalian¨.

Ibnu Katsir menerangkan bahawa setiap amal perbuatan orang-orang yang masih hidup diperlihatkan kepada sanak-keluarga dan kaum kerabat yang telah meninggal dunia. Ia mengenengahkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud At Thayalisi, berasal dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepada sanak-keluarga dan kaum kerabat. Jika amal kalian itu baik mereka menyambutnyadengan gembira. Jika sebaliknya, mereka berdoa: 'Ya Allah, berilah mereka ilham agar berbuat baik dan taat kepadaMu'¨

Sudut Ketiga: Apakah orang yang telah mati itu(ruh) boleh menolong? Jawab kita boleh dan harus. Kerana ini pernah terjadi di zaman semasa dan selepas wafat Nabi s.a.w. dan banyak contoh-contohnya misalnya... Di antara bukti yang jelas bagaimana orang-orang mati khususnya para nabi dan para auliya yang telah mati di mana ruh mereka dapat menolong orang yang hidup ialah sepertimana di waktu Rasulullah s.a.w mi'raj ke langit; di mana baginda Rasulullah s.a.w. telah berjumpa dengan ruh Nabi Adam a.s. dan ruh Nabi Ibrahim a.s. pada langit pertama dan kedua seterusnya Nabi Adam dan Nabi Ibrahim mendoakan kepada Allah Ta'ala supaya diberkati dan dibahagiakan Nabi Muhammad s.a.w. dan ummatnya.

Keterangan ini bersandarkan pada hadis Ibnu Abbas yang dirawikan oleh Bukhari. Sedangkan mereka telah pun wafat. Kemudian terdapat beberapa peristiwa memohon pertolongan dengan Nabi s.a.w. setelah beliau wafat iaitu:
-
Peristiwa pertama: Berkata Muhammad bin Al Munkadir: Seorang lelaki yang akan pergi berjihad, menaruh wang sebanyak 80 dinar di samping ayahku, sebagai amanat, dan ia berkata kepadanya(ayahku): "Jika engkau memerlukan wang ini maka gunakanlah".

Kebetulan terjadi kenaikan harga di mana-mana maka ayahku menggunakan wang tersebut. Akhirnya ketika pemilik wang itu datang untuk mendapatkan wang simpanannya semula maka ayahku meminta dia datang pada keesokan harinya. Malam itu ayahku pergi ke masjid, duduk dan berdoa kepada makam dan mimbar Rasul. Ia terus dalam keadaan istighasah (memohon pertolongan) sampai hampir subuh. Ketika itu, dalam kegelapan masjid, muncul seseorang dan berkata: "Ambil lah ini, wahai Abu Muhammad, seraya memberikan kepadanya sebuah kantung yang berisi 80 dinar.

Peristiwa kedua: Abu Bakar Ibn al-Muqirri berkata: "Saya dan Thabrani serta Abu Syeikh merasa sangat lapar. Ketika kami berada di samping makam Nabi s.a.w. Pada malam itu, di sisi makam Rasul s.a.w. aku berkata: "Wahai Rasulullah, kami lapar". Tidak lama kemudian, terdengar ketukan di pintu masjid dan masuklah seorang lelaki dari golongan Alawi bersama dua orang pemuda. Setiap orang dari mereka membawa kerajang yang penuh dengan makanan. Setelah kami selesai makan, orang Alawi itu berkata : "Aku melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpiku dan beliau memerintahkan aku membawakan makanan untuk kamu semua".

Peristiwa Ketiga: Ibn Jallad berkata: Aku memasuki kota Madinah dalam keadaan sangat miskin dan kekurangan. Lalu aku datang ke maqam Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku ini tetamu mu, kemudian aku tidur. Dalam tidur itu aku mimpi melihat Rasulullah memberikan sepotong roti kepadaku.

Peristiwa Keempat: Berkata As Sayyid Ja’far bin Hassan Al-Barzanji Al-Madani dalam kitabnya “Jaliah Al Karbi Biashabi Sayedil ‘Ajam Wal ‘Arabi” yang disebut juga oleh Al Hamawi dalam kitabnya Nataiju Al Irtihal Was Safari Fil Akhbar Al Qarni Al Hadi Al Asyar dalam perkara terjemah Al Jami’ Bainas Syariah Wal Haqiqah As Syeikh Ahmad bin Muhammad Ad Dimayati yang masyhur dengan panggilan Ibnu Abdul Dhani Al Banna yang mati di Madinah Munawwarah dalam bulan Muharram tahun 1116 hijrah katanya: “Dalam suatu musim haji, saya bersama-sama ibu saya telah menunaikan fardhu haji. Tahun itu adalah tahun kemarau. Bersama saya ialah dua ekor unta yang telah saya beli di Mesir. Dengan menaiki dua ekor binatang inilah kami menyempurnakan haji kami. Setelah selesai menyempurnakan haji, kami ziarah pula Madinah tetapi kedua-dua ekor unta kami telah mati di sana, sedang kami tiada punya wang untuk membeli ganti atau pun menyewanya kepada orang lain (supaya kami dapat pulang semula ke Mesir).

Benar-benar hal ini sudah tidak ada harapan lagi. Lalu saya pun pergi kepada guru kami Safyuddin Al-Qasyasyi. Saya beritahu kepada beliau keadaan yang berlaku dan menambah: ”Sesungguhnya saya berazam hendak duduk di Madinah ini hanyalah buat sementara waktu saja, kerana masih penat dalam perjalanan, sehinggalah Allah memudahkan saya (untuk pulang).

Safyuddin Al-Qasyassyi mendiamkan diri, kemudian berkata kepada saya: ”Awak pergilah, masa ini juga, ke kuburan Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara Saidina Muhammad s.a.w. Baca sedikit ayat Al-Quran dan terangkan keadaan diri awak dari awal hingga akhir sebagaimana telah awak ceritakan kepada saya, dan awak berdiri di atas kubur yang mulia itu!”
Maka saya pun buat apa yang disuruh. Dengan bergegas saya pun pergi dan pada masa itu ialah pagi-pagi lagi. Saya baca sedikit ayat Al-Quran dan saya terangkan keadaan diri saya seperti yang di suruh oleh guru kami. Dan(lepas itu) saya balik semula sebelum zohor. Saya masuk ke tempat suci ‘BabulRahmah’ saya berwudhu’ dan masuk ke dalam masjid. Rupa-rupanya ibu saya sudah sedia ada dalam masjid.Beliau berkata kepada saya: “Di sana ada seorang lelaki bertanyakan tentang kau, pergilah kepadanya”. Saya bertanya kepada ibu saya: “Di mana dia? Ibu saya menjawab “Engkau tengok di sudut paling hujung masjid ini”.

Maka saya pun pergi , saya nampak seorang lelaki berjanggut putih. Tiba-tiba katanya pada saya: “Selamat datang wahai Syeikh Ahmad”. Saya cium tangannya dan kali ini ia bertanya: “Hendak balik Mesirkah ?” Saya menjawab : “Wahai tuan, dengan siapa kah boleh saya balik?” Lalu katanya: “Mari ikut saya, saya akan tumpangkan awak kepada seseorang”.

Maka saya pun mengikutnya, sehinggalah kami sampai ke tempat yang bernama ‘Al Munakhah’ iaitu tempat jamaah haji Mesir tinggal di Madinah. Setelah memberi salam kepada pemilik khemah , lalu pemilik itu bangun sambil mencium tangannya dengan cara yang sangat hormat, katanya kepada orang itu: “Tujuan saya supaya dapat tuan membawa Syeikh Ahmad dan ibunya menumpang bersama-sama tuan ke Mesir…” Kemudian ia menyambung lagi : “Berapa tuan kira ke atasnya ?”(upah atau tambang kerana membawa Syeikh Ahmad dan ibunya). Menjawab pemilik khemah : “Terpulanglah kepada tuan”.

Katanya: “Baiklah, begini dan begini ….”Demikianlah apabila persetujuan dicapai, lalu berkatalah ia kepada saya: “Bangun! Pergilah bawa ibu dan barang-barang awak!”. Saya pun bangun serta melakukan apa -apa yang disuruhnya, sedang ia masih duduk bersama pemilik khemah. Sebelum itu, oleh pemilik khemah, saya telah disyaratkan membayar baki sewa setelah sampai di Mesir kelak.

Semua itu dipersetujui dan berikutnya, ia membaca surah Al-Fatihah serta menasihatkan saya tentang kebajikan. Ia bangun dan saya mengikutnya. Setelah sampai di mesjid, ia berkata kepada saya : “Masuk awak dulu saya kemudian”. Saya pun masuk dan menunggunya. Hingga selesai sembahyang, saya belum melihatnya. Puas berulang-ulang saya mencarinya tetapi tidak berjumpa. Lalu saya balik semula kepada pemilik khemah bertanyakan tentang orang yang membawa saya tadi: “Siapa dia yang sebenarnya dan di mana tempat tinggalnya?”.

Pemilik khemah memberitahu saya bahawa ia sendiri tidak mengetahui dan bahkan tidak pernah kenal sebelum ini, “akan tetapi”, pemilik khemah itu menyambung keterangannya kemudian: “ketika ia masuk, satu macam perasaan gerun dan takut muncul dalam diri saya, yang belum pernah berlaku seumpama itu dalam umur saya”.

Maka kemudian, saya ulangi lagi mencarinya tetapi tetap tidak berhasil. Lalu pergilah saya kepada guru saya tadi, As Syeikh Safyuddin Ahmad Al-Qasyasyi. Saya terangkan kepada beliau segala kejadian ini. Katanya mengulas : “Ini ialah ruh Saidina Hamzah r.a. yang menjelma kepada mu”.

Sudut Keempat: Adakah minta tolong pada ruh simati yang sholeh itu boleh menyebabkan seseorang itu menjadi musyrik (melakukan syirik terhadap Allah Taala)? Jawabnya: TIDAK. Kerana pada kita dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa segala permintaan kita (doa) kita adalah ditujukan secara haqiqatnya kepada Allah Ta'ala dan yang dapat memanfaatkan sesuatu atau memudharatkan sesuatu hanya Allah tidak pada yang lainnya samada makhluk hidup mahu pun makhluk mati (atau ruh), tidak ada bezanya yang beza cuma secara fizikal saja pada haqiqatnya tetap sama.

Misalnya: Kita minta tolong dengan orang yang hidup supaya memenuhi hajat kita tentu tidak syirik kerana walaupun pada lahirnya nampak seseorang yang menolong kita tetapi pada haqiqatnya Allahlah yang memenuhi hajat kita. Cuma orang itu sebagai wasitah (perantara saja) bagi memenuhi hajat kita itu. Begitu jugalah kalau kita bertawasul atau minta tolong pada ruh orang sholeh supaya di doakan kita atau memohon berkat darinya kita tetap beri'tiqad bahawa ruh si mati itu tiada dapat memberi bekas terhadap hajat atau doa kita dan yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala. Cuma ruh-ruh orang sholeh ini menjadi wasitah (perantara) sebab doa atau hajat kita di maqbul oleh Allah Ta'ala.

Dalam hal ini Mufti Sayyid Zaini Dahlan Mufti Mekah bermazhab Syafie (pada masa dulu) berkata: "Dalam soal tawasul ini antara Nabi dan nabi-nabi lain, rasul-rasul, wali-wali dan orang sholeh, tidak ada perbezaan hidup atau mati kerana mereka tidak mencipta sesuatu juga, mereka tidak berkuasa sama sekali, hanya berkat mereka diambil kerana mereka kekasih Allah; mencipta dan mengadakan hanya milik Allah, Tunggal dan tiada bersekutu.

Orang yang membezakan antara orang yang hidup dengan orang yang mati, maka orang itu mengi'tiqadkan bahawa orang hidup bias mencipta dan orang yang mati tidak bias lagi. Kita berkeyakinan dan beri'tiqad bahawa yang menjadikan tiap-tiap sesuatu adalah Allah dan Allah itu menjadi kita dan menjadikan pekerjaan kita¨.

Adapun ramai Ulama besar mengamalkan amalan tawasul di antaranya:
1. Syeikh Ahmad Khatib Minagkabau
2. Syeikh Sayid Bakfi Syata (pengarang kitab I'anatut Talibin)
3. At Tarabulusi (pengarang kitab Tauhid yang terkenal iaitu Husunul Hamidiyah)
4. Syeikh Abdul Aziz Al Hakim.
5. Syeikh Ibrahim Musa Parabek (pengarang kitab Hidayatus Sibyan)
6. Imam Ramli (pengarang kitab Nihayatul Muhtaj mazhab Syafie)
7. Syekhul Islam Ibrahim Al Baijuri (pengarang kitab Kifayatul Awam)
8. Abdur Rauf Al Manawi (pengarang kitab Faidhul Qadir Al Jamius Saghir)
9. Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fatani (pengarang kitab Aqidatul Najin)
10. Syeikh Nawawi Bentan
11. Imam Barzanji
12. dll.
-
Kalau ramai Ulama besar beramal mestilah ianya boleh dan sangat baik dilakukan dengan jalan yang betul. Tak akan pula Ulama-Ulama yang terkenal dan di akui ini akan mengajar atau mengamalkan sesuatu yang menyesatkan. Siapa nak pergi tempah ke neraka dijauhkan Allah Ta'ala. Tapi kalau masih ada puak yang tak percayakan Ulama itu saya angkat tangan..Tak guna berhujah jika sumber istimbat hukum sudah menyeleweng!!

Ada pulak puak yang terkeliru berhujah dengan katanya: "Mengapa kita perlu ikut ulama sedangkan ulama tidak ma'sum adalah lebih baik kita ikut hadis Nabi kerana hadis Nabi itu sudah jelas(nyata) dan ma'sum dari melakukan kesilapan ?

¨Pandangan ini lagi mengelirukan kita! Memanglah hadis itu ma'sum dan ulama tidak ma'sum tapi bukankah setiap hadis Nabi itu mesti dihuraikan mengikut pandangan ulama? Dan tidakkah Allah Ta'ala menganjurkan supaya bertanya pada mereka yang tahu (ulama) jika kamu tidak tahu ?

Bahkan Nabi sendiri bersabda: "Ulama itu adalah pewaris nabi-nabi¨. (Dirawikan oleh Abu Daud,At Tarmidzi dll dr Abid Darda). Tiba-tiba datang satu puak ni tak mahu pakai tafsiran ulama kalau begitu nak suruh kita tafsir hadis tu sendiri-sendiri alamat rosaklah agama. Bila agama ditafsir oleh orang jahil akan rosaklah ummat dan porak poranda lah dunia ni nanti. Sebab itulah ada satu puak tolak mazhab kerana alasan mereka bahawa mazhab itu ciptaan Ulama. Di zaman Rasulullah s.a.w. mana ada mazhab kata mereka.

Memanglah di zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada mazhab bahkan tiada ilmu feqah (yg tersusun macam sekarang), Ilmu Tauhid, Ilmu Tasawuf, Ilmu tajwid, Ilmu Tafsir dan sebagainya kerana di zaman Rasulullah s.a.w. semuanya terangkum sekali. Apabila sahabat ada satu-satu masalah terus boleh tanya Rasulullah s.a.w. dan terus dapat jawapannya tapi sekarang sementalahan Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan kita sudah sekian lama bagaimana kita nak mengetahui satu-satu hukum jika kita berdepan dengan berbagai masalah yang serba canggih hari ini bukankah Ulamalah tempat rujuk kita?

Bolehkah kalau kita jumpa satu-satu ayat Al-Quran atau Al-Hadis maka kita tafsir ikut akal kita sendiri tanpa merujuk (atau mengetahui) pada ilmu-ilmu alatnya seperti Bahasa Arab, Asbabun Nuzulnya, Ilmu Mustalah Hadis, Usul Tafsir dan sebagainya? Sudah tentu tidak, maka itu sebabnya kita di wajibkan bertaqlid (mengikuti) pada mana-mana pada salah satu mazhab feqah dalam Islam supaya selamat kita dari arus mentafsir Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. ikut nafsu kita sendiri! Kadang kala situasi akan menjadi pelik jika ada orang berhujah dengan bertanyakan apa hadis ini hadis shahih ke dhaif? Almaklumlah sekarang ni kebanyakkan orang sudah pandai menilai..

Cuma sayangnya bila kita tanya dia balik, berapa ribu hadis yang telah awak tahu dan hafal dalam menilai sesuatu hadis? Disiplin macamanakah nak untuk mengetahui ketogeri satu-satu hadis itu? Sudahkah anda pelajari ilmu alatnya ? Kalau semua persoalan tidak dapat dijawab maka kembalilah kepada Ulama - Ulama mazhab dan ulama-ulama muktabar yang berkepercayaan dari dulu dan sekarang. Kerana peranan merekalah dengan menyusun ayat-ayat Al Quran dan Al Hadis serta mengkaji sedalam-dalamnya berdasarkan ilmu-ilmu alat dan ilmiah serta sikap yang terlalu berhati-hati timbullah di depan mata kita dengan mudah (bagi kita yang bertaraf awam) kitab-kitab Ilmu Tauhid, Kitab Ilmu Feqah, Kitab Ilmu Tasawuf Kitab Tafsir dan sebagainya.

Tetapi setengah dari sikap puak baru yang keliru kadangkala sampai dituduh ulama terdahulu tak belajar hadis atau cetek dalam ilmu mustalah hadis kerana banyak mengeluarkan hadis-hadis yang bertaraf dhaif dalam kitab mereka! (peristiwa ini memang benar-benar terjadi). Bila kita ukur dari segi ilmunya atau akhlaknya orang yang bercakap macam itu tadi air kaki Ulama terdahulu pun tak ada jika nak dibandingkan ilmu mereka, wara mereka, adab dan akhlaq serta tawadhu mereka bahkan sikap berhati-hatinya mereka terhadap satu-satu hukum yang nak di keluarkan kerana terlebih takut mereka itu akan Allah Ta'ala. Inilah sikap Ulama terdahulu seperti Imam-imam mazhab, Imam Ghazali r.h, Imam Mahiyuddin Abdul Qadir Al-Jilani, kedua-dua Ibnu Hajar, Imam Sayuti, Imam Abu Hassan Asy'ari, Imam Abu Mansur Al-Maturidi, Syeikh Daud Al Fatani dan banyak lagi yang sealiran dengan mereka yang tergolong dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Apa yang ditakuti ialah kita menjadi puak modenis secara disedari atau pun tidak yang menjadi penilai hadis ikut acuan mentaliti musuh-musuh Islam sepertimana yang diulas oleh Wan Muhammad Ali dalam bukunya Islam dan Fitnah Modenisasi Ms 92 (terbitan Pustaka Syuhada cetakan tahun 2000) dengan katanya: "Sebahagian kaum modenis menerima hadis, di samping Quran untuk menjadi panduan hidup mereka. Tetapi mereka memilih-milih di antara hadis itu; mana yang bercanggah dengan cara hidup mereka atau kecenderungan-kecenderungan mereka, menyelewengkan maksudnya atau mereka pejamkan mata terhadapnya atau mereka tolak saja mentah-mentah sebagai hadis maudhu' ataupun sekurang-kurangnya dhaif.”

Di antara hadis-hadis yang paling tidak disukai oleh kaum modenis umumnya ialah hadis-hadis yang menyatakan tentang kecelaan dunia, kecelaan hidup bermewah-mewah, keutamaan hidup miskin dan fakir, dan larangan bertasyabuh iaitu menyerupai atau meniru-niru kaum kafir. Mereka menggolongkan hadis-hadis yang mereka tidak sukai itu sebagai maudhu atau sebagai dhaif bukan secara ilmiah dan dasar ikhlas tetapi atas dorongan hawa nafsu saja.

Ada pula kaum modenis yang membuat kajian terhadap hadis dan sunnah, mencuba menayangkan mentaliti moden mereka yang bersifat agnostic atau ragu-ragu terhadap Allah itu, ke atas para rawi tertentu membuat hadis atau membuat kebohongan, padahal para rawi itu telah diakui oleh para ahli hadis sebagai orang yang bersifat adil dan bertaqwa dan hidup dalam suasana sentiasa takut akan kemurkaan Allah.

Kemudian terdapat pula percubaan di kalangan kaum modenis terutamanya murid-murid orientalis, untuk menganalisa hadis dengan menggunakan kaedah-kaedah "higher Criticism" seperti yang telah disebutkan tadi. Mereka dipengaruhi antara lainnya oleh orientalis Yahudi Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht dan orientalis Kristian seperti Sir Hamilton A.R. Gibb¨.

11 Mac 2008

PESANAN TERAKHIR RASULULLAH S.A.W

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kataku dan sampaikan ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.”
-
"Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, justeru, segala urusan membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang”.
-
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syaitan) sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.”
-
"Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, maka mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Jika mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”
-
"Layani wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah dengan mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka adalah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”
-
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasa pada Ramadan dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadat haji' jika kamu mampu.”
-
"Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah bersaudara kepada Muslim lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam takwa dan beramal soleh."
-
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas kewafatanku.”
-
"Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepas aku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kataku yang sudah aku sampaikan kepada kamu.”
-
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat untuk selama-lamanya. Itulah AL-QURAN dan SUNNAHKU, hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir lebih memahami kataku daripada mereka yang terus mendengar dariku."
-
"Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-Mu."

09 Mac 2008

RASULULLAH SAW MENANGIS DI PADANG MAHSYAR

Dari Usman bin Affan bin Dahaak bin Muzahim daripada Abbas ra, saudara bapaknya Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda, yang artinya: Anaa awwalunnaasi khuruujan idzaa bu'itsuu ................
"Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur (bumi) pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata: "Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul."

Ibnu Abbas ra berkata: "Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah Muhammad SAW. Jibril as akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga."
Jibril as akan menyeru: "Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad SAW?" Bumi akan berkata: "Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu di mana kubur Muhammad SAW."
Rasulullah SAW bersabda: "Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad SAW ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur." Israfil bersuara: "Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!"
Maka, kubur terbelah dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika Rasulullah SAW berdiri, baginda SAW telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda SAW. Baginda SAW melihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada lagi bangunan. Baginda SAW menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi.
Jibril as berkata kepadanya: "Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah Taala di tempat yang luas."
Baginda SAW bertanya, "Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?"
Jibril as menjawab: "Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah Taala."
Baginda SAW bersabda: "Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!"
Jibril as berkata: "Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?"
Baginda SAW bersabda: "Bukan seperti itu pertanyaanku."
Jibril as berkata: "Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?"
Baginda SAW bersabda: "Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?"
Jibril as berkata: "Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?"
Baginda SAW bersabda: "Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku."
Jibril as berkata kepada baginda SAW: "Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad SAW dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!"
Jibril as datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq cuba meronta-ronta. Jibril as berkata kepadanya: "Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah Taala perintahkan kepadamu agar mentaatinya?"
Buraq berkata: "Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini."
Baginda SAW bersabda kepada Buraq: "Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu."
Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Nabi Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: "Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha Perkasa.
Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.
Allah Taala berfirman: "Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita."
Malaikat Israfil as menjerit: "Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta alam."
Allah Taala berfirman: "Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya!"
Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat. Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad SAW merupakan satu umat (kumpulan). Nabi SAW berhenti memperhatikan ke arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan.
Jibril as menyeru: "Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala."
Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad SAW berjumpa satu umat, baginda SAW akan bertanya: "Di mana umatku?"
Jibril as berkata: "Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir." Apabila nabi Isa as datang, Jibril as menyeru: Tempatmu!" Maka nabi Isa as dan Jibril as menangis. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Mengapa kamu berdua menangis."
Jibril as berkata: "Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?"
Nabi Muhammad bertanya: "Di mana umatku?"
Jibril as berkata: "Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan." Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu bertanya: "Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?"
Jibril as berkata: "Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!" Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya. Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga gembira terhadap mereka. Nabi Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: "Wahai Muhammad!" Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai umatku." Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis. Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala seruan yang menyeru: "Di mana Jibril?"
Jibril as berkata: "Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam."
Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: "Di mana umat Muhammad SAW?"
Jibril as berkata: "Mereka adalah sebaik umat."
Allah Taala berfirman: "Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad SAW bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu."
Jibril as kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: "Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala."
Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu bersabda: "Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala."
Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah Taala.
Allah Taala berfirman: "Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!" Hamba-hamba Allah Taala terdiam.

Allah Taala berfirman: "Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!"

Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: "Wahai Malik! Allah Taala telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam."
Malik bertanya: "Apakah hari ini?"
Jibril menjawab: "Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan."
Malik berkata: "Wahai Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan makhluk?"
Jibril menjawab: "Ya!"
Malik bertanya: "Di mana Muhammad dan umatnya?"
Jibril berkata: "Di hadapan Allah Taala!"
Malik bertanya lagi: "Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?"
Jibril berkata: "Aku tidak tahu!"
Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis). Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.
Rasulullah SAW Membela Umatnya
Di Padang Mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah Nabi Ibrahim as. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: "TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini."
Allah Taala berfirman: "Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya?"
Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: "KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahannam!"
Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru: "Tuhanku... Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!"
Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad SAW menyeru: "Tuhanku.. Penguasaku Penghuluku.... !Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!"
Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: "Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?"
Neraka pula berseru: "Wahai Tuhanku... Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan."
Malaikat Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud di hadapan Tuhannya. Allah Taala berfirman: "Di mana matahari?" Maka, matahari dibawa mengadap Allah Taala. Ia berhenti di hadapan Allah Taala.
Allah Taala berfirman kepadanya: "Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?"
Matahari menjawab. "Tuhanku! Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka berbuat demikian sedangkan aku adalah hamba yang halus?"
Allah Taala berfirman: "Aku percaya!"
Allah Taala telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia telah dihampirkan dengan kepala makhluk."
Ibnu Abbas r.h. berkata: "Peluh manusia bertiti dan sehingga mereka berenang di dalamnya. Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk yang sedang panas. Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit. Air mata mengalir seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat. Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda SAW sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi, baginda SAW rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya. Para Nabi melihat keluh kesah dan tangisannya.

Mereka berkata: "Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya. "

Daripada Thabit Al-Bani, daripada Usman Am Nahari berkata: "Pada suatu hari Nabi SAW menemui Fatimah Az-Zahra' r.h. Baginda SAW dapati, dia sedang menangis." Baginda SAW bersabda: "Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu menangis?"
Fatimah menjawab: "Aku teringat akan firman Allah Taala - "Dan, kami akan menghimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati walau seorang daripada mereka."
Lalu Nabi SAW pun menangis. Baginda SAW bersabda: "Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang terlalu dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan perasaan dahaga dan telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air mata mereka mengalir di pipi."
Fatimah r.h. berkata: "Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap lelaki?"
Baginda SAW menjawab: "Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap orang akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar Firman Allah Taala:" Bagi setiap orang dari mereka, di hari itu atau satu utusan yang melalaikan dia.” ( Abasa: 37)
Fatimah ra. bertanya: "Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?"
Baginda SAW menjawab: "Kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku."
Fatimah r.h. bertanya lagi: "Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?" Baginda SAW bersabda: "Kamu akan menjumpaiku di atas Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: "Robbii Sallim! Robbii Sallim! Tuhan selamatkanlah... Tuhan selamatkanlah...! Para malaikat akan menyambut: "Aamiin."
Ketika itu juga, terdengar seruan dari arah Allah Taala lalu berfirman: "Nescaya akan mengikuti kata-katanya pada apa yang kamu sembah."
Setiap umat akan berkumpul dengan sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana burung mematuk kacang. Apabila seruan dari tengah Arsy kedengaran, maka manusia yang menyembahNya datang beriring.

Sebahagian daripada orang yang berdiri di situ berkata: "Kami adalah umat Muhammad SAW!"
Allah Taala berfirman kepada mereka: "Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?"
Mereka berkata: "Kami tidak menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya."
Mereka ditanya lagi: "Kami mengenali Tuhan kamu?"
Mereka menjawab: "Maha Suci diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya."
Apabila ahli neraka dimasukkan ke dalamnya untuk diazab, umat Muhammad SAW mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat Zabaniah mencela mereka. Mereka berkata: "Marilah kita pergi meminta syafaat kepada Muhammad SAW!"
Manusia berpecah kepada tiga kumpulan.
1. Kumpulan orang tua yang menjerit-jerit.
2. Kumpulan pemuda.
3. Wanita yang bersendirian mengelilingi mimbar-mimbar.
Mimbar para Nabi didirikan di atas kawasan lapang ketika kiamat. Mereka semua berminat terhadap mimbar Nabi Muhammad SAW. Mimbar Nabi Muhammad SAW terletak berhampiran dengan tempat terjadi hisab. Ia juga merupakan mimbar yang paling baik, besar dan cantik. Nabi Adam as dan isterinya Hawa berada di bawah mimbar Nabi SAW.
Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: "Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari umat Muhammad SAW serta cantik wajah mereka.
Mereka menyeru: "Di mana Muhammad?" Mereka berkata: "Kami adalah umat Muhammad SAW. Semua umat telah mengiringi apa yang mereka sembah. Hanya tinggal kami sahaja. Matahari di atas kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula, cahaya juga telah membakar kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada Allah Taala untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami akan pergi ke syurga atau neraka."
Nabi Adam as berkata: "Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan dosa-dosaku. Aku mendengar firman Allah Taala: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya kerana lalai."

Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as yang telah berumur, umur yang panjang dan sangat sabar. Mereka menghampirinya. Apabila nabi Nuh as melihat mereka, dia berdiri. Pengikut (umat Nabi Muhammad SAW) berkata: "Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami terhadap Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka."
Nabi Nuh as berkata: "Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar kaumku dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Ibrahim kekasih Allah Taala! Mintalah kepadanya agar menolong kamu!"
Nabi Ibrahim as berkata: "Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam usiaku sebanyak tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Musa as! Mintalah pertolongan darinya!"
Nabi Musa as berkata: "Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri. Aku dapati dia melampaui batas terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku. Pergilah kamu berjumpa Isa as!"
Mereka pergi berjumpa nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata: "Sesungguhnya Allah Taala telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku, ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah Taala. Hari ini, aku malu untuk bertanya kepadaNya mengenai ibuku Mariam."
Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra' sedang duduk. Ketika Mariam melihat umat Nabi Muhammad SAW dia berkata: "Ini umat Nabi Muhammad SAW. Mereka telah sesat dari Nabi mereka." Suara Mariam, telah didengar oleh Nabi Muhammad SAW Nabi Adam a.s. berkata kepada nabi Muhammad SAW. "Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala."
Nabi Muhammad SAW menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: "Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah Taala untukmu!" Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul di sisinya.
Terdengar suara seruan: "Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!" Nabi Adam as berkata: "Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan meminta kepadaku."
Nabi Adam as pergi menemui Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya: "Wahai Adam! Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!"
Nabi Adam as bertanya: "Berapa banyak untukku kirimkan?"
Allah Taala berfirman: Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke syurga, 999 orang ke neraka." Allah Taala berfirman lagi: "Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat orang yang berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi anakmu keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri janji. Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji sawi, bawalah dia untuk memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah menjadikan bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan dengan sepuluh pahala agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak akan memasukkan mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan dikembalikan dengan dosa bagi orang yang melampaui batas."

Nabi Adam as berkata: "Tuhanku! Penguasaku! Engkau lebih utama bagi menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib!"

Umat Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat

Allah Taala menyeru: "Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 1500 tahun perjalanan."

Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: "Wahai Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada pelepasan dari Allah Taala, maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia akan terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!"

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: "Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu."
Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW. Umat Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: "Ikutlah aku wahai umatku di atas Sirat ini!"
Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar. Kumpulan kedua melintasi seperti angin yang kencang. Kumpulan ketiga melintasi seperti kuda yang baik. Kumpulan yang keempat seperti burung yang pantas. Kumpulan yang kelima berlari. Kumpulan keenam berjalan. Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka.
Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda SAW melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali. Kumpulan kelapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru: "Wahai Muhammad SAW!"
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka! Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka tidak diizinkan untuk menyeberang. Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka memasuki syurga bersama-sama.
Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: "Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku." Kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata: "Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia." Malaikat berkata kepada mereka: "Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka."
Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: "Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka."
Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka yaitu Sirat. Ia dipanggil "Tempat Teropong." Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat. Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya. Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak akan meninggikan tangisan mereka.

Rasulullah SAW bersabda: "Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?" Malaikat menjawab: "Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka. "Nabi SAW bersabda: "Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah."
Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan kekal didalam rumah-rumah mereka.
Kita memohon kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka. Amiin.
(Petikan dari Kitab Syaiful Bathir karangan Al Imam As Suyuthi Rahimahullah)